Wednesday, January 11, 2017

SEJARAH IMAM BUKHARI


Sebelum menetapkan sebuah hadis menjadi sahih, Bukhari sentiasa menelitinya, mulai dari kualiti hadis, jumlah periwayat (perawi), keadilan dan tingkat hafalan periwayat, hingga mutawatir (bersambung) ke Rasulullah.
Imam Bukhari dikenali sebagai seorang ulama dan ahli dalam ilmu hadis. Ketelitian dan kecermatannya untuk mengumpulkan hadis-hadis sahih telah diakui para ulama. Bahkan, kitab hadis yang disusunnya (Sahih Bukhari) menjadi rujukan hampir semua ulama di dunia.
Nama besarnya sejajar dengan para ahli hadis yang pernah ada sepanjang zaman. Nama lengkapnya adalah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mugirah bin Bardizbah al-Bukhari.
Dilahirkan di Bukhara, Samarkand (sekarang), Uzbekistan, Asia Tengah, pada 13 Syawal 194 H atau bertepatan pada 21 Julai 810 M. Tak lama setelah lahir, beliau kehilangan penglihatannya.
Kemudian, dalam sebuah riwayat, dikisahkan pada suatu malam, ibu Imam Bukhari bermimpi melihat Nabi Ibrahim AS yang mengatakan,
''Hai Fulanah, sesungguhnya Allah telah mengembalikan penglihatan kedua mata putera mu kerana engkau sering berdoa.''
Pada pagi harinya, si ibu melihat kedua mata puteranya boleh melihat kembali.
Iman Bukhari dididik dalam keluarga ulama yang taat beragama. Dalam kitab Ast-Tsiqat, Ibnu Hibban menulis bahawa ayah Imam Bukhari dikenali sebagai seorang yang warak. Ayahnya berhati-hati terhadap hal-hal yang bersifat syubhat (samar) hukumnya, lebih-lebih lagi terhadap hal yang haram. Ayahnya adalah seorang ulama bermazhab Maliki dan merupakan murid Imam Malik. Ayahnya wafat ketika Bukhari masih kecil.
Sejak kecil, Imam Bukhari memang telah menunjukkan bakatnya yang luar biasa. Beliau mempunyai ketajaman ingatan dan hafalan yang melebihi orang lain. Ketika berusia 10 tahun, beliau selalu mempelajari ilmu hadis daripada ad-Dakhili, salah seorang ulama yang ahli dalam bidang tersebut.
Setahun kemudian, beliau mula menghafal hadis Nabi SAW dan sudah mula berani membetulkan kesalahan dari guru yang keliru menyebut periwayatan hadis.
Pada usia 16 tahun, beliau telah menghafal hadis-hadis yang terdapat dalam kitab karangan Ibnu Mubarak dan karangan Waki' al-Jarrah.
PENELITIAN HADIS
Guru-guru Imam Bukhari dalam bidang hadis sangat banyak. Ada yang mengatakan, mencapai lebih dari seribu orang. Imam Bukhari sendiri pernah mengatakan bahawa kitab al-Jami' as-Sahih atau yang terkenal dengan nama Sahih al-Bukhari disusun sebagai hasil dari menemui 1,080 orang guru (sarjana) dalam bidang ilmu hadis.
Dalam mengambil sebuah hadis, Bukhari sangat hati-hati. Beliau tidak mahu mengambil sebuah hadis sebelum diteliti kesahihannya. Bagaimana kualitinya, siapa perawinya, adil atau tidak perawi tersebut, dan apakah hadis itu bersambung ke Rasulullah SAW atau tidak?
Jika hadis-hadis yang diterimanya tidak sampai bersambung (mutawatir), beliau akan meninggalkannya walaupun dalam periwayatannya terdapat imam atau sahabat terkenal.
Kerana itulah, ketelitiannya dalam menempatkan sebuah hadis menjadikan dirinya sebagai orang yang hati-hati. Hadis yang diakui oleh imam hadis lainnya, seperti Imam Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Nasai dan Ahmad, belum tentu sahih menurut Bukhari.
Dan kerana itu, kitab Sahih Bukhari yang ditulisnya menjadi rujukan pertama oleh ramai ulama sebelum mengambil hadis sahih dari imam yang lain.
Untuk mengumpulkan dan memilih hadis sahih, Bukhari menghabiskan waktu selama 16 tahun lamanya. Beliau mengunjungi berbagai kota untuk mendapatkan keterangan yang lengkap tentang suatu hadis, baik mengenai hadis itu sendiri mahupun mengenai orang yang meriwayatkannya.
Di antaranya, beliau melawat dua kali ke daerah Syam (Syria), Mesir hingga Aljazair. Kemudian, beliau melawat ke Basra empat kali. Lalu, menetap di Hijaz (Makkah dan Madinah) selama enam tahun dan berulang kali ke Kufah dan Baghdad.
Dari pertemuannya dengan para ahli hadis tersebut, Bukhari berhasil memperoleh hadis sebanyak 600 ribu buah. Dan, 300 ribu di antaranya telah dihafal oleh Bukhari. Hadis-hadis yang dihafalnya itu terdiri daripada 200 ribu hadis yang tidak sahih dan 100 ribu hadis yang sahih. Kerana itu, dalam kitab-kitab fiqah dan hadis, hadis-hadis beliau memiliki darjat yang tinggi.
Maka, tak menghairankan jika Imam Bukhari menjadi ahli hadis yang termasyhur di antara para ahli hadis sejak dulu hingga kini bersama dengan Imam Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah.
Bahkan, sebahagian menyebutnya dengan julukan Amirul Mukminin fi al-Hadits (pemimpin kaum Mukmin dalam ilmu hadis).
Ramai ahli hadis yang berguru dengannya, seperti Syekh Abu Zahrah, Abu Hatim Tirmidzi, Muhammad Ibn Nasr dan Imam Muslim.
SERING DIFITNAH
Kebesaran akan keilmuan beliau diakui dan dikagumi seluruh dunia Islam. Di Naisabur, tempat asal Imam Muslim, seorang ahli hadis yang juga murid Imam Bukhari, kedatangan Bukhari pada tahun 250 H disambut meriah. Bahkan juga oleh guru Imam Bukhari sendiri, Muhammad bin Yahya Az-Zihli.
Dalam kitab Shahih Muslim, Imam Muslim menggambarkan, ketika Imam Bukhari datang ke Naisabur, dia tidak melihat ketua daerah, para ulama dan warga kota memberikan sambutan luar biasa seperti yang mereka berikan kepada Imam Bukhari.
Kemudian, terjadi fitnah yang menyebabkan Imam Bukhari meninggalkan kota itu dan pergi ke kampung halamannya di Bukhara.
Seperti halnya di Naisabur, di Bukhara beliau disambut secara meriah. Namun ternyata, fitnah kembali melanda. Kali ini, datang dari Gabernor Bukhara sendiri, Khalid bin Ahmad Az-Zihli, yang akhirnya gabernor ini menerima hukuman dari Sultan Samarkand (Uzbekistan) yang memerintah ketika itu, iaitu Ibn Tahir.
Tak lama kemudian, atas permintaan warga Samarkand, Imam Bukhari akhirnya menetap di Samarkand. Sebelum ke Samarkand, beliau singgah di sebuah desa kecil bernama Khartand untuk mengunjungi beberapa ahli keluarganya.
Namun, di sana, beliau jatuh sakit hingga akhirnya wafat pada 30 Ramadhan 256 H atau bertepatan dengan 31 Ogos 870 M.
TOKOH ULAMA PENGHIMPUN HADIS SAHIH
Di samping terkenal sebagai penghafal hadis, Imam Bukhari juga terkenal sebagai pengarang yang produktif. Kitab al-Jami' as-Sahih atau Sahih al-Bukhari merupakan karangannya yang terpenting dan terbesar dalam bidang hadis.
Para ulama menilai kitab Sahih al-Bukhari ini merupakan kitab hadis yang paling sahih. Kerana kesahihan hadis-hadis yang dikumpulkannya, kitabnya sentiasa menjadi rujukan para ulama hadis. Bahkan, setiap hadis yang diriwayatkannya sudah tidak diragukan lagi kualitinya.
Sesuai dengan namanya, kitab ini khusus memuatkan hadis-hadis sahih. Dari 100 ribu hadis yang diakuinya sahih, hanya 7,275 buah hadis yang dimuatkan dalam kitab tersebut. Jumlah inilah yang betul-betul diyakininya sebagai hadis-hadis sahih dan diakui pula oleh sebahagian besar ahli hadis kenamaan.
Ketelitiannya yang begitu tinggi dalam periwayatan hadis tersebut menyebabkan para ulama hadis yang hidup sesudahnya menempatkan kitab Sahih al-Bukhari pada peringkat pertama dalam urutan kitab-kitab hadis yang muktabar (terkenal).
Seorang ulama besar ahli fiqah, iaitu Abu Zaid Al Marwazi mengatakan,
''Suatu ketika, saya tertidur pada sebuah tempat (dekat Ka'bah) di antara Rukun Yamani dan Maqam Ibrahim. Di dalam tidur, saya bermimpi melihat Nabi SAW. Beliau berkata kepada saya,
'Hai Abu Zaid, sampai bila engkau mempelajari kitab as-Syafi'i, sementara engkau tidak mempelajari kitabku?'
Saya berkata, 'Wahai Rasulullah, kitab apa yang tuan maksudkan?'
Rasulullah menjawab, 'Kitab Jami' karya Muhammad bin Isma'il'.''
Beberapa orang ulama hadis berikutnya juga telah memberikan ulasan mengenai kitab Sahih al-Bukhari ini. Kitab-kitab yang memuatkan ulasan itu berjumlah 82 judul. Di antaranya yang terkenal adalah kitab Fath al-Bari karangan Ibnu Hajar al-Asqalani yang terdiri 13 jilid.
Karya Imam Bukhari lain yang terkenal di antaranya adalah,
i) al-Jami' as-Sahih
ii) at-Tarikh as-Sagir
iii) at-Tarikh al-Ausat
iv) at-Tarikh al-Kabir
v) Tafsir al-Musnad al-Kabir
vi) Kitab al-'Ilal
vii) Kitab al-Du'afa
viii) Asami as-Sahabah
ix) Kitab al-Kuna
Semuanya mengenai hadis.
Tidak hanya mengenai hadis, beliau juga mengarang kitab mengenai akhlak, Kitab al-Adab al-Mufrad.
Selain itu, beliau menyusun kitab mengenai akidah, Kitab Khalq Af'al al-Ibad.
Wallahua'lam...

Kredit: bukharimuslim

-Debu-

No comments:

Post a Comment