Thursday, December 29, 2016

KISAH SAHABAT: MUSH'AB BIN UMAIR RA


Masa remaja Mush'ab bin Umair adalah masa remaja yang paling diidamkan oleh para remaja, hidup berlimpah kekayaan, tampan, cerdas, dimanjakan orang tua, diminati ramai wanita dan disanjungi masyarakat kerana dari keluarga terpandang dan banyak menyelesaikan masalah dalam majlis.
Namun semua kelebihan yang dimilikinya jadi tak bererti ketika dia mula mendengar adanya dakwah yang dibawa Nabi SAW. Tekanan dan seksaan yang dilakukan kaum kafir Quraisy terhadap pemeluk Islam tidak membuatnya gentar untuk mengenal lebih jauh ajaran agama baru ini.
Akhirnya cahaya hidayah membawanya ke rumah Arqam bin Abil Arqam (Darul Arqam), dimana biasanya Rasulullah SAW mengajar sahabat-sahabat, dan dia berba’iat memeluk Islam. Lantunan ayat-ayat Al Qur'an membuat hatinya bergemuruh, penuh ghairah dan haru yang membuak, sampai akhirnya Rasullullah SAW mengusap dadanya, sehingga hatinya menjadi tenang dan damai bagaikan lubuk sungai yang dalam.
Hal yang ditakutkan setelah menjadi Islam adalah ibunya. Ibunya, Khunas binti Malik adalah seorang yang dominan, berkeperibadian kuat, berpendirian yang tidak boleh bertolak ansur. Kerana itu Mush'ab menyembunyikan keislamannya dari ibunya, dan diam-diam ia selalu pergi ke rumah Arqam untuk memperdalam keislamannya. Namun, akhirnya ibunya tahu juga perubahan keyakinan anaknya dari seseorang bernama Utsman bin Thalhah.
Mush'ab dimarahi ibunya di depan pembesar-pembesar Quraisy, namun kekuatan iman telah menyatu-padu dalam hatinya sehingga tak mungkin dia kembali kepada agama jahiliah. Bahkan dia berdiri tegak di depan ibunya yang selama ini dihormati dan ditakutinya sambil membacakan ayat-ayat Al Qur'an.
Dalam puncak kemarahan, ibunya mengurung Mush'ab dalam ruangan sempit dan terpencil dengan penjagaan ketat.
Ketika Nabi SAW menitahkan sahabat-sahabatnya untuk berhijrah ke Habsyi, Mush'ab berhasil memperdaya penjaganya dan lepaskan diri untuk mengikut beberapa sahabat berhijrah ke Habsyi. Sungguh, harga yang mahal untuk mempertahankan keimanan. Kemewahan dan kemegahan masa remaja ditukar dengan hidup merana di negeri orang.
Beberapa waktu kemudian, Mush'ab hadir dalam majlis Nabi SAW bersama sahabat-sahabatnya, mereka menundukkan dan memejamkan mata, sebahagian menangis haru melihat penampilan Mush'ab yang memakai jubah usang bertampal-tampal. Rasanya belum lama berselang ketika mereka melihat Mush'ab yang bagaikan bunga di taman, begitu cemerlang memikat dan menebarkan aroma wangian di sekitarnya.
Tetapi justeru inilah yang memunculkan pujian Rasulullah SAW atas dirinya, baginda bersabda, "Dahulu saya lihat Mush'ab ini tak ada yang mengimbangi dalam memperoleh kesenangan dari orang tuanya tetapi semua itu ditinggalkan kerana cintanya pada Allah dan RasulNya."
DUTA PERTAMA DI KOTA MADINAH
Dakwah Nabi SAW pada beberapa kelompok suku yang sedang melaksanakan haji, kebanyakannya ditolak. Tetapi enam orang dari Suku Khazraj yang dipimpin oleh As'ad bin Zurarah dari Bani Najjar menerima ajakan Rasulullah dengan baik.
Pada musim haji berikutnya, dua belas orang datang lagi dan berba'iat pada Nabi SAW, tujuh orang di antaranya baru masuk Islam. As'ad bin Zurarah yang juga memimpin rombongan ini meminta Rasullullah SAW mengirim seseorang yang mampu memberikan pengajaran dan memimpin dakwah di Madinah.
Pilihan Nabi SAW jatuh pada Mush'ab bin Umair. Walaupun masih muda, pengalamannya semasa jahiliah dalam majlis dan kepandaiannya ketika berguru pada Rasullullah, menjadi pertimbangan Nabi untuk memilihnya dalam tugas mulia ini. Dia tinggal bersama As'ad bin Zararah.
Bersama As'ad, Mush’ab mendatangi berbagai kabilah, rumah-rumah dan majlis-majlis untuk mengajak mereka memeluk Islam. Ketika berdakwah pada kabilah Abdul Asyhal, dia dimarahi oleh Usaid bin Hudlair, ketua kabilah tersebut kerana dianggap mengacau dan membuat anak buahnya menyeleweng dari agamanya.
Tetapi dengan kemampuan diplomasinya dan wajahnya yang teduh serta tenang, Mush’ab mampu menenangkan kemarahan Usaid, dan memaksanya untuk duduk mendengar.
Mush'ab pun membacakan ayat-ayat Qur'an dan menjelaskan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Dengan gaya bahasa yang halus penuh ketulusan, Mush'ab mampu menyentuh hati nurani Usaid yang terdalam, dan membawanya pada hidayah Allah untuk memeluk Islam, dalam beberapa jam kemudian disusuli dengan keislaman Sa’ad bin Mu’adz, tokoh Bani Abdul Asyhal lainnya. Keislaman dua tokoh ini diikuti oleh hampir seluruh anggota kabilah tersebut.
Tersebarnya khabar tentang keislaman Usaid bin Hudlair dan Sa’ad bin Mu’adz membuat tokoh-tokoh Madinah lainnya ingin tahu tentang agama baru ini. Beberapa ketua kabilah di Madinah akhirnya memeluk Islam, antara lain Sa'ad bin Ubadah dan Amr bin Jamuh, dimana tokoh ini melakukan pemusnahan banyak berhala yang selama ini dijadikan sembahan.
Masyarakat Madinah pun makin banyak yang masuk Islam menyusul tokoh-tokohnya. Mereka berpendapat, "Kalau Usaid bin Hudlair, Sa'ad bin Ubadah dan Sa'ad bin Mu'adz telah masuk Islam, apalagi yang kita tunggu? Marilah kita datang ke Mush'ab untuk menyatakan keislaman."
SYAHIDNYA MUSH'AB BIN UMAIR
Semasa perang Uhud, Mush'ab bin Umair dipilih oleh Rasulullah sebagai pembawa bendera. Dengan strategi yang jitu dan pengaturan pasukan yang sempurna oleh Nabi, pasukan Quraisy pun kucar-kacir lari meninggalkan harta benda di medan pertempuran.
Tetapi ketidak-disiplinan sebahagian besar dari 50 pasukan pemanah di atas bukit, membuatkan situasi berbalik. Hampir 40 orang turun untuk mengambil ghanimah dan membiarkan pertahanan dari bukit terbuka. Peringatan Abdullah bin Jubair, komandan pasukan pemanah untuk tetap tinggal di atas bukit diabaikan begitu saja.
Khalid bin Walid yang memimpin satu kelompok pasukan Quraisy melihat situasi ini, dan dia bergerak menaiki bukit. Sekitar sepuluh orang yang bertahan di atas bukit tak mampu menahan gempuran Khalid dan mereka syahid semua. Kemudian Khalid menggempur pasukan Islam di bawahnya, bahkan serangan pun mengarah pada Nabi SAW.
Mush'ab melihat keadaan bahaya yang mengancam Nabi SAW, dia bergerak cepat dengan bendera di tangan kiri yang diangkat tinggi, tangan kanan mengayun pedang dan mulutnya bergemuruh dengan takbir, mencuba membendung arus musuh yang mendatangi Rasullullah.
Tetapi kekuatan yang tidak berimbang mematahkan serangan Mush’ab, tangan kanannya dilibas Ibnu Qumai'ah hingga putus, Mush'ab hanya berkata, "Muhammad tidak lain hanya seorang Rasul, sebagaimana Rasul-rasul yang telah mendahuluinya."
Kemudian bendera dikepit dengan sisa lengan kanannya, dan tangan kirinya mengayun pedang menyerang musuh yang terus datang. Tangan kiri itu dilibas juga hingga putus dan bendera jatuh. Umair mengulang ucapannya, "Muhammad tidak lain hanyalah seorang Rasul, sebagaimana Rasul-rasul yang telah mendahuluinya."
Namun demikian dengan kedua pangkal lengannya, Mush’ab masih berusaha menegakkannya bendera itu, akhirnya sebuah tombak menusuk tubuhnya hingga patah, dan gugurlah Mush'ab sebagai syahid.
Setelah perang Uhud berakhir, Nabi berdiri dekat dengan jasad Mush'ab dengan mata berkaca. Susuk tubuh yang masa mudanya dibalut dengan pakaian halus, mahal dan wangi, kini jasadnya hanya tertutup kain yang begitu pendek, jika ditutup kepalanya, kakinya akan terbuka, jika ditutup kakinya, kepalanya yang terbuka. Maka Nabi bersabda, "Tutupkanlah bahagian kepalanya, dan tutupilah kakinya dengan rumput idzkir."

Kredit: Ibnu Ghufron

-Debu-

MAKHLUK CRYPTID! REALITI ATAU FANTASI?

Makhluk cryptid sering dikaitkan dengan mitos dan lagenda. Sebenarnya, makhluk cryptid itu apa?
Perkataan 'cryptid' berasal dari bahasa Yunani "κρύπτω" (krypto) yang bererti sembunyi. Jadi, makhluk cryptid adalah haiwan atau tumbuhan yang telah banyak dilihat oleh manusia tetapi masih tersembunyi dan belum diakui oleh sains moden, dan kewujudannya sering dianggap mustahil.
Sebahagian darinya memang wujud tetapi sebahagian lagi hanyalah HOAX. Mari kita lihat makhluk cryptid yang mana satu wujud, hoax atau disalah sangka sebagai cryptid.

1. Makhluk cryptid yang menjadi lagenda

Lagenda adalah suatu cerita yang diceritakan secara turun temurun. Dari banyaknya makhluk cryptid, ada beberapa yang menjadi lagenda dan ada yang percaya makhluk ini wujud.

Berikut adalah beberapa contoh haiwan cryptid yang menjadi lagenda.

a. Naga

Naga adalah makhluk paling terkenal di dunia. Seluruh pelusuk dunia memiliki cerita tentang naga. Banyak penceritaan dalam sejarah yang dilaporkan tentang kemunculan naga. Tetapi sehingga kini, naga masih tidak dapat dibuktikan sebagai seekor makhluk hidup kerana tiada yang berjaya ditangkap dan diumumkan dengan rasmi.

b. Unicorn

Dalam mitos, Unicorn sering dikaitkan dengan tunggangan para dewa. Unicorn sering digambarkan sebagai kuda putih yang bertanduk satu. Ramai sejarawan zaman dahulu sering menulis buku tentang kuda gagah ini. Salah satu contohnya adalah deskripsi yang ditulis oleh sejarawan Rom, Pliny The Elder.

c. Phoenix

Burung api lagenda ini dikatakan memiliki hidup yang abadi. Gambaran tentang burung ini di tulis dalam bermacam-macam versi. Ada yang mengatakan burung ini memiliki warna merah, ada yang mengatakan warna keemasan, ada pula yang menggambarkan memiliki bulu indah dengan warna bulu ekor berwarna-warni, yang lebih ekstrim lagi mengatakan burung ini memiliki bulu dengan pancaran api yang marak di tubuhnya.

Sama seperti yang lain, belum ada seekor pun yang pernah ditangkap dan diumumkan secara rasmi.

2. Makhluk yang disalah anggap sebagai cryptid

Yang dimaksudkan adalah haiwan yang benar-benar wujud tetapi dikaitkan dengan makhluk cryptid, kerana tidak tahu jenis binatang tersebut yang mungkin nampak aneh pada pandangan mereka.

Berikut adalah beberapa contoh yang disalah anggap sebagai makhluk cryptid.

a. Adjule

Adjule sering disebut juga 'Kelb-el-khela'. Dilaporkan banyak dilihat di sekitar gurun sahara oleh para pengembara pada tahun 1928. Ramai pengembara yang melihat dan menceritakannya di kota terdekat, mereka mengatakan mirip seekor anjing. Beberapa bulan kemudian ada pengembara lain yang melihat dan menceritakannya di kota yang sama, tetapi ceritanya berbeza, mereka mengatakan mirip seekor serigala dengan taring yang tajam.

Muncullah mitos di kota dan tersebar dengan begitu cepat, ada yang mengatakan hantu, yang wujud sebagai anjing, kadang-kala sebagai serigala dengan taringnya yang menakutkan. Tetapi akhirnya, para pengkaji berjaya mengenalpasti makhluk ini. Haiwan ini adalah anjing liar Afrika yang hampir pupus.

b. Canvey Island Monster

Bermula dari terdamparnya bangkai makhluk yang belum pernah dilihat sebelumnya di Canvey Island, England pada bulan November 1954. Bangkai tersebut digambarkan memiliki panjang 76 cm, kulit tebal berwarna coklat kemerahan, mata besar dan memiliki insang.

Makhluk ini digambarkan pula memiliki kaki belakang yang berbentuk ladam kuda dengan lengkungan cekung. Setelah diteliti sebentar, bangkai tersebut dibakar oleh pengkaji haiwan yang memeriksanya, agar tidak menimbulkan bahaya bagi para penduduk.

Penemuan ini menimbulkan banyak spekulasi, ada yang mengaitkannya dengan makhluk cryptid. Akhirnya, pada tahun 1999 seorang wartawan bernama Nicholas Warren melakukan penyelidikan dan makhluk ini dikenalpasti sebagai Anglerfish.

Kepastian ini disokong oleh Alwyne Wheeler, mantan pengkaji ikan di Department Zoologi di Natural History Museum British, yang mengemukakan bahawa makhluk itu adalah Anglerfish. Yang digambarkan sebagai kaki belakang sebenarnya adalah sirip.

c. Elmendorf Beast

Elmendorf Beast adalah nama yang diberikan kepada makhluk yang telah melakukan serangan terhadap ternakan penduduk di Elmendorf, Texas.

Berbagai spekulasi tersebar tentang gambaran makhluk tersebut, ada yang menganggap makhluk tersebut adalah serigala sehinggalah disangka makhluk tersebut adalah Chupacabra yang terkenal.

Pemburuan dilakukan untuk menangkap makhluk yang sudah meresahkan penduduk. Akhirnya, pada Ogos 2004, makhluk yang disebut Elmendorf Beast telah ditembak mati oleh peternak tempatan, Devin Mcanally.

Pengkaji haiwan San Antonio tidak dapat memastikan jenis binatang tersebut. Akhirnya siasatan dilanjutkan dengan ujian DNA di University of California dan telah berhasil mengenalpasti makhluk tersebut yang ternyata adalah seekor 'coyote' yang menderita sakit kudis yang kronik.

3. Makhluk cryptid HOAX
Ada juga makhluk cryptid yang direka sendiri oleh seseorang untuk disebarkan melalui mulut ke mulut, media massa atau internet, dengan tujuan untuk mencari keuntungan atau kekecohan agar seseorang itu menjadi terkenal. Berikut adalah beberapa contoh makhluk cryptid yang ternyata adalah HOAX!

a. Hodag

Pada tahun 1983, penuh dengan berita mengenai makhluk aneh yang tertangkap di Rhinelander, Wisconsin dalam surat khabar. Makhluk yang tertangkap itu diberi nama Hodag.

Sekumpulan kecil ilmuwan dari Smithsonian Institution di Washington, DC melakukan perjalanan ke Rhinelander untuk memeriksa kebenaran berita tersebut, yang akhirnya diketahui bahawa cerita tersebut adalah bohong. Direka oleh Eugene Shepard.

b. Skvader

Sebenarnya Skvader adalah seekor makhluk fiksyen dari Sweden yang dicipta oleh Rudolf Granberg pada tahun 1918.

Memiliki ciri seperti seekor kelinci tetapi memiliki sayap dan ekor seperti seekor burung. Dari kisah dongeng yang diceritakan sampai pada akhirnya ada sebahagian orang yang percaya Skvader benar-benar wujud. Akhirnya Skvader menjadi simbol tidak rasmi Sundsvall (kota yang terletak di bahagian timur Sweden).

c. Ya-Te-Veo (Man-eating tree)

Pohon pemakan manusia ini sebenarnya hanya khayalan manusia saja yang terinspirasi dari tanaman karnivora (pemakan daging). Tetapi daging yang disebutkan di sini adalah daging dari tubuh serangga kecil.

Dengan imaginasi sebahagian penduduk, pohon kecil yang awalnya memakan serangga kecil berubah menjadi makhluk cryptid yang makan haiwan besar atau manusia.

Hoax pertama dilaporkan dari laporan yang ditulis oleh penjelajah Jerman, Carl Liche pada tahun 1881 yang ditangkap oleh suku Mkodo di Madagaskar dan ingin dikorbankan ke pohon pemakan manusia tersebut. Akhirnya diketahui pohon pemakan manusia tersebut adalah hoax.

4. Makhluk cryptid yang kewujudannya sudah diakui dunia sains moden
Inilah dia makhluk cryptid yang sudah ada dan diakui oleh sains moden. Awalnya, ia hanya mitos di mana kemunculannya banyak diceritakan tetapi tidak dilihat.

Tetapi mereka ada dan benar-benar wujud sebagai makhluk hidup. Berikut adalah beberapa contoh makhluk yang dulunya adalah cryptid.

a. Komodo Dragon

Tahun 1910 adalah pertama kalinya ada laporan tentang penampakan makhluk ini. Dengan khabar angin yang mengatakan penampakan cicak raksasa, buaya yang tinggal di darat, bertaring besar dan dicampur cerita yang tidak jelas, membuatkan ramai orang berspekulasi itu adalah hoax.

Kemudian pada tahun 1926, ekspedisi dari Muzium Sejarah Alam Amerika mencari kebenarannya diadakan. Ketika pasukan ekspedisi yang dipimpin oleh W. Douglas Burden kembali dengan 12 spesies yang diawetkan dan 2 dalam keadaan hidup, saat itulah dunia mengenal Komodo.

b. Platypus

Dengan kombinasi yang aneh, makhluk ini pernah dianggap hoax. Ketika penjelajah Eropah pertama kali bertemu makhluk ini mereka bingung bagaimana hendak menggambarkannya. Mereka menggambarkan sebagai mamalia berbisa, bertelur, berparuh, mirip memerang, kaki berselaput dan boleh berenang.

Ketika dibuat sketsa tahun 1798 tentang makhluk ini, ramai ilmuwan barat terkenal yang menganggapnya sebagai hoax. Bahkan ketika bangkai makhluk ini ditemui, mereka tetap menyangka itu adalah hoax dari berbagai jenis haiwan yang dijahit dengan menggabungkan bahagian-bahagian tubuhnya.

Kini makhluk aneh dan menarik ini sudah dikenali dunia dengan nama Platypus.

c. Kanggaru

Ketika orang Eropah melakukan penjelajahan di Australia, mereka melihat ada haiwan aneh yang tidak pernah mereka saksikan.

Mereka menggambarkan makhluk tersebut memiliki kepala seperti rusa, dapat berdiri seperti manusia, melompat seperti katak, mempunyai dua kepala, satu dibahu, satu lagi diperut. Tentu saja pernyataan itu dianggap bohong dan gurauan.

Tetapi keadaan berubah pada tahun 1770-an, ketika kapten James Cook mempamerkan bangkai dari makhluk aneh tersebut di England. Kini kanggaru sudah dikenali oleh masyarakat dunia dan menjadi ikon negara Australia.

Kredit: freestandings

-Debu-

Wednesday, December 28, 2016

KULIT MAYAT BERTATU YANG DIAWET!

Sekitar awal abad ke-20, Jabatan Perubatan Forensik di Universiti Jagiellonian telah mempelopori kajian mengenai tatu penjenayah bagi memecah kod peribadi penjenayah.
Mereka telah mengawet kulit mayat yang mempunyai tatu dengan menggunakan cecair 'formaldyhide' untuk mengkaji dengan lebih lanjut mengenai asal-usul penjenayah.
Mereka percaya bahawa tatu memberi gambaran lebih jelas mengenai jenayah yang telah pesalah lakukan.

Tatu perempuan memakai seluar
Tatu ini memberi gambaran kepada pakar forensik bahawa tatu ini adalah pemilik seorang perogol atau pembunuh bersiri.

Tatu lelaki berbasikal
Dipercayai, tatu ini menunjukkan penjenayah berasal daripada kampung yang terpencil dan menjadi sarang penjenayah.

Tatu perempuan dan bunga
Tatu ini pula dikatakan pemilik kepada penjenayah yang membunuh kerana rasa cemburu. Apa yang dapat dikaitkan dengan cemburu?

Pakar mengatakan bunga yang melindungi barang sulit perempuan itu menunjukkan sifat cemburu penjenayah.

Tatu lelaki bertopi
Tatu ini memberi gambaran bahawa penjenayah kemungkinan besar warganegara Mexico. Topi yang dipakai oleh lelaki ini menunjukkan topi yang biasa dipakai oleh penjenayah daripada Mexico.

Tatu helang

Tatu ular dan tengkorak

Kredit: takusahrisau

-Debu-

RAHSIA TERSURAT: PULAU CENDERAWASIH

Pulau cenderawasih adalah sebutan dan panggilan umat Nusantara lama kepada sebuah pulau besar di hujung timur nusantara iaitu Pulau Papua.
Pulau tersebut berbentuk seperti burung cenderawasih, di kepulauan papua ini, terdapat dua negara iaitu di sebelah barat adalah negeri Irian Jaya (Indonesia) dan di sebelah timur adalah negara Papua New Guinea.
Dalam bahasa Arab, maksud Papua New Guinea diambil daripada perkataan "Babul Ghaniul Jadid", membawa maksud "Pintu Kekayaan".

PERSOALAN
Adakah pembentukan Pulau Papua dengan Burung Cenderawasih ada persangkutan mengapa spesis burung cenderawasih banyak hidup membiak di pulau tersebut?
Adakah ianya satu kebetulan atau memang ada kisah di sebalik pembentukan pulau Papua yang menyerupai burung cenderwasih itu?
Maha suci Tuhan yang Maha mengetahui akan segala rahsia rencanaNya dan hikmah di setiap ciptaanNya.

HABITAT RASMI BURUNG CENDERAWASIH
Pulau cenderawasih merupakan tempat habitat rasmi burung cenderawasih di bumi, ianya melingkungi di kepulauan Papua dan hutan Australia timur (bersempadan dengan pulau papua).

Burung ini sinonim dengan masyarakat asli pedalaman di kepulauan papua, habitat dan kedudukan mereka terpencil dan jauh di pedalaman.

Mitos tentang burung yang sangat istimewa ini bukan sahaja telah menjadi warisan penduduk nusantara sahaja tetapi sudah menular ke seluruh pelusuk dunia.

Di Barat, mereka mengenalinya dengan nama "Bird of Paradise" dan di negara China pula mengenalinya dengan nama "Phoenix".

Burung cenderawasih adalah burung yang dikaitkan dengan misteri dan rahsia yang kini semakin dibongkar sedikit demi sedikit, telah diketahui umum penggunaannya yang meluas di dalam kesenian, kebudayaan, perubatan dan sebagainya.

SEJARAH PENJAJAHAN PULAU CENDERAWASIH
Pulau cenderawasih adalah sebuah pulau yang kaya dengan hasil bumi dan alam, atas faktor ini telah berlaku rebutan penjajah-penjajah untuk merebut pulau emas ini untuk mengembangkan lagi pengaruh dan kuasa mereka di bumi nusantara.

Mereka beranggapan, sesiapa yang dapat mengambil pulau cenderawasih maka mereka diiktiraf sebagai satu kuasa yang berpengaruh dan ulung di zamannya.

Maka berlumba-lumbalah mereka menjajah pulau cenderawasih yang penuh misteri itu. Direkodkan sebanyak tiga penjajah besar telah menjajah pulau cenderawasih secara serentak iaitu di sebelah barat Irian jaya dijajah oleh Belanda, di sebelah timur terpecah kepada dua kuasa penjajah yang cuba berebut dan membuat sempadan perjanjian penjajahannya iaitu di sebelah utara dikuasai Penjajah German dan di sebelah selatan dikuasai oleh Penjajah Inggeris.

Sayang seribu kali sayang, wilayah Nusantara yg bernama Papua New Guinea terlepas ke tangan penjajah barat kerana di situ terdapatnya sumber emas paling banyak di dunia...

Sangat dramatik penjajahan ke atas pulau emas cenderawasih ini, telah berlaku banyak perebutan oleh penjajah ke atasnya, pulau ini dicatatkan dalam sejarah sebagai sebuah pulau yang sangat dikehendaki dan memiliki penjajah yang ramai ke atasnya.

Jika dilihat, mesti ada sebab dan beberapa faktor penting, kenapa penjajah sangat bersungguh-sungguh mahu menjajah bumi emas cenderawasih ini.

Semasa penjajahan, pulau emas cenderawasih ini dijadikan markas utama mereka di hujung timur jauh nusantara, mereka memonopoli hasil buminya terutama emas dan hasil galian yang lain untuk dibawa pulang ke negara mereka sebagai aset negara dan harta intelek yang kekal di dalam simpanannya sehingga kini.

Untuk makluman, Pulau cenderawasih pada hari ini hakikatnya masih lagi dijajah sebenarnya, kerana 99% hasil buminya dikaut oleh Amerika dan sekutunya, tetapi hanya 1% sahaja diserahkan kepada Indonesia dan Papua New Guinea.

Pulau ini masih terikat dengan penjajah moden walaupun sudah diberi kemerdekaan, hakikatnya pulau ini dipecah-belahkan, para musuh tahu inilah pulau orang nusantara maksudkan sebagai "pulau yang hilang dari nusantara", mereka berusaha memisahkan pulau ini dengan menjajahnya dan kini meletakkannya di dalam zon Benua Oceana.

Dalam Benua Oceana ini, hampir kesemua pulau yang bernaung dibawahnya masih dijajah secara halus dan "moden" seperti pulau cenderawasih ini.

TAMAN NEGARA PULAU CENDERAWASIH

Taman negara di Irian Jaya ada dua iaitu Taman Nasional Lorentz meliputi kawasan pergunungan Puncak Jaya dan satu lagi kawasan yang dilindungi iaitu Teluk Cenderawasih.

Taman Nasional adalah Taman Negara yang dilindungi dan burung cenderawasih bebas membiak dan berhabitat di dalamnya memandangkan kawasannya hutan tebal dan bergunung ganang. Pemulihan dan pemeliharaan di laksanakan di Taman Nasional tersebut bagi melindungi pelbagai spesis haiwan dan tumbuhan daripada terancam dan kepupusan.

PUNCAK JAYA LAMBANG KEMEGAHAN CENDERAWASIH

Gunung puncak jaya atau puncak sukarno berketinggian 5030 meter daripada paras laut adalah sebagai lambang keunggulan pulau cenderawasih.

Puncak Jaya terletak di dalam Taman Nasional Lorentz, sebuah khazanah besar pulau cenderawasih yang dilindungi dan menyimpan rahsia bersama burung cenderawasih.

Puncak Jaya berkedudukan di negeri Irian Jaya (Indonesia). Merupakan gunung yang tertinggi di Benua Oceana, walaupun Indonesia berkedudukan di benua Asia dan dalam Asia tenggara. Keseluruhan pulau cenderawasih dikira berada di dalam Zon Benua Oceana.

Jika Pulau cenderawasih ini diiktiraf separuh (iaitu wilayah negeri Irian Jaya) memasuki Asia tenggara, maka Gunung Kinabalu yang berketinggian 4095.2 meter dari paras laut bukan lagi Gunung tertinggi di Asia tenggara.

Sebaliknya, Gunung Puncak Jaya diiktiraf sebagai Gunung tertinggi di Benua Oceana.

TELUK CENDERAWASIH
Teluk cenderawasih merupakan sebuah teluk yang dilingkungi pulau-pulau kecil disekelilingnya, terletak di antara leher dan kepala burung cenderawasih. Merupakan salah satu teluk yang dilindungi oleh Taman Nasional.

SORONG SEBAGAI MATA CENDERAWASIH
Raja Ampat merupakan nama kepada kawasan kepulauan yang terdiri daripada pulau-pulau Misoool, Salawati, Batanta dan Wiageo yang dikelilingi oleh lebih daripada 1,500 pulau-pulau kecil.

Sorong menjadi simbolik mata kepada burung cenderawasih kerana mata kepala burung cenderawasih menghadap ke barat nusantara.

Jika dilihat jarak Raja Ampat dan sorong ke Malaysia, titik sentuh dari mata cenderawasih adalah berkoordinat ke negeri Melaka. Garisan anak panah tersebut adalah anggaran jarak di antara bandar-bandar besar di nusantara.

HASIL BUMI PULAU CENDERAWASIH
Bumi cenderawasih adalah bumi yang kaya dengan hasil alam kurniaanNya. Para penguasa dari kerajaan Sriwijaya pernah mengirimkan persembahan kepada Maharaja China.

Di dalam persembahan itu terdapat beberapa ekor burung Cendrawasih, yang dipercayai sebagai burung dari taman syurga yang merupakan haiwan asli dari Papua.

Dengan armadanya yang besar, Sriwijaya mengunjungi Kepulauan Maluku dan Papua untuk memperdagangkan rempah-rempah, wangi-wangian, mutiara dan bulu burung Cenderawasih.

Tanah Papua sangat kaya. Tembaga dan Emas merupakan sumber alam yang sangat berlimpah.

Papua satu masa duhulu terkenal dengan pengeluaran emasnya yang terbesar di dunia dan pelbagai kekayaan alam yang begitu melimpah ruah. Pulau cenderawasih diibaratkan seperti syurga keanekaragaman khazanah dan peninggalan yang tersisa di bumi pada zaman ini.

GELARAN KEPADA PULAU CENDERAWASIH
"Dunia yang hilang" 
- Gelaran yang diberikan oleh pengkaji sejarah pada tahun 2006.

"Pulau yang hilang dari Nusantara"
- Panggilan ini diberikan oleh orang melayu nusantara lama, pulau yang paling jauh di hujung timur nusantara.

"Pulau emas"
- Pulau yang mengandungi banyak sumber emas, pernah menjadi pengeluar emas terbesar dunia kerana banyaknya hasil emas di perut buminya.

"Taman Firdaus di bumi"
- Menyaksikan puluhan jenis burung, kupu-kupu, katak dan tumbuhan yang belum pernah tercatat dalam sejarah dan belum direkodkan spesisnya.

"Syurga kecil yang jatuh ke bumi"
- Julukan khas diberikan sempena kekayaan khazanah alam flora fauna yang tiada bandingannya.

"Syurga burung cencerawasih"
- Merupakan penempatan asal burung cenderawasih di bumi.

Kredit: zam-zzzzzzzzzz

-Debu-

KISAH SAHABAT: THUFAIL BIN AMR AD DAUSI RA


Thufail bin Amr ad-Dausi, seorang bangsawan yang mulia dan bijaksana sekaligus penyair cendekiawan dari bani Daus di Yaman.
Ketika dia datang di Mekah, dengan segera orang-orang Quraisy menemuinya dan mengingatkannya tentang Nabi SAW.
Mereka mengatakan, dari kata-kata baginda yang mempesonakan, yang dianggap sebagai sihir hendak memecah-belahkan seseorang dari keluarganya. Memisahkan seorang ayah dari anaknya, seorang isteri dari suaminya, bahkan dirinya sendiri dari kaumnya.
Mereka menyarankan agar Thufail tidak berbicara dan mendengar ucapan Nabi SAW. Mereka khuatir jika peristiwa yang terjadi di Mekah itu akan menimpa Bani Daus iaitu kaum Thufail.
Orang-orang Quraisy begitu kuat mengingatkannya sehingga dia menetapkan diri untuk tidak menemui Nabi SAW. Tetapi ternyata takdir menentukan nasibnya...
BANI DAUS MEMELUK ISLAM
Suatu hari, Thufail pergi ke Ka'bah dan pada masa yang sama, Nabi SAW sedang berada di sana. Tanpa sengaja, dia mendengar kata-kata Rasulullah SAW dan amat terkesan di hatinya.
Hati kecilnya terusik, "Bagaimanapun aku seorang cendekiawan dan penyair, aku dapat mengenal mana yang baik dan mana pula yang buruk. Apa salahnya kalau aku mendengar sendiri apa yang akan dikatakan orang itu! Jika ternyata baik akan kuterima, kalau buruk akan ku tinggalkan."
Dia mengikut Rasulullah SAW sampai ke rumah baginda dan bertamu, kemudian menceritakan tentang apa dikatakan kaum Quraisy kepadanya dan apa yang terlintas dalam hatinya itu.
Nabi SAW sudah maklum dengan sikap orang-orang Quraisy tersebut, dan menjelaskan tentang risalah Islam kepadanya. Baginda juga membacakan beberapa ayat-ayat Quran. Akal sihatnya tidak dapat lagi ditutup dari kebenaran, Thufail terus memeluk Islam pada ketika itu juga.
Thufail adalah seorang tokoh yang ditaati oleh kaumnya, Bani Daus. Dia meminta izin Nabi SAW untuk mendakwahkan Islam kepada kaumnya dan baginda bersetuju. Dia juga meminta Nabi SAW mendoakannya agar Allah SWT memberikan satu tanda sebagai penolong dalam usaha dakwahnya dan baginda mendoakannya.
Dalam perjalanan pulang ke kaumnya, dia bermalam di suatu tempat di antara dua gunung. Dalam kegelapan malam itu, tiba-tiba muncul sinar di antara dua matanya. Thufail merasa ini adalah pengabulan doa Nabi SAW atas tanda yang dimintanya.
Tetapi dia khuatir jika dengan ada sinar di wajahnya, akan dianggap kaumnya sebagai hukuman kerana dia memecah belahkan kaumnya dengan dakwah Islamnya itu. Dia berdoa kepada Allah agar sinar itu dipindahkan dari wajahnya. Allah mengabulkan doanya, dan sinar itu berpindah ke hujung cambuknya.
Ketika sampai di kalangan kaumnya, pertama sekali dia berdakwah pada keluarganya. Ayah dan isterinya menyambut ajakannya memeluk Islam, tetapi ibunya menolak.
Tidak mudah bagi Thufail mengajak kaumnya memeluk Islam, beberapa orang mendustakan dan memusuhinya kerana dakwahnya.
Setelah beberapa lama berdakwah, hanya beberapa orang saja menyambut ajakannya memeluk Islam, sebahagian besar memusuhinya.
Dia kembali menemui Nabi SAW di Makkah, dan berkata, “Ya Rasulullah, doakanlah kebinasaan untuk Bani Daus, kerana kebanyakan dari mereka mendustakanmu!"
Nabi SAW tersenyum mendengar permintaan Thufail, kemudian mengangkat tangan dan berdoa, "Ya Allah, berilah hidayah kepada Daus."
Setelah itu, baginda berpaling kepada Thufail dan bersabda, "Kembalilah engkau kepada kaummu, serulah mereka kepada Islam dengan lemah lembut."
Thufail sangat terkesan dengan sikap baginda. Dia segera kembali ke kampungnya, dan berdakwah pada kaumnya dengan sabar dan lemah lembut.
Pada tahun 7 Hijrah, dia berhijrah ke Madinah dengan 70 keluarga yang semuanya telah memeluk Islam, termasuk di antaranya Abu Hurairah. Ketika itu, Nabi SAW dan sahabat-sahabat dalam peperangan Khaibar, maka mereka, kecuali wanita dan anak-anak, segera menyusul dan ikut terjun dalam pertempuran melawan kaum Yahudi.
Thufail meninggal semasa kekhalifahan Abu Bakar as-Siddiq, dia syahid dalam perang Yamamah, peperangan dalam menumpaskan nabi palsu, Musailamah al Kadzab.

Kredit: Ibnu Ghufron

-Debu-

KISAH RAJA-RAJA MELAYU BERMIMPI BERJUMPA RASULULLAH SAW


Mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW bukan sahaja berlaku di kalangan ahlul bait, para ulama dan wali-wali Allah. Bahkan ia juga berlaku ke atas beberapa orang sultan di Alam Melayu.
Malangnya mimpi berjumpa Rasulullah SAW tersebut sering disalah tafsir oleh orientalis Barat dan sarjana tempatan yang terdiri daripada orang Melayu sendiri sebagai hanya satu mitos atau perkara khayalan semata-mata.
Walhal, Nabi Muhammad SAW pernah berjanji di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud,
"Berilah nama-nama kalian dengan namaku, dan jangan memakai gelar seperti gelarku, dan barang siapa bermimpikan aku dalam tidurnya, sungguh ia telah melihat aku, maka sungguh syaitan tidak mampu menyerupai diriku, dan barang siapa yang berdusta dengan mengatas namakan namaku dengan sengaja, maka kehendaknya dia bersiap akan tempatnya di dalam neraka."
MIMPI MERAH SILU @ SULTAN MALIKUL SALEH
Dalam Hikayat Raja Pasai, selain menceritakan keturunan raja-raja Pasai, juga menceritakan tentang mimpi Merah Silu bertemu Rasulullah SAW.
Semasa berburu di hutan, anjing Merah Silu yang bernama si Pasai telah menyalak kuat dan berdakap tujuh kali dengan pelanduk. Di atas sebuah bukit ada seekor semut sebesar kucing. Merah Silu makan semut tersebut dan tempat itu dijadikan negeri bernama Semudera. Lama-kelamaan ia disebut sebagai Samudera.
Dalam satu riwayat disebutkan, Nabi Muhammad SAW pernah berwasiat kepada para sahabat supaya berdakwah di negeri Samudera setelah baginda wafat. Bawa sebuah kapal dan kelengkapan dan ambil seorang fakir dari negeri Mengiri untuk mengislamkan seluruh rakyat negeri Samudera.
Tidak lama kemudian Nabi Muhammad SAW wafat. Syarif yang mentadbir Kota Mekah ketika itu mahu melaksanakan wasiat Nabi Muhammad SAW.
Syeikh Ismail ditugaskan ke Samudera. Syeikh Ismail singgah di negeri Mengiri. Raja Mengiri iaitu Sultan Muhammad seorang yang berketurunan daripada sahabat baginda Sayidina Abu Bakar as-Siddiq. Anak Sultan Muhammad menyamar sebagai fakir menumpang kapal tersebut. Kapal itu belayar ke Samudera.
Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Merah Silu melihat Nabi Muhammad SAW berada di hadapannya sambil menopang dagunya dan menutup matanya selama empat jam. Kemudian Nabi Muhammad SAW mengajar Merah Silu mengucapkan dua kalimah syahadah. Merah Silu pun mengikut baginda mengucapkan dua kalimah syahadah.
Kemudian baginda Nabi meludah ke dalam mulut Merah Silu. Nama Merah Silu ditukar oleh baginda, lalu diberi nama Sultan Malikul Saleh. Diperintahkan Rasulullah hanya memakan binatang halal yang telah disembelih sahaja.
Nabi berkata lagi dalam masa empat puluh hari, akan datang sebuah kapal dari Mekah dan Sultan Malikul Saleh hendaklah menerima agama Islam yang dibawanya. Apabila Merah Silu terjaga daripada tidur, Merah Silu mendapati kemaluannya telah dikhatankan dan mulutnya lancar membaca al-Quran 30 Juzuk.
Sebuah kapal dari Mekah telah berlabuh di Pelabuhan Samudera di Teluk Terli. Syeikh Ismail menghadap Sultan Malikul Saleh dan memintanya mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar. Sultan Malikul Saleh diberikan senaskah al-Quran oleh Fakir Mohamad.
Sultan Malikul Saleh dapat membacanya dengan lancar sekali. Kemudian Syeikh Ismail berjaya mengislamkan seluruh rakyat Samudera. Syeikh Ismail menabalkan Sultan Malikul Saleh menjadi raja Samudera Darul Salam. Menteri yang bernama Tun Seri Kaya diberi nama Sayid Ghiatuddin dan baba kaya dengan nama baru Sayid Semayamuddin.
Selepas habis tugasan, Syeikh Ismail kembali belayar pulang ke Mekah. Sultan menghadiahkan fidyah ambar, kapur barus, gaharu, cendana, kemenyan, kelembak, cengkih dan pala kira-kira seratus bahara.
Fakir Mohamad tinggal di Samudera dengan mengajar agama Islam. Sementara itu, satu lagi kaum di Samudera yang enggan memeluk Islam telah bertindak melarikan diri ke hulu Pasangan yang kini dikenali sebagai orang Gaya.
MIMPI RAJA KECIL BESAR @ SULTAN MUHAMMAD SYAH
Melaka menerima kedatangan Islam pada zaman Raja Kecil Besar. Pengislaman Raja Melaka itu dianggap oleh Orientalis dan diikuti oleh sarjana tempatan sebagai suatu mitos kedatangan Islam semata-mata. Menerusi Sulatus Salatin, Raja Kecil Besar telah diriwayatkan menerima agama Islam secara langsung dari Rasulullah SAW melalui mimpi.
Pada suatu malam, Raja Kecil Besar bermimpi berpandangan dengan keelokan wajah Nabi Muhammad SAW. Kemudian Rasulullah SAW mengajar Raja Kecil Besar mengucap dua kalimah syahadah. Raja Kecil Besar ditukar namanya oleh Rasulullah dengan Sultan Muhammad Syah.
Selepas itu, Rasulullah SAW memberitahu Sultan Muhammad Syah pada keesokan hari pada waktu asar akan tiba sebuah kapal dari Jeddah dan orang-orang dari kapal itu akan mendirikan solat di pantai Melaka.
Rasulullah menitahkan Sultan Muhammad Syah untuk menuruti sahaja kata-kata orang dari kapal itu. Dengan penuh takzim, Sultan Muhammad Syah berjanji akan menuruti segala kata-kata dan perintah Rasulullah. Kemudian Rasulullah pun ghaib dan Raja Muhammad Syah pun tersedar dari tidurnya.
Keesokan harinya pada hari siang, Sultan Muhammad Syah mendapati badannya berbau narawastu. Zakar baginda sudah dikhatankan. Sementara itu pula, mulut Sultan Muhammad Syah tiada henti-henti menyebut Kalimah Syahadah.
Kelakuan dan tingkah laku Raja Kecil Besar dipandang aneh. Raja Perempuan bimbang melihat perlakuan raja dan memberitahu Bendahara. Ketika Bendahara sampai, baginda masih menyebut,
"La ila ha illallah Muhammadur Rasulullah"
Sultan Muhammad Syah pun menceritakan kepada Bendahara tentang mimpinya. Bagi membuktikan mimpi Sultan Muhammad Syah adalah benar, Sultan Muhammad Syah menunjukkan zakarnya yang telah dikhatankan. Sultan juga memaklumkan kepada Bendahara akan sabda Rasulullah SAW akan kedatangan sebuah kapal dari Jedaah pada waktu asar nanti.
Pada waktu Asar, sebuah kapal Jeddah berlabuh di Melaka. Makhdum kapal itu bernama Syed Abdul Aziz. Mereka turun mendirikan solat di pantai Melaka. Orang-orang Melaka hairan melihat kelakuan orang dari atas kapal itu yang sedang tunggang-tonggek (solat).
Sultan Muhammad Syah yang diiringi pembesar negeri pun tiba di pelabuhan lantas menjemput Makhdum Syeikh Abdul Aziz menaiki gajah bersama-sama Sultan Muhammad Syah diikuti oleh rombongan makhdum ke Istana untuk mengislamkan rakyat negeri Melaka.
Wallahua'lam...

Kredit: budijagat

-Debu-