Suhaib ar-Rumi ra adalah salah seorang di antara sahabat Rasulullah saw yang mungkin tidak dikenali oleh ramai kaum muslimin. Dia merupakan as-sabiquna-l awwalun (orang-orang yang pertama memeluk Islam).
Ketika jumlah kaum muslimin masih sekitar 30 orang, Suhaib telah menyatakan keislamannya di hadapan Rasulullah saw dalam keadaan takut akan ancaman kafir Quraisy Mekah.
Suhaib bukan penduduk asli Mekah, dia adalah perantau yang datang ke Kota suci tersebut dari kampung halamannya di Bashrah. Nama belakangnya ar-Rumi yang bererti orang Romawi, juga bukanlah menunjukkan jati dirinya yang asli, kerana dia adalah orang Arab.
LATAR BELAKANG
Suhaib adalah anak dari salah seorang hakim di wilayah dekat Bashrah. Ketika orang-orang Romawi menyerang daerah tersebut, Suhaib ditawan dan menjadi hamba Romawi. Dia membesar di wilayah Romawi tersebut, kerana itulah dia dipanggil Suhaib ar-Rumi.
Nama sebenarnya adalah Suhaib bin Sinan bin Malik, kun-yahnya Abu Yahya. Dia telah dijual kepada salah satu orang kaya Mekah, namanya Abdullah bin Jad’an. Beberapa lama bersama tuan barunya tersebut, Suhaib memperlihatkan kemampuan yang menunjukkan dia tidak layak menjadi seorang hamba. Dia memiliki kecerdasan, semangat kerja yang tinggi dan ketulusan hati.
Lalu Abdullah bin Jad’an pun membebaskan Suhaib ar-Rumi, dan berubahlah statusnya dari seorang hamba menjadi orang merdeka. Setelah merdeka, Suhaib mulakan kehidupan di Mekah sebagai pedagang sehingga dia menjadi salah seorang pedagang yang berjaya di Ummul Qura tersebut.
MEMELUK ISLAM
Ammar bin Yasir mengisahkan,
Aku berjumpa Suhaib bin Sinan di depan pintu rumah al-Arqam, ketika itu Rasulullah saw berada di dalam rumah itu. Aku berkata kepada Suhaib,
“Apa yang kau inginkan?”
Suhaib bertanya balik, “Kamu juga, apa yang kau inginkan?”
Lalu ku jawab, “Aku ingin masuk ke dalam rumah ini menemui Muhammad dan mendengar apa yang baginda sampaikan.”
Kata Suhaib, “Aku juga inginkan hal yang sama."
Ammar melanjutkan, “Kami berdua pun masuk ke dalam rumah al-Arqam, lalu menyatakan keislaman kami. Lalu kami berdiam di rumah hingga waktu senja, kemudian keluar dalam keadaan takut.”
Rasulullah saw bersabda,
“Empat orang pendahulu: Aku adalah yang paling awal dari kalangan Arab, Suhaib paling awal dari kalangan Romawi, Bilal paling awal dari orang-orang Habsyah, dan Salman yang paling awal dari orang Parsi.”
KEDUDUKAN SUHAIB
Salah satu peristiwa yang paling terkenal dan sangat mengagumkan dari perjalanan hidup Suhaib adalah kisah hijrahnya. Sebagaimana telah disebutkan, Suhaib adalah seorang yang tidak memiliki apa-apa, lalu datang ke Mekah dan menjadi salah seorang pedagang yang kaya. Kemudian datanglah panggilan hijrah dan Suhaib pun menyambut panggilan tersebut.
Ketika dalam perjalanan dari Mekah menuju Madinah, Suhaib dihalang oleh orang-orang Mekah.
“Wahai Suhaib, engkau datang kepada kami dalam keadaan miskin dan hina, kemudian hartamu menjadi banyak setelah tinggal di daerah kami. Setelah itu, terjadilah di antara kita apa yang terjadi (perselisihan kerana Islam). Engkau boleh pergi, tapi tidak dengan semua hartamu.” Suhaib pun meninggalkan hartanya tanpa dia pedulikan sedikit pun.
Kemudian sampailah Suhaib di Madinah, lalu dia berjumpa dengan Rasulullah saw yang kemudian mengucapkan,
“Perdagangan yang amat menguntungkan wahai Abu Yahya, perdagangan yang amat menguntungkan wahai Abu Yahya.”
Suhaib berkata, “Wahai Rasulullah, tidak ada seorang pun yang melihat apa yang ku alami.”
Baginda saw menjawab, “Jibril yang memberitahu ku.”
Lalu turunlah ayat,
“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (QS. Al-Baqarah: 207)
Suhaib dikenali sebagai seorang sahabat yang sangat dermawan dan sangat suka memberi orang-orang miskin makan. Disebabkan sangat rajinnya Suhaib dalam bersedakah, sehingga Umar bin Khattab menganggapnya mubadzir (kerana sedekah tidak tepat sasaran).
Kata Umar, “Wahai Suhaib, aku tidak melihat kekurangan pada dirimu kecuali dalam tiga hal: (1) Engkau menisbatkan diri sebagai orang Arab, padahal loghat mu loghat Romawi, (2) engkau berkun-yah dengan nama Nabi, (3) dan engkau orang yang mubadzir.”
Suhaib menjawab, “Aku seorang yang mubadzir? Tidaklah aku berinfak kecuali dalam kebenaran. Adapun kun-yahku, Rasulullah saw sendiri yang memberinya. Dan loghatku loghat Romawi, kerana sejak kecil aku ditawan orang-orang Romawi. Sehingga loghat mereka sangat berpengaruh padaku.”
Ketika Umar wafat, beliau mewasiatkan agar Suhaib yang menjadi imam solat jenazahnya.
Suhaib juga selalu turut serta dalam peperangan yang diikuti oleh Rasulullah saw.
WAFATNYA
Suhaib wafat di Kota Madinah pada bulan Syawal tahun 38 H. Ketika itu usia beliau 70 tahun. Semoga Allah Ta’ala meredhai beliau dan menempatkannya di dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan.
Kredit: islamstory
-Debu-
No comments:
Post a Comment