Thursday, January 12, 2017

PEDANG ZULFIKAR


Pedang merupakan salah satu senjata perang yang digunakan pada era sebelum adanya senjata api. Kisah menarik dari sebuah pedang mungkin akan menjadi perkara yang tidak dilupakan bagi pemiliknya bahkan akan menjadi lagenda sampai akhir nanti.
Seperti pedang ZULFIKAR milik Rasulullah SAW yang kemudian diwariskan kepada Ali Bin Abi Talib.
Rasulullah SAW memberikan pedangnya kepada Ali Bin Abi Talib kerana pedang milik Ali patah ketika bertempur di medan perang.
Sebenarnya tidak ada yang pasti tentang bentuk asal pedang Zulfikar ini, namun gambaran bentuk pedang ini adalah seperti dalam gambar.
APA YANG MENARIK TENTANG PEDANG ZULFIKAR?
Setiap pedang memiliki ciri khas masing-masing, biasanya si empunya pedang memberi nama pada pedang tersebut.
Seperti pedang milik Rasulullah SAW dan Ali Bin Abi Talib ini diberi nama Zulfikar yang memiliki kisah yang akan selalu dikenang sampai akhir zaman. Zulfikar bermaksud, Zul = "Pemilik" dan Fiqar = "Ketajaman".
Menurut kajian, belum ada yang mampu membuat pedang seperti pedang Zulfikar. Pedang Zulfikar mampu membelah batu hanya dalam satu libasan, itulah keistimewaan dari pedang ini.
Bentuk pedang Zulfikar panjang melengkung dengan hujung yang terbelah dua (bermata dua) dan terdapat tulisan arab di badan pedang. Sarung pedang Zulfikar terbuat dari logam sepuh berwarna keemasan.
KISAH PEDANG ZULFIKAR BERSAMA SAIDINA ALI BIN ABI TALIB
"Tidak ada pedang, setajam pedang Zulfikar dan tidak ada pemuda yang sehebat Ali bin Abu Talib"
Itulah gambaran mengenai pedang Zulfikar dan pemiliknya. Slogan tersebut selalu didengung-dengungkan kepada umat muslim ketika Perang Uhud.
Ketika PERANG BADAR, yang meninggal dari kaum Quraisy berjumlah 70 orang. Dari 70 orang kaum Quraisy ini, konon khabarnya, sepertiga jumlah mangsa ini merupakan mangsa dari Pedang Zulfikar Ali Bin Abi Talib.
Dalam PERANG KHANDAK, ada seorang yang terkenal handal dari bangsa Quraisy iaitu Amru bin Wud Al 'Amiri. Dengan angkuhnya dia mencabar kaum muslimin untuk berlawan dengannya.
Setelah meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk melawan Amru bin Wud Al 'Amiri , Ali bin Abi Talib pun bersiap dengan pedang ZULFIKAR yang terhunus untuk menghadapi Amru bin Wud Al 'Amiri.
Meskipun Amru bin Wud Al 'Amiri mengejek Ali bin Abi Talib yang waktu itu masih muda, namun Ali bin Abi Talib tidak gentar dan membalasnya dengan kata-kata yang membangkitkan semangat perang.
AMRU: Siapakah kamu hai anak muda?
ALI: Aku adalah Ali.
AMRU: Kamu anak Abdul Manaf?
ALI: Bukan, aku anak Abu Talib.
AMRU: Kamu jangan maju ke sini hai anak saudaraku, kamu masih kecil, aku inginkan yang lebih tua dari mu kerana aku tidak mahu menumpahkan darahmu.
ALI: Jangan sombong dulu hai Amru! Aku akan buktikan bahawa aku dapat menewaskan mu hanya dalam beberapa detik saja dan aku tidak segan-segan untuk menghantar mu ke liang kubur.
Amru bin Wud Al 'Amiri mendadak marah dan menghunuskan pedangnya ke arah Ali lalu menyerang Ali secara tiba-tiba. Ali bin Abi Talib menangkis serangan Amru dengan perisai yang terbuat dari kulit binatang sehingga pedang Amru tertancap di perisai tersebut.
Tidak sia-siakan kesempatan yang ada, dengan cepat Ali menetak pedang Zulfikar pada tengkuk Amru hingga ia tersungkur ke tanah dan bersimbah darah, dan hal itu membuat kaum kafir Quraisy lainnya lari tunggang langgang.
Semasa PERANG KHAIBAR, Ali bin Abi Talib diarahkan oleh Rasullullah untuk memimpin pasukan menembus benteng Khaibar, Ali tidak sia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW.
Dengan penuh semangat, Ali mendekati benteng Khaibar dan memusatkan pasukannya pada sebuah batu karang dekat benteng. Setelah bersedia untuk menyerang, Ali memberikan arahan kepada pasukannya untuk menembus benteng Khaibar dan terjadilah perang yang sengit antara orang Muslim dan orang Yahudi.
Ali menggunakan pedang Zulfikarnya untuk menumpas pasukan musuh. Tidak ada yang selamat dari libasan pedang Zulfikar.
Perang yang sangat sengit membuatkan Ali mengerahkan seluruh kemampuannya, hingga pada suatu ketika orang yahudi berhasil menghunuskan pedangnya dengan cepat ke arah Ali, dengan cepat Ali menangkis serangan tersebut dengan perisainya.
Perisai milik Ali terjatuh lalu dengan cepat dia mencabut sebuah pintu besi besar yang ada dekat dengannya untuk dijadikan perisai.
Ali menggunakan Pintu Besi Besar tersebut hingga perang dimenangi kaum muslimin itu selesai.
Abu Rofi', seorang sahabat yang ikut perang itu mengatakan, "Aku telah menyaksikan dengan mata kepalaku sendiri bagaimana Ali bin Abu Talib mencabut pintu besi yang besar itu untuk dijadikan perisainya setelah perisainya terjatuh dari tangannya.
Kemudian setelah perang selesai, ada lapan orang laki-laki, salah seorang antaranya adalah aku sendiri, yang berusaha untuk mengangkat dan menempatkan kembali pintu besi itu ke tempatnya semula, tetapi mereka tidak mampu untuk melakukannya kerana terlalu berat!"
PEDANG ZULFIKAR SEKARANG
Pedang Zulfikar sampai sekarang belum diketahui tempatnya. Setelah Ali bin Abi Talib wafat, pedang Zulfikar diwariskan kepada puteranya, Hussin. Namun setelah Saidina Hussin wafat, pedang tersebut menghilang entah ke mana.
Riwayat lain mengatakan bahawa,
Setelah Saidina Ali pulang ke rahmatullah, pedang ini berpindah dari satu tangan ke tangan lain hingga sampai ke tangan Khalifah Al-Mahdi Al-Abbasi, kemudian ke tangan Al-Hadi dan akhirnya ke tangan Khalifah Harun Al-Rashid. Kemudian pedang ini dipinjamkan kepada Yazid bin Mizyad Ash-Shaibani ketika diutus untuk membasmi pemberontak yang dipimpin oleh Al-Walid bin Tharif Ash-Syaari.
Setelah Harun Al-Rashid pulang ke rahmatullah, pedang ini dipegang oleh Khalifah Al-Muqtadir dan beliau pernah menggunakan pedang ini untuk memerangi Mu'nisul Muzhaffar sewaktu mengepung kota Baghdad. Setelah kota Baghdad runtuh pada zaman Khalifah Al-Mustanshir, pedang ini jatuh ke tangan khalifah-khalifah Fatimiyyah.
Kemudian pedang ini dikembalikan ke khalifah di Baghdad. Namun pada masa pemerintahan Sultan Salim, ketika terjadi banyaknya kekerasan di Kota Baghdad, hilanglah pedang yang penuh bersejarah ini.
Pada tahun 2014 , seorang pemuda di Yaman mendakwa telah menemui pedang Zulfikar dan Al-Quran tertua di dunia di sebuah gunung sebelah selatan kota Dhale. Namun perkara itu perlu dibuktikan kebenarannya.
Pedang milik Ali termasuk setaraf dengan Pedang Excalibur milik Raja Arthur.
Kisah pedang Zulfikar memang panjang dan terdapat beberapa versi hilangnya pedang hebat ini. Namun di sebalik semua itu, pedang Zulfikar merupakan lagenda dan mendapat tempat yang tinggi di kalangan umat Islam.
Wallahua'lam...

Kredit: buko-moto

-Debu-

No comments:

Post a Comment