Sunday, January 1, 2017

KISAH SAHABAT: URWAH BIN MAS'UD ATS TSAQAFI RA


Urwah bin Mas'ud masih kafir ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Dia menjadi utusan kaum kafir Quraisy untuk mencegah niat Nabi SAW dan para sahabat yang akan melaksanakan umrah.
Ketika berbincang dengan Nabi SAW, dia berusaha memegang janggut baginda, suatu kebiasaan orang Arab ketika sedang berbincang. Tetapi ada seorang lelaki yang selalu memukul tangannya dengan sarung pedang, ketika dia menghulurkan tangannya, sambil berkata, "Undurkan tanganmu dari janggut Rasulullah SAW!"
Apabila dia tahu orang tersebut adalah Mughirah bin Syu'bah, dia menjadi marah, kerana semasa jahiliah dia pernah menyelamatkan nyawa Mughirah. Tetapi dia tidak berani buat apa-apa, kerana dia melihat begitu kuatnya ikatan persaudaraan orang muslim ketika itu. Bahkan Rasulullah SAW sendiri menyatakan pembelaannya atas Mughirah, terlepas dari apa yang dilakukannya pada masa jahiliah.
Urwah bin Mas'ud RA adalah salah seorang ketua bani Tsaqif di Thaif, satu kabilah yang terlibat dalam sekutu untuk memerangi Nabi SAW di Perang Hunain. Usai peperangan yang dimenangi oleh kaum muslimin, hatinya tergerak untuk memeluk Islam, dia pun berusaha menemui Nabi SAW, tetapi baginda sudah berangkat meninggalkan Makkah.
Tekadnya yang sudah kuat membuatkan Urwah memacu untanya untuk mengejar rombongan kaum muslimin dan berhasil menyusul baginda di suatu tempat di Madinah. Di hadapan Nabi SAW, dia berba'iat memeluk Islam dan dengan gembira Nabi SAW menerimanya.
Urwah meminta izin untuk kembali kepada kaumnya untuk mendakwahkan Islam, tetapi Rasulullah SAW melarangnya. Baginda tahu bahawa kabilah tersebut sangat kuat penolakannnya kepada penyeru dari kaumnya sendiri, baginda khuatir keselamatan Urwah.
Urwah bin Mas’ud yang telah merasakan manisnya iman, merasakan sejuknya jiwa bersama Rasulullah SAW, ingin sekali mengajak kaum kerabatnya merasakan hal yang sama.
Kerana itu, dengan agak memaksa dia tetap meminta izin kepada Nabi SAW, "Wahai Rasulullah, aku adalah orang yang sangat disukai oleh mereka, lebih besar daripada kecintaan mereka pada anak-anak perempuannya sendiri..."
Melihat begitu besar keinginannya untuk menyeru kaumnya kepada kebenaran, Nabi SAW akhirnya mengizinkannya. Urwah segera memacu tunggangannya kembali ke keluarganya di Thaif.
DAKWAHNYA DITOLAK
Ketika sampai di rumahnya pada waktu Isya', beberapa orang menyambutnya dan mengucapkan salam dengan salam jahiliah sebagaimana biasanya, tetapi Urwah tidak menjawab salam itu, dia berkata, "Hendaklah kalian mengucapkan salam dengan ucapan salam ahli jannah, yakni Assalamualaikum…"
Mendengar ucapannya itu, mereka menjadi marah dan menyakitinya, tetapi Urwah tetap memperlakukan mereka dengan lembut. Beberapa tokoh bani Tsaqif berkumpul untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap Urwah yang dianggapnya telah murtad.
Ketika fajar menyinsing, Urwah berdiri di bahagian atas rumahnya dan melaungkan azan untuk solat subuh. Orang ramai keluar menuju ke rumah Urwah, mereka melempar dan memanah ke arah Urwah, seseorang dari bani Malik bernama Aus bin Auf berjaya memanahnya sehingga Urwah terluka parah.
Melihat keadaan ini, beberapa kerabat Urwah menyiapkan senjata untuk membalas bani Malik, di antaranya adalah Ghailan bin Salamah, Kinanah bin Abdul Yalil, Hakim bin Amru dan beberapa orang dari bani Ahlaf. Tetapi Urwah mencegah niat mereka, dia berkata, "Janganlah membunuh mereka kerana aku, sesungguhnya aku bersedekah dengan darah ku ini untuk memperbaiki hubungan di antara kalian!!"
Seseorang bertanya kepadanya, "Apa pendapatmu mengenai darah mu yang mengalir ini?"
"Ini adalah kemuliaan, yang Allah telah memuliakan aku dan persaksian yang Allah berikan kepadaku. Tiada sesuatu pun pada diriku melainkan apa yang ada pada mereka yang syahid bersama Rasulullah SAW. Kerana itu, kuburkanlah aku bersama mereka." Kata Urwah pada detik-detik terakhir sebelum kematiannya.
Memang, setelah kekalahannya di Perang Hunain, sebahagian besar pasukan musyrik lari ke Thaif dan bertahan di sana. Nabi SAW memimpin pengepungan benteng Thaif selama beberapa hari dan melakukan penyerangan.
Lebih kurang 20 orang muslim mati syahid dan dimakamkan di sana. Bersama mereka inilah Urwah bin Mas'ud ingin dimakamkan.
Ketika peristiwa pembunuhan Urwah bin Mas’ud ini sampai kepada Rasulullah SAW, baginda bersabda, "Sesungguhnya perumpamaan Urwah di antara kaumnya adalah seperti sahabat Yasin di antara kaumnya."
Yang dimaksudkan Nabi SAW dengan sahabat Yasin adalah Habib (Khubaib) An Najjar, yang menyeru penduduk kota Thakiyyah agar mereka beriman kepada utusan Nabi Isa AS, tetapi mereka membunuhnya. Suatu peristiwa yang diabadikan Allah dalam Al Qur'an Surah Yasin ayat 20-21.

Kredit: Ibnu Ghufron

-Debu-

No comments:

Post a Comment