Tuesday, January 17, 2017

DATUK SIAMANG GAGAP - PAHLAWAN NEGERI SEMBILAN

Lakaran Kahar Mukmin @ Datuk Siamang Gagap
Kahar Mukmin atau lebih dikenali Datuk Siamang Gagap adalah tokoh terawal yang menentang Inggeris dalam "Perang Bukit Putus", peristiwa yang menjadi titik tolak kepada campur tangan Inggeris di negeri yang terkenal dengan adat Perpatih itu.
Siapa sebenarnya Kahar Mukmin?
Menurut penceritaan orang tua-tua, Kahar atau Datuk Siamang Gagap lahir pada tahun 1817 di Kampung Repah, Tampin. Sejak kecil, dia seorang anak yang lincah dan cerdik cuma satu kekurangannya iaitu gagap bila bercakap. Tetapi apabila besar dia berjaya mengatasi masalah gagapnya.
Diceritakan, Datuk Siamang Gagap pernah berguru dengan seorang alim dalam agama diberi gelar TOK KALI SINGA. Kemudian beliau ke Patani mendalami ilmu agama dan mempelajari ilmu persilatan. Beliau juga diceritakan menjelajah tanah Minangkabau untuk mendalami ilmu persilatannya.
Apabila pulang dari perantauan, beliau mengajar ilmu agama dan persilatan kepada anak-anak muda di kampungnya. Beliau juga bercita-cita menjadi pembesar istana dan untuk mencapai cita-citanya, beliau mengajak ayah dan ibunya berpindah ke Kampung Sungai Layang yang letaknya tidak jauh dari istana Yamtuan Seri Menanti. Sikap Datuk Siamang yang rendah diri dan peramah membuatkan dia mudah disenangi dan diterima oleh orang-orang kampung.
Serangan dan gangguan orang-orang Rawa (Rao) yang datang dari Lenggeng telah mengganggu keamanan dan kemakmuran Luak Tanah Mengandong (Seri Menanti). Orang-orang Rawa ini terkenal dengan ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Semasa itu, orang-orang Rawa amat terkenal dengan ilmu Rao Rontek dan Bom Katak. Rakyat mengadu kepada pihak istana, tetapi Yamtuan Radin tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan orang-orang Rawa yang ramai tambahan pula baginda khuatir ramai yang akan menjadi mangsa jika berlaku peperangan dengan orang-orang Rawa.
Datuk Siamang Gagap hadir mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang diri. Pada mulanya Yamtuan tidak yakin dengan kebolehannya tetapi bila Kahar bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya, akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan.
Datuk Siamang Gagap menggunakan tipu helahnya untuk memperdayakan orang-orang Rawa. Dia mengadap ketua orang-orang Rawa bernama Temusi lalu mengaku datang dari Minangkabau bersama ramai pahlawan terbilang bertujuan membantu Yamtuan untuk memerangi orang-orang Rawa.
Datuk Siamang Gagap juga mengajak mengadu kekuatan seorang lawan seorang untuk menguji kehebatan pahlawan Rawa. Akhirnya berlakulah pertandingan pencak silat antara Datuk Siamang Gagap dengan pahlawan Rawa yang terbilang dan dalam pertandingan itu Datuk Siamang Gagap berjaya mengalahkan lawannya.
Kemudian Datuk Siamang Gagap mengatakan dia cuma orang suruhan sahaja berbanding pahlawan Minangkabau lain yang semuanya lebih handal darinya. Akhirnya orang-orang Rawa merasa takut lalu meninggalkan Seri Menanti.
Info:
1. Rao Rontek: ilmu sihir yang membolehkan si pemakai yang telah ditikam atau dibunuh, hidup semula apabila jasadnya terkena tanah.
2. Bom Katak: Katak jenis kodok yang dilumurkan dengan cili yang akan mengeluarkan gas sebagai mekanisma pertahanan. Namun sekiranya manusia terkena gas ini boleh menyebabkan halusinasi.
Masjid yang dibina di Kg Terusan, Juasseh, Kuala Pilah
PERANG BUKIT PUTUS
Sebenarnya, campur tangan Inggeris di Negeri Sembilan berpunca daripada krisis dan pergolakkan takhta kerajaan negeri antara Tengku Laksamana Antah dan Tengku Ahmad Tunggal pada 1872, iaitu selepas kemangkatan Yamtuan Imam.
Datuk Siamang Gagap yang berasal dari suku Tanah Datar di Seri Menanti adalah pembesar Istana Seri Menanti dan kedudukannya ketika itu sama seperti Menteri atau Bendahara yang mengetuai pentadbiran dalam takhta kerajaan.
Beliau mendapat gelaran Datuk Siamang Gagap daripada Yamtuan Radin. Jadi walaupun Yamtuan Radin mangkat pada 1861, Datuk Siamang Gagap masih menjadi pembesar istana yang penting di bawah pentadbiran Yamtuan Imam yang menggantikan kekandanya itu dari 1861-1869.
Kemangkatan Yamtuan Imam menyebabkan berlaku krisis mencari pengganti baginda dan Tengku Ahmad Tunggal, putera sulung Yamtuan Radin dikatakan menuntut hak supaya dirinya dilantik menjadi Yamtuan.
Namun, atas sebab-sebab tertentu, pembesar istana dikatakan enggan melantiknya dan Datuk Siamang Gagap secara tegas mengangkat Tengku Ampuan Intan, yang juga isteri kepada Yamtuan Radin sebagai pemangku takhta kerajaan.
Sebenarnya, keputusan Datuk Siamang Gagap melantik Tengku Ampuan Intan itu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada Datuk Penghulu Luak dan Orang Empat Istana yang kemudian melantik Tengku Laksamana Antah, putera Yamtuan Radin iaitu anak saudara kepada Yamtuan Imam menaiki takhta kerajaan pada 1972.

Pelantikan Tengku Laksamana Antah sebagai Yamtuan itu, iaitu kira-kira tiga tahun selepas kemangkatan Yamtuan Imam mendapat tentangan daripada Tengku Ahmad Tunggal.
Penentangan itu dikatakan menjadi pergolakkan penting dalam sejarah takhta kerajaan yang membawa kepada meletus perang saudara yang tercatat dalam sejarah Negeri Sembilan sebagai "Perang Bukit Putus".
Tengku Ahmad Tunggal yang kecewa, kemudian meninggalkan Seri Menanti dan bertemu dengan Datuk Kelana Putera Syed Abdul Rahman iaitu Undang Luak Sungai Ujung yang simpati dengan nasibnya.
Pada masa ini, Inggeris yang sudah pun memerintah Melaka dengan menerima arahan dari Singapura sejak perjanjian Raffles dengan Sultan Hussein Shah pada 7 Mac 1819 memainkan peranan untuk mencampuri urusan di Negeri Sembilan.
Inggeris yang datang ke Sungai Ujung (dikenali Seremban) sebenarnya terpikat dengan bijih timah menyatakan sokongan kepada Datuk Kelana Putera dan berjanji memberi bantuan kepadanya sekiranya hendak menyerang Seri Menanti dalam usaha membantu Tengku Ahmad Tunggal merebut takhta kerajaan.
Menerusi janji dan bantuan Inggeris itu menyebabkan krisis takhta kerajaan negeri bertambah parah yang akhirnya berlaku peperangan antara Sungai Ujung dan Seri Menanti yang dikenali sebagai "Perang Bukit Putus".
Dalam peperangan itu, penduduk Seri Menanti yang berdiri teguh di belakang Yamtuan Antah diketuai oleh Datuk Siamang Gagap sementara penduduk Sungai Ujung diketuai Kapten Murray, seorang pegawai tentera Inggeris.
Pada peringkat awal, pasukan Datuk Siamang Gagap berjaya mengundurkan lawan hingga ke Paroi tetapi pihak Inggeris kemudian menambah kekuatan dengan membawa askar sepoi dari Melaka untuk membantu.
Pihak Inggeris dengan senjata lengkap akhirnya memenangi pertempuran pada 1874 itu dan bagi mengelakkan ditawan, Yamtuan Antah pergi ke Johor sambil Datuk Siamang Gagap meneruskan perjuangan menentang kemasukan Inggeris ke Seri Menanti.
Ketika Datuk Siamang Gagap merancang mahu bertindak balas, beliau mendapat tahu Yamtuan Antah dikatakan sudah menerima syarat berdamai yang dibuat oleh Fredrick Aloysius Weld.
Namun, dikatakan perjanjian antara Yamtuan Antah dengan Inggeris pada 4 Jun 1887 itu mendapat tentangan daripada Datuk Siamang Gagap, bagi mengendurkan suasana, pihak Inggeris dikatakan menawarkannya menunaikan fardu haji ke Mekah.
Ketika pemergian Datuk Siamang Gagap ke Mekah, Inggeris dikatakan mengambil kesempatan memeterai perjanjian dengan Yamtuan Antah dan apabila pulang beliau akhirnya terpaksa mengalah sebaik mengetahui perjanjian itu sudah ditandatangani.
Selepas menandatangani perjanjian itu, Inggeris berjaya meletakkan pengaruhnya dengan lebih berkesan di Seri Menanti dan kedudukan bandar diraja itu kian tersepit selepas Yamtuan Antah mangkat kira-kira empat bulan selepas perjanjian itu.
Bagaimanapun, dalam usaha Inggeris mahu melantik Tengku Muda Chik menjadi Yamtuan bagi menggantikan Yamtuan Antah yang mangkat pada 1888, Datuk Siamang Gagap keras menentang.
Akibat penentangan itu, pihak Inggeris dikatakan melantik Tuanku Muhammad menjadi Yamtuan dan akhirnya pada 13 Julai 1889, Inggeris menamakan Martin Lister sebagai Residen Inggeris pertama di Negeri Sembilan.
Mengikut sumber, Datuk Siamang Gagap yang benci dan menentang kuat terhadap Inggeris kemudian dikatakan mengundurkan diri daripada menjadi pembesar istana dengan membawa diri ke Pahang selepas penjajah itu campur tangan sepenuhnya di negeri berkenaan.
Makam Datuk Siamang Gagap di Kg Terusan
RINGKASAN MENGENAI DATUK SIAMANG GAGAP
§ Nama sebenar : Kahar Mukmin
§ Semasa kecil - gagap. Tetapi dapat diatasi setelah dewasa
§ Sasa, tegap dan mempunyai kening yang tebal hingga menutup pelupuk mata
§ Pernah dikatakan belajar di Patani dan seluruh tanah Minangkabau, Indonesia
§ Mendapat gelaran Datuk Siamang Gagap setelah menewaskan orang Rawa secara bersendirian
§ Seorang pembesar Istana dan terbabit dalam perlantikan Yamtuan
§ Mengetuai pasukan Yamtuan Antah menentang Inggeris di Bukit Putus
§ Dikatakan membawa diri selepas Inggeris dapat menawan Seri Menanti
§ Dikatakan meninggal dunia di Mekah, Pahang dan Kg Terusan

Wallahua'lam...

Kredit: akarbangsa

-Debu-

No comments:

Post a Comment