Wednesday, January 4, 2017

DIFTERIA


Difteria (Diphtheria, Greek διφθερα - “sepasang gulung kepingan kulit") adalah penyakit saluran pernafasan pada bahagian atas dengan ciri-ciri perit leher, demam dan berselaput ( pseudomembrane) pada tonsils, pharynx, dan/atau rongga hidung.
Diphtheria sederhana mungkin terhad hanya pada kulit. Kesan luar biasa pula termasuk myocarditis (sekitar 20% kes) dan neuropathy (sekitar 10% kes). Ia berpunca dari bakteria 'Corynebacterium diphtheriae'.
Penyakit ini menyerang bahagian atas mukosa saluran pernafasan dan kulit yang terluka. Tanda-tanda yang dapat dirasakan ialah sakit tekak dan demam secara tiba-tiba disertai tumbuhan membran kelabu melitupi tonsil serta bahagian saluran pernafasan.
Pembawa kuman ini adalah manusia sendiri dan ia amat sensitif kepada faktor-faktor alam persekitaran seperti kekeringan, kepanasan dan sinaran matahari.
Difteria disebarkan daripada kulit, saluran pernafasan dan sentuhan dengan pesakit difteria itu sendiri. Kadar kematian akibat difteria paling tinggi di kalangan bayi dan orang tua dan kematian biasanya berlaku dalam masa tiga hingga empat hari.
Rawatan bagi penyakit ini termasuk antitoksin difteria (untuk melemahkan toksin difteria) dan antibiotik. Antibiotik Erythromycin dan Penisilin membantu menghapuskan bakteria dan menghentikan pengeluaran toksin.
Umumnya difteria boleh dicegah melalui vaksinasi. Bayi, kanak-kanak, remaja dan orang dewasa yang tidak mempunyai cukup pelalian memerlukan suntikan booster setiap 10 tahun.
Di Amerika Syarikat, terdapat 52 kes difteria dilaporkan antara 1980 dan 2000. Manakala antara 2000 dan 2007 hanya terdapat tiga kes dilaporkan kerana vaksin DPT (Diphtheria–Pertussis–Tetanus) telah diberikan pada semua kanak-kanak usia persekolahan.
Penguat pelalian (vaksin) dicadangkan bagi orang dewasa kerana kekuatan pelalian merosot mengikut usia, terutamanya bagi mereka yang mengembara ke kawasan di mana penyakit ini belum dihapuskan.
TANDA DAN GEJALA
Permulaan penyakit biasanya secara perlahan-lahan. Simptom termasuk lesu, demam, sakit kerongkong dan masalah menelan.
Kanak-kanak yang dijangkiti mengalami simptom termasuk mual, muntah, sejuk dan demam yang tinggi. Ada sesetengah kes tidak menunjukkan simptom sehingga jangkitan telah menjadi teruk.
Dalam 10% kes, pesakit mengalami bengkak di bahagian leher, biasanya digelar 'leher lembu/bull neck'. Kes ini biasanya dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih tinggi.
SEJARAH DIFTERIA
Pada 1878, anak Ratu Victoria, Puteri Alice dan keluarganya dijangkiti difteria menyebabkan dua kematian, Puteri Marie dan Puteri Alice sendiri.
Pada 1920-an, terdapat sekitar 100,000 hingga 200,000 kes difteria setiap tahun di Amerika Syarikat, menyebabkan 13,000 hingga 15,000 kematian setiap tahun. Kanak-kanak merupakan mangsa utama.
Kaedah rawatan kali pertama pada 1880-an, Dr. Joseph O'Dwyer (1841–1898) memasukkan tiub ke dalam leher pesakit untuk menghalang mangsa dari tercekik akibat daripada sarung selaput yang tumbuh dan menutupi saluran pernafasan.
Pada tahun 1884, Friedrich Loeffler menjumpai kuman penyebab penyakit ini iaitu Corynebacterium Diphtheriae.
Pada tahun 1890-an, Dr. Emil von Behring (Jerman) mencipta antitoksin yang tidak membunuh bakteria, tetapi meneutralkan racun toksin yang dibebaskan oleh bakteria ke dalam tubuh.
Von Behring diberi anugerah Hadiah Nobel pertama dalam Perubatan bagi peranannya dalam penemuan tersebut dan rawatan serum bagi difteria. Vaksin pertama bagi difteria dicipta pada tahun 1913 oleh Behring.
Ujian Schick, dicipta antara 1910 dan 1911, merupakan ujian bagi menentukan samada seseorang lemah atau tidak kepada jangkitan difteria. Ia dinamakan sempena nama penciptanya, Béla Schick (1877–1967), doktor bayi Amerika kelahiran Hungary.
Kempen besar-besaran selama lima tahun diselaraskan oleh Dr. Schick. Sebahagian aktiviti daripada kempen tersebut ialah sebanyak 85 juta kepingan risalah diedarkan oleh Syarikat Insuran Metropolitan Life dengan rayuan kepada ibu bapa, "Selamatkan anak anda dari diphtheria".
Setelah vaksin dibangunkan dalam dekad berikut, kematian mula menurun pada tahun 1924.

-Debu-

No comments:

Post a Comment