Tuesday, December 13, 2016

BURJ KHALIFA PUNYAI TIGA WAKTU BERBUKA PUASA


Lazimnya perbezaan waktu berbuka puasa disebabkan oleh perbezaan wilayah, negeri, misalnya waktu berbuka puasa di Shah Alam selalunya akan berbeza dengan Kuala Lumpur, meskipun secara geografinya kedua-dua kawasan itu berdekatan.
Namun, pernahkah anda mendengar adanya waktu berbuka puasa yang berbeza waktu dalam satu bangunan?
Menarik bukan?! Perkara yang kelihatan mustahil berlaku di Malaysia ini terjadi di bangunan tertinggi di dunia iaitu di Burj al-Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
KENAPA BERBEZA WAKTU?
Puncanya adalah kerana faktor ketinggian.
Oleh itu , Kementerian Urusan Agama Islam dan Amal Sosial di Dubai telah menerbitkan jadual berbuka puasa khusus di bangunan ini.
Sebagai pencakar langit tertinggi di dunia sejak 2010 hingga kini dan berlokasi di negara Islam, bangunan ini mendapat perakuan berbeza waktu berbuka puasa berbanding lokasi-lokasi lainnya di Dubai.
Tingginya bangunan inilah yang pada akhirnya mempengaruhi waktu berbuka puasa. Pembahagian ini berdasarkan matahari terbenam yang dilihat oleh penghuni bangunan ini.
Penghuni yang tinggal di aras 80 tingkat ke bawah, akan berbuka puasa sama dengan waktu di mana ketika azan Maghrib berkumandang di televisyen Dubai atau masjid berdekatan, manakala penghuni di aras 80-150 tingkat akan berbuka puasa dua minit selepas azan dan bagi mereka yang tinggal di aras 150 tingkat ke atas harus berbuka puasa lewat tiga minit.
Namun, mereka yang berada di aras ini akan menunaikan solat subuh tiga minit lebih awal berbanding penghuni yang berada ditingkat bawah.


TENTANG BURJ KHALIFA
Burj Khalifa dahulunya dikenali sebagai Burj Dubai, ialah sebuah pencakar langit yang tertinggi didirikan di Dubai dan juga struktur binaan manusia tertinggi yang pernah dibina dalam sejarah, ia memiliki ketinggian 828 m (2,717 kaki).
Pembinaan bermula pada 21 September 2004, sehingga struktur luarannya disiapkan pada 1 Oktober 2009 dan dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010.
Bangunan ini merupakan sebahagian projek pembangunan besar-besaran seluas 2 km persegi (490-ekar) yang dikenali sebagai Downtown Burj Khalifa di "Persilangan Pertama" di sepanjang Jalan Sheikh Zayed, berhampiran kawasan perniagaan utama Dubai.
Pembina utamanya merupakan usahasama antara syarikat Samsung dari Korea Selatan yang pernah membina Taipei 101 dan Menara Berkembar Petronas, kumpulan Besix dari Belgium dan Arabtec dari EAB.
Jumlah perbelanjaan projek Burj Khalifa dianggarkan sekitar AS$1.5 bilion dan untuk seluruh projek "Downtown Dubai" pula, AS$20 bilion.


Reka bentuk Burj Dubai berasaskan seni bina Islam dengan tiga lobus tapak bangunan yang menyerupai bunga padang pasir.
Menara ini terdiri dari tiga unsur yang membentuk gelendung utama. Pelan lantai berbentuk 'Y' yang menghadap Teluk Parsi.
Ia juga berbentuk kubah bawang iaitu seni bina utama dalam Islam.
Bahagian luar disadur dengan aluminium dan tekstur keluli tahan karat dengan jarak panel menegak berbentuk tiub sirip keluli tahan karat. Sistem lapisan direka agar tahan suhu panas melampau di Dubai.
Bahagian dalaman dihiasi oleh pakar lanskap Georgio Armani. Hotel Armani mengambil 37 tingkat. Tingkat 45 hingga tingkat 700 akan menjadi apartmen persendirian bermula tingkat 64.
Semua apartmen ini telah habis dijual dalam tempoh hanya 8 jam ketika mula dibuka.
Pejabat korporat ditempatkan di tingkat 123 dan tingkat 124. Kolam renang juga disediakan pada tingkat 78.
Burj Dubai mempunyai sistem lif yang paling laju di dunia iaitu 18 meter sesaat, mengatasi bangunan Taipei 101 yang mempunyai sistem lif dengan kelajuan 16.83 meter sesaat. Ia menggunakan sistem lif berangkai yang dipanggil 'double decker elevator'.
Jurutera menyatakan bangunan ini kukuh dari gegaran 120 darjah dan mampu menahan rempuhan angin ribut, taufan dan pelbagai bencana alam. Mereka telah mengambil kira faktor gempa bumi yang berlaku di wilayah Bam, Iran dan Teluk Parsi pada tahun 2004. Kedalaman pula 50 meter ke dalam tanah
Burj Khalifa direka untuk menjadi titik pusat projek pembangunan pelbagai kegunaan besar-besaran yang merangkumi 30,000 buah rumah, sembilan buah hotel termasuk The Address Downtown Burj Dubai, kawasan taman seluas 3 hektar (7.4 ekar), sekurang-kurangnya 19 buah menara perumahan, pusat beli-belah Dubai Mall, dan Tasik Burj Khalifa buatan manusia seluas 12-hektar (30-ekar).

-Debu-

No comments:

Post a Comment