Wednesday, January 4, 2017

LETUPAN YANG MENENGGELAMKAN KAPAL SULTANA




Tragedi letupan kapal Sultana mungkin tidak sepopular tragedi kapal karam Titanic. Tetapi, insiden yang berlaku di sungai Mississippi, Amerika Syarikat pada 27 April 1865 ini telah direkodkan sebagai satu malapetaka maritim yang paling teruk dalam sejarah Amerika Syarikat.
Berita tragedi yang telah mencatatkan kematian seramai 1,700 orang ini kurang diketahui dan diingati kerana ia berlaku beberapa hari selepas tamatnya Perang Sivil Amerika dan juga tragedi pembunuhan Presiden Abraham Lincoln. Akibatnya, tragedi letupan kapal Sultana itu kurang ditekankan dalam akhbar-akhbar berpengaruh di Amerika Syarikat waktu itu.
Kapal Sultana adalah sebuah kapal penumpang yang menggunakan enjin berkuasa stim dan mempunyai seni bina yang canggih.
PADAH TAWARAN KONTRAK LUMAYAN
Pada 21 April 1865, kapal Sultana berlepas dari New Orleans dengan 100 orang penumpang menuju utara sungai Mississippi. Semasa dalam perjalanan, seorang jurutera kapal mendapati terdapat kebocoran pada dandang kapal. Kapten kapal, J. Cass Mason memberhentikan kapal di Vicksburg dua hari selepas bertolak dari New Orleans untuk mencari pembuat dandang bagi membaiki masalah tersebut.
Setelah meneliti masalah yang dihadapi pada kapal Sultana, pembuat dandang, R.G Taylor memberitahu kapten bahawa dua lapisan pada dandang perlu ditukar. Risau tentang masa dan wang, Mason yang juga merupakan salah seorang pemilik kapal tersebut mengambil keputusan menyuruh Taylor tampal kebocoran itu buat sementara.
Di Vicksburg, Mason berharap mendapat kontrak membawa pulang tawanan perang Union. Kerajaan Persekutuan berjanji untuk membayar $5 bagi setiap tawanan perang dan $10 untuk setiap pegawai yang dihantar pulang ke rumah mereka di kawasan utara.
Melihat tawaran kontrak yang lumayan itu, Mason menjadi tamak. Dia telah melobi pegawai yang menguruskan tawanan perang itu untuk membiarkan kapalnya saja mengambil semua tawanan perang yang ingin dihantar pulang walaupun terdapat dua buah kapal stim lain yang berlabuh di Vicksburg.
Taktik itu berjaya dan kapal Sultana telah berlepas dari pelabuhan di Vicksburg pada malam 24 April 1985 dengan membawa 2,100 orang tawanan perang dan 200 orang awam, lebih daripada enam kali kapasiti yang diluluskan untuknya.
Pada pukul 2.00 pagi, 27 April 1865, semasa sedang berlayar tujuh batu nautika ke utara Memphis di sungai Mississippi, tiba-tiba salah satu daripada tiga buah dandang kapal Sultana meletup. Letupan itu sangat kuat sehinggakan ada penumpang yang berada di atas kapal tercampak ke sungai akibat letupan itu.
Sisa letupan tersebut kemudiannya merebak sehinggakan keseluruhan kapal Sultana terbakar dan menghasilkan api yang begitu marak. Nyalaan ini begitu besar sehinggakan ia mampu dilihat dari daratan Memphis.
Ramai yang terbunuh kerana terkena serpihan logam dan bara arang batu yang berterbangan, wap panas yang meluap-luap, dek kapal yang runtuh dan juga kerana kebakaran atas kapal. Beberapa orang juga telah terbunuh kerana dipercayai lemas apabila tercampak ke dalam sungai dan meninggal dunia tidak lama selepas diselamatkan.
Daripada 2,300 orang penumpang, hanya 600 terselamat dan 1,700 orang meninggal dunia, menjadikannya bencana maritim terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat.
Pada 30 April 1865, Setiausaha Perang, Edwin Stanton telah menubuhkan satu lembaga siasatan khas untuk menyiasat bencana kapal Sultana itu. Lembaga siasatan khas itu telah mengambil keterangan daripada anak-anak kapal dan penumpang yang terselamat serta pakar-pakar kapal stim, tetapi masih belum mendapat kesimpulan apa yang menyebabkan kecelakaan itu terjadi.
Tiada individu dipersalahkan atas tragedi itu dan tiada siapa yang tahu secara muktamad apa yang menyebabkan kerosakan pada dandang kapal Sultana.
Akhirnya, mereka memutuskan bahawa air tidak mencukupi di dalam dandang telah menghasilkan letupan itu berlaku dan bukannya kerana kapal itu terlalu sesak melebihi muatan sehingga menyebabkan dandang perlu bekerja keras seterusnya berlaku kerosakan sekali gus menyebabkan letupan!

Kredit: nazrynafiz

-Debu-

No comments:

Post a Comment