Thursday, December 8, 2016

HATIB IBNU BALTA'AH R.A PERNAH MENGKHIANATI RASULULLAH

Di Mekah, dia tidak mempunyai kedudukan yang tinggi kerana dia bukan dari keluarga bangsawan, bukan dari keluarga pembesar, bukan hartawan dan bukan pedagang. Tujuan hidupnya yang utama adalah mencintai Allah dan Rasul-Nya, dan itu telah memberinya kemuliaan dan kehormatan.
Di antara penghormatan Rasulullah SAW kepada Hatib ialah baginda SAW telah mengutus dia berjumpa dengan Al-Muqauqis, seorang pembesar suku Qibti dari Mesir, untuk menyampaikan surat Rasulullah yang isinya menyeru pada Al-Muqauqis memeluk Islam.
Setelah Al-Muqauqis membaca surat baginda tersebut dengan cermat, dia memandang Hatib dan bertanya padanya, "Bukankah sahabatmu itu seorang Nabi?"
Jawab Hatib, "Benar, Baginda adalah utusan Allah."
Mendengar jawapan Hatib, Al-Muqauqis mengirimkan beberapa hadiah kepada Rasulullah SAW. Di antara hadiah ialah seorang hamba wanita bernama Mariyah Al-Qibtiyah.
Hatib Ibnu Balta'ah adalah seorang penduduk Yaman, dia adalah sahabat Zubair Ibnu Awwam. Ketika dia berhijrah ke Madinah, dia meninggalkan anak dan saudara-maranya.
Semasa jahiliyah, dia seorang penunggang kuda yang berani dan penyair ulung. Bait-bait syairnya sering disebarkan oleh para perawi dan dilagukan para kafilah dagang Arab. Dia masuk Islam ketika masih muda belia. Dan dia sangat tekun mempelajari syariat Islam dan ajarannya ketika masih muda.
Selain itu, semasa perang Badar, dia turut bergabung dalam jihad fisabilillah dan dia juga ikut bersama Rasulullah pergi ke Al-Hudaibiyah dan menyaksikan "Baiatur Ridwan."
MENGKHIANATI RASULULLAH
Pada tahun 8 H, ketika Rasulullah SAW sedang sibuk mempersiapkan penaklukan kota Mekah sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah, ketika itu fikiran Hatib gundah gulana.
Dia sedih memikirkan anak-anaknya dan keluarganya yang tidak aman daripada penganiayaan kaum Quraisy, kerana di Mekah mereka tidak mempunyai pelindung yang dapat melindungi dan menjaga mereka daripada musuh-musuh Islam.
Bisikan-bisikan syaitan selalu menggoda fikirannya hingga ia merasa kalut dan fikirannya buntu. Maka dia memutuskan akan mendekati kaum musyrikin Quraisy dengan memberitahu pada mereka mengenai rahsia kekuatan senjata yang telah dipersiapkan Rasulullah untuk penaklukan ke atas kota Mekah.
Tidak pernah terfikirkan olehnya, bahawa perbuatan itu merupakan pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan rahsia tentera adalah amanat yang ada di bahu para perajurit.
Bila salah satu rahsia sengaja dibocorkan, maka perajurit tersebut akan mendapat amarah dari Allah, malaikat-Nya dan semua kaum muslimin, kerana ia membocorkan rahsia kekuatan tentera yang akan menghadapkan pasukannya kepada bahaya dan sekaligus menghadapkan tanah air kepada kebinasaan.
Itulah langkah yang terburuk dalam kehidupan Hatib Ibnu Balta'ah. Dia bertekad untuk memberitahu kaum Quraisy tentang tentera Islam yang telah dipersiapkan Rasulullah SAW. Cahaya iman telah padam di hatinya. Dia tidak lagi memikirkan keagungan akidah.
Maka dengan tangan gementar dia mula menulis surat kepada pembesar-pembesar Quraisy, membuka rahasia tentera Islam yang dipersiapkan oleh Rasulullah ke Mekah, agar mereka mempunyai gambaran atas keadaan kaum muslimin Madinah.
Surat itu diserahkan kepada seorang wanita. Dia menyuruh wanita tersebut agar menyimpan surat itu di sanggul rambutnya sehingga jika ada orang yang menghalang kenderaannya, maka surat itu tidak akan diketahui. Dia berjanji pada wanita itu akan memberi hadiah yang mahal bila surat itu telah sampai di tangan pembesar Quraisy.
SURAT HATIB DIRAMPAS
Baru saja wanita tersebut meninggalkan Madinah, malaikat Jibril segera memberitahu Rasulullah tentang apa yang telah dilakukan Hatib. Maka Rasulullah cepat-cepat memanggil Ali bin Abi Thalib dan Zubair bin Awwam.
Baginda berkata, 
Kejarlah wanita itu, dia mempunyai surat Hatib untuk para pembesar Quraisy yang isinya menerangkan tentang persiapan kita untuk menakluk mereka."
Ali dan Zubair bergegas keluar mencari wanita itu dan mereka menemui wanita tersebut di daerah Raudhah Khah, 7 batu dari Madinah.
Ketika Ali ra menyuruh wanita itu supaya mengeluarkan surat Hatib, wanita itu tidak mengaku yang dia sedang membawa surat. Maka Ali pun berdiri dan memeriksa kenderaannya, tetapi dia tidak menemui surat itu.
Akhirnya dengan marah Ali memandang wanita itu dan berkata,
"Aku bersumpah kepada Allah bahwa Rasulullah tidak pernah berdusta. Sekarang kamu harus pilih apakah kamu mahu menyerahkan surat itu kepadaku, atau aku harus menelanjangi kamu!"
Setelah Ali bersikap kasar dan memberi dua pilihan, akhirnya wanita itu berkata, "Berpalinglah."
Setelah itu Ali membalikkan badan kemudian wanita itu membuka ikatan rambutnya dan mengeluarkan surat tersebut, lalu menyerahkan surat itu kepada Ali.
Ali dan Zubair segera kembali kepada Rasulullah dengan membawa surat Hatib. Rasulullah menghadirkan Hatib Ibn Abu Balta'ah dan bertanya kepadanya,
"Wahai Hatib, apa yang mendorong kamu berbuat demikian?"
Hatib menjawab dengan nada terputus-putus,
"Wahai Rasulullah, janganlah tergesa-gesa menghukum diriku. Semua itu ku lakukan kerana aku bukan dari golongan Quraisy, di Mekah aku masih mempunyai sanak saudara. Maka aku ingin kaum Quraisy menjaga keluarga ku di Mekah. Dan sungguh, aku lakukan itu bukan kerana aku telah murtad dari Islam, dan bukan pula aku rela kepada kekufuran sesudah iman."
Rasulullah memandang semua sahabat yang hadir dengan wajah bersinar, dan baginda berkata kepada mereka,
"Bagaimana pun juga, dia telah berkata jujur."
Suasana majlis menjadi hening sejenak, tiba-tiba Umar berkata,
"Wahai Rasulullah, izinkan aku memenggal leher orang munafik ini."
Umar berpandangan bahawa membocorkan rahsia tentera Islam merupakan pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya, maka balasannya adalah harus dibunuh. Orang yang mengadakan hubungan dengan musuh, maka balasannya adalah dijatuhi hukuman mati.
Sementara itu Rasulullah telah memaafkan Hatib kerana dia telah mengakui dosanya. Selain itu, baginda mengenangkan perjuangan Hatib di masa lalu kerana ia berjuang di medan perang Badar, sehingga banyak pasukan musyrikin yang mati di bawah tebasan pedangnya. Dia berani menghadapi bahaya dengan menerjang barisan musuh.
Rasulullah juga mengenangkan posisi Hatib pada hari Bai'atur Ridwan di bawah sebuah pohon yang diberkahi, di mana pada saat itu para malaikat menyaksikan orang-orang mukmin yang sedang menghulurkan tangan mereka untuk berbaiat kepada Rasulullah.
KESALAHAN HATIB DIMAAFKAN
Atas dasar itu, maka baginda memandang Umar dan berkata: "Wahai Umar bagaimana pendapatmu, jika Allah telah memberi kelonggaran pada pejuang Badar?"
Allah berfirman dalam Al-Quran, surah Al-Mumtahanah ayat 1,
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan musuh-Ku dan musuhmu sebagai teman-teman setia, (sehingga) kamu menyampaikan kepada mereka (berita-berita) Muhammad, disebabkan rasa kasih sayang, padahal sesungguhnya mereka ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasulullah dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku. Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Barangsiapa di antara kamu yang melakukan, maka sesungguhnya ia telah tersesat dari jalan lurus."
Hal lain yang menguatkan diterimanya taubat Hatib. Pada suatu hari, salah seorang pelayan Hatib datang kepada Rasulullah untuk mengadukan perlakuan Hatib,
"Wahai Rasulullah, kelak sungguh Hatib akan masuk neraka."
Tetapi Rasulullah berkata, "Tidak, kerana dia ikut berperang pada peristiwa Badar dan juga ikut dalam perjanjian Hudaibiyah."
Sejak itu, Hatib menangis menyesali perbuatannya. Siang dan malam dia memohon keampunan kepada Allah atas kesesatannya hingga dia meninggal dunia pada usia 53 tahun, pada tahun 30 H, iaitu semasa pemerintahan Usman Ibn Affan.
Dia menghadapi kematian dengan jiwa yang redha kerana dia tahu bahawa Rasulullah telah memaafkannya meskipun dia telah mengkhianati hak Allah, Rasulullah dan kaum mukminin.
Wallahua'lam...

Kredit: islam2u

-Debu-

No comments:

Post a Comment