Masa remaja Mush'ab bin Umair adalah masa remaja yang paling diidamkan oleh para remaja, hidup berlimpah kekayaan, tampan, cerdas, dimanjakan orang tua, diminati ramai wanita dan disanjungi masyarakat kerana dari keluarga terpandang dan banyak menyelesaikan masalah dalam majlis.
Namun semua kelebihan yang dimilikinya jadi tak bererti ketika dia mula mendengar adanya dakwah yang dibawa Nabi SAW. Tekanan dan seksaan yang dilakukan kaum kafir Quraisy terhadap pemeluk Islam tidak membuatnya gentar untuk mengenal lebih jauh ajaran agama baru ini.
Akhirnya cahaya hidayah membawanya ke rumah Arqam bin Abil Arqam (Darul Arqam), dimana biasanya Rasulullah SAW mengajar sahabat-sahabat, dan dia berba’iat memeluk Islam. Lantunan ayat-ayat Al Qur'an membuat hatinya bergemuruh, penuh ghairah dan haru yang membuak, sampai akhirnya Rasullullah SAW mengusap dadanya, sehingga hatinya menjadi tenang dan damai bagaikan lubuk sungai yang dalam.
Hal yang ditakutkan setelah menjadi Islam adalah ibunya. Ibunya, Khunas binti Malik adalah seorang yang dominan, berkeperibadian kuat, berpendirian yang tidak boleh bertolak ansur. Kerana itu Mush'ab menyembunyikan keislamannya dari ibunya, dan diam-diam ia selalu pergi ke rumah Arqam untuk memperdalam keislamannya. Namun, akhirnya ibunya tahu juga perubahan keyakinan anaknya dari seseorang bernama Utsman bin Thalhah.
Mush'ab dimarahi ibunya di depan pembesar-pembesar Quraisy, namun kekuatan iman telah menyatu-padu dalam hatinya sehingga tak mungkin dia kembali kepada agama jahiliah. Bahkan dia berdiri tegak di depan ibunya yang selama ini dihormati dan ditakutinya sambil membacakan ayat-ayat Al Qur'an.
Dalam puncak kemarahan, ibunya mengurung Mush'ab dalam ruangan sempit dan terpencil dengan penjagaan ketat.
Ketika Nabi SAW menitahkan sahabat-sahabatnya untuk berhijrah ke Habsyi, Mush'ab berhasil memperdaya penjaganya dan lepaskan diri untuk mengikut beberapa sahabat berhijrah ke Habsyi. Sungguh, harga yang mahal untuk mempertahankan keimanan. Kemewahan dan kemegahan masa remaja ditukar dengan hidup merana di negeri orang.
Beberapa waktu kemudian, Mush'ab hadir dalam majlis Nabi SAW bersama sahabat-sahabatnya, mereka menundukkan dan memejamkan mata, sebahagian menangis haru melihat penampilan Mush'ab yang memakai jubah usang bertampal-tampal. Rasanya belum lama berselang ketika mereka melihat Mush'ab yang bagaikan bunga di taman, begitu cemerlang memikat dan menebarkan aroma wangian di sekitarnya.
Tetapi justeru inilah yang memunculkan pujian Rasulullah SAW atas dirinya, baginda bersabda, "Dahulu saya lihat Mush'ab ini tak ada yang mengimbangi dalam memperoleh kesenangan dari orang tuanya tetapi semua itu ditinggalkan kerana cintanya pada Allah dan RasulNya."
DUTA PERTAMA DI KOTA MADINAH
Dakwah Nabi SAW pada beberapa kelompok suku yang sedang melaksanakan haji, kebanyakannya ditolak. Tetapi enam orang dari Suku Khazraj yang dipimpin oleh As'ad bin Zurarah dari Bani Najjar menerima ajakan Rasulullah dengan baik.
Pada musim haji berikutnya, dua belas orang datang lagi dan berba'iat pada Nabi SAW, tujuh orang di antaranya baru masuk Islam. As'ad bin Zurarah yang juga memimpin rombongan ini meminta Rasullullah SAW mengirim seseorang yang mampu memberikan pengajaran dan memimpin dakwah di Madinah.
Pilihan Nabi SAW jatuh pada Mush'ab bin Umair. Walaupun masih muda, pengalamannya semasa jahiliah dalam majlis dan kepandaiannya ketika berguru pada Rasullullah, menjadi pertimbangan Nabi untuk memilihnya dalam tugas mulia ini. Dia tinggal bersama As'ad bin Zararah.
Bersama As'ad, Mush’ab mendatangi berbagai kabilah, rumah-rumah dan majlis-majlis untuk mengajak mereka memeluk Islam. Ketika berdakwah pada kabilah Abdul Asyhal, dia dimarahi oleh Usaid bin Hudlair, ketua kabilah tersebut kerana dianggap mengacau dan membuat anak buahnya menyeleweng dari agamanya.
Tetapi dengan kemampuan diplomasinya dan wajahnya yang teduh serta tenang, Mush’ab mampu menenangkan kemarahan Usaid, dan memaksanya untuk duduk mendengar.
Mush'ab pun membacakan ayat-ayat Qur'an dan menjelaskan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Mush'ab pun membacakan ayat-ayat Qur'an dan menjelaskan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Dengan gaya bahasa yang halus penuh ketulusan, Mush'ab mampu menyentuh hati nurani Usaid yang terdalam, dan membawanya pada hidayah Allah untuk memeluk Islam, dalam beberapa jam kemudian disusuli dengan keislaman Sa’ad bin Mu’adz, tokoh Bani Abdul Asyhal lainnya. Keislaman dua tokoh ini diikuti oleh hampir seluruh anggota kabilah tersebut.
Tersebarnya khabar tentang keislaman Usaid bin Hudlair dan Sa’ad bin Mu’adz membuat tokoh-tokoh Madinah lainnya ingin tahu tentang agama baru ini. Beberapa ketua kabilah di Madinah akhirnya memeluk Islam, antara lain Sa'ad bin Ubadah dan Amr bin Jamuh, dimana tokoh ini melakukan pemusnahan banyak berhala yang selama ini dijadikan sembahan.
Masyarakat Madinah pun makin banyak yang masuk Islam menyusul tokoh-tokohnya. Mereka berpendapat, "Kalau Usaid bin Hudlair, Sa'ad bin Ubadah dan Sa'ad bin Mu'adz telah masuk Islam, apalagi yang kita tunggu? Marilah kita datang ke Mush'ab untuk menyatakan keislaman."
SYAHIDNYA MUSH'AB BIN UMAIR
Semasa perang Uhud, Mush'ab bin Umair dipilih oleh Rasulullah sebagai pembawa bendera. Dengan strategi yang jitu dan pengaturan pasukan yang sempurna oleh Nabi, pasukan Quraisy pun kucar-kacir lari meninggalkan harta benda di medan pertempuran.
Tetapi ketidak-disiplinan sebahagian besar dari 50 pasukan pemanah di atas bukit, membuatkan situasi berbalik. Hampir 40 orang turun untuk mengambil ghanimah dan membiarkan pertahanan dari bukit terbuka. Peringatan Abdullah bin Jubair, komandan pasukan pemanah untuk tetap tinggal di atas bukit diabaikan begitu saja.
Khalid bin Walid yang memimpin satu kelompok pasukan Quraisy melihat situasi ini, dan dia bergerak menaiki bukit. Sekitar sepuluh orang yang bertahan di atas bukit tak mampu menahan gempuran Khalid dan mereka syahid semua. Kemudian Khalid menggempur pasukan Islam di bawahnya, bahkan serangan pun mengarah pada Nabi SAW.
Mush'ab melihat keadaan bahaya yang mengancam Nabi SAW, dia bergerak cepat dengan bendera di tangan kiri yang diangkat tinggi, tangan kanan mengayun pedang dan mulutnya bergemuruh dengan takbir, mencuba membendung arus musuh yang mendatangi Rasullullah.
Tetapi kekuatan yang tidak berimbang mematahkan serangan Mush’ab, tangan kanannya dilibas Ibnu Qumai'ah hingga putus, Mush'ab hanya berkata, "Muhammad tidak lain hanya seorang Rasul, sebagaimana Rasul-rasul yang telah mendahuluinya."
Kemudian bendera dikepit dengan sisa lengan kanannya, dan tangan kirinya mengayun pedang menyerang musuh yang terus datang. Tangan kiri itu dilibas juga hingga putus dan bendera jatuh. Umair mengulang ucapannya, "Muhammad tidak lain hanyalah seorang Rasul, sebagaimana Rasul-rasul yang telah mendahuluinya."
Namun demikian dengan kedua pangkal lengannya, Mush’ab masih berusaha menegakkannya bendera itu, akhirnya sebuah tombak menusuk tubuhnya hingga patah, dan gugurlah Mush'ab sebagai syahid.
Setelah perang Uhud berakhir, Nabi berdiri dekat dengan jasad Mush'ab dengan mata berkaca. Susuk tubuh yang masa mudanya dibalut dengan pakaian halus, mahal dan wangi, kini jasadnya hanya tertutup kain yang begitu pendek, jika ditutup kepalanya, kakinya akan terbuka, jika ditutup kakinya, kepalanya yang terbuka. Maka Nabi bersabda, "Tutupkanlah bahagian kepalanya, dan tutupilah kakinya dengan rumput idzkir."
Kredit: Ibnu Ghufron
-Debu-
No comments:
Post a Comment