Nudhair bin Harits termasuk orang yang berilmu dari kaum Quraisy, tetapi dia juga bersemangat memacu kenderaannya bersama kaum Quraisy memusuhi Islam.
Setelah Fathul Makkah, dia masih belum memeluk Islam, tetapi dia menyertai Rasulullah SAW dalam Perang Hunain dengan niat akan menolong pasukan Islam jika mengalami kekalahan. Niatnya tidak kesampaian kerana pasukan Islam memperoleh kemenangan.
Usai peperangan, ketika masih berada di Ji'ranah, Nabi SAW menghampiri Nudhair dan menyapanya. Nudhair mendekati Nabi SAW dan baginda bersabda,
"Ini adalah lebih baik daripada apa yang engkau niatkan pada perang Hunain."
Setelah Nudhair makin dekat, baginda bersabda lagi, "Telah sampai waktunya bagi mu untuk melihat keadaan di mana kamu berada di dalamnya."
"Aku telah melihatnya, Ya Muhammad," Kata Nudhair.
Nabi SAW kemudian berdoa, "Ya Allah, tambahkanlah baginya keyakinan yang kukuh."
Selesai baginda membaca doa, hati Nudhair seperti terbuka, terasa hatinya begitu kukuh berada di jalan Islam dan menguat semangatnya untuk menjadi pembela kebenaran Islam. Dia pun bersyahadat menyatakan Islam di depan Nabi SAW, baginda menyambutnya dengan gembira.
MENOLAK TA'ALLUF
Ketika dia telah sampai di rumahnya di Makkah, seorang lelaki dari bani Daul datang dan berkata,
"Rasulullah memerintahkan untuk memberimu seratus ekor unta dari ghanimah perang Hunain, kerana itu berilah aku beberapa ekor kerana aku mempunyai hutang."
Mendengar berita ini, Nudhair berkata, "Tidak lain ini adalah ta'alluf, aku tidak mahu disuap untuk memeluk Islam. Demi Allah, aku tidak pernah menuntut dan tidak pernah meminta unta-unta ini kerana keputusan ku memeluk Islam."
Ta'alluf adalah hadiah yang diberikan untuk menyenangkan orang yang baru memeluk Islam. Jika yang diberikan zakat, mereka termasuk kelompok mualaf.
Nudhair tidak mahu mengambil pemberian ini, kerana keislamannya bukan kerana harta.
Tetapi kemudian dia sedar, apa yang diputuskan Rasulullah SAW harus ditaati walaupun mungkin dia tidak sependapat.
Tetapi kemudian dia sedar, apa yang diputuskan Rasulullah SAW harus ditaati walaupun mungkin dia tidak sependapat.
Apalagi dilihatnya lelaki bani Daul itu juga sangat memerlukan dan sangat berharap dari bahagian yang diberikan Rasulullah SAW untuknya dari ghanimah perang Hunain.
Akhirnya, dia mengambil unta-unta bahagian ghanimah itu dan memberikan sepuluh ekor kepada lelaki bani Daul tersebut.
Kredit: Ibnu Ghufron
-Debu-
No comments:
Post a Comment