Thursday, December 8, 2016

SEJARAH RAMBUT PALSU

Rambut palsu telah menjadi sebahagian dari dunia fesyen. Berdasarkan sejarah rambut palsu pada masa lampau, penggunaannya berkait dengan status kekuasaan.
Penggunaan rambut palsu telah ada sejak zaman Mesir kuno. Bagi bangsa Mesir kuno, penampilan menjadi perkara penting kerana menunjukkan status sosial, peranan dalam masyarakat dan kedudukan dalam politik.
Seperti masyarakat sekarang, gaya rambut bangsa Mesir kuno bervariasi sesuai dengan usia, jantina dan status sosial. Pada masa itu, seluruh penduduk Mesir baik lelaki atau wanita harus mencukur rambut kepala mereka hingga botak dan menggantinya dengan rambut palsu.
Bagi mereka, membotakkan kepala mempunyai beberapa manfaat. Pertama, disebabkan iklim Mesir yang panas, dengan memiliki kepala yang botak akan rasa lebih selesa. Kedua, untuk menjaga kebersihan serta mencegah kutu kepala.
Ketiga, alasan faktor usia. Semakin tua usia seseorang, maka masalah keguguran rambut tidak dapat dielakkan, sementara itu mereka ingin tetap mempertahankan penampilan muda mereka selama mungkin.
Meskipun demikian, orang Mesir Kuno tidak suka tampil di hadapan umum dengan tampilan kepala botak. Oleh itu, rambut palsu sangat popular digunakan oleh seluruh peringkat usia, termasuk kanak-kanak.
Mereka membuat rambut palsu dari rambut manusia atau bulu biri-biri yang kemudian dihasilkan dengan cara dianyam atau ditocang. Rambut palsu digunakan di dalam mahupun luar rumah. Orang Mesir menggunakan rambut palsu baru setiap hari dengan gaya rambut palsu yang pelbagai.
Oleh sebab itu, fungsi utama rambut palsu berubah sebagai hiasan kepala untuk acara khusus, seperti upacara dalam masyarakat.
RAMBUT PALSU DI BARAT
Zaman Rom, rambut palsu digunakan oleh wanita sebagai sebahagian aksesori yang bergaya. Oleh kerana wanita yang berambut perang dianggap cantik, maka rambut palsu yang terbuat dari rambut perang harganya sangat mahal pada masa itu.
Pembuat rambut palsu mendapatkan bahan untuk hasilkan rambut palsu perang dari orang-orang utara yang telah ditakluk oleh Empayar Rom.
Hingga abad ke-16, penggunaan rambut palsu menonjol dalam catatan sejarah di barat. Pada separuh kedua abad ini, lelaki mahu pun wanita mula menggunakan rambut palsu.
Para wanita pada masa itu sering mewarnakan rambut mereka dengan warna merah atau emas agar dapat meniru rambut palsu Ratu Elizabeth I yang dikhabarkan memiliki koleksi sebanyak 100 rambut palsu!
Pada tahun 1665, kebanyakkannya mula menggunakan rambut palsu perang, coklat atau hitam. Mereka rela mencukur rambut sendiri agar dapat menggunakan rambut palsu.
Rambut palsu yang panjang dan keriting, pakaian yang penuh dengan bau minyak wangi serta bedak yang penuh di wajah, semua ini merupakan ciri fesyen masa itu. Sampai akhir abad ke-17, gaya rambut palsu lelaki sama seperti rambut wanita.
Selain itu, wabak siflis memicu lonjakan penggunaan rambut palsu. Pesakit siflis menyembunyikan kebotakan dan luka di wajah mereka dengan rambut palsu yang terbuat dari kuda, kambing atau rambut manusia. Rambut palsu mereka juga dilapisi dengan serbuk beraroma lavender untuk menyembunyikan bau busuk.
Perkembangan selanjutnya, pada tahun 1730, rambut palsu digunakan bercampur dengan rambut asli. Pada abad ke-19, kebanyakannya hampir berhenti untuk memakai rambut palsu dan mereka mula bergaya dengan rambut asli mereka sendiri meskipun dipotong pendek.
Manakala wanita pula terus menggunakan hiasan rambut untuk aksesori gaya rambut mereka dan hal ini masih dilakukan hingga hari ini.

Kredit: sejarahdk

-Debu-

No comments:

Post a Comment