Tuesday, January 17, 2017

RUSUHAN/TRAGEDI NATRAH

Rusuhan Natrah, Tragedi Natrah atau Rusuhan Maria Hertogh berlaku di Singapura pada 1950 kerana pertembungan antara dua agama iaitu Islam – Kristian dan dua budaya iaitu Barat – Timur.
Natrah atau Nadra Maarof adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.
Pendek cerita, waktu tu ada seorang anak Belanda, nama dia Maria Hertogh, ayah kepada Maria Hertogh telah ditahan oleh Tentera Jepun dan anaknya telah diberi dan dibesarkan oleh Makcik Aminah. Beliau telah dibesarkan dalam keluarga Islam dan telah diberi nama sebagai “Natrah” selang satu masa lepas tu.
Dipendekkan cerita lagi, kerajaan Belanda berpakat dengan kerajaan British bagi memurtadkan kembali Natrah yang sudah memeluk agama Islam dengan cuba menggunakan tipu daya bagi mengheret Natrah ke dalam Mahkamah Tinggi Singapura pada tahun 1950.
Kita kena ingat pada tahun 1950, orang Melayu tiada pemimpin. Negara Malaysia pun belum ada waktu tu. Orang Melayu miskin pada masa tu tuan-tuan. Walaupun orang Melayu pada masa tu miskin, tetapi semangat akidah mereka terlalu tinggi. Dengar sahaja kerajaan British berpakat dengan kerajaan Belanda bagi memurtadkan Natrah,
Orang Melayu dari Kelantan kayuh basikal turun ke Singapura, orang Melayu di Pulau Pinang jalan kaki ke Singapura, orang Melayu dari Perak dan Selangor tumpang kereta api barang untuk ke Singapura.
Pada 12 Disember 1950, beribu orang Melayu sudah sampai ke Singapura. Mereka hendak masuk bagi membantah keputusan ke dalam mahkamah.
Orang Melayu yang diketuai oleh Karim Ghani telah ditahan oleh Inspektor Taha yang berkhidmat dengan kerajaan British. Karim Ghani mengatakan kepada Inspektor Taha,
“Kamu orang Islam, aku orang Islam, aku datang hari ini bagi menyelamatkan akidah seorang anak yang menyebut kalimah “LAILAHAILLALLAH”, adakah kamu yang menyebut kalimah “LAILAHAILLALLAH” juga mahu menghalang aku? Kamu halanglah, aku akan tetap pergi."
Dengar itu saja, Inspektor Taha terus cabut uniform dia, buang senjata dia. Inspektor Taha menyatakan, “Demi Allah, aku akan bersama kamu pada hari ini”.
Laungan 'Allahuakhbar' bergema di setiap sudut. Inspektor Taha terus serbu untuk masuk ke dalam mahkamah bersama orang-orang Melayu.
Lalu datang askar British tembak orang-orang Melayu. Mengalir darah orang Melayu di tangga mahkamah tinggi Singapura. Seramai 18 orang terbunuh/mati syahid dan 173 orang cedera ketika bertempur dengan tentera dan polis British.
Mana-mana warga British di Singapura telah diserang. Bangunan dan kereta berhampiran padang dekat mahkamah telah dibakar. Tumpuan utama ialah Masjid Sultan di Singapura.
Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam. ISA telah digunakan bagi membendung keganasan merebak.
PUNCA
Orang Melayu, India Muslim dan orang Indonesia di Singapura tercabar dan terbakar apabila Natrah diletakkan di sebuah gereja atau menyamai fungsi gereja. Mereka beranggapan ini adalah ‘Perang Jihad’, perang suci untuk menyelamatkan agama dan maruah Islam.
Dalam Undang-Undang Syariah Islam sebagaimana Sunnah Rasulullah, perempuan Islam berumur 13 tahun dibenarkan berkahwin. Tambahan pula saiz tubuh Natrah/Bertha Hertogh besar. Suaminya pula Mansor Adabi seorang guru berusia 22 tahun. Bapa angkat Mansor Adabi ialah M.A Majid seorang India Muslim.
Mereka dinikah gantung, iaitu mereka dinikah dan sah bermalam tetapi majlis jamuan perkahwinan dibuat pada satu masa lain yang sesuai.
Tujuan pernikahan ini dengan andaian untuk menyelamatkan Natrah daripada dibicarakan semula di Singapura. Tetapi perkahwinan ini menjadi ‘disadvantage’ kerana Undang-Undang Belanda/British tidak membenarkan perempuan bawah 18 tahun berkahwin.
Pihak berkuasa British tidak memberi fokus kepada sensitiviti agama dalam masyarakat majmuk. Natrah yang telah beragama Islam dan amat disayangi oleh Che Aminah telah diletakkan di sebuah tempat berhampiran sebuah gereja.
TURUT TERLIBAT
Karim Ghani ditahan oleh polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Profesor Dr. Burhanuddin al-Helmy ditahan di Pulau Sekijang, Singapura kerana dituduh menjadi dalang dan pembakar semangat rusuhan ini.
Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi peguam bela kes Natrah ini di Mahkamah Sivil Singapura. M.A Majid seorang India Muslim menjadi sumber kewangan untuk perbicaraan.
KRONOLOGI
* 24 Mac 1937, Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
* Disember 1942, Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
* Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
* 15 November 1945, Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
* 1954, Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
* September 1949, Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
* 19 Ogos 1949, polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
* 12 April 1950, Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
* 22 Mei 1950, Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura
* 24 April 1950, Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
* 28 April, Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
* 19 Mei 1950, peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .
* 28 Julai 1950, Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill.
* 1 Ogos 1952, kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura.
* 2 Disember 1950, Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya.
Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar kepada isu jagaan.
* Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
* 12 Disember 1950, Hakim menjatuhi hukuman – Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.
* 12 Disember 1950, Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
* 13 Disember 1950, Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
* Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
* 15 Disember 1950, Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda. Disambut lebih 4000 orang Kristian Belanda berserta sorakan selamat datang dan sepanduk ‘Welcome Back Bertha’. Mereka dari ‘Bertha Hertogh Comittee’ yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
* Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang ‘Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?’.
Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
* Januari 1952, Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
* 9 Januari 1951, Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
* 10 Januari 1951, Surat 2 daripada Mansor Adabi kepada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
* 17 September 1951, Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
* Mac 1953, Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya, Bertha Hertogh.
* 25 Januari 1953, Surat Mansor Adabi kepada Natrah
* 20 Julai 1953, Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
* 1954, Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri. Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
* 26 Januari 1956, Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
* 20 April 1956, Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
* 15 Februari 1957, Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
* 20 Januari 1959, Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga.
* 3 Februari 1959, Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail ‘Personal – Mansor Adabi’ di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
* 25 November 1975, Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari 'The Time Just Stool Still' selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
* 16 Ogos 1976, Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru tapi tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap.
* 26 DiSember 1976, Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
* 1976, Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
* Disember 1979, Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans, lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
* 1983, Natrah bercerai dengan Tom Ballermans
* 1984, Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
* 15 September 1984, Natrah meninggalkan Belanda. Beliau ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin. Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
* Natrah tinggal di Nevada, Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
* Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul 'Natrah' nyanyian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.
Jika kita menyusuri cerita natrah, maka akan kita temui lagu 'NATRAH' nyanyian Handy Black dan 'Pulanglah Natrah' nyanyian Alwadi yang dihasilkan untuk PUISI 2008 (perhimpunan ukhuwah islamiah seluruh Ireland).
* 9 Julai 2009, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.
Kredit: pulanglahnatrah

-Debu-

No comments:

Post a Comment