Thursday, February 23, 2017

SUMBANGAN DAN PENGARUH KEPIMPINAN TUN PERAK

Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang ialah Bendahara Melaka yang ke-5 dan merupakan bendahara yang termasyhur antara semua bendahara Melaka.
Pangkat yang membawa gelaran 'Bendahara Paduka Raja' dalam Kesultanan Melayu Melaka adalah setanding dengan Perdana Menteri moden.
Tun Perak, bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit, dan Raja Kenayan dari Pasai, telah dianggap sebagai tiga orang pentadbir yang teragung di alam Melayu pada abad ke-15.
Tun Perak ialah anak Bendahara Seri Wak Raja dan beliau telah menjadi Penghulu Kelang dari tahun 1445.
BENDAHARA PEMBINA EMPAYAR
Setelah Tun Perak menjadi Bentara, beliau tidak digemari oleh Tun Ali, iaitu Bendahara ketika itu. Tun Ali yang berketurunan Tamil ketika itu sudah pun lanjut usianya. Perkara tersebut mengkhuatirkan sultan yang hendak melantik Tun Perak sebagai pengganti Tun Ali.
Disebabkan risau dengan perbalahan antara pembesar yang memungkinkan kejatuhan pentadbiran negara, baginda mengahwinkan Tun Ali dengan Tun Kudu Tun Perpatih Sedang, iaitu kakak kepada Tun Perak dan isteri baginda sendiri.
Baginda yang sanggup menceraikan Tun Kudu menerima keputusan yang dijangkakan bahawa Tun Ali sudah pun berbaik dengan Tun Perak.
Kemudian, baginda melantik Tun Perak sebagai Bendahara yang bergelar 'Paduka Raja' pada tahun 1456 sementara Tun Ali, Bendahara ke-4, dilantik sebagai Penghulu Bendahari dengan gelaran 'Seri Nara Diraja'.
Ada versi lain mengatakan, Tun Kudu tidak diceraikan oleh baginda Sultan malah beliau setia sehingga akhir hayat.
Ketika Tun Perak menjawat jawatan Bendahara, beliau telah menakluk negeri-negeri di pantai Selat Melaka seperti Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri di pulau Sumatera serta Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak yang menjadikan semua negeri ini sebagai jajahan takluk Melaka manakala Kedah pula menjadi negeri naungan Melaka.
Dengan ini, Melaka telah menjadi sebuah empayar yang besar. Tidak kurang juga bagi aspek lain apabila Melaka membangun sehingga mencapai kekuatan dari segi politik, sosial dan ekonominya.
Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik banyak pedagang asing dari China, India, Timur Tengah, serta negara-negara jiran yang lain.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1498 ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah setelah bernaung di bawah empat pemerintahan sultan iaitu Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Setelah kematian beliau, baginda sultan melantik Tun Perpatih Putih, adik Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang ke-6.
SUMBANGAN DAN PENGARUH KEPIMPINAN TUN PERAK DALAM MEMBANGUNKAN MELAKA
1. KUASA MELANTIK SULTAN
Sebagai Bendahara Melaka yang berpengaruh, Tun Perak mempunyai kuasa untuk melantik raja Melaka. Lazimnya, beliau akan memilih raja yang mempunyai perkaitan persaudaraan dengannya. Sebagai contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah yang dilantik beliau merupakan anak saudara beliau.
Selain itu, boleh dilihat juga peranan dan sumbangan Tun Perak dalam menjadi penasihat sultan. Tun Perak juga merupakan 'king maker' penting untuk membuat pilihan yang tepat dalam memilih seorang putera yang akan ditabalkan menjadi sultan.
Walau bagaimanapun, tidak semestinya seorang putera raja akan terus diangkat atau ditabalkan menjadi sultan. Kuncinya adalah muafakat dan keadilan, baik bagi raja atau sultan yang akan menduduki takhta kerajaan mahupun dalam kalangan individu yang dipertanggungjawbkan tugasnya.
Secara idealnya, selain dari adil, raja-raja Melaka juga harus memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Hal ini terkait rapat dengan kontrak sosial yang telah dipersetujui di antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana.
Terdapat 4 syarat bagi menegakkan daulat sebagai seorang pemerintah. Hal ini dibuktikan dengan lebih jelas dalam undang-undang perlantikan seorang sultan ;
“Adapun syarat segala raja-raja itu atas empat perkara:
pertama; ampun (merciful), kedua; murah (generous), ketiga; perkasa (courageous), keempat; melakukan hukumannya dengan kaharnya (to give his verdict decislvely).
Itulah sifat segala raja-raja itu pada zaman dahulu kala, turun-temurun, datang sekarang.
Inilah kanun namanya ”
Raja yang adil akan dihormati dan disanjungi oleh rakyat. Perkara inilah yang sering ditekankan oleh Tun Perak ketika menjadi bendahara Melaka.
Bukan sahaja dalam menasihati raja malahan ketika melakukan tugas yang lain juga seringkali Tun Perak menasihati pengikut-pengikutnya mengenai hal ini. Hal ini dilihat jelas sewaktu Tun Perak mengecam perbuatan Temenggung Seri Maharaja kerana Temenggung telah meminta agar Sultan Mahmud membunuh seorang anak tempatan yang tidak besar kesalahannya sehingga perlu dijatuhkan hukuman bunuh.
Hal ini amat ditentang oleh bendahara Tun Perak kerana beliau khuatir perbuatan membunuh itu akan menjadi kegemaran sultan. Bendahara mengecam perbuatan Temenggung itu dengan berkata,
“Hai, hai... Lihatlah Seri Maharaja, anak harimau di ajarnya makan daging, dia kelak ditangkapnya."
Tun Perak juga telah meletakkan Raja Muhammad, putera sulung Sultan Perak menjadi Raja Pahang tetapi bukan sebagai Raja Melaka. Keputusan itu dibuat berikutan peristiwa Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Tun Perak dalam satu permainan sepak raga.
Sultan Alaudin Riayat Syah pula mangkat pada 1488 dan lazimnya, putera sulung baginda, Raja Menawar akan dilantik sebagai raja tetapi baginda hanya dilantik sebagai Raja Kampar manakala putera Sultan Alaudin yang lebih muda, yang juga merupakan cucu Tun Perak iaitu Raja Mahmud, telah dilantik sebagai Sultan Mahmud.
2. MERANCANG STRATEGI KETENTERAAN YANG AMPUH
Pada awal abad ke-15 telah timbul persaingan antara kerajaan-kerajaan di seluruh kepulauan Melayu. Hal ini dapat dilihat apabila kerajaan Siam mempunyai agenda yang tersendiri iaitu untuk menakluki kesemua kerajaan di kepulauan Melayu termasuklah Melaka.
Oleh itu, kesemua negeri di Tanah Melayu haruslah menghantar wang emas dan menyembah raja Siam bagi menunjukkan kesetiaan dan pengakuan mereka akan ketuanan Melayu-Siam Sri Dharmaraja terhadap negeri mereka.
Namun, akibat daripada kesedaran kerajaan Melaka yang tidak mahu negeri itu bertuankan raja Siam, maka mereka telah mengingkari segala perintah tersebut.
Keadaan ini telah mencetuskan kemarahan kerajaan Siam Sri Dharmaraja, lalu mereka telah menghantar angkatan tentera yang telah diketuai oleh Panglima Awi Cakri (Ok-P'ya Cakri). Dalam serangan inilah telah memperlihatkan kebijaksanaan dan bakat yang ada pada diri Tun Perak.
Di bawah institusi 'kerah', kerajaan Melaka telah mengarahkan kesemua pembesar dan penghulu di setiap daerah untuk mencari tenaga tentera dalam kalangan rakyat bagi mempertahankan kerajaan Melayu Melaka pada ketika itu termasuklah daerah Kelang.
Tun Perak selaku penghulu Kelang pada ketika itu telah diarahkan untuk mengerah pengikut dan hulubalangnya ke Melaka. Di sinilah bermulanya perlaksanaan strategi Tun Perak dalam mempertahankan Melaka.
Antara strategi beliau adalah mengarahkan seluruh penduduk Kelang sama ada lelaki, wanita, dan kanak-kanak untuk bersama-sama menyertai misi mempertahankan Melaka. Walaupun strategi ini dikatakan pelik, namun ianya sangat praktikal.
Menurut Tun Perak, tentera lelaki kelak akan berperang untuk mempertahankan Melaka dengan bersungguh-sungguh,
“.....kurang-kurang ia berlawankan Duli Yang di-Pertuan, lebih ia berlawan (kerana) anak dan isterinya.”
Dalam perlaksanaan strategi ini dapat dilihat bahawa ramai tentera Siam mati lalu mereka mengalah dan berundur dari Melaka.
Kejayaan perlaksanaan strategi mempertahankan Melaka daripada serangan Siam telah membuktikan kepada semua akan bakat yang dimiliki oleh Tun Perak.
Oleh yang demikian, hal ini telah menyebabkan sultan Melaka beranggapan bahawa tidak wajar sekiranya Tun Perak terus mentadbir Kelang lagi kerana bakatnya amat diperlukan untuk membangunkan kerajaan Melaka.
Oleh itu, Tun Perak telah diarahkan untuk berpindah dan mendiami Melaka. Selain itu, beliau juga telah dilantik menjadi Bentara Melaka. Seperti yang kita ketahui, Tun Perak merupakan seorang yang berpegang kepada prinsip dan falsafah,
“...dianugerahi oleh raja Melaka pedang sebilah... peliharalah baik-baik, usahakan, jangan diberi berkarat, kemakanan matanya.”
Berdasarkan prinsip ini, maka beliau telah berkhidmat dengan cemerlang sehingga diangkat menjadi Perdana Menteri, duduk di balai Istana, setara dengan Seri Nara Diraja yang ketika itu memegang jawatan sebagai Bendahara Melaka.
Kehebatan ilmu dan strategi dalam peperangan yang terajui oleh Tun Perak memang sudah teruji dalam awal penglibatan beliau dalam bidang pentadbiran Melaka.
Selepas menjawat jawatan sebagai seorang Bendahara Melaka, tugas utama yang diberikan kepada beliau adalah mengetuai angkatan tentera laut Melaka untuk menangkis dan mengalahkan serangan tentera laut Siam.
Menyedari akan kelemahan yang dimiliki dalam menangani serangan hebat dari Siam, Tun Perak telah tampil dengan dengan satu lagi strategi yang baik iaitu strategi psikologi yang mana beliau telah menggunakan “puntung api” berdekatan dengan pantai Batu Pahat iaitu pantai sebelum sampai ke kawasan pantai Melaka.
Walaupun strategi ini nampak sangat melucukan tetapi ia merupakan satu serangan psikologi yang dapat melemahkan semangat tentera Siam apabila mereka melihat puntung api berada di seluruh kawasan pantai, mereka mula beranggapan bahawa tentera Melaka sangat ramai dan hal ini amatlah menakutkan tentera Siam kerana bilangan tentera Siam tidak dapat menangani tentera Melaka yang begitu ramai. Hasilnya, Melaka telah menang dalam pertarungan ini.
Kekalahan Siam juga telah memberi peluang kepada Melaka untuk menyerang Pahang yang pada ketika itu berada di bawah taklukan Sri Dharmaraja. Semasa peperangan yang berlaku di Pahang, Tun Perak sekali lagi telah mengetuai angkatan tentera Melaka.
Sebagai seorang pemerintah yang berkaliber, akhirnya Tun Perak telah dilantik menjadi Bendahara Melaka yang merupakan jawatan eksekutif tertinggi dalam hierarki pentadbiran awam dan ketenteraan. Tome Pires dalam catatannya menyatakan,
“...captains-general, whom they call Paduca Raja. These are a kind of viceroy, who is the next to the king. To this man all the mandarins do reverence... the Bemdara is the highest in the kingdom. The Bemdara is a kind of chief-justice in all civil and criminal affair... He can order any person to be put to death, of whatever rank and condition, whether nobleman or foreigner, but first of all he must informs the king, and both decide the matter in consultation with the Laksamana and the Tumunguo.”
Selepas tahun 1440-an, dengan kedudukan dan kuasa fizikal tertinggi yang dimiliki oleh Tun Perak, telah menjadikan kedudukannya dalam birokrasi pentadbiran Melaka semakin selesa. Selepas kemangkatan Seri Nara Diraja Tun Ali yang merupakan iparnya, jawatan Penghulu Bendahari ini telah diserahkan kepada Tun Tahir bin Tun Ali dan memegang gelaran yang sama iaitu Seri Nara Diraja.
Selain itu, Tun Mutahir bin Tun Ali juga telah dilantik untuk menjadi Temenggung Melaka dan memegang gelaran Seri Maharaja. Seterusnya, Tun Abdullah yang merupakan anak bongsu kepada Tun Ali juga telah dilantik menjadi pembesar istana dan digelar Seri Nara Wangsa.
Dalam keadaan ini dapat dilihat hampir semua raja-raja dan pembesar Melaka mempunyai pertalian persaudaraan dengan Tun Perak. Oleh yang demikian, boleh disimpulkan bahawa Tun Perak sewaktu menjadi bendahara Melaka, beliau telah dikelilingi oleh kaum kerabatnya sendiri.
Hal ini telah memberikan satu peluang yang baik kepada Bendahara Tun Perak untuk membangunkan dan memperkukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai sebuah empayar yang berjaya.
3. PAKAR HUBUNGAN DIPLOMATIK
Kejayaan-kejayaan yang diperoleh daripada peperangan telah menyebabkan Melaka mengubah strategi hubungan diplomatiknya dengan Siam terutamanya. Dalam hal ini, Tun Perak telah menyarankan agar Melaka berbaik-baik dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Siam.
Hal ini kerana Tun Perak dapat melihat manfaat sekiranya kedua-dua buah kerajaan ini berdamai dan menjalinkan hubungan secara profesional. Keadaan ini ditambah lagi dengan hubungan baik yang terjalin antara China dengan Melaka iaitu China telah mengiktiraf Melaka sebagai sebuah negeri yang berada di bawah jagaannya.
Perkara ini telah menjadi antara faktor utama Siam bersetuju untuk menjalinkan hubungan diplomatik secara profesional dengan Melaka. Dalam hal ini Tun Perak telah menyatakan bahawa,
“.....daripada banyak seteru, baik banyak sahabat.”
Hal ini telah dititikberatkan oleh sultan dan akhirnya kedua-dua buah kerajaan ini bersetuju untuk sama-sama berhubungan dan saling bergantungan antara satu sama lain bagi mencapai keamanan dan keharmonian dalam menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan kedua-kedua buah negeri ini.
4. MEMBANGUN DAN MEMPERLUASKAN EKONOMI MELAKA
Dasar politik serta hubungan diplomatik yang diamalkan oleh Tun Perak telah berjaya menarik perhatian seluruh dunia untuk menjalinkan hubungan negeri ini. Hal ini ditambah lagi dengan perkembangan ekonomi di selat Melaka sekaligus menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan dunia.
Pengawalan laluan perdagangan laut dan penguasaan kawasan-kawasan yang berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Melaka telah menyebabkan empayar ini terus berkuasa di seluruh kawasan perdagangan selat Melaka.
Kebijaksanaan Tun Perak dalam menarik para pedagang datang ke Melaka merupakan satu sumbangan yang tidak dapat dinilai oleh kita. Perlaksanaan undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka amat menitikberatkan hal keadilan pedagang, pembeli dan faedah yang bakal diperoleh kerajaan telah menjadi satu platform bagi pembangunan ekonomi Melaka.
Dalam kaedah dan tatacara tertentu dalam urusan pengawalan barangan dan penghasilan dari kegiatan berdagang dan berniaga, bandar Melaka telah bangun menjadi sebuah emporium antarabangsa. Selain itu, kebajikan para pedangang juga telah dititiberatkan oleh Tun Perak.
Oleh yang demikian, gudang-gudang dan rumah tumpangan telah diwujudkan di pelabuhan Melaka bagi menarik perhatian para pedagang untuk singgah ke Melaka. Di samping itu, diwujudkan juga tempat untuk membaiki kapal-kapal dagangan yang telah rosak akibat daripada ditiup angin monsun.
Selain itu, penguasaan politik secara langsung terhadap kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu dan Sumatera melalui penaklukan telah membolehkan pengawalan ke atas bahan-bahan mentah serta barang dagangan untuk dibekalkan kepada pedagang asing.
Contohnya, pedagang dari China yang amat memerlukan bahan-bahan dan barangan daripada kepulauan Melayu untuk dibawa pulang ke negara mereka.
Selain daripada dasar perluasan kuasa, dasar diplomatik yang diamalkan oleh Melaka dengan negeri-negeri lain di sekitarnya telah memberikan seribu satu kebaikan kepada Melaka.
Seperti yang dikatakan oleh Tun Perak mengenai hubungan diplomatik yang terjalin antara Melaka dengan Siam bakal memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, terbukti apabila kerajaan Siam membekalkan beras ke Melaka untuk diperdagangkan dan menampung keperluan masyarakat Melaka.
Persengketaan yang telah ditamatkan oleh Tun Perak ini akhirnya telah membuahkan hasil.
5. MEWUJUDKAN SISTEM PENTADBIRAN YANG BERKESAN
Kebijaksanaan Tun Perak sebagai bendahara Melaka telah berjaya mewujudkan satu sistem pemerintahan dan pentadbiran yang amat efektif dan sistematik sehingga boleh bertahan selama empat generasi pemerintahan sultan. Hal ini dapat dibuktikan dalam catatan Tome Pires yang menyatakan,
“..Bemdara (Bendahara) is the highest in the kingdom."
Hal ini dapat dilihat sekiranya sultan berangkat ke tempat lain atas urusan rasmi, maka segala urusan pentadbiran akan diserahkan kepada pembesar-pembesar dan ia diketuai oleh bendahara Tun Perak.
Keadaan ini dapat dilihat sewaktu Sultan Mansur Syah dan rombongannya telah berangkat ke Majapahit atas urusan rasmi. Oleh itu, sultan telah menitahkan agar bendahara yang akan menjaga dan menerajui pucuk pimpinan kerajaan sewaktu ketiadaan baginda di Melaka. Hal ini dapat dibuktikan apabila sultan bertitah dengan menyatakan,
“maka Bendahara Paduka dan Seri Nara Diraja dan Seri Bija Diraja dan segala menteri hulubalang yang besar-besar sekaliannya ditinggalkan oleh Sultan Mansur Syah menunggui negeri”
Oleh yang demikian, segala tugas sultan akan dipikul oleh Tun Perak ketika ketiadaan sultan di Melaka. Para pembesar yang lain juga akan mempunyai tugas mereka iaitu turut bersama-sama menerajui pentadbiran negeri seperti yang telah diamanahkan oleh sultan.
Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pembesar telah menunjukkan berlakunya persefahaman dan saling bergantungan antara pembesar-pembesar untuk terus menjaga keharmonian kerajaan Melaka.
Wallahua'lam...
Tanah perkuburan Islam kampung Duyong, bersebelahan Masjid Kampung Duyong (sekarang ini dikenali Masjid Laksamana Hang Tuah, Duyong, Melaka). Di sini terdapat makam Tun Perak bersebelahan ayahanda beliau, Tun Perpatih Sedang. Terdapat juga makam Tun Putih dan makam Tun Kudu.
Kredit:
ku-alam
lokalgenius
tokpakehtemenggong

-Debu-

Majalah Nadi Insan



Majalah Nadi Insan keluaran pertama pada bulan Mei 1979 ini diterbitkan dengan tujuan untuk menggalakkan perbincangan dan penukaran pendapat berkenaan dengan masalah dan isu sosial yang menarik atau penting, dan perkara-perkara yang menimbulkan tanda tanya di dalam fikiran pembaca-pembaca.
Keluaran pertama ini memuatkan;
- wawancara dengan Tunku Abdul Rahman
- renungan peristiwa 13 Mei 1969 dari sudut pandangan baru
- sajak Usman Awang berkenaan dengan peristiwa 13 Mei
- kronologi krisis antara MAS dengan Kesatuan Pekerja-pekerja Penerbangan
- analisa situasi politik Iran selepas revolusi
- analisa fenomena filem "Saturday Night Fever" dan artikel-artikel lain.
Gambar di muka hadapan keluaran pertama ini menunjukkan poster bintang filem terkenal John Travolta dijadikan sarung buah nangka.
-mat martopo-

Terowong Lebuhraya Pertama Malaysia

Terowong Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak
Panjang : 950 meter
Lokasi : Genting Sempah, Pahang
Kos Pembinaan : RM 1.4 juta
Tarikh Perasmian : 7 Januari 1978
Dirasmikan oleh : Datuk Haji Abdul Ghani Gilong (Menteri Kerja Raya dan Kemudahan Awam)
Lawatan tapak projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak oleh Datuk Haji Abdul Ghani Gilong, Menteri Kerja Raya dan Kemudahan-kemudahan Awam pada 14 Jun 1977.
Terowong Genting Sempah menghubungkan kawasan di antara Gombak, Selangor dan Genting Sempah, Pahang. Terletak di banjaran Titiwangsa. Merupakan sebahagian daripada projek pembinaan Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, yang telah memendekkan perjalanan pengguna dari sebelah pantai barat ke pantai timur Semenanjung Malaysia.
Tempoh pembinaan lebuhraya ini bermula dari Disember 1974 sehingga pertengahan tahun 1979. Pada awal pembinaannya, terowong ini merupakan terowong tunggal dengan dua lorong sahaja, sebelum terowong tambahan dibina pada tahun 1995, iaitu ketika kerja menaik taraf Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak kepada Lebuhraya Ekspress Empat Lorong dilaksanakan.
Gambar terowong Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak di hari pembukaan dan perasmiannya pada 7 Januari 1978.
Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak pada tahun 1977.
Kredit: Arkib Negara

-Dzull-

PENGAWAL RUMAH MELAYU LAMA

Setiap rumah tradisional Melayu lama pasti akan mempunyai sebatang tiang yang diberi nama 'tiang seri'. Berkedudukan di tengah rumah ibu, ia sangat istimewa berbanding tiang-tiang yang lain.
Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu dahulu, kewujudan tiang seri bertujuan untuk menjaga keselamatan dengan bertindak sebagai perisai daripada gangguan jahat.
Peliknya, bagaimana pula sebatang tiang kayu boleh berbuat demikian? Jika dilihat daripada segi logiknya, tiang ini berkedudukan tetap dan jelas sama sekali tidak berfungsi apa-apa untuk keselamatan.
Seorang penduduk dari Kampung Bukit Bakar, Machang, Kelantan, Zakaria Sulaiman, 80 memberitahu, sukar untuk membuktikan sama ada benar tiang seri mempunyai kuasa yang luar biasa. Ini kerana, tiada bukti kukuh mengenainya.
Namun, kepercayaan masyarakat Melayu dulu yang kuat berpegang pada kepercayaan khurafat menyebabkan mereka sanggup melakukan perjanjian dengan makhluk ghaib. Justeru, fenomena ini berlaku disebabkan kehadiran entiti yang dilantik sebagai pengawal dan menjaga keselamatan rumah itu.
Soalnya sekarang, bagaimana pula entiti boleh hadir dalam tiang ini? Jelas Zakaria, sebelum sesuatu tiang seri dipacak, upacara ‘menjamu’ akan dilakukan oleh pawang dan dukun.
Upacara itu menggunakan mantera-mantera yang dibaca khas bagi memanggil semangat (entiti) untuk dimasukkan ke dalam tiang seri. Kemudian, selepas selesai upacara itu, tiang itu akan segera dipacak ke dalam tanah dan barulah proses pembinaan rumah berlangsung.
Menurut Ketua Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ar. Mastor Surat, tiang seri dalam bidang seni bina bermaksud sebuah tiang yang paling tinggi terletak di tengah-tengah ruang rumah. Tiang ini tidak berdinding dan merupakan tonggak utama untuk menyokong kedudukan rumah ini. Tiang seri biasanya diambil daripada sebatang pokok keras seperti Cengal dan Balau.
Katanya, ia memang istimewa berbanding tiang-tiang lain kerana ia merupakan keunikan dalam seni bina Melayu. Berdasarkan kajiannya, hampir 100 peratus rumah tradisional Melayu mempunyai tiang seri. Malah perkaitan tiang seri dengan unsur entiti begitu kuat sekali.
Jelas Mastor, dia sendiri pernah menyaksikan bagaimana unsur entiti ini menjalankan tugasnya sebagai penjaga rumah sewaktu dia bersama beberapa pengkaji lain sedang menjalankan operasi memindahkan sebuah rumah lama di Kelantan. Waktu itu barulah dia faham tentang apa yang dipanggil sebagai perundingan antara manusia dengan entiti yang menjaga rumah itu.
Sebelum kejadian tidak diingini berlaku, penjaga rumah awal-awal lagi telah memaklumkan kepada Mastor supaya dilakukan satu upacara khas untuk mendapatkan persetujuan entiti tiang seri rumah berkenaan untuk turut sama berpindah dan tidak mengganggu kerja-kerja yang dilakukan.
Ketika upacara itu berlangsung, beberapa syarat perlu dipenuhi termasuklah menyediakan jamuan yang terdiri daripada telur, pulut kuning dan ayam panggang.
Selepas itu, seorang perantara akan mula berkomunikasi dengan entiti pada tiang itu bagi mendapatkan persetujuan untuk memindahkan rumah itu. Tidak lama selepas itu orang perantara ini memberitahu entiti itu bersetuju. Keesokkan harinya barulah kerja-kerja membuka rumah dilakukan.
Jelas Mastor, dia banyak menemui objek-objek seperti duit syiling, tempurung, emas, belacan, paku dan logam perak sewaktu melakukan kerja-kerja pemindahan di kebanyakan rumah tradisional Melayu lama.
Mengikut pendapatnya, masyarakat Melayu sememang terikat dengan kepercayaan animisme yang kuat. Keadaan ini telah mempengaruhi pemikiran orang dulu kala supaya menjaga unsur-unsur ghaib agar sentiasa sejahtera.

Kredit: Dark of Mystery

-Debu-

Wednesday, February 22, 2017

ANAK MELAYU DI HOLLYWOOD

Ibrahim Hassan Pendek
Tahukah anda ada seorang pelakon Melayu berlakon di Hollywood suatu ketika dulu? Beliau telah buktikan anak Melayu boleh menambat hati orang putih untuk berlakon dalam filem Hollywood dengan bakat yang ada, tak perlu bermodalkan paras rupa yang lawa atau kacak. Beliau adalah Ibrahim Pendek atau nama sebenarnya Ibrahim Bin Hassan.
Pasti kita sudah cukup biasa dengan lawak jenakanya semenjak dari filem pertamanya iaitu Panggilan Pulau (1954) sehinggalah ke filem terakhir beliau, XX-Ray (1992). Beliau merupakan salah seorang lagenda perfileman Melayu boleh dibanggakan.
KISAH KEJAYAAN IBRAHIM PENDEK
Ibrahim Pendek telah dilamar oleh pihak Universal International untuk berlakon sebagai watak seorang pembantu doktor di dalam sebuah filem Hollywood.
Sebenarnya pihak Universal International telah tertarik dengan lakonan beliau di dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, sewaktu mereka mengadakan lawatan ke Studio Jalan Ampas.
Pada 18 Ogos 1961, Ibrahim Pendek telah berangkat ke Hollywood, Amerika mengikut kontrak beliau dibayar sebanyak USD 35 sehari. Pada ketika itu beliau berumur 37 tahun. Sekaligus menjadi anak Melayu berlakon di Hollywood buat julung-julung kalinya di dalam lipatan sejarah perfileman Melayu.
Ibrahim Pendek telah berlakon bersama Rock Hudson, Gene Rowlands dan Burt Ives di dalam filem The Spiral Road (1962). Namun begitu, dalam usahanya untuk mengembangkan lagi bakat lakonannya di Hollywood terhenti apabila visa beliau tidak diluluskan oleh pihak pemerintah di sana. Ketika itu beliau sudah mendapat tawaran dari pihak Hollywood untuk terus berlakon di dalam filem-filem terbitan mereka seterusnya.
Ibrahim Pendek telah buktikan anak Melayu Boleh beraksi diperingkat antarabangsa, berbekalkan bakat semulajadi yang ada.



Lakonan Ibrahim Pendek di Hollywood




SEJARAH HIDUP IBRAHIM PENDEK
Nama asalnya adalah Ibrahim Bin Hassan. Anak kelahiran Taiping, Perak ini di lahirkan pada 1932. Beliau memiliki tubuh fizikal yang kerdil dimana ketinggian beliau hanya 130cm. Mungkin kekurangannya itu menjadi kelebihan buat dirinya. Beliau memulakan dunia lakonan pada era tahun 50-an.
Beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali iaitu dengan isteri pertamanya, Che Hasnah Mohd Amin dan isteri kedua, Asiah Osman. Dan dikurniakan seramai 7 orang anak. Salah seorang anaknya cuba mengikut langkah bapanya iaitu Tamrin Ibrahim Pendek.
Pada usianya 71 tahun, pada 25 Disember 2003, beliau telah kembali ke rahmatullah. Beliau mengidap penyakit buah pinggang, paru-paru berair dan sesak nafas. Perginya seorang lagenda, jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur.
Al-Fatihah...

-Debu-

HAIWAN PURBA BERDARAH BIRU

Belangkas adalah haiwan zaman purba yang pernah wujud di bumi sekitar 230 juta tahun dahulu. Spesies ini tidak banyak berubah dari sejak dulu hingga kini. Ia mudah dicam melalui ekor yang panjang tirus dan mempunyai cengkerang seperti helmet askar.
Daging haiwan purba ini sangat berharga. Bukan setakat itu darahnya yang berwarna biru juga menpunyai harga yang tinggi di pasaran, seliter darah biru si belangkas ini berharga RM 17,500 (USD 5,000)!!
Untuk mendapatkan satu liter darah biru, nelayan perlu menangkap 115 ekor belangkas bersaiz kecil di Semenanjung Malaysia. Tapi hanya 45 ekor diperlukan jika belangkas di perairan Sabah kerana saiz lebih besar.
Darah biru belangkas disedut keluar tanpa perlu membunuh belangkas tersebut. Bahan dalam badan belangkas boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin.
Kit anti-toksin menggunakan belangkas telah berkembang di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Asia Barat sejak 1988.
-Debu-

PRODUK AMERIKA YANG BUKAN BERASAL DARI AMERIKA

Biasanya kebanyakan barang atau produk-produk bagi sesebuah negara adalah berasal dari negara tersebut, tetapi belainan pula di Amerika, terdapat lebih kurang 6 produk Amerika tetapi bukan berasal dari Amerika.

1. Bendera Amerika
Menurut laporan daripada Persatuan Pengilang Bendera Amerika, mereka telah mengimport bendera Amerika yang bernilai USD$22 juta daripada tahun 2005 hingga 2009. Majoriti pengilang bendera ini adalah daripada China.

Pada tahun 2001, mereka telah mengimport bendera Amerika yang berjumlah USD$51.7 juta termasuk USD$34.8 juta dalam bulan Oktober sahaja.

2. Bola Lisut
Lebih 80% pengeluaran bola lisut yang menjadi sukan kegemaran warga Amerika Syarikat berasal dari China dan setiap bola lisut yang digunakan dalam kejohanan 'Major League Baseball' dibuat oleh sebuah kilang yang terletak di Costa Rica.

Tambahan pula, setiap bola lisut tersebut dibuat menggunakan tangan dan bukan mesin.

3. Hot Dogs
Hot dogs sebenarnya berasal daripada Jerman dan asal-usulnya melibatkan golongan imigran daripada negara Jerman itu sendiri.

Menurut fakta, hidangan sosej yang dihimpit dengan roti panjang ini telah wujud di Jerman sejak abad ke-13 lagi.

Pada zaman tersebut, ramai yang berpendapat bahawa daging sosej yang digunakan itu diperbuat daripada daging anjing berdasarkan nama yang digunakan iaitu ‘hot dogs’.

4. Kereta Amerika
Ramai yang menyangka bahawa kereta yang berjenama Ford, GM dan Chrysler merupakan produk sejati Amerika namun ia terbukti salah kerana model domestiknya diperbuat dari Kanada dan Mexico.

Tambahan pula, walaupun kebanyakan kereta tersebut dibuat di Amerika, namun alat ganti dan aksesorinya dibuat dari luar Amerika Syarikat.

5. Anak Patung
Anda sangka anak patung yang berharga USD$100 ke atas dan bernama “American Girl” dibuat 100% di Amerika?

Anda salah, kerana semenjak tahun 1980an, anak patung ini telah dibuat di Jerman dan kini di China.

6. The Statue of Liberty
Mungkin kebanyakan anda tahu bahawa patung Statue of Liberty ini merupakan hadiah daripada pihak Perancis kepada pihak Amerika Syarikat.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa setiap komponen dan bahan binaan patung ini dibina di Perancis dan dibawa ke Amerika Syarikat melalui kapal laut.

-Debu-

Thursday, February 16, 2017

Cara pantas buat kulit tart tanpa tart presser...

-mYa-

Cincin Olimpik

Lima cincin Olimpik ini direka bentuk pada tahun 1913 dan diguna buat pertama kali dalam Olimpik Musim Panas 1920 di Antwerp.
Lima cincin (bulatan) yg bersangkutan antara satu sama lain melambangkan lima benua Afrika, Amerika, Asia, Eropah dan Ocenia dan juga melambangkan pertemuan antara para atlit dari pelbagai negara. Setiap bendera negara mengandungi sekurang-kurangnya salah satu warna bulatan tersebut.
Sejarah ringkas Sukan Olimpik
Asal sukan Olimpik tidak lagi diketahui tetapi banyak lagenda tertulis bersama-sama sukan ini.
Sambutan pertama Sukan Olimpik yang direkodkan adalah pada 776 SM, walaupun tarikh ini bukanlah kali pertama Sukan Olimpik diadakan.
Jadi, perayaan Olimpik merupakan satu acara mengadakan pertukaran kebudayaan yang berbeza antara negara-negara kota.
Satu acara sahaja yang diadakan dalam sukan tahun 776 S.M itu, iaitu lumba lari, dan johan utama adalah Coroibos dari Olis yang memenangi perlumbaan stadium sejauh 170 meter. Acara-acara sukan mula ditambah dengan adanya perlumbaan jarak jauh, lempar cakera, lompat jauh, baling lembing, tinju dan sebagainya.
Sejak itu, sukan mula menjadi penting dalam kehidupan masyarakat Yunani Purba dan mencapai kegemilangannya pada abad ke-6 dan ke-5 Sebelum Masihi.
Olimpik juga mempunyai kepentingan agama iaitu sebagai penghormatan kepada Zeus (patung besarnya ada di bandar Olympia ). Pemenang sukan ini akan dihormati dan dimasukkan ke dalam puisi dan dijadikan patung peringatan.
Sukan ini semakin hilang kepentingannya dengan penaklukan Rom ke atas Yunani (sekarang dikenali sebagai Greece). Apabila Kristian menjadi agama rasmi Empayar Rom, Sukan Olimpik dilihat festival orang tidak beragama (pagan) dan pada tahun 393 Masihi, Maharaja Theodosius mengharamkan sukan Olimpik, dan ini menandakan berhentinya sukan Olimpik selama ribuan tahun.
Usaha untuk menghidupkan semula Sukan Olimpik muncul pada akhir abad ke-19.Pengasas Sukan Olimpik moden adalah Baron Pierre de Coubertin (1863-1937), seorang bangsawan Perancis.Berdasarkan pengaruh beliau, dipersetujui untuk mengadakan Sukan Olimpik sekali setiap empat tahun, di mana semua bangsa dijemput mengambil bahagian.
Sukan pertama diadakan di Athens dalam tahun 1896. Sejak itu, setiap empat tahun sekali sukan antarabangsa ini diadakan.

-Dzull-

Monday, February 13, 2017

Puding Trifle

Hai awak2..
Hari ni cheq terrrajin nak share Puding Trifle super senang cara cheq.. Dessert ni cheq hanya buat kalau rajin tu pun setahun sekali..
Kalau rajin buat pun takdak tukang makan.. haha.. Kang sorang2 makan kena potong kaki pulak sbb mmg cheq tak suka makan atau minum yg manis2.. Ok.. Bahannya ada kat bawah noo..

Bahan A
1 kek swiss roll (cheq guna perisa pandan)
- Potong agak2 tebal 1 cm.
Bahan B (untuk kastard)
1 cwn tepung kastard
1/2 cwn gula (boleh kurangkan klau tak mau manis)
1 tin susu cair
-satukan semua kedalam periuk.. Kacau sebati.. Pastu baru letakkan atas dapuq dgn api yg slow2 manja.. Teruskan mengacau jangan tinggai tinggaikan nnti kastard berketui dn hangit kat bwh jd tak cantik naa. Kacau sampai pekat, likat dn berkilat pastu tutup api.
Bahan C
1 tin fruit cocktail.
-asingkan air dn buah.. Gunakan buahnya saja.
Bahan D
1 kotak Kristal Jelly Brand Nona.. (cheq suka perisa strawberi)
-Masak mengikut arahan pd kotak noo.. cheq tmbhkan 3 atau 4 urat agar2 biasa sbb takmau nnti jelly tu terlalu lembik dn susah beku.

Mula2 potong kek gulung susun dan tekan sikit bg rata sekata dalam bekas yg paling comey yg awak ada. Nak acuan besaq pun boleh tp kena muat semua bhn2 noo.

Bila kastard dah siap tuang rata2 mcm ni noo.. Agak2 ada ruang utk buah dn jelly nnti.

Mcm ni kejadian dia. Masa tuang jelly panas2 tu hati2 naa jgn sampai berlubang kastard tu kang nampak pulak lubang mcm cheq buat tu
Silakan SHARE kalau rasa2 bermanfaat dan dpt jugak bg idea pd orang rumah kalau rasa2 teringin nak mkn.. Selamat Mencuba.. Babai.. 😄

Ikhlas dr -mYa-

KISAH CINA KELANTAN DAN BUDU

CINA Kelantan umpama orang Cina yang bukan Cina, Siam pun bukan, jauh sekali Melayu. Mereka yang juga dikenali sebagai Cina Peranakan Kelantan ini sangat unik dan lain daripada yang lain. Orang luar yang berkunjung ke Kelantan pasti sukar mengenal pasti siapa Melayu, Cina atau Siam.
Cina Peranakan Kelantan tidak seperti kaum Cina di negeri-negeri lain kerana percakapan harian mereka yang dalam bahasa Hokkien bercampur dengan loghat Kelantan dan Siam dan mereka amat fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan. Kebanyakan mereka berkulit sawo matang, tidak menampakkan seperti kaum Cina yang lain.
Mungkin salah satu faktor adalah kerana mereka gemar memakan budu. Ulam-ulaman dan budu menjadi makanan harian mereka dan turut dihidangkan ketika makan besar Tahun Baharu Cina. Pendek kata, mereka lebih mengenali budu berbanding 'yee sang'. Oleh sebab itu juga mereka lebih menggunakan tangan ketika menjamu selera kerana ia lebih sesuai dan mudah untuk menikmati petai atau jering bersama budu.
Budu merupakan makanan tradisional Kelantan yang diperbuat daripada ikan bilis yang diperam di dalam tempayan sehingga hancur. Ia biasanya dihasilkan oleh pengusaha perusahaan kecil dan sederhana dan dijual di dalam botol di kedai-kedai runcit. Kini, budu juga boleh didapati di dalam pek plastik agar senang dibawa, sama ada di dalam kapal terbang untuk ke luar negara atau dipos. Ada yang menggunakan nama sos bilis bagi tujuan pemasaran.
Budu boleh dinikmati begitu sahaja atau dicampurkan dengan cili api, mempelam, hirisan bawang dan air perahan limau nipis. Ada juga yang mencampurkan isi durian atau tempoyak untuk kelainan. Bagaimanapun, bukan semua orang Kelantan suka makan budu. Ini biasanya disebabkan baunya yang agak kuat dan tidak menyelerakan bagi sesetengah orang.
Laporan Bernama yang disiarkan di laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, menyenaraikan khasiat budu yang mungkin tidak diketahui umum. Hasil beberapa kajian menunjukkan bahawa budu mengandungi glutathione yang merupakan bahan antioksida yang meningkatkan imuniti badan untuk melawan penyakit.
Menurut pengamal perubatan, Dr Syed Abu Bakar, budu didapati berpotensi melawan radikal bebas dan melambatkan proses penuaan, di samping menyekat penyakit degeneratif seperti aterosklerosis. Kajian juga menunjukkan ia mampu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif dan menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Ia hasil pemakanan seharian dan reaksi tubuh terhadap pemakanan. Antioksidan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.
Kebiasaannya, dalam apa jua jenis ikan terdapat tiga jenis isoflavon berunsur antioksidan, iaitu daidzein, glisitein dan genistein. Di samping dua jenis unsur ini, budu juga mengandungi antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi isoflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat.
Penelitian yang dilakukan di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat, membuktikan unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat dalam budu dapat mencegah kanser serta melambatkan proses penuaan. Bukan itu sahaja, budu juga dapat mempertingkatkan IQ kerana ia merangsang sel-sel otak dan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron-neuron yang lemah. Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi (kembung perut) bagi kanak-kanak dan orang dewasa.
Terdapat beberapa lagi kebaikan budu yang digemari oleh masyarakat Cina Kelantan ini walaupun pengambilannya secara berlebihan tidak digalakkan untuk mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi, gout, kencing manis, jerawat batu, barah payudara dan keguguran rambut kronik.
Kegemaran masyarakat Cina Kelantan terhadap budu di samping makanan tradisi Melayu yang lain seperti nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, tapai ubi, dan ketupat, adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada proses asimilasi mereka dengan kaum Melayu di Kelantan.
Dengan budaya masyarakat Kelantan yang tidak membezakan sesama sendiri meski berlainan kaum dan agama serta lebih senang dikenali sebagai oghe Kelate (orang Kelantan), Cina Kelantan digelar 'oghe Cino kito'.

Kredit: Johari Yap (Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan)

-mat martopo-

TIPU HELAH UNTUK MERAMPAS MASJID AL-AQSA DAN AL-QUDS

Pada abad yang lalu, umat Islam telah mengalami kelemahan dan perpecahan sehingga menyebabkan kejatuhan khilafah Uthmaniah.
Pada masa yang sama ikatan zionis mula ditubuhkan, bagi tujuan merampas tanah suci di Palestin dan menzahirkan warisan-warisan palsu yang mereka dapat dari kitab Taurat yang telah diputarbelitkan oleh mereka sendiri.
Dan bagi tujuan yang sama, Zionis Yahudi dan Kristian mula bersatu padu dan mengetepikan ketegangan di antara mereka yang sering berlaku demi melawan umat Islam serta merampas tanah suci di Palestin.
Malangnya, mereka telah berjaya dalam hal ini. Penjajah tentera British telah masuk ke tanah suci dan Masjid Al-Aqsa yang masih di bawah pemerintahan kerajaan Islam.
Mereka mula menyerang masjid ini bertubi-tubi sehinggalah tentera Arab dapat dikalahkan dan berjaya merampas Masjid Al-Aqsa serta menjadikannya sebagai pusat Zionis yang kejam ini bagi kali pertama dalam sejarah umat Islam.
Pada ketika itulah puak-puak Yahudi di merata dunia mula bergembira dan menyeru untuk rampasan Khaibar dan Madinah sebagai langkah seterusnya.
Mereka melaungkan tema dan nasyid yang menyakitkan hati umat Islam dengan kata-kata, "Muhamad telah mati dan hanya mewariskan anak-anak perempuan."
Tetapi alhamdulilah masih terdapat segolongan orang Islam yang berjiwa suci mempertahankan masjid ini walaupun telah jatuh ke tangan Yahudi. Mereka sanggup menggadaikan nyawa, bersilih ganti dalam perjuangan mempertahankan Al-Aqsa. Dan membaik pulih bahagian yang telah rosak.
Namun Zionis masih belum putus asa untuk memusnahkan masjid ini dan menggantikannya dengan haikal mereka dengan pelbagai cara dan tipu helah seperti menggali terowong di bawah masjid, jambatan dan jalan raya, serta menggalakkan pengikut-pengikut mereka untuk membakar, memusnah, mengebom bahagian bahagian tertentu di masjid ini dengan hasrat supaya Masjid Al-Aqsa runtuh secara sendiri, tanpa dihirau oleh umat Islam. Tetapi Allah SWT masih memelihara Masjid Al-Aqsa.
Keadaan begini telah berterusan selama dua tahun sehingga datangnya penyerang Yahudi, Michael Dennis membakar Mimbar Salahudin dan sebahagian besar dari masjid.
Namun para penjajah dengan sengaja melengah-lengahkan kerja pemadaman api serta cuba menghalang orang Islam dari melakukannya, menyebabkan sebahagian besar masjid telah musnah.
Jika kita lihat balik perancangan-perancangan untuk menimbuskan masjid ini pula, kita dapati pelbagai cara telah digunakan dan terdapat lebih dari 20 pertubuhan Zionis telah ditubuhkan bagi tujuan yang sama.
Ini tidak termasuk ratusan cubaan secara peribadi dan kelompok yang turut menjajah, membakar, mengebom, menakutkan para jemaah yang solat di sana.
Dengan ini ternyata, pemusnahan yang sedang berlaku di keliling masjid. Dan jalan raya merupakan salah satu perancangan untuk memusnahkan masjid yang mana puak-puak Yahudi tidak jemu dan putus asa untuk melakukannya.
AL-AQSA DALAM BAHAYA
Pada tahun 1968, persatuan Zionis telah mengumumkan penggabungan antara Bandar Al-Quds Timur dengan Bandar al-Quds Barat. Dan menjadikannya bandar yang disatukan.
Pada tahun 1980 pula, mereka juga telah mengumumkan bahawa Bandar Al-Quds yang telah disatukan ini ialah bandar Yahudi yang kekal. Dan dimulakan dengan kerja-kerja mengubah Al-Quds Timur sebagai pusat Yahudi secara beransur-ansur.
Di antara kerja mereka ialah:
1. Membakar Masjid Al-Aqsa pada pagi hari Khamis, 21/08/1969.



2. Menggali terowong secara berterusan di bawah halaman masjid dan kawasan-kawasan sekelilingnya, dengan alasan mencari Haikal Sulaiman yang didakwa. Dan kerja-kerja ini lama-kelamaan akan menyebabkan runtuhnya Masjid Al-Aqsa.

3. Membina perumahan di bandar dan perkampungan di sekeliling Al-Quds dengan merampas tanah hak milik rakyat Palestin umumnya dan penduduk Bandar Al-Quds secara khusus. Serta merobohkan tempat tinggal rakyat Palestin. Dalam masa yang sama memberi kebenaran kepada Yahudi untuk membina rumah.
4. Melakukan pembunuhan beramai-ramai di Bandar Al-Quds. Termasuk dalam Masjid al-Aqsa, Kubah Sakhrah, Haram Ibrahimi di Bandar Al-Khalil dan lain-lain.
5. Usaha berterusan untuk menghalau penduduk asal dari Bandar Al-Quds sehingga Yahudi menjadi majoriti penduduk di bandar ini. Untuk itu mereka telah merampas kerakyatan rakyat Palestin dan mengenakan cukai yang dahsyat ke atas mereka, serta tidak memberi apa-apa kemudahan hidup kepada mereka.
6. Membina pagar di sekeliling Bandar Al-Quds, dan juga di sekeliling tanah Palestin sehingga negara Palestin menjadi seperti penjara tertutup supaya rakyat Palestin tidak dapat bersatu, kenal-mengenal, tolong-menolong. Dan juga untuk mengasingkan Bandar Al-Quds dari segala bandar dan perkampungan lain di Palestin.
7. Melarang penduduk Arab dari menghampiri Bandar Al-Quds dan menghalang mereka dari solat dalam Masjid Al-Aqsa.
8. Mengenakan pelbagai syarat untuk memasuki Masjid Al-Aqsa. Seperti menentukan had umur yang tertentu bagi jemaah yang ingin masuk terutama di hari Jumaat, sehingga ramai pemuda Palestin terpaksa solat di jalan raya.
9. Menutup sejumlah organisasi-organisasi arab dan Islam di Bandar Al-Quds, terutamanya organisasi akademik dan masyarakat.
10. Membuat perancangan membina “Bandar Al-Quds terbesar” dengan merampas tanah penduduk Arab di Palestin. Dan kerja ini sangat bahaya kerana ianya bertambah luas sehari demi sehari.
11. Melakukan pembunuhan yang kejam ke atas rakyat Palestin, serta menahan sebilangan besar pemuda Palestin di Bandar Al-Quds dan perkampungan di sekeliling. Sehingga penduduk merasa gerun dan takut.
12. Menyebarkan unsur-unsur yang dapat memusnahkan pemuda seperti dadah dan lain-lain.
Bagaimana kita akan menjawab di hadapan Allah SWT nanti? Sesungguhnya Masjid Al-Aqsa kebelakangan ini sedang mengalami saat-saat kritikal. Kesombongan Yahudi sekarang sudah melampaui batas. Pembunuhan, pemusnahan dan sekatan demi sekatan dilakukan ke atas umat Islam.
Zionis telah membuat persiapan, menentukan matlamat, dan menyiapkan perancangan untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa dan membina Haikal di tapak itu. Namun malang sehingga ke hari ini, umat Islam yang begitu ramai tidak berjaya menghalang mereka.
Junjungan kita, Nabi Muhamad SAW telah mengajak kita untuk sentiasa bersatu padu dan sentiasa menghampiri Masjid Al-Aqsa, menziarahi dan menunaikan solat di dalamnya. Baginda mengajak membawa minyak untuk pelita-pelita di Masjid Al-Aqsa.
Dari Maimunah r.a. berkata kepada Rasululah,
"Wahai Rasulullah, berilah padaku satu fatwa tentang Baitulmaqdis. Baginda menjawab, pergilah kamu solat dalam masjid Al-Aqsa. Jika kamu tidak mampu untuk pergi solat di dalamnya maka hantarlah minyak untuk dinyalakan pelita-pelita di masjid al-Aqsa."
Menjadi tanggungjawab ke atas umat Islam pada hari ini, menyelamatkan tempat Isra’ Rasulullah dan mempertahankannya dengan segala cara dan jalan yang mereka mampu.
Ini adalah kewajipan akidah, kewajipan agama. Kerana Al-Aqsa sebahagian dari agama kita. Sebahagian dari akidah kita. Sebahagian dari ayat Al-Quran kita.

Kredit: aqsasyarif

-Debu-