Seorang wanita yang berasal dari Mesir dihadiahkan oleh Muqauqis, pemerintah Mesir, kepada Rasulullah saw pada tahun 7 H. Setelah dimerdekakan lalu dinikahi oleh Rasulullah saw dan mendapat seorang putera bernama Ibrahim. Setelah Rasulullah saw wafat, dia dibiayai oleh Abu Bakar, kemudian Umar dan meninggal semasa kekhalifahan Umar.
DARI MESIR KE YATHRIB
Nama sebenarnya adalah Mariyah binti Syama’un dan dilahirkan di dataran tinggi Mesir yang dikenali dengan nama Hafn. Dia adalah seorang perempuan yang berkulit putih, berambut keriting dan berparas cantik.
Ayahnya berasal dari Suku Qibti. Ibunya berketurunan bangsa Rom dan penganut agama nasrani. Setelah dewasa, bersama saudara perempuannya, Sirin, Mariyah dijadikan dayang kepada Raja Muqauqis.
Rasulullah mengirim surat kepada Muqauqis melalui Hatib bin Abi Baltaah, menyeru raja agar memeluk Islam. Raja Muqauqis menerima Hatib, namun dengan ramah dia menolak memeluk Islam. Kemudian dia mengirimkan Mariyah, Sirin dan seorang hamba bernama Maburi, serta hadiah-hadiah dari Mesir untuk Rasulullah.
Di tengah perjalanan, Hatib merasakan kesedihan hati Mariyah kerana harus meninggalkan kampung halamannya. Hatib menghiburkan mereka dengan menceritakan tentang Rasulullah dan Islam, kemudian mengajak mereka memeluk Islam. Mereka pun menerima ajakan tersebut.
Rasulullah telah menerima khabar penolakan Muqauqis dan hadiahnya, dan betapa terkejutnya Rasulullah terhadap hamba pemberian Muqauqis itu. Baginda menerima Mariyah dan menyerahkan Sirin kepada penyairnya, Hasan bin Tsabit.
Isteri-isteri Nabi yang lain sangat cemburu atas kehadiran orang Mesir yang cantik itu sehingga Rasulullah harus meletakkan Mariyah di rumah Haritsah bin Nu’man yang terletak di sebelah masjid.
Berbeza dengan para isteri Rasullah saw yang lain, Mariyah adalah seorang sariyyah, iaitu isteri yang sah menurut syariat tapi tidak berstatus rasmi sebagai isteri sepenuhnya.
Oleh kerana dia adalah “hadiah” dari pemerintah Mesir, Muqauqis. Jadi status sosialnya adalah hamba sahaya, tapi secara syariat, sah sebagai isteri. Di masa silam, masyarakat Arab menyebut isteri seperti itu sebagai ummul walad, ibu si anak.
IBRAHIM BIN MUHAMMAD
Allah menghendaki Mariyah al-Qibtiyah melahirkan seorang putera Rasulullah setelah Khadijah ra. Betapa gembiranya Rasulullah mendengar berita kehamilan Mariyah, lebih-lebih lagi setelah putera-puterinya iaitu Abdullah, Qasim dan Ruqayah meninggal dunia.
Mariyah mengandung setelah setahun tiba di Madinah. Kehamilannya membuatkan isteri-isteri Rasulullah cemburu kerana telah beberapa tahun mereka menikah, namun tidak dikurniai seorang anak pun.
Rasulullah menjaganya dan kandungannya dengan sangat hati-hati. Pada bulan Zulhijjah tahun ke-8 Hijrah, Mariyah melahirkan bayinya yang kemudian Rasulullah berikannya nama Ibrahim demi mengharap berkah dari nama bapa para nabi, Ibrahim as. Lalu baginda memerdekakan Mariyah sepenuhnya. Kaum muslimin menyambut kelahiran putera Rasulullah dengan gembira.
Akan tetapi, api cemburu di kalangan isteri Rasulullah lainnya sedang membakar, satu perasaan yang Allah ciptakan dominan pada kaum wanita. Rasa cemburu semakin tampak bersamaan dengan terbongkarnya rahsia pertemuan Rasulullah dengan Mariyah di rumah Hafshah, sedangkan Hafshah tidak berada di rumahnya.
Hal ini menyebabkan Hafshah marah. Atas kemarahan Hafshah itu, Rasulullah mengharamkan Mariyah ke atas diri baginda. Kaitannya dengan hal itu, Allah telah menegur melalui firman-Nya,
“Hai Muhammad, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.“ (Q.S. At-Tahriim:1)
Aisyah mengungkapkan rasa cemburunya mengenai Mariyah,
“Aku tidak pernah cemburu kepada wanita kecuali kepada Mariyah kerana dia berparas cantik dan Rasulullah sangat tertarik kepadanya. Ketika pertama kali datang, Rasulullah menitipkannya di rumah Haritsah bin Nu’man al-Ansari, lalu dia menjadi tetangga kami. Akan tetapi, baginda sering kali di sana. Aku merasa sedih. Oleh kerana itu, Rasulullah memindahkannya ke kamar atas, tetapi baginda tetap mendatangi tempat itu. Sungguh, itu lebih menyakitkan bagi kami.”
Di dalam riwayat lain dikatakan bahawa Aisyah berkata, “Allah memberinya anak, sementara kami tidak dikurniai anak walau seorang pun.”
Beberapa orang dari kalangan golongan munafik menuduh Mariyah telah melahirkan anak hasil perbuatan serong dengan Maburi, hamba yang menemaninya dari Mesir dan kemudian menjadi pelayan bagi Mariyah.
Akan tetapi, Allah membukakan kebenaran untuk diri Mariyah setelah Ali ra menemui Maburi dengan pedang terhunus. Maburi mengatakan bahawa dirinya adalah laki-laki yang telah dikembiri oleh raja.
Sebagai pendamping Rasulullah SAW, Mariyah adalah wanita yang tabah dan sabar. Betapa tidak, Mariyah yang berparas cantik jelita dan berperangai lemah lembut, harus menghadapi kehidupan yang keras di negeri asing tanpa seorang pun yang melindunginya, kecuali Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Pada usianya yang ke-19 bulan, Ibrahim jatuh sakit sehingga meresahkan kedua orang tuanya. Mariyah bersama Sirin sentiasa menunggu Ibrahim. Satu malam, ketika sakit Ibrahim bertambah parah, dengan perasaan sedih, Nabi bersama Abdul Rahman bin Auf pergi ke rumah Mariyah. Ketika Ibrahim dalam keadaan nazak, Rasulullah bersabda,
“Kami tidak dapat menolongmu dari kehendak Allah, wahai Ibrahim.”
Tanpa baginda sedari, air mata telah bercucuran. Ketika Ibrahim meninggal dunia, baginda kembali bersabda,
“Wahai Ibrahim, seandainya ini bukan perintah yang haq, janji yang benar, dan masa akhir kita yang menyusuli masa awal kita, nescaya kami akan merasa sedih atas kematianmu lebih dari ini. Kami semua merasa sedih, wahai Ibrahim… Mata kami menangis, hati kami bersedih, namun kami tidak akan mengucapkan sesuatu yang menyebabkan murka Allah.”
Demikianlah keadaan Nabi ketika menghadapi kematian puteranya. Walaupun tengah berada dalam kesedihan, baginda tetap berada dalam keadaan yang wajar sehingga tetap menjadi contoh bagi seluruh manusia ketika menghadapi dugaan yang besar. Rasulullah menguruskan sendiri jenazah anaknya kemudian baginda menguburkannya di Baqi’.
Kematian Ibrahim bertepatan dengan gerhana matahari. Orang ramai mengaitkan kematiannya dengan gerhana, namun Rasulullah menjelaskan, "Gerhana bulan dan matahari tidak terjadi kerana kematian atau hidupnya seseorang."
SEMASA WAFAT
Setelah Rasulullah wafat, Mariyah hidup menyendiri dan menujukan hidupnya hanya untuk beribadah kepada Allah.
Dia wafat lima tahun setelah wafatnya Rasulullah, iaitu pada tahun ke-46 hijrah, semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab. Khalifah sendiri yang melakukan solat jenazah Mariyah al-Qibtiyah, kemudian dikebumikan di Baqi’.
Kredit:
Amru Yusuf (Buku Dzaujatur-Rasulullah)
islampos
sy42
Amru Yusuf (Buku Dzaujatur-Rasulullah)
islampos
sy42
-Debu-
Ligma
ReplyDelete