Wednesday, January 4, 2017

KISAH SAHABAT: UBAY BIN KA'AB RA


Nama lengkapnya adalah Ubay bin Ka’ab bin Qis bin ‘Ubaid. Dia adalah Sayyid al-Qurro (pemimpin para pembaca al-Qur’an). Biasa dipanggil Abu Thufail. Rasulullah memberikan panggilan Abu Mundzir (bapa pemberi peringatan).
Ubay bin Ka'ab adalah seorang sahabat Ansar dari suku Khazraj, dia di antara awal yang memeluk Islam semasa terjadinya Ba'iatul Aqabah. Dia juga aktif dalam berbagai pertempuran bersama Nabi SAW seperti Badar, Uhud dan lain-lainnya. Tetapi kekhususan Ubay bin Ka'ab di sisi Rasulullah SAW adalah tentang Al Qur'an.
Ubay bin Ka’ab termasuk dalam sahabat yang menulis dan menghafal wahyu-wahyu yang turun. Baginda pernah bersabda kepadanya,
"Hai Ubay bin Ka'ab, aku diperintahkan untuk menyampaikan al Qur'an kepadamu…"
Antara gembira dan cemas, dia bertanya, "Wahai Rasulullah, benarkah namaku disebut oleh Allah?"
"Benar," Kata Nabi SAW, "Namamu dan keturunan mu di tingkat tertinggi…"
Suatu ketika Nabi SAW sedang mengimami solat jemaah dan ada satu ayat yang baginda tidak baca. Ubay yang berada di belakang Nabi SAW berbisik perlahan kepada Nabi SAW. Usai solat, baginda bertanya, "Siapakah yang membetulkan bacaan ku tadi?"
Jemaah lain menunjuk kepada Ubay bin Ka'ab. Nabi SAW tersenyum dan berkata, "Aku telah menduga, pasti Ubaylah orangnya."
TUAN UMAT ISLAM
Apabila Rasulullah keluar dari Madinah, dia lah yang menggantikan menjadi imam solat. Kerana ilmunya yang dalam, Rasulullah percayakan dia untuk mengajar al-Quran kepada utusan-utusan yang datang.
Dalam riwayat Abdullah bin Amru disebutkan bahawa Rasulullah bersabda,
"Ambillah al-Qur’an (belajarlah) dari empat sahabat, Ibn Mas’ud, Salim budak Hudzaifah, Ubay dan Mua'dz bin Jabal."
Dalam hadis lain, dari Anas diceritakan bahawa pengumpulan al-Qur’an pada masa Rasulullah dilakukan oleh empat sahabat dari kaum Ansar yakni, Ubay bin Ka’ab, Mua’dh bin Jabal, Zaid bin Tsabit dan Abu Zaid Ahad 'Amumuti."
Umar al-Khattab berkata, "Tuan umat Islam adalah Ubay bin Ka’ab"
Selama berjuang membela ajaran Islam, dia ditugaskan oleh Umar untuk mengumpulkan al-Qur’an. Dia termasuk sahabat yang dekat dengan Rasulullah dan telah meriwayatkan lebih kurang 164 hadis.
Suatu ketika ada seorang lelaki yang bertanya kepada Nabi SAW tentang penyakit yang dialaminya, dan apa yang akan diterimanya disebabkan penyakitnya tersebut. Nabi SAW bersabda, "Itu adalah penghapus dosa (kaffarah)."
Ubay yang ketika itu hadir, seketika bertanya, "Walau sakit yang sedikit, wahai Rasulullah?”
"Ya," Kata Nabi SAW, "Walau hanya tertusuk duri, atau yang lebih ringan dari itu."
Suatu hari, Ubay bin Ka'ab demam, dia teringatkan sabda Nabi SAW, maka dia pun berdoa,
"Ya Allah, sesungguhnya aku meminta, agar Engkau tidak menghilangkan demam panas ini dari tubuh Ubay bin Ka'ab, hingga aku bertemu denganMu. Tetapi janganlah demam ini menghalangi aku dari solat, puasa, haji dan jihad di jalanMu."
Sakit demamnya berpanjangan, namun demikian dia tetap beribadah dan berjuang tanpa kesulitan, hingga ajal menjemputnya.
Dia wafat pada tahun 21 Hijrah, semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.
Di antara kata-kata hikmah Ubay bin Ka’ab adalah,
"Dulu (sebelum Rasulullah wafat), kita semua bersama Rasulullah dan wajah-wajah kita sama (pendapat), setelah baginda meninggalkan kita, wajah-wajah kita berbeza-beza, ada yang menoleh ke kanan dan ke kiri."
"Barangsiapa meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan gantikan dengan yang lebih baik dari arah yang tidak diketahui. Dan barang siapa bakhil terhadap rezeki Allah, nescaya Allah akan ambil darinya dari arah yang tidak diketahui."

Kredit:
Ibnu Ghufron
sahabatmuhajirindananshar1

-Debu-

No comments:

Post a Comment