Tuesday, December 13, 2016

KISAH SAHABAT: ULBAH BIN ZAID BIN HARITSAH RA


Ketika Nabi SAW menyeru kepada para sahabat untuk bersiap-siap berangkat ke Tabuk sekaligus menggerakkan sedekah/dana, Ulbah bin Zaid berasa amat sedih kerana dia tidak memiliki apa pun, baik harta ataupun kekuatan untuk memenuhi panggilan Nabi SAW.
Pada suatu malam, dia keluar menuju ke tempat yang sepi. Dia melakukan solat sunat sebanyak yang dia mampu. Usai solat, sambil menangis dia berdoa,
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah memerintahkan jihad dan Engkau memberikan dorongan untuk itu, tetapi Engkau tidak memberikan bekal dan memberikan kekuatan padaku. Tidak juga Engkau berikan kenderaan pada Rasul Mu yang dapat aku tunggangi… Ya Allah, sesungguhnya aku sedekahkan kepada semua kaum muslimin, segala hal yang mereka ambil dariku tanpa hak, baik pada harta, jasad dan juga kehormatanku..."
Pada pagi harinya, ketika dia berkumpul dengan para sahabat, tiba-tiba Nabi SAW bersabda,
"Di manakah orang yang bersedekah malam tadi? Berdirilah!"
Dalam beberapa ketika tidak ada yang berdiri, begitu juga Ulbah, kerana memang dia tidak menemui Nabi SAW dan bersedekah. Tetapi sekali lagi Nabi SAW mengulangi pertanyaannya dan tetap tidak ada yang berdiri.
Akhirnya Ulbah memberanikan diri berjumpa Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang dilakukannya semalam. Baginda tersenyum dan bersabda,
"Bergembiralah engkau! Demi Dia yang memegang jiwaku dalam tanganNya, sesungguhnya sedekahmu telah ditulis sebagai zakat yang diterima!!"
Ulbah amat gembira dengan apa yang disampaikan Rasulullah SAW, walau tidak memiliki apapun, dia masih boleh menyumbangkan doa, yang ternyata sangat bererti bagi dirinya.

Kredit: Ibnu Ghufron

-Debu-

No comments:

Post a Comment