Kerajaan Banjarmasin merupakan kerajaan Islam pertama yang berkembang di Kalimantan Selatan. Agama Islam sangat besar pengaruhnya di Kerajaan Banjarmasin baik di bidang sosial, budaya, pemerintahan, serta aspek-aspek kehidupan masyarakat yang lainnya.
Pengaruh Islam yang dominan terhadap kehidupan di Kerajaan Banjarmasin itu salah satunya dipengaruhi oleh proses masuk dan berkembangnya agama Islam di Kerajaan Banjarmasin.
Hasil kajian menunjukkan bahawa awal masuknya pengaruh agama Islam di Banjarmasin pada abad ke-15 melalui jalur perdagangan. Pengaruh Islam ini dibawa oleh pedagang-pedagang muslim seperti Raden Paku.
Pemeluk agama Islam pertama adalah golongan pedagang dan masyarakat yang tinggal di bandar-bandar pelabuhan iaitu orang-orang Melayu dan orang-orang Ngaju.
Agama Islam menjadi agama rasmi Kerajaan Banjarmasin pada abad ke-16, iaitu pada 24 September 1526 melalui Kerajaan Demak. Penerimaan agama ini berlaku semasa pemerintahan Pangeran Samudera yang kemudian bergelar Sultan Suriansyah.
Islam kemudian berkembang dengan pesat di bawah pemerintahan Sultan Suriansyah, perkembangan ini meliputi struktur organisasi pemerintahan, sosial budaya dan penyebaran pengaruh agama Islam ke wilayah kekuasaan Kerajaan Banjarmasin.
Perkembangan juga berlaku semasa zaman Sultan Tahmidullah II dengan berdirinya tempat pendidikan pengajian pertama. Mengenai bukti-bukti berkembangnya Islam di Kerajaan Banjarmasin dapat di lihat dari peninggalan-peninggalan sejarah, antaranya ialah makam raja-raja Banjarmasin, peninggalan seni budaya seperti seni sastera dan seni bina rumah adat Banjar yang dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam.
PENGHIJRAHAN KE SUMATERA DAN MALAYSIA
Suku Banjar yang tinggal di Sumatera dan Malaysia merupakan anak cucu dari para penghijrah etnik Banjar yang datang dalam tiga gelombang migrasi besar.
Pertama, pada tahun 1780 terjadi penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera. Etnik Banjar yang menjadi pendatang ketika itu adalah para penyokong Pangeran Amir yang kalah dalam perang saudara Kerajaan Banjar, iaitu Pangeran Tahmidullah. Mereka terpaksa melarikan diri dari wilayah Kerajaan Banjar kerana sebagai musuh politik mereka sudah dijatuhkan hukuman mati.
Kedua, pada tahun 1862 terjadi lagi penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera. Etnik Banjar yang menjadi pendatang ialah para pendukung Pangeran Antasari dalam kemelut Perang Banjar. Mereka terpaksa melarikan diri dari pusat pemerintahan Kerajaan Banjar di kota Martapura atas alasan yang sama. Pasukan Residen Belanda yang menjadi musuh mereka dalam Perang Banjar, sudah menguasai kota-kota besar di wilayah Kerajaan Banjar.
Ketiga, pada tahun 1905 etnik Banjar kembali melakukan penghijrahan besar-besaran ke pulau Sumatera. Kali ini mereka terpaksa melakukannya kerana Sultan Muhammad Seman yang menjadi Raja di Kerajaan Banjar ketika itu mati syahid di tangan Belanda.
Penghijrahan suku Banjar ke Sumatera khususnya ke Tembilahan, Indragiri Hilir sekitar tahun 1885 semasa pemerintahan Sultan Isa, raja Indragiri sebelum raja yang terakhir.
Tokoh etnik Banjar yang terkenal dari daerah ini ialah Syekh Abdurrahman Siddiq Al Banjari yang berasal dari Martapura, Banjar yang memegang jawatan sebagai Mufti Kerajaan Indragiri.
Dalam masa-masa tersebut, suku Banjar juga berhijrah ke Malaysia, antara lain ke negeri Kedah, Perak (Kerian, Sungai Manik, Bagan Datoh), Selangor (Sabak Bernam, Tanjung Karang), Johor (Batu Pahat) dan juga negeri Sabah (Sandakan, Tenom, Keningau, Tawau) yang dikenali sebagai Banjar Melau.
Tokoh etnik Banjar yang terkenal dari Malaysia adalah Syeikh Husein Kedah Al Banjari, iaitu bekas mufti Kerajaan Kedah.
Salah seorang etnik tokoh Banjar dari Malaysia yang terkenal ketika ini ialah Tan Sri Dr Harussani bin Haji Zakaria yang menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perak.
Daerah yang paling ramai terdapat etnik Banjar di Malaysia adalah daerah Kerian di Negeri Perak Darul Ridzuan. Organisasi suku Banjar di Malaysia adalah Pertubuhan Banjar Malaysia.
-Debu-
Datuk Saya Jalil bin Tahir katanya berasal dari bangsawan daearah Matapura.Itu shj maklumat yg Saya tahu.Boleh bantu utk beri maklumat? susur?
ReplyDelete