Saturday, January 21, 2017

MANUSKRIP MELAYU YANG MENGGEMPARKAN

Sebuah manuskrip lama Melayu mengenai ilmu ghaib yang dihasilkan lebih 100 tahun lalu menunjukkan gambar dan grafik yang jelas dipengaruhi agama Hindu dan Buddha.
Penyelidik budaya dan manuskrip Melayu, Dr. Farouk Yahya berkata, manuskrip itu menunjukkan bagaimana orang Melayu zaman lampau meminati amalan sihir dan jampi serapah yang menyimpang dari asas Islam.
Dalam wacana beliau mengenai manuskrip Mantera, Azimat dan Ramalan Berilustrasi Dalam Koleksi 'The School of Oriental And African Studies' (SOAS) di London, Dr. Farouk berkata, naskah itu merupakan buku panduan untuk amalan sihir dan tilik.
Dr. Farouk yang membuat penyelidikan di SOAS berkata, gambar-gambar dan rajah yang dilukis dengan tangan ada banyak kesamaan dengan bentuk tubuh lukisan yang digunakan dalam sihir untuk dera atau bunuh orang melalui sumpahan dalam budaya Siam dan Kemboja.
Ia seakan-akan pujaan voodoo dan Sante Ria di negara-negara Caribbean Amerika tengah. Apa yang berlainan ialah ayat-ayat suci Al Quran ditulis dalam bentuk badan lukisan itu, bersama dengan tulisan Hindu yang merupakan mantera.
Dr. Farouk berkata, di antara manuskrip Melayu yang berkaitan dengan ilmu mantera, azimat dan tilikan, naskah asli itu yang digelar MS 25030 telah banyak mendapat perhatian pengkaji tamadun Melayu di Eropah.
Ramai yang meminati isi kandungan MS 25030 kerana teks dan grafik yang memaparkan contoh-contoh berunsur ajaib dan mistik budaya Melayu.
Ia menunjukkan satu “Syncretism”, iaitu percampuran antara kepercayaan sihir dan Islam, yang merupakan satu percanggahan.
Dalam wacana beliau, Dr. Farouk membincangkan latar belakang manuskrip dan menyiasat lukisan dan rajah yang terkandung di dalamnya, yang berkait dengan karya lain mengenai sihir dan tilikan Melayu kuno.
Apa yang memeranjatkan para hadirin di wacana itu ialah manuskrip itu memberi keterangan bagaimana untuk “membuat” orang melalui jampi.
Menurut naskah itu, rajah dan gambar tubuh manusia perlu dilukis di atas tanah dengan nama si mangsa dan ayat-ayat suci Al-Quran tertentu, lalu orang yang hendak membuat sihir perlu buang air besar atau kecil atau ludah ke atas lakaran.
Mengikut manuskrip itu, orang yang hendak didera akan jatuh sakit atau meninggal dunia dalam keadaan penuh penderitaan.
Manuskrip itu pernah dimiliki oleh seorang warga Kota Bharu, Kelantan yang dikenali sebagai Tuan Bilal Hj Yusuf Bilal di antara tahun 1906 dan 1907. Beliau dipercayai adalah seorang bilal di sebuah masjid yang dinamakan Masjid Raja di bandar itu. Bagaimana pun kajian menunjukkan tidak ada masjid demikian 100 tahun lalu di seluruh Kelantan.
Manuskrip itu disalin oleh seorang yang dikenali sebagai “Sa”, mungkin ringkasan untuk nama Hasan Hj San Lindang, yang tertera pada naskah itu.
Manuskrip itu kemudiannya sampai ke tangan seorang pekerja hospital di Kota Bharu, Nik Ismail.
Menurut Nik Ismail, bapanya Hj Mohamad adalah adik kepada Hasan dan mungkin mewarisi buku itu. Nik Ismail kemudian memberi salinannya kepada Dr Desmond Gimlette, pakar bedah negeri Kelantan yang menyampaikan karya itu kepada Sir Richard Olaf Winstedt, pakar kajian Asia yang tersohor di Eropah. Beliau menderma naskah itu kepada SOAS.
Namun demikian, ramai penyelidik di Malaysia tidak mengetahui mengenainya, mungkin kerana ia disimpan dan dimiliki oleh SOAS di London.

Wallahua'lam...

Kredit: mimbarkata

-Debu-

No comments:

Post a Comment