Showing posts with label Debu. Show all posts
Showing posts with label Debu. Show all posts

Saturday, March 11, 2017

KERIS

Keris merupakan senjata pendek Austronesia (kumpulan penduduk yang terdapat sekitar Oceania dan Asia Tenggara) yang digunakan sebagai mempertahankan diri serta alat kebesaran diraja dan ia juga dianggap unik bagi masyarakat Nusantara di Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand Selatan, Filipina Selatan dan Brunei.
Banyak pendapat mengenai asal-usul keris. Ada yang kata ia berasal dari India, dan ada yang kata ia diilhamkan oleh senjata Vietnam.
Bukti penemuan awal keris dijumpai di Candi Borobudur dan Prambanan, berusia seawal tahun 600 SM.
Mengikut dokumentari daripada 'Discovery Network', logam yang menghasilkan keris pertama adalah dibuat dari lava gunung berapi.
Ada juga yang kata keris dulu-dulu diperbuat daripada batu meteor yang “jatuh dari langit”, menggambarkan “kesatuan manusia dan Tuhan“.
Bilah keris berbentuk daun
ASAL USUL PERKATAAN 'KERIS'
Ada pendapat yang mengatakan keris ni berasal dari perkataan Jawa, ‘ngeris’ yang bermaksud ‘menikam’ atau ‘menusuk’.
Menurut maklumat dari Muzium Adat Istana Jahar, Kelantan, huruf jawi dalam perkataan keris (Kaf, Ra, Ya dan Sin) mempunyai maksud tersendiri termasuklah;
i) Ketahanan Rakyat Yang Sepadu
ii) Kekuatan Raja Yang Sejati
iii) Keamanan Rakyat Yang Sejahtera
iv) Kemuliaan Raja Yang Susila
v) Kebanggaan Rakyat Yang Setia
v) Kuasa Raja Yang Sejagat.
Kredit:
Irma Musliana
soscili.my
Keris Warisan Bangsa

-Debu-

BENARKAH SUMPAHAN MUMIA AMEN-RA PUNCA TITANIC KARAM?

Princess Amen-Ra
Sumpahan Puteri Amen-Ra yang hidup kira-kira 1,500 tahun SM dikatakan cerita paling mengganggu dan sukar untuk dijelaskan kerana dipercayai menjadi penyebab kapal paling hebat pernah dibina tenggelam.
Apabila puteri itu meninggal dunia, mayatnya telah dimasukkan ke dalam keranda kayu dan dikebumikan di Luxor, di tebing Sungai Nil.
KISAH EMPAT SAHABAT
Sumpahan Amen-Ra bermula pada lewat 1890-an apabila empat lelaki Inggeris yang kaya melawat Luxor dan terdorong membeli keranda mengandungi mumia puteri itu.
Mereka saling berlumba meletakkan harga tertinggi dan akhirnya keranda dimiliki salah seorang daripada lelaki berkenaan yang membayar harga sehingga beribu Pound.
Dia membawa keranda itu balik ke hotel penginapannya dan beberapa jam kemudian, lelaki itu dilihat berjalan seorang diri ke arah gurun dan tidak pernah kembali lagi ke penginapannya sejak itu.
Keesokan hari, salah seorang daripada tiga yang masih ada di hotel itu ditembak secara tidak sengaja oleh pembantu berketurunan Mesir. Tangannya cedera teruk sehingga terpaksa dipotong.
Lelaki ketiga tidak terkecuali menerima nasib buruk sebaik kembali ke tanah air apabila mengetahui bank yang menyimpan wangnya muflis, manakala rakannya yang dulu kaya raya mengalami sakit teruk, hilang kerja dan terpaksa menjual mancis di jalanan.
KISAH DI MUZIUM BRITAIN
Bagaimanapun, keranda berkenaan tiba di England dan dibeli oleh seorang ahli perniagaan tetapi dia mendermakannya kepada Muzium Britain selepas tiga anggota keluarganya cedera dalam kemalangan jalan raya dan rumahnya dijilat api.
Misteri terus melingkari keranda itu apabila trak yang digunakan untuk mengangkutnya ke muzium tiba-tiba berundur ketika kerja memunggah dilakukan.
Ketika diangkat menaiki tangga oleh dua pekerja, seorang daripadanya terjatuh dan patah kaki, manakala seorang lagi, yang sihat, meninggal dunia secara mengejut dua hari kemudian.
Sebaik keranda puteri itu diletakkan dalam Ruang Mesir di muzium itu, masalah lain pula timbul. Penjaga malam muzium melaporkan kerap mendengar suara tangisan dari dalam keranda.
Apabila seorang pengunjung mengejek wajah yang dicat pada keranda itu, anaknya meninggal dunia disebabkan campak tidak lama kemudian.
Akhirnya, pihak berkuasa terpaksa memindahkan mumia itu ke bawah tanah dengan harapan ia tidak lagi mencetuskan masalah. Namun, ia tidak menjadi kenyataan kerana dalam masa seminggu, seorang pembantu sakit teruk dan penyelia yang bertanggungjawab memindahkan keranda itu ditemui mati di mejanya.
Seorang jurugambar yang mengambil gambar keranda itu mendapati cat padanya jelas menunjukkan wajah manusia yang menakutkan. Dia kemudian balik ke rumah, mengunci diri dalam bilik tidur dan menembak dirinya.
Keranda Putri Amen-Ra yang disimpan di Muzium Britain, London.
TITANIC TENGGELAM
Seorang jounalis bernama William Thomas Stead kemudian membelinya dengan harga yang mahal. Beliau ingin membawa mumia ini pulang ke New York. Ketika itu, Titanic sememangnya ingin berlayar ke New York.
Beliau yakin jika beliau membawa mumia ini secara terang-terangan, ia tidak mungkin melepasi had kawalan penjaga keluar masuk kapal. Dengan itu, beliau menyembunyikan mumia ini di dalam bonet keretanya.
Untuk dijadikan cerita, beliau memaklumkan mengenai penyembunyian Mumia Amen-Ra kepada seorang kawan baiknya. Daripada kawan baiknya inilah, cerita sumpahan Mumia Amen-Ra menjadi popular.
Pada malam 14 April, William Thomas Stead juga salah seorang daripada lebih 1500 orang yang maut dalam tragedi Titanic!
Wallahua'lam...
William Thomas Stead

Kredit:
Hazirah Che Sab
takusahrisau
kutukandewata

-Debu-

ASAL USUL MI SEGERA

Mi segera adalah mi separa masak yang dikeringkan dan dicampur dengan minyak, biasanya dimakan setelah dimasak atau direndam di dalam air panas antara 3 hingga 5 minit.
Bungkusan perencah selalunya disertakan di dalam setiap bungkusan mi segera.
Mi segera juga boleh dimakan secara mentah kerana mi segera sebenarnya sudah pun dimasak di kilang, biasanya dengan menggoreng.
Mi segera berasal daripada versi segera bagi masakan Jepun iaitu Ramen.
Idea mi segera sudah pun berakar umbi sejak dari zaman Dinasti Qing di China, di mana mi yimian digoreng, membolehkannya disimpan dalam jangka masa yang lama serta disediakan dengan cepat.
Serupa juga, "mi benang ayam" (mi halus yang digoreng dan dihidangkan dengan air panas serta pilihan telur) boleh didapati di China dan Taiwan sejak Dinasti Qing.
Mi segera moden dicipta di Jepun oleh usahawan Jepun berketurunan Taiwan, Momofuku Andō (安藤百福), pengasas syarikat Nissin Foods, salah satu pengeluar mi segera terbesar hari ini.
Momofuku Andō
Mi keluarannya direbus dengan perencah, digoreng dengan minyak sawit untuk membuang kelembapan, kemudiannya dikeringkan untuk membentuk gumpalan mi.
Kaedah pengawetan lain sudah pun dicuba, seperti pengawetan dengan garam dan asap tetapi Andō membuat kesimpulan bahawa minyak sawit adalah yang paling berkesan.
Pada tahun 1958, Nissin melancarkan mi segera pertama di dunia, Chikin Ramen (ramen segera berperisa ayam) di Osaka.
Satu lagi pencapaian telah diperolehi pada tahun 1971 apabila Nissin memperkenalkan mi cawan, mi segera di dalam bekas 'styrofoam' kalis air yang boleh digunakan untuk memasak mi.
Inovasi seterusnya termasuklah menambah sayur-sayuran kering di dalam cawan, sehingga terciptanya hidangan sup lengkap.
Menurut satu undian Jepun pada tahun 2000, mi segera menjadi ciptaan Jepun paling penting sepanjang abad. Karaoke menduduki tempat kedua, manakala cakera padat hanya menduduki tempat kelima.
Setakat tahun 2005, lebih kurang 85 bilion hidangan mi segera dimakan di seluruh dunia setiap tahun.
China memakan 44 bilion bungkus mi segera setahun, atau 51% daripada jumlah di seluruh dunia, Indonesia memakan 12 bilion, Jepun 5.4 bilion.
Secara per kapita, rakyat Korea Selatan paling banyak memakan mi segera iaitu 69 bungkus/seorang setahun.
Mi segera bukan sahaja popular di kalangan pelajar universiti malah boleh digunakan sebagai kayu pengukur tahap ekonomi.
Pada tahun 2005, Indeks Mama Noodles dilancarkan bagi menunjukkan jumlah jualan mi segera jenama Mama, pengeluar terbesar di Thailand.
Indeks menjadi stabil sejak Krisis Kewangan Asia Timur, tetapi jualan meningkat sebanyak 15% dalam 7 bulan pertama tahun 2005, yang dianggap sebagai petanda kemelesetan ekonomi.
Rakyat tidak mampu membeli makanan yang lebih mahal, sekaligus mendorong kepada peningkatan jualan ramen.

Kredit: v12gether

-Debu-

SIMBOL-SIMBOL YANG DIGUNAKAN CALON PILIHANRAYA DI MESIR

Pilihanraya Mesir unik kerana setiap calon yang bertanding mempunyai simbol yang mewakili mereka. Sistem ini masih digunakan di sana bagi membantu golongan yang buta huruf mengundi calon kegemaran mereka.
Di Mesir, tahap buta hurufnya tinggi iaitu sekitar 50%. Sistem simbol ini diperkenalkan oleh Abdul Gamal Nasser pada zaman 50-an dan kekal hingga ke hari ini.
Benda yang paling kelakar tentang sistem meletakkan simbol ini ialah calon tak boleh memilih simbol apa yang bakal mereka gunakan.
Sebanyak 250 simbol diberi secara rawak dan ini membuatkan ada calon yang 'butthurt'. Calon lelaki ada yang menerima simbol baju wanita, pisang atau teddy bear! 😄





Kredit:
blogserius
Daily Mail

-Debu-

KERAJAAN-KERAJAAN MELAYU DI NUSANTARA DITAWAN OLEH PORTUGIS KERANA PERPECAHAN: SARJANA PORTUGIS

Seorang sarjana Portugis mendedahkan Kerajaan Melayu-Islam bukan saja berkembang di Melaka, Johor dan Aceh malah juga di Ambon, Ternate dan Tidore sekitar tahun 1500-an.
Dr. Gijs L Koster dari Universiti of The Minho, Braga, Portugal berkata,
"Semua kesultanan Islam itu di samping kerajaan Pasai, Minang dan Maluku turut sama memberi tentangan hebat terhadap penjajah Portugis selepas kejatuhan Melaka pada 1511."
Sebelum ini, kesultanan itu turut menjalin kesepakatan seperti di antara Johor dengan Melaka atau dengan Aceh walaupun kadangkala ketiga-tiga kuasa itu bersengketa dalam perebutan kuasa pada abad itu.
Pada saat-saat perpecahan terutama di kalangan pembesar kerajaan Melayu itulah, armada Feringgi dengan mudah mengalahkan Aceh yang terkenal sebagai pendekar Islam Asia Tenggara pada 1629.
Sebelum itu, sekitar 1540, akibat kerajaan Melayu di Pasai menjadi berpuak-puak, Portugis juga melancarkan serangan lantas menguasai wilayah itu.
Dalam ceramah ringkas, Dr Koster turut mendedahkan beberapa perkara menarik, iaitu Hikayat Tanah Hitu, dikarang oleh Imam Besar Ambon Saipul Hijali yang mengandungi banyak kisah perjuangan kesultanan Melayu-Islam di rantau ini.
Sultan Ambon melancarkan Perang Sabil terhadap Portugis yang didapati menggalakkan paderi-paderi memurtadkan penduduk Islam selain cuba campur tangan dalam kerajaan di Utara Ambon.
Dua helai surat dipercayai tertua ditulis dalam bahasa Melayu, tulisan Jawi kini tersimpan di arkib di Lisbon. Pertama daripada Sultan Baadullah dari Ternate kepada Raja Juan III, mengadu mengenai sikap buruk orang Portugis yang mencuri, mabuk dan bergaduh di pelabuhan. Begitu juga surat ditulis oleh Sultan Zainol Abidin dari Pasai mengenai perkara yang sama.
Mengenai kerjasama kerajaan Melayu itu, Dr Koster berkata, Melaka, Johor dan Aceh membentuk jalinan tiga segi dan kadangkala di antara dua kerajaan saja seperti Aceh dengan Johor dan Johor dengan Melaka.
Pada satu ketika, armada Aceh dilengkapi meriam besar dibeli dari Turki dibantu oleh berpuluh kapal dari Johor membedil kota Melaka untuk menangkap seorang kapitan Portugis yang kejam dan bengis.
“Orang Portugis menganggap kapitan yang berjaya ditangkap itu sebagai mati ‘syahid’ kerana rela dibunuh saja daripada murtad iaitu menukar agama daripada Nasrani kepada Islam,” kata Dr Koster.
Turki pada zaman itu, kata Dr Koster, dianggap sebagai Amirul Mukminin dan turut sama memberi bantuan kepada Aceh adalah kerajaan Gujerati di India.
Dalam sebuah ceramah, Dr Koster turut memaparkan gambar-gambar lukisan Portugis yang belum pernah dilihat di sini menceritakan pelbagai kisah menarik dan wajah bandar Melaka dan tanah jajahan lain.
Selain membina kubu dan benteng, Portugis memastikan ‘felorina’ iaitu sebatang tiang tempat hukuman mati dilaksanakan dibina dekat tengah kota termasuk di Melaka.
Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof Dr Ding Choo Ming mengakui bahawa Hikayat Hitu belum pernah diselidiki oleh sarjana-sarjana Melayu-Nusantara malah banyak perkara yang didedahkan oleh Dr Koster adalah kisah-kisah yang perlu dikaji yang kini tersimpan di arkib-arkib di Portugal.
Arkib di Lisbon
Kredit:
lokalgenius
Al Semantani Jones

-Debu-

PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI DI PARIT SULONG

Semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu, anggota pasukan Division ke 8 Australia dan Brigade Infantri ke-45 India sedang berundur sambil berjuang apabila mereka dikepung berhampiran dengan jambatan di Parit Sulong.
Pasukan Berikat bertempur dengan pasukan Jepun yang lebih besar selama dua hari sehingga mereka kekurangan bekalan peluru dan makanan.
Setelah gagal berunding di bawah bendera putih, untuk membenarkan mereka yang tercedera dikecualikan berperang, pemerintah pasukan memutuskan bahawa pihak Jepun akan mematuhi Perjanjian Geneva (Geneva Convention) mengenai tawanan perang dan memerintahkan kesemua mereka yang sihat dan mampu berpecah ke dalam hutan, satu-satunya jalan bagi mereka kembali menyertai barisan pihak Berikat; tetapi bagi sekitar 110 tentera Australia dan 40 tentera India yang cedera terlalu teruk untuk melarikan diri, pilihan mereka yang ada hanyalah untuk menyerah diri.
Tahanan perang yang cedera itu ditendang dan dihentak dengan buntut senapang oleh Pengawal Imperial. Mereka yang tercedera ditahan dalam bangunan kayu.
Mereka kemudian dikumpulkan dan diperiksa oleh Chief of Staff Lt. Gen. Nishimura Takuma, General Officer Commanding, Division Pengawal Imperial yang memberikan arahan untuk "menghapuskan" tahanan yang tercedera.
Dalam perbicaraannya, Nishimura mendakwa bahawa ini bererti "memindahkan mereka yang tercedera kebelakang", tetapi Chief of Staff, Kolonel Imai Kamerjiro menambah, "Mayat tahanan hendaklah dibakar selepas selesai pembunuhan itu". Teks penuh arahan tersebut diberikan kepada Lt. Fujita yang ditugaskan bagi menghapuskan tahanan.
Leftenan Jeneral Takuma Nishimura
Pada petang 22 Januari 1942, mereka diperintahkan untuk berkumpul di belakang baris kedai yang rosak berdekatan. Mereka yang tercedera dipapah oleh mereka yang mampu berjalan, setelah dijanjikan rawatan perubatan dan makanan.
Sementara menunggu ditempat perkumpulan, samada duduk atau terbaring lemah, tiga mesingan, tersorok di bilik belakang mula menembak, mensasarkan tahanan tersebut. Sejumlah tahanan yang masih hidup di tikam dengan bayonet.
Selepas itu, baris rumah kedai tersebut dirobohkan dan mayat tahanan diletakkan di atasnya. Enam puluh gelen minyak dituang di atas timbunan itu dan api dihidupkan.
Menjelang tengah malam, timbunan kayu dan mayat membentuk abu setinggi dua kaki sebelum diisikan ke dalam lubang bom di jalan berhampiran.
Jambatan Parit Sulong pada 1963, di mana tentera Australia berjuang pada peringkat akhir Pertempuran Muar menentang pasukan Jepun yang lebih besar. Jambatan ini dimusnahkan pada tahun 1994 dan digantikan dengan jambatan baharu pada tahun 1997.
Terdapat keterangan saksi lain yang menyatakan kisah berlainan, antaranya,
Sesetengah dari mereka diikat dengan kawat di tengah jalan sebelum ditembak dengan mesingan dan dicurah dengan petrol serta dibakar. Kebanyakan mayat tersebut dijadikan pengisi lubang bom di jalan.
Kenyataan penduduk tempatan turut melaporkan bahawa tahanan perang diikat beramai-ramai dengan kawat dan dipaksa berdiri di atas jambatan, sebelum tentera Jepun menembak seorang demi seorang, menyebabkan mereka jatuh ke dalam sungai Simpang Kiri dan lemas.
Tiga orang tentera Australia terselamat dan dua daripadanya masih hidup sehingga tamat perang. Dua tentera Australia yang tercedera dan sempat melarikan diri dari pembunuhan beramai-ramai itu dan menjadi saksi mengenai layanan Jepun terhadap tahanan perang. Rekod rasmi menunjukkan seramai 150 orang yang tercedera dibunuh!
Leftenan Jeneral Takuma Nishimura kemudiannya disabitkan terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong oleh Mahkamah Tentera Australia dan digantung hingga mati pada 11 Jun 1951.

-Debu-

IMAM ABU HANIFAH: PENGASAS MAZHAB HANAFI

Imam Abu Hanifah dikenali dengan sebutan Imam Hanafi. Nama lengkap beliau adalah Nu’man bin Tsabit bin Zutha Al-Kufi. Lahir di Iraq pada tahun 80 Hijriah/699 M, bertepatan dengan zaman khalifah Bani Umayyah, Abdul Malik bin Marwan.
Beliau digelar dengan nama Abu Hanifah yang bermaksud suci dan lurus, kerana sejak kecil beliau dikenali dengan kesungguhannya dalam beribadah, berakhlak mulia, serta menjauhi perbuatan-perbuatan dosa dan keji. Dan mazhab fiqihnya dinamakan Mazhab Hanafi.
Ayahnya, Tsabit berasal dari keturunan Parsi sedangkan datuknya, Zutha berasal dari Kabul, Afganistan. Ketika Tsabit masih di dalam kandungan, dia dibawa ke Kufah, kemudian menetap sehingga Abu Hanifah lahir.
Ketika Zutha bersama anaknya, Tsabit berkunjung berjumpa Ali bin Abi Thalib, mereka didoakan agar kelak keturunan Tsabit menjadi orang-orang yang penting di zamannya, dan doa itu pun terkabul dengan kehadiran Imam Hanafi, namun tak lama kemudian ayahnya wafat.
Abu Hanifah dibesarkan di kota Kufah. Di kota inilah beliau mula belajar dan menimba banyak ilmu. Beliau juga pernah melakukan perjalanan ke Basrah, Makkah dan Madinah dalam rangka mengembangkan wawasan dan memperluas ilmu pengetahuan yang telah beliau peroleh.
MULA BELAJAR
Abu Hanifah juga telah menghafal Al-Quran sejak kecil. Di masa remaja, Imam Abu Hanifah mula menekuni belajar agama dari ulama-ulama terkemuka di Kota Kufah. Beliau sempat berjumpa dengan sembilan atau sepuluh orang sahabat Nabi seperti Anas bin Malik, Sahl bin Sa’d, Jabir bin Abdullah dan lain-lain.
Ketika berusia 16 tahun, dari Kufah, beliau menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan menziarahi kota Nabi SAW, Madinah al-Munawwarah. Dalam perjalanan ini, beliau berguru dengan tokoh tabi’in, Atha bin Abi Rabah, yang merupakan ulama terbaik di kota Mekah.
Jumlah guru Imam Abu Hanifah sebanyak 4000 orang. Di antaranya, 7 orang dari sahabat Nabi, 93 orang dari kalangan tabi’in dan selebihnya dari kalangan tabi’ at-tabi’in. Jumlah guru beliau yang banyak tidaklah menghairankan kerana beliau banyak menempuh perjalanan dan berkunjung ke pelbagai kota demi memperoleh ilmu agama.
Beliau menunaikan haji sebanyak 55 kali. Pada musim haji, para ulama berkumpul di Masjidil Haram menunaikan haji atau berdakwah kepada kaum muslimin yang datang dari berbagai penjuru negeri.
Guru-guru yang pernah beliau temui antara lain adalah;
i) Hammad bin Abu Sulaiman Al-Asy’ari, faqih kota Kufah
ii) Atha bin Abi Rabah, faqih kota Makkah
iii) Ikrimah, maula serta pewaris ilmu Abdullah bin Abbas
iv) Nafi, maula dan pewaris ilmu Abdullah bin Umar serta yang lain-lain.
Beliau juga pernah belajar kepada ulama’ Ahlul-Bait seperti;
i) Zaid bin Ali Zainal ‘Abidin (79-122 H/698-740 M)
ii) Muhammad Al-Baqir (57-114 H/ 676-732 M)
iii) Ja’far bin Muhammad Al-Shadiq (80-148 H/ 699-765 M)
iv) Abdullah bin Al-Hasan
Beliau juga pernah berjumpa dengan beberapa sahabat seperti;
i) Anas bin Malik (10 SH-93 H/ 612-712 M)
ii) Abdullah bin Abi Aufa (wafat 85 H/ 704 M) di kota Kufah
iii) Sahal bin Sa’ad Al-Sa’idi (8 SH-88 H/ 614-697 M) di kota Madinah
iv) Abu Al-Thufail Amir bin Watsilah (wafat 110 H/729 M) di kota Makkah
MAZHAB HANAFI
Mazhab yang didirikan oleh Imam Abu Hanifah adalah Mazhab Hanafi yang merupakan salah satu mazhab fiqih dalam dalam Islam sunni. Mazhab Hanafi terkenal sebagai mazhab yang paling terbuka kepada idea-idea moden.
Mazhab ini diamalkan terutama dikalangan orang-orang Islam Sunni di Mesir, Turki, Tiongkok, anak benua India dan sebahagian Afrika Barat. Mazhab Hanafi merupakan mazhab terbesar dengan jumlah pengikutnya sebesar 30% meskipun pelajar Islam di seluruh dunia belajar dan melihat pendapatnya mengenai amalan-amalan yang diajarkan agama Islam.
Sejak pertama kali muncul, mazhab ini telah tersebar luas dan sangat berpengaruh di Negara Iraq. Mazhab Hanafi ialah mazhab rasmi Daulah Uthmaniyyah, dan masih berpengaruh di negara-negara bekas jajahan Daulah Uthmaniyyah seperti Negara Syria, Mesir, Bosnia, Lubnan, dan Turki.
METODOLOGI FIQIH ABU HANIFAH
Dasar-dasar ketetapan suatu hukum fiqh Abu Hanifah adalah dari;
i) Al-Qur’an karim
ii) Sunnah, dimana beliau selalu mengambil sunnah yang mutawatir/masyhur. Beliau mengambil sunnah yang diriwayatkan dengan ahad hanya jika rawi darinya tsiqah.
iii) Pendapat para Sahabat Nabi (Atsar)
iv) Qiyas
v) Istihsan
vi) Ijma’ para ulama
vii) Urf masyarakat muslim
KITAB MAZHAB HANAFI
Imam Abu Hanifah merupakan imam yang melakukan usaha pengumpulan kitab untuk mazhab Hanafi. Beliau mengarang banyak kitab dan yang paling utamanya ialah enam buah kitab yang mana para ulama mazhab Hanafi mengatakan kitab-kitab ini merupakan Zahirul Riwayat kerana telah diriwayatkan oleh para perawi yang paling dipercayai. Adapun kitab-kitab tersebut adalah seperti berikut;
1) Kitabul Asl yang juga dikenali dengan Al-Mabsuth
2) Kitab Al-Jaamik As-Saghir
3) Kitab Al-Jaamik Al-Kabir
4) Az-Ziyaadaat
5) As-Siyarus Saghir
6) As-Siyarul Kabir
MENOLAK PANGKAT DAN KEDUDUKAN
Imam Hanafi sentiasa menolak kedudukan tinggi, pangkat, kuasa dan wang. Akibat dari penolakannya itu, beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara, beliau diseksa, dipukul dan sebagainya.
Pernah pada suatu ketika, Imam Hanafi ingin diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi pengangkatan itu ditolaknya. Beliau tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.
Pada waktu yang lain, Gabenor Yazid menawarkan pangkat Kadi (hakim) tetapi ditolaknya juga. Rupa-rupanya Yazid tidak senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu, beliau disiasat dan diancam akan dihukum dengan hukuman dera.
Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukuman dera itu, Imam Hanafi menjawab,
"Demi Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan."
Demikian beraninya, Imam Hanafi dalam menegakkan pendirian hidupnya.
Pada suatu hari, Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqih yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di istananya. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila, Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.
Ketika itu, gabenor menetapkan Imam Hanafi menjadi Pengetua jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor memutuskan disertai dengan sumpah, "Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat itu, nescaya dia akan dihukum dengan pukulan".
Walaupun dengan ancaman seperti itu, Imam Hanafi tetap menolak jawatan itu, malah beliau tetap tegas tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.
Kerana sikapnya itu, akhirnya beliau diarah tangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, sehabis tempoh itu, beliau dipukul sebanyak 14 kali , setelah itu baru dibebaskan.
Beberapa hari sesudah itu, gabenor sekali lagi menawarkan jawatan Kadi, juga ditolaknya. Beliau ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari didera sebanyak 10 pukulan. Namun demikian, Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sehingga beliau dilepaskan kembali setelah cukup 11 hari.
Akibat dari pukulan itu, muka dan seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman dipukul itu sengaja untuk menghina Imam Hanafi. Walaupun demikian, ketika Imam Hanafi diseksa beliau sempat berkata,
"Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti."
Ketika beliau berusia lebih 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Hanafi juga menerima ujian yang sama.
Kemudian pada tahun 132 H, sesudah dua tahun dari hukuman tadi, terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah.
Makam Imam Hanafi di Baghdad
Pada tahun 132 H, sesudah Abu Abbas meninggal dunia, diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani, seorang ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.
Suatu hari, Imam Hanafi mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya beliau datang mengadap ke istana. Sesampainya beliau di istana, baginda telah menawarkan jawatan kadi (hakim) kerajaan Baghdad.
Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya,
"Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?"
Dijawab oleh Imam Hanafi, "Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya."
Kerana beliau masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Pada masa itu, para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi itu, Imam Abi Laila pun dilarang memberi fatwa.
Pada suatu hari, Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi beliau tetap menolak. Baginda bertanya,
"Apakah engkau lebih suka dalam keadaan seperti ini?"
Dijawab oleh Imam Hanafi, "Wahai Amirul Mukminin, semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah, saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu."
Baginda berkata lagi, "Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu."
Dijawab oleh Imam Hanafi, "Amirul Mukminin, sungguh tuan telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana tuan akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya."
Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tsauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi surat pelantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tsauri diangkat menjadi kadi di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota. Adapun Imam Hanafi tidak mahu menerima pelantikan itu di manapun ia diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.
Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri. Oleh sebab itu, Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dipukul sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.
Suatu hari Imam Hanafi dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Beliau dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu, Imam Hanafi dipenjarakan kembali. Imam Hanafi menutup usianya dalam tahanan dengan keadaan menderita diseksa.
Imam Hanafi tidak ingin kepada jawatan dan pangkat yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak sesuai dengan corak pemerintahan yang mereka kendalikan.
Oleh sebab itu, mereka berusaha mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka dan membenarkan corak pemerintahan yang dilaksanakan, namun semuanya ditolak Imam Hanafi dan akhirnya beliau diseksa hingga membawa ke penamat hayatnya.
WAFATNYA
Imam Abu Hanifah wafat di Kota Baghdad pada tahun 150 H/767 M. Imam Ibnu Katsir mengatakan, “6 kelompok besar penduduk Baghdad menyolatkan jenazah beliau secara bergantian. Hal itu disebabkan banyaknya orang yang hendak menyolatkan jenazah beliau.”
Di zaman Turki Uthmaniyyah, sebuah masjid di Baghdad yang dirancang oleh Mimar Sinan didedikasikan untuk beliau. Masjid tersebut dinamakan Masjid Imam Abu Hanifah.
Sepeninggalan beliau, mazhab fikihnya terus digunakan oleh umat Islam, malah menjadi mazhab rasmi beberapa kerajaan Islam seperti Daulah Abbasiyah, Mughal dan Turki Uthmaniyyah. Hari ini, mazhab beliau banyak digunakan di Turki, Syria, Iraq, Balkan, Mesir dan India.

Kredit:
mutiarapublic
kisahmuslim
alhammasiyy
kajikisah
catatan-karmic

-Debu-

Saturday, March 4, 2017

BUDAYA HEBAT MASYARAKAT ISLAM TURKI MENABUR GANDUM ATAS GUNUNG

Masyarakat Islam di sana masih lagi mengamalkan budaya tradisi menabur gandum di puncak gunung bagi sesiapa yang naik ke gunung supaya burung-burung yang kesejukan tidak mati kelaparan dalam tempoh musim salji di kawasan puncak gunung.
Orang pertama yang menuntut penduduk kawasan puncak gunung melakukan seperti ini adalah Khalifah Umar Abdul Aziz.
Kata Umar Abdul Aziz, “Taburkanlah gandum di puncak gunung supaya tidak ada yang mengatakan burung telah kelaparan di negara orang Islam”.

LAGENDA BUJANG SENANG

Simalungun ialah seorang pahlawan Iban yang terkenal di sekitar sungai Skrang, Sarawak. Kehebatan beliau ialah sewaktu ekspedisi mengayau (memotong kepala) musuhnya dan bukan sedikit yang terkoban di tangannya. Kehebatan beliau bukan sahaja di Sungai Skrang, tetapi juga di sungai Batang Lupar.
Musuh-musuh Simalungun percaya bahawa beliau mempunyai ilmu kebal yang tidak lut perang, lalu menculik isterinya agar rahsia kekebalan Simalungun dapat diketahui. Dilema antara kebanggaan suku dan kasih sayang, Simalungun datang ke Batang Lupar dengan harapan beliau dapat membebaskan isterinya dan membunuh penculik isterinya.
Namun, isteri beliau mati ditombak sebaik dibebaskan, manakala Simalungun bermati-matian dengan musuhnya sehinggalah ditepi sungai Batang Lupar. Musuhnya telah mengetahui kelemahan Simalungun iaitu kekebalannya musnah sekiranya beliau berada di perairan sungai.
Simalungun ditombak, dipanah dan disula oleh musuhnya. Mayat Simalungun dan isterinya dibiarkan sehingga tenggelam dek air pasang.
Mujur para dewata yang memberi kesaktian pada Lungu sekali lagi menumpahkan magis ke atas mayatnya dan isterinya. Lalu setibanya air pasang, Lungu dan isterinya bertukar menjadi buaya besar yang memiliki belang putih dibelakangnya untuk menghantui keturunan pembunuhnya di sekitar Batang Lupar. Maka lahirlah Bujang Senang, seperti yang diketahui.
Nama Bujang Senang sendiri dinamakan bersempena Sungai Senang, salah satu cawangan Batang Lupar di mana buaya itu sering kali dijumpai.
TAHUN 1982
Bangan anak Pali telah dilantik sebagai penghulu Rumah Pali oleh pihak residen Sri Aman. Dua hari sebelum majlis pelantikan rasmi di rumah panjang mereka, beliau dan abangnya, Kebir berhasrat untuk mencari rezeki di sekitar Batang Lupar.
Menyusuri sungai ke arah hilir, mereka masuk ke kawasan Sungai Sungga, salah sebuah cabang Batang Lupar yang besar itu dan mula mencari udang. Dengan menggunakan sadak (sejenis bekas diperbuat daripada rotan), mereka menyusuri sungai yang berparas pinggang dan mencedok udang.
Hari sudah meninggi, sudah pun tengah hari. Seekor burung embuas (burung raja udang) tiba-tiba melintas. Kebir berasa tidak sedap hati, kerana lintasan embuas bermakna sesuatu yang buruk bakal berlaku. Kebir memanggil adiknya naik ke tebing, tetapi Penghulu Bangan tetap berkeras meneruskan pencarian udang.
Penghulu Bangan mula berpaling ke arah abangnya dan meredah air separas pinggangnya. Apabila beliau terpijak sesuatu di dasar sungai yang keruh itu,
“Nama utai tok, baka batang… (apakah benda ini, macam batang rupanya)”
Kebir baru saja mahu membalas kata-kata adiknya, tiba-tiba satu deburan kuat berdentum. Penghulu Bangan hilang dari pandangan. Beberapa saat kemudian, seekor buaya besar gigantic timbul dengan mayat Penghulu Bangan di rahangnya.
Kebir terus terjun dan memeluk ekor besar buaya itu demi menyelamatkan adiknya, tetapi tidak berjaya. Kebir menyedari bahawa buaya itu berbelang putih dibelakang, terus pulang ke rumah panjang dengan perkhabaran buruk.
Operasi mencari berterusan selama 5 hari dengan pihak polis dan Perhilitan turut serta. Suasana sedih menyelubungi rumah panjang itu apabila mayat Penghulu Bangan dibawa pulang hanya bahagian atas sahaja. Tiada tanda-tanda buaya itu serta sisa-sisa mayat ditemui.
Itulah kebangkitan Bujang Senang dan mula diketahui umum. Berikutan itu, polis Sarawak melancarkan ‘Operasi Buaya Ganas’ di semua sungai-sungai besar yang berpotensi tinggi, seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas.
BATANG LUPAR, 1984
Badong anak Apong, dari Rumah Nyawin tidak jauh dari Sungai Stirau, Batang Lupar sedang sibuk mencedok udang, tiba-tiba seekor buaya besar membaham beliau dan diperhatikan beberapa penduduk kampung.
Buaya itu dilihat melambung-lambung mayat Badong sebelum menghilangkan diri di dalam sungai. Saksi berkata, lebar ekor buaya itu sebesar tong dram dan ada garis putih dibelakang.
Usaha diteruskan dan mayat mangsa dijumpai 2 hari kemudian tidak jauh dari tempat kejadian. Operasi memburu dijalankan lagi tetapi tiada sebarang tangkapan dibuat.
BATANG LUPAR 1987
Seekor burung embuas melintas tatkala Berain anak Tungging sedang mencedok tanah liat di dasar sungai untuk menutup lubang-lubang di perahunya. Setelah siap, Berain mahu pulang ke tebing.
Tiba-tiba seekor buaya besar menariknya ke dalam sungai dan kejadian ini disaksikan sendiri anak saudaranya. Dengan maklumat yang sama seperti sebelumnya, seluruh penduduk sekitar Batang Lupar ketakutan dengan nama Bujang Senang.
Tuai rumah (ketua rumah panjang) Rumah Tuah, Tuah anak Tunchun percaya buaya ini sememangnya Bujang Senang dan buaya yang sama membunuh adik beliau, Inchi anak Tunchun pada 1962.
Beliau yakin bahawa sumpahan itu memang benar dan buaya itu ialah suatu entiti yang berhantu. Kata beliau, semua mangsa terlibat seperti adiknya, Penghulu Bangan, Badong dan Berain mempunyai pertalian langsung dan ini tidak dipertikaikan.
Menjelang 1989, banyak laporan di akhbar-akhbar tempatan memaparkan kisah kemunculan kerap buaya-buaya besar di sekitar Batang Samarahan dan Batang Sadong, seolah-olah menggambarkan sesuatu bakal berlaku.
Terdapat pelbagai cerita, seperti kononnya Bujang Senang telah berada di sungai-sungai tersebut untuk melunaskan dendamnya bersama buaya-buaya lain.
SUNGAI PELABAN, CABANG KECIL BATANG LUPAR 1992
Seperti kebiasaan, keluarga Bayang akan mudik ke hulu, ke arah sawah padi mereka tidak jauh di Sungai Pelaban. Air ketika itu hendak pasang, dan Dayang membantu ibunya melintasi sungai separas pinggang ke seberang, sebelum dia naik ke tebing. Abang beliau Enie Bayang sudah mula bekerja di kebun sambil ayah mereka hendak ke rumah panjang mengambil kelengkapan.
Awan kelihatan berbalam-balam. Dayang baru saja hendak naik apabila satu deburan kuat menariknya ke dalam sungai. Dayang menjerit sekuat hati dan ibunya terkejut besar apabila anak gadisnya sedang diheret seekor buaya besar. Terpekik terlolong memanggil pertolongan, orang-orang yang ada terus menerpa ke arah ibu Dayang. Abangnya bergegas dan bersama-sama rakannya terus menjalankan operasi menjejak buaya itu.
Rumah Bayang bergegar dengan berita itu, lantas turun ke sungai memburu buaya. Dayang sudah hilang dibawa buaya ke dasar sungai. Bersama-sama mereka, Mandau mula membaca mantera. Setelah lebih dua jam, Enie, abang mangsa menjumpai mayat adiknya yang masih sempurna di celah-celah puing di salah satu lubuk sungai itu.
Buaya itu kembali dan mengganas. Dengan beberapa tembakan, buaya itu tetap melawan. Oleh kerana besarnya saiz buaya itu, pasti sukar ditewaskan. Tetapi Mandau tetap bermantera dan mula membaling tombak ke kepala buaya, tetapi patah.
Awan semakin gelap, air mulai surut. Buaya besar itu mula melarikan diri ke arah Batang Lupar, tetapi dihalang oleh sebatang kayu besar yang merentangi mulut sungai itu. Buaya itu terus diserang, ditembak dan ditombak. Buaya itu mengganas dan meronta-ronta sehingga pergerakannya menjadi sedikit aneh. Buaya itu berpusing dan mengelilingi puing-puing kayu seolah tahu kematiannya, dan tidak lama kemudian, buaya besar itu menemui ajalnya.
Buaya yang besar ini diangkut ke rumah panjang selama 4 jam perjalanan, dan barulah disedari dibelakangnya ada garisan putih. Inilah dia Bujang Senang yang diperkatakan, dan ramai sekali polis, Perhilitan serta wartawan datang membuat liputan.
Sayangnya bangkai buaya ini dibuang begitu sahaja ke laut tanpa sebarang usaha membawa balik oleh pihak muzium, cuma kepalanya sahaja telah dibawa pulang oleh Johnson Jong untuk tatapan umum di ladang buayanya di Siburan, Sarawak.
Ada yang mempertikaikan kesahihan buaya yang ditangkap, kerana ada yang berpendapat buaya itu bukanlah Bujang Senang, dan pelbagai cerita lagi. Ada sesetengah masyarakat Iban di sepanjang Batang Lupar mempercayai Bujang Senang masih hidup, lebih besar dan sentiasa berada di sungai itu.
🎼🎼🎼
Ketenangan air halus manja
Tersebut satu kisah puaka
Asal manusia
Menjadi buaya
Beraja di lubuk ngeri
Rangkak tenang mencari mangsanya
Segala berlaku senyap sunyi
Siapa mencabar bersedialah
Akan menjadi mangsanya
Akibat sumpah puaka
Suara ngeri
Datang dari lembah sunyi
Maut menanti
Dari sudut tanpa kesan
Kelaku misteri sukar di cari
Tubuh menyambar timbul tenggelam
Gelar diberi buaya ini
Buaya lagenda
Bujang Senang 🎶🎶

Kredit: lagendajentayu

-Debu-
#mat martopo

OPERASI PERANG SARAF ANTI KOMUNIS KETIKA DARURAT

Tanah Melayu Merdeka pada 31 Ogos 1957. Sungguhpun begitu, Parti Komunis Malaya enggan mengiktiraf kemerdekaan ini dan masih menganggap Malaya masih di bawah telunjuk Britain. Pada pendapat mereka, Malaysia menjadi negara 'pengikut/orang suruhan' dan Tunku Abdul Rahman menjadi boneka Inggeris.
Selepas Merdeka, operasi perang saraf ke atas komunis di seluruh Tanah Melayu diteruskan. Operasi perang saraf ini sudah berlangsung sejak Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.
Ratusan juta helai pamplet propaganda anti komunis ditaburkan di kawasan-kawasan yang dipercayai menjadi kubu kuat komunis. Pada tahun 1949 sahaja, 375 naskah akhbar dan 50 juta pamplet propaganda digugurkan! Pada tahun 1956 pula, 100 juta pamplet propaganda digugurkan!
Operasi pengguguran pamplet propaganda dilakukan dengan menggunakan pesawat C-47 Dakota, Taylorcraft Auster dan Vickers Valetta milik Royal Air Force. Pamplet yang digugurkan memohon askar komunis supaya menyerah diri.
Sebelum Merdeka, Tunku Abdul Rahman membuka tempoh pengampunan kepada askar komunis yang menyerah secara sukarela. Selepas tawaran ini ditutup pada tahun 1958, pamplet memaparkan mayat anggota komunis yang terkorban pula digugurkan.
Selain itu, terdapat juga pamplet yang menunjukkan hipokrasi anggota tertinggi PKM. Wajah anggota tertinggi dengan wanita simpanan mereka adalah antara taktik perang saraf yang digunakan.
Terdapat juga pamplet berbentuk ganjaran kepada anggota komunis yang berjaya membunuh ketua mereka serta ganjaran berupa wang kepada mereka yang menyerahkan senjata.
Selain penggunaan pamplet, sistem audio juga digunakan. Pesawat C-47 Dakota dilengkapkan dengan sistem pembesar suara berkuasa tinggi Magnavox. Sistem pembesar suara ini boleh didengari sejauh 3 batu jauhnya.
Majoriti pamplet yang digugurkan adalah dalam bahasa Cina, namun terdapat juga pamplet dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Tamil.
Orang besar yang bertanggungjawab mejalankan operasi 'PsyOps' pada waktu ini ialah Tan Sri Dr Too Chee Chew. Tan Sri Too Chee Chew dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1920. Beliau bertugas di Unit Perang Saraf dari tahun 1951 sehingga persaraan beliau pada tahun 1983.
Beliau ialah otak yang memikirkan taktik terbaik untuk memujuk ahli komunis untuk meletakkan senjata. Sebelum kehadiran beliau, taktik yang digunakan oleh British adalah kurang efektif. Masalah pada waktu itu ialah pegawai British tidak mempercayai kakitangan berbangsa Cina yang mereka rasakan pro komunis.
Tan Sri Too pada awalnya meletak jawatan kerana keengganan pegawai atasan British untuk berkongsi maklumat yang boleh digunakan sebagai bahan propaganda. Beliau mengkritik taktik yang digunakan British yang dirasakan kurang memahami budaya Cina.
Selepas beliau menjadi ketua unit perang saraf, Tan Sri Too menukar taktik yang sedia ada. Pamplet propaganda yang dihasilkan bukan berunsur fakta tetapi lebih kepada menunjukkan kegagalan komunis.
Tan Sri Dr Too Chee Chew
Tan Sri Too berkata, orang cina tidak suka "dibacakan khutbah" tentang kebaikan pihak pemerintah tetapi lebih mudah mempercayai keburukan anggota PKM. Beliau juga menyedari wang ialah cara terbaik untuk memujuk ahli komunis yang kelaparan di tengah hutan.
Selain daripada itu, beliau mereka pamplet yang berwarna seperti tanah dan pasir. Ini bagi memudahkan ahli PKM yang ragu-ragu dengan perjuangan untuk menyorokkannya dari ketua mereka.
Sebelum ini pamplet bewarna merah digunakan. Pamplet propaganda yang digugurkan ini berjaya dimusnahkan ketua berpangkat tinggi sebelum dapat dibaca oleh askar PKM yang berpangkat rendah.
Kehebatan Tan Sri Too diiktiraf sehingga beliau dilantik menjadi penasihat bahagian 'Psychological Warfare and Counter-Insurgency' tentera Amerika. Kepakaran beliau digunakan oleh tentera Amerika Syarikat ketika Perang Vietnam.
Tan Sri Too dikurniakan pangkat Tan Sri oleh Yang Dipertuan Agong Almarhum Sultan Iskandar pada tahun 1986. Beliau meningal dunia pada tahun 1992.



Kredit:
blogserius
psywar

-Debu-