Tuesday, December 13, 2016

KISAH SAHABAT: AMR BIN JAMUH R.A




Amr bin Jamuh ra adalah ketua dari Bani Salimah, kisah keislamannya amat unik. Semua itu berasal dari perbuatan dua pemuda Bani Salimah yang telah memeluk Islam, yang salah satunya adalah anaknya sendiri, iaitu Muadz bin Amr bin Jamuh dan Muadz bin Jabal, keduanya memeluk Islam dan berba'iat kepada Nabi SAW di Aqabah.
Satu malam, dua orang pemuda ini masuk ke rumah Amr dan mengambil berhala sembahannya. Berhala yang biasa dipanggil "manat" itu dilemparkan ke lubang pembuangan najis dalam keadaan menungging, dengan kepala menjunam ke dalam najis.
Keesokan harinya, Amr marah-marah kerana kehilangan tuhannya, dia pun mencari dan menemuinya di lubang najis. Setelah mengambil dan membersihkannya, Amr meletakkan kembali di tempatnya semula dan berkata kepada berhala itu,
"Demi tuhan, jika aku tahu siapa yang melakukan kekejian ini kepadamu, aku pasti akan membalasnya."
Pada malam harinya, kedua pemuda ini mengulangi perbuatannya, dan membuangnya pada tempat yang sama. Pada pagi harinya, Amr terbangun dalam keadaan marah-marah kerana sekali lagi kehilangan tuhannya.
Dia mencari dan menemuinya di tempat yang sama. Dia membersihkan dan menempatkannya kembali seperti asal. Kejadian ini berulang sampai beberapa kali. Kerana sakit hati dan kesal hal ini berulang tanpa tahu siapa yang melakukannya, dia meletakkan pedang di bahu berhala tersebut dan berkata,
"Sesungguhnya aku tidak tahu siapa yang bertanggung jawab atas perbuatan ini. Jika engkau memang mempunyai kekuatan, pertahankanlah dirimu sendiri dengan pedang ini."
Kedua pemuda ini pun kembali mengambil berhala tersebut. Melihat ada pedang tergantung, mereka menggantungkan pula bangkai anjing pada berhala itu, dan kali ini membuangnya pada lubang najis dari Bani Salimah yang digunakan oleh orang ramai. Sama seperti sebelumnya, berhala itu dalam keadaan menungging.
Pagi harinya ketika Amr terbangun dan melihat berhalanya tiada, dia mencari ke tempat biasa, tetapi dia tidak menemuinya di sana. Ketika dia melihat orang berkerumun di lubang najis yang lain, dia menghampiri, dan dia mendapati "tuhannya" terjunam dalam najis dengan pedang dan bangkai anjing di bahunya.
Amr pun sedar, berhala yang selama ini disembahnya tidak mempunyai kekuatan apa-apa, bahkan untuk mempertahankan dirinya sendiri walaupun senjata tersedia.
Beberapa orang Bani Salimah yang telah memeluk Islam menghampirinya dan menceritakan tentang agama Islam kepadanya, dan akhirnya dia memeluk Islam.
SYAHID DALAM PERANG UHUD
Amr bin Jamuh ra adalah seorang sahabat yang kakinya tempang. Anak-anaknya selalu menyertai Nabi SAW dalam perjuangan membela Islam. Dalam perang Uhud, dia ingin ikut serta seperti anaknya, tetapi kaum kerabatnya melarang, keadaan kakinya dijadikan alasan agar dia tinggal saja di Madinah.
Dia hanya mampu berkata, "Sungguh menyedihkan, anak-anakku masuk syurga sedangkan aku ketinggalan di belakang."
Isterinya, Ummu Walad, tidak putus-putus mendorong suaminya untuk mengikuti perang Uhud. Kerana itu ketika dia kembali ke rumah, isterinya marah dan berkata, "Wahai suamiku, aku tidak percaya mereka melarangmu mengikuti pertempuran itu. Nampaknya engkau takut menyertai mereka dalam pertempuran."
Mendengar kata-kata isterinya itu, dia berangkat lagi untuk menemui Nabi SAW. Setelah keluar dari pintu rumahnya, dia menghadapkan wajah ke kiblat dan berdoa, "Ya Allah, janganlah engkau kembalikan aku kepada keluargaku!"
Dia mengucapkannya dua kali dan Ummu Walad pun mendengarnya. Dia melangkahkan kaki menuju masjid, dan setelah bertemu Nabi SAW, dia berkata,
"Wahai Rasulullah, aku sangat menginginkan gugur syahid di medan pertempuran, tetapi kaum kerabatku selalu melarangnya. Aku tidak mampu lagi menahan keinginanku, ya Nabi SAW, izinkanlah aku mengikuti pertempuran ini. Aku berharap dapat berjalan-jalan di syurga dengan kakiku yang tempang ini."
Nabi SAW menasihatinya untuk tetap tinggal kerana dia mempunyai uzur syar'i untuk tidak mengikuti jihad atau pertempuran. Tetapi Amr tetap memaksa, sehingga akhirnya Rasulullah SAW mengizinkannya.
Dalam perang Uhud itu, dia berjuang bersama dengan anaknya, Walad bin Amr ra, dengan gigih dia menyerang musuh, sambil terus berteriak, "Demi Allah, aku sangat mencintai syurga!"
Dua orang anak dan bapa ini akhirnya syahid. Usai peperangan, isterinya, Ummu Walad yang juga mendatangi medan perang Uhud, menaikkan dua jenazah ini ke atas untanya, dan juga jenazah saudaranya, Abdullah, untuk dibawa ke Madinah. Tetapi untanya ini tak mau bergerak, walau dipukul dan dicambuk.
Melihat hal itu, Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya unta ini diperintahkan berlaku demikian. Apakah Amr mengatakan sesuatu ketika meninggalkan rumah?"
"Benar, ya Rasulullah," kata Ummu Walad,
"Sebelum meninggalkan rumah untuk menyertai pertempuran ini, dia menghadapkan wajah ke kiblat dan berdoa agar tidak dikembalikan kepada keluarganya."
Mendengar penjelasan ini, akhirnya Rasullullah SAW memakamkan tiga syuhada ini di bukit Uhud. Atas perintah Nabi SAW, Amr dimakamkan satu liang lahad dengan Abdullah bin Amr bin Haram (Abu Jabir) kerana keduanya saling mengasihi dan selalu bersama-sama dalam kehidupan dunia.

Kredit: Ibnu Ghufron

-Debu-

No comments:

Post a Comment