Saturday, March 4, 2017

Kenali Pasukan Elit dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

10 BRIGED PARA

10 Briged Para merupakan sebuah pasukan elit Tentera Darat Malaysia yang terdiri pelbagai cabang kor ATM yang berpengkalan di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka dan sebahagian daripada elemen utama Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) Angkatan Tentera Malaysia dalam menangani keganasan dan ancaman pihak musuh.

Antara pasukan yang membentuk 10 Briged Para adalah;

i) Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja
ii) Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja
iii) Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja
iv) Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja
v) Rejimen Pertama Artileri Diraja (1 RAD)
vi) 361 Bti Rejimen Artileri Diraja (PARA)
vii) Skuadron Armor Para dan pasukan bantuan khas meliputi Pasukan Isyarat, kejuruteraan, perubatan serta Platun Pandu Arah

Peranan 10 Briged PARA
- Pencegah Keganasan
- Pasukan elit Payung Terjun

Operasi 10 Briged PARA

i) Malaysian Medical Team (MASMEDTIM), Chaman, Pakistan

ii) MASMEDTIM, Kashmir

iii) MASMEDTIM, Acheh

iv) Operasi PADANAN SIPADAN ISLAND RESORT (Ops Pasir) pada tahun 2000
v) Operasi Astute di Timor Leste pada tahun 2006

vi) MALCON-UNIFIL di Lubnan pada tahun 2007 hingga 2013

vii) Insiden Genting Sempah pada tahun 2007

viii) Gerila Sulu di Kampung Tanduo Lahad Datu Sabah (Ops Daulat) pada tahun 2013


GRUP GERAK KHAS (GGK)

Grup Gerak Khas merupakan entiti utama pasukan elit TDM yang paling digeruni. Ditubuhkan pada 1 Ogos 1965 di Kem Majidee, Johor Bharu.

Rejimen ini pada mulanya dikenali sebagai Malaysian Special Service Group (MSSG) dan dalam tahun 1969 telah diperbesarkan menjadi satu Rejimen yang dikenali dengan nama Rejimen Pertama Gerak Khas Malaysia (1 RGKM).

Tugas Rejimen Gerak Khas ini ialah menjalankan operasi tertentu secara bebas melalui darat, laut dan udara.

Peranan Grup Gerak Khas

- Mengadakan Skuadron mencari, melapor, mengharu dan menghancur musuh dengan penyusupan jarak jauh dan di samping itu bekerja rapat dengan pasukan gerila.

- Melaksanakan operasi ofensif secara bebas yang memerlukan kepakaran melalui laut, darat dan udara di dalam kawasan yanng dikuasai oleh musuh dan juga mendapatkan maklumat.

Operasi Grup Gerak Khas yang diketahui
i) Insurgensi (1966-1990)
Pada insurgensi mulai tahun 1966 hingga 1990, Rejimen Gerak Khas terlibat dalam beberapa siri operasi menentang pengganas komunis diseluruh kawasan hutan Malaysia.

Ramai diantara pengganas komunis yang berjaya dibunuh, dicederakan dan ditawan serta sejumlah besar senjata api, bahan letupan dan kelengkapan dirampas.

ii) Kepulauan Spratley

Memandangkan unit Rejimen Gerak Khas adalah aset berharga kerajaan, perkara yang perlu difahami oleh pasukan elit tentera darat dan marin ATM adalah menjaga kawasan yang berhampiran dengan Kepulauan Spratley.

Grup Gerak Khas dan PASKAL dihantar bertugas menjaga pulau-pulau kecil yang berhampiran dengan perairan Malaysia. Dua pasukan elit ini telah ditempatkan di Pulau Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani, Terumbu Layang-Layang, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.

iii) Pertempuran di Mogadishu, Somalia (1993)

Grup Gerak Khas terlibat dalam operasi berprofil tinggi termasuklah operasi bersepadu dengan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan tentera Pakistan dalam tugas menyelamat pasukan Renjer dan pasukan elit Delta Force Amerika Syarikat yang terperangkap di dalam pertempuran dengan tentera militan Jeneral Farah Aidid di Pasar Bakhara, Mogadishu, Somalia yang mengorbankan seorang krew kereta perisai MALBATT RAMD iaitu Allahyarham Koperal Aznan Awang dan 7 lagi cedera.

GGK turut kehilangan dua anggotanya semasa pertempuran di bulatan K4.

iv) Sukan Kommanwel ke-16

Grup Gerak Khas turut digandingkan bersama pasukan polis anti-pengganas Pasukan Gerakan Khas PDRM dalam tugas keselamatan khas dan bersedia untuk tugas operasi menyelamat tebusan dan mematikan bahan letupan (sekiranya berlaku ancaman dan kekacauan dari pihak-pihak tertentu) sempena Sukan Kommanwel ke-16 di Kuala Lumpur pada tahun 1998.

v) Bosnia Herzegovina

Unit-unit Grup Gerak Khas turut dihantar sebagai unit pengaman di Bosnia, yang mana hanya unit komando daripada Asia Tenggara telah ditugaskan di Bosnia.

vi) Timor Leste (2006)

Grup Gerak Khas juga dihantar bersama dengan truper elit dari 10 Briged Para dan pasukan elit PDRM, Pasukan Gerakan Khas dalam operasi pengaman di Timor Leste, yang diketuai oleh Australia yang dikenali sebagai Operasi Astute.

vii) Insiden Genting Sempah
Pada Julai 2007, Rejimen ke-22 Grup Gerak Khas bersama dengan anggota 10 Briged Para dari Kem Terendak, PASKAU TUDM dan Pasukan Gerakan Khas PDRM dengan disokong oleh Tentera Laut Amerika Syarikat, Pasukan Gerakan Am PDRM, Renjer Perhutanan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) serta penduduk tempatan dalam usaha mencari dan menyelamat 6 krew helikopter Sikorsky S61 Nuri yang terhempas di Genting Sempah pada 13 Julai 2007.

Walaubagaimanapun, keenam-enam wira negara tersebut telah terkorban sebelum pesawat malang itu ditemui oleh unit-unit penyelamat tersebut.

viii) MALCON - UNIFIL

Unit ini juga terlibat dalam misi pengaman MALCON - UNIFIL di Lubnan bersama dengan tiga lagi elemen pasukan elit ATM (terdiri daripada 10 Briged Para, PASKAL dan PASKAU) dan ditempatkan di dalam Kontinjen India dalam menjaga keamanan di negara yang mengalami kemusnahan akibat serangan oleh rejim Israel.

Keempat-empat pasukan elit ini bertindak sebagai Pasukan Tindakan Pantas dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman dikawasan pentadbiran ATM disana.


PASUKAN KHAS LAUT (PASKAL)
Seperti unit-unit lain dalam TLDM, pasukan ini ditugaskan tanpa mengira waktu aman atau perang.

Unit ini mendapat latihan awal kepakaran daripada KOPASKA Indonesia, Royal Marine Commando British dan SEAL Amerika Syarikat. Dari segi kemampuan, tidak keterlaluan dikatakan unit ini setanding dengan pasukan elit negara- negara lain.

Peranan PASKAL

- Melancarkan operasi membebaskan kawasan perairan, darat dan udara daripada cengkaman pihak musuh.

- Membanteras lanun, memusnahkan rampasan ke atas kapal dan pelantar minyak. Lebih 30 pelantar petroleum diperairan Malaysia adalah dibawah kawalan dan seliaan PASKAL. Kini, PASKAL mempunyai kemampuan untuk menjalani latihan khas di kesemua pelantar petroleum diseluruh perairan Malaysia.

- Misi PASKAL juga terdiri daripada operasi dipantai, pengintipan dan perisikan khas, letupan khas dan sabotaj.

- PASKAL turut berkebolehan dalam operasi di darat untuk serangan amfibia daripada tentera darat, melakukan serangan komando ke atas kapal di pelabuhan musuh, operasi di kapal khas, kepakaran anti-pengganas, operasi membersihkan periuk api di darat mahupun di perairan dan menyertai operasi bersepadu dengan pasukan elit tentera darat seperti teknik penerjunan bebas.

Operasi PASKAL yang diketahui

i) Kepulauan Spratleys

PASKAL dan Grup Gerak Khas Tentera Darat dihantar bertugas menjaga pulau-pulau kecil yang berhampiran dengan perairan Malaysia, khasnya kepulauan Spratleys.

Selepas Pulau Batu Putih menjadi milik Singapura, unit ini digerakkan untuk menjaga kepulauan South Ledge dan Middle Rock yang menjadi milik Malaysia secara sah.

ii) UNIVEM II, Angola

PASKAL yang diketuai oleh Left. Komander Anuar bin Alias pernah terlibat dalam misi pengaman PBB di Angola iaitu UNIVEM II pada tahun 1998.

Antara insiden yang melibatkan pasukan ini ialah ketika konvoi yang membawa bekalan dihantar ke kawasan bandar, unit PASKAL dan tentera Namibia yang terlibat telah diserang oleh lima orang puak pemberontak semasa dalam perjalanan.

Seorang pemandu trak konvoi terkorban dan beberapa orang awam di dalam kenderaan cedera. Komander Anuar dengan beraninya berjaya menghalau pemberontak tersebut daripada merampas bekalan sungguh pun beliau tidak bersenjata dan ia pasti membahayakan diri beliau.

Keberanian beliau dalam misi ini menyebabkan beliau diangugerahkan dengan "Pingat Gagah Berani" oleh Yang DiPertuan Agung.

iii) MALCON-UNIFIL

PASKAL turut terlibat bersama 10 Briged Para, Grup Gerak Khas dan PASKAU dalam tugas misi PBB di Lubnan yang dikenali sebagai MALCON-UNIFIL 2007.

Pasukan-pasukan ini diaturgerak sebagai Pasukan Tindakan Pantas (Quick Reaction Force - QRF) di dalam misi pengaman di negara yang mengalami kemusnahan akibat serangan rejim Zionis Israel.

iv) Operasi Fajar (Somalia)

PASKAL terlibat secara langsung dalam operasi menyelamat Kapal Melati Bunga 2 dan Melati Bunga Bunga 5 yang ditawan secara berasingan oleh lanun Somalia.

PASKAL melakukan tugas merisik dan juga memberi perlindungan secara terus setelah 2 buah kapal tersebut dibebaskan oleh lanun Somalia.

Operasi ini melibatkan beberapa aset ATM iaitu KD Lekiu, KD Sri Inderapura, KD Pahang ,Grup Gerak Khas dan TUDM.

v) Insiden Kapal Bunga Laurel

Pada 20 Januari 2011, sebuah kapal tangki MT Bunga Laurel yang disewa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) dikatakan dalam perjalanan menghantar muatan minyak pelincir dan bahan kimia jenis ‘ethylene dichloride’ dari Asia Barat ke Singapura, tetapi diserang tujuh lelaki bersenjatakan mesingan AK-47 dan pistol dengan menaiki sebuah bot laju di Teluk Aden, kira-kira 300 batu nautika ke timur Muscat, Oman.

Bertindak atas panggilan kecemasan itu, Pasukan Khas Laut TLDM diatur gerak untuk misi menyelamat menggunakan bantuan kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) TLDM, Bunga Mas 5 yang berada kira-kira 14 batu nautika dari tempat kejadian.

Operasi turut mendapat bantuan tambahan dari sebuah helikopter jenis Fennec TLDM yang dilancarkan oleh kapal bantuan Bunga Mas 5 telah melepaskan tembakan dari udara, kapal tangki berjaya ditawan semula kira-kira jam 1.20 pagi.

Difahamkan, tiga lanun yang berada di atas kapal tangki berkenaan cedera parah dalam kejadian berbalas tembak dan diberi rawatan oleh pasukan terbabit sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.


PASUKAN KHAS UDARA (PASKAU)
Pasukan Khas Udara atau PASKAU merupakan sebuah pasukan elit yang diletakkan di bawah tanggungjawab Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang biasanya menjalankan tugas-tugas mengekang sebarang bentuk serangan dan keganasan dari pihak musuh dan anasir-anasir luar yang melibatkan senario rampasan pesawat-pesawat TUDM dan awam serta tawanan ke atas pengkalan tentera udara dan lapangan terbang awam.

Pasukan yang awalnya ditubuhkan dikenali dengan nama pasukan HANDAU (Pertahanan Darat dan Udara) dan ditugaskan menjaga keselamatan pangkalan-pangkalan TUDM.

Dalam tahun 1996, pasukan ini disusun semula dan diberikan nama baru, iaitu Pasukan Khas Udara atau lebih dikenali sebagai PASKAU, kini diperluaskan peranan pasukan tersebut kepada tugas tempur dan sokongan tempur.

Peranan PASKAU
- Penyelamat tempur udara (CSAR, Combat Search Air Rescue), keselamatan pangkalan/unit TUDM yang beroperasi di pangkalan hadapan dan membantu pesawat-pesawat pejuang melaksanakan serangan udara terhadap sasaran musuh dengan menggunakan senjata khas.

- Melumpuhkan aset penting pihak musuh

- Tugas anti keganasan

- Menyelamat tebusan

- Operasi di kawasan pembinaan

- Tempur di dalam bandar

- Letupan khas

- Unit Pemusnah Bom (EOD)

Operasi PASKAU
i) Insiden Genting Sempah

ii) MALCON-UNIFIL

iii) Insiden Bukit Galla

Pada 20 Februari 1999, PASKAU bersama Pasukan Gerakan Am PDRM, Jabatan Hutan Negeri, Jabatan Pertahanan Awam (JPA 3), Jabatan Penerbangan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa nahas pesawat ringan Beechcraft BE-36 yang ditemui terhempas di lereng bukit Hutan Simpan Bukit Galla, Mantin, Negeri Sembilan.

Dua juruterbang pesawat, Patrick Dutrey, 56 dan Natalie Marie Chappate, 35 yang merupakan warganegara Perancis ditemui mati dalam keadaan badan mereka yang sudah hancur akibat letupan daripada pesawat tersebut ketika terhempas.

iv) Insiden pesawat Hawk terhempas

Pada 27 Jun 2006, PASKAU terlibat dalam operasi menyelamat juruterbang pesawat BAE HAWK 208 TUDM, Mejar Muhammad Rohaizan Ab Rahman yang terhempas di perairan Rompin, Pahang pada 31 Mei 2006.

Walaubagaimanapun, mayat juruterbang pesawat malang tersebut ditemui 28 hari kemudian di dasar laut, 150 meter daripada pesisir Pantai Lanjut, Rompin, Pahang.

v) Insiden Bukit Batu Tiban

Pada 28 Julai 2005, PASKAU dikerah dalam operasi menyelamat mangsa nahas helikopter Bell 206 Jet Ranger milik Hornbill Skyways yang terhempas di Bukit Batu Tiban, Ulu Baleh, Kapit, berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, Indonesia.

Hasilnya, mayat juruterbang helikopter Long Ranger, Kapten Razali Sani, kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) cawangan Sarawak, Ramli Jamal dan Koperal Empini Karung ditemui mati, manakala Razali Hasan dari JUPEM ditemui selamat.

vi) Insiden Gunung Brinchang

Pada 7 Jun 2005, 21 anggota PASKAU dan 10 anggota dari 69 Komando Pasukan Gerakan Khas PDRM terlibat dalam operasi mencari tiga beradik dan seorang sepupu mereka yang sesat dan hilang di Bukit Fraser, dua orang lagi dilaporkan hilang semasa mendaki Gunung Brinchang di Cameron Highlands.

Pada 9 Jun 2005, kesemua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 6 petang hari yang sama.

vii) Insiden nahas Piper 28

Pada 14 Mac 2004, PASKAU berserta Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan 10 Briged Para Tentera Darat Malaysia telah dihantar melalui udara dalam operasi menyelamat juruterbang pesawat ringan Piper 28, Kapten Nasir Ma Lee dan seorang penumpang, Nazarullah Mohd. Sultan yang terhempas di kawasan hutan kira-kira 3.2 kilometer ke barat daya Empangan Langat, Selangor.

Walaubagaimanapun, Kapten Nasir ditemui mati ditemui mati di tempat kejadian manakala Nazarullah terselamat.

viii) Insiden bot karam

Pada 19 Januari 2003, sebuah bot gentian kaca yang dinaiki oleh dua pegawai dan empat anggota elit PASKAU karam dipukul ombak besar dalam keadaan laut yang bergelora ketika sedang mengadakan operasi tinjauan di sekitar 8 batu nautika di Pulau Sibu, Johor pada 10.30 pagi.

Mejar Udara Aundrey Smith, Kapten Udara Damian Sebastian, Sarjan Udara Radzi Abdul Majid dan Sarjan Udara Saad Che Omar ditemui terselamat. Manakala dua yang terkorban dalam insiden tersebut ialah Koperal Udara Hasnul Abdul Rahman dan Koperal Udara Ayub Sidek.

ix) Insiden Gunung Gerah

Pada 14 November 1989, anggota PASKAU terlibat dalam operasi menyelamat helikoper Sikorski S-61 Nuri TUDM yang terhempas di Gunung Gerah dan Gunung Bilah berhampiran dengan sempadan Kelantan-Perak.

Dalam insiden tersebut, 21 orang krew termasuk 15 anggota Pasukan Gerakan Am PDRM terkorban.

Anggota Skuadron Sayap Tempur PASKAU sedang mengadakan demonstrasi memasang bahan letupan ke atas radar pihak 'musuh'.

Anggota PASKAU sedang memasang rangka khemah di dalam hutan.
-Debu-

No comments:

Post a Comment