Friday, January 13, 2017

APA ADA PADA DINDING RATAPAN?

Umat Islam sejak dari awal sudah menyatakan, dinding tersebut adalah sebahagian dari Masjidil Aqsa. Penyucian Dinding Ratapan adalah salah satu daripada perkara yang didustakan oleh kaum yahudi.
Pada tahun 1520, kaum yahudi diusir dari Sepanyol dan sebahagian daripada mereka berpindah ke Palestin. Lalu mereka meminta kepada Sultan Sulaiman II (Khalifah Turki) agar dibolehkan beribadah di sekitar dinding itu.
Atas dasar kemanusian, Sultan Sulaiman membenarkan. Sejak saat itulah kaum yahudi datang ke tempat tersebut untuk mengenang masa lalu sambil menangis.
Itulah sebabnya mereka menamakannya Dinding Ratapan. Nama tersebut sama sekali tidak ada hubungannya dengan ajaran yahudi. Ia adalah istilah yang baru digunapakai oleh mereka.
Dinding Ratapan adalah tempat yang penting dan dianggap suci oleh orang Yahudi mahupun Muslim. Ini adalah sisa dinding Bait Suci di Baitulmuqaddis yang dibina oleh Raja Salomon (Sulaiman), putera Daud.
Panjang tembok ini asalnya sekitar 485 meter, dan sekarang selebihnya hanyalah 60 meter. Ia hancur ketika Israel diserbu tentera Rom pada tahun 70 Masihi.
Orang Yahudi percaya bahawa tembok ini tidak ikut hancur, sebab di situlah berdiam "Shekhinah" (kehadiran ilahi). Jadi, berdoa di situ sama ertinya dengan berdoa kepada Tuhan.
Tembok ini dulunya dikenali hanya sebagai Tembok Barat, tetapi kini disebut "Dinding Ratapan" kerana di situ orang Yahudi berdoa dan meratapi dosa-dosa mereka dengan penuh penyesalan.
Selain mengucapkan doa-doa mereka, orang Yahudi juga meletakkan doa mereka yang ditulis pada sepotong kertas yang dimasukkan pada celah-celah dinding itu.
Dinding ini dibahagi dua dengan sebuah pagar pemisah (mechitza) untuk memisahkan laki-laki dan perempuan. Orang Yahudi Ortodoks percaya bahawa mereka tidak boleh berdoa bersama-sama dengan kaum perempuan.
Bagi umat Islam, dinding ini juga merupakan sebahagian dari dasar Masjidil Aqsa dan Masjidil Omar (Qubbat As-Sakhrah), serta diyakini sebagai gerbang tempat berangkatnya Nabi Muhammad saw dari Jerusalem ke syurga (mi'raj) dengan menaiki Buraq.
Dinding Ratapan ini menjadi rebutan antara umat Yahudi dan Muslim di Jerusalem. Ketika bahagian Jerusalem ini berada di bawah kekuasaan Arab, orang Yahudi mengalami kesukaran untuk mengunjunginya dan berdoa di sana.
Kini, di bawah penguasaan Israel, umat Islam mahupun Yahudi dapat mengunjunginya, namun banyak orang Yahudi yang sangat mengharapkan dibina kembali Bait Suci Salomon, dan itu bererti mereka mahu kedua-dua masjid tersebut harus dihancurkan terlebih dahulu...
-Debu-

No comments:

Post a Comment