Dalam hal ini didapati sejarah kewujudan mukim Batu Kurau adalah sezaman dengan sejarah pembukaan dan kemajuan bandar Taiping pada tahun 1850-1857 semasa Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut (Taiping).
SEKETUL BATU TERCETUSNYA NAMA 'BATU KURAU'
Menurut cerita orang tua, asal-usul nama Batu Kurau diambil sempena daripada seketul batu besar yang menyerupai ikan kurau terletak di tebing Sungai Kurau (berhampiran jambatan jalan raya Kampung Batu 14). Sungai ini berpunca daripada beberapa batang anak sungai dari Kampung Sempeneh, Anak Kurau, Changkat Lobak hingga ke Kampung Pondok Tanjung, seterusnya mengalir ke Bukit Merah dan masuk muara di Kuala Kurau, daerah Kerian.
Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu keturunan Pattani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah Pattani, Selatan Thai. Sememangnya orang Pattani suka memilih tempat yang strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang bercucuk tanam dan menternak haiwan. Mereka suka tinggal di kawasan kaki bukit yang mempunyai lata sungai yang jernih airnya serta kawasan tanah pamah yang berpaya untuk menanam padi dan membuat dusun buah-buahan.
Di Negeri Perak orang Pattani juga tinggal di Ijok, Selama, Bukit Gantang, Air kuning, Lenggong, Grik dan Kroh sementara di Kedah pula seperti di Baling dan juga Sik.
Nama-nama tokoh besar yang lahir dari keturunan melayu Pattani seperti Dato’ Seri Hj. Kamaruddin B. Mat Isa,Dato Sri Ghazali Jawi, Tan Sri Tajol Rosli,Tan Sri Wan Mohammad kesemuan mereka ini adalah mantan Menteri Besar Perak yang berasal dari Melayu Pattani. Selain itu, Allahyarham Tuan Hj. Muhammad Saman B. Muhammad yang lebih dikenali sebagai Hj. Mat Saman Kati (1922-1995) berasal dari Kampung Relau Berdiri, Batu 16; merupakan seorang ulama terkenal dan pernah dilantik sebagai Mufti negeri Perak dari tahun 1978-1986.
Kawasan perkelahan Air Terjun Kampung Sempeneh Cempaka Batu Kurau sudah terkenal bagi penduduk di Taiping dan sekitarnya. Anak kecil anda boleh mandi di kawasan air terjun yang cetek dan berpasir, manakala yang remaja pula boleh menguji keberanian dengan mandi di air dalam dan berbatu. Biasanya kanak-kanak kampung akan melompat dari jambatan besi ke air. Selain itu terdapat juga kawasan perkelahan Lata Air Hitam dan Jelai. Kesejukan dan kejernihan airnya pasti tidak boleh dilupakan oleh setiap pengunjung yang berkunjung.
-mat martopo-
No comments:
Post a Comment