Wednesday, January 4, 2017

Masjid Agung Samarra


Iraq mempunyai empat tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO serta sebelas tapak tambahan dalam senarai tentatif UNESCO. Semua empat tapak Warisan Dunia itu mempamerkan ciri-ciri kebudayaan negara Iraq iaitu Ashur (Qal'at Sherqat), Kubu Erbil, Hatra dan bandar Arkeologi Samarra.
Sāmarrā (سامَرّاء) ialah sebuah bandar yang terletak di sebelah timur Sungai Tigris di Wilayah (صلاح الدين) Salāh ad Dīn, Iraq. Kota ini terletak kira-kira 125 km di sebelah utara Baghdad. Penduduknya berjumlah kira-kira 348,700 orang pada tahun 2003.
Pada masa lalu, Samarra merupakan salah satu bandar terbesar pada zaman ketamadunan Mesopotamia.
Bandar ini antara bandar islam tertua yang masih mengekalkan susun atur pelan bandar asal, seni bina dan peninggalan seni dari zaman Khalifah Abbasiyah. Oleh kerana kekuatan tarikan bandar arkeologi itu pada tahun 2007, UNESCO menamakan Samarra salah satu tapak Warisan Dunia.
Masjid Agung Samarra
Masjid Agung Samarra ialah sebuah masjid abad ke-9 yang terletak di Samarra, Iraq. Pembinaan masjid ini dimulakan dalam tahun 848 M dan diselesai dalam tahun 851 M oleh Khalifah Abbasiyah, Al-Mutawakkil yang memerintah di Samarra dari tahun 847 M sehingga tahun 861 M.
Antara keunikkan masjid ini sudah tentu menaranya. Menara Malwiyah ialah seperti sebuah kon berpusar yang besar berukuran 52 meter tinggi dan 33 meter lebar, dengan dilengkapi tanjakan berpusar.
Pemerintahan Al-Mutawakkil memberi impak besar tehadap kota Samarra, oleh sebab beliau meminati seni bina, dan seperti yang dinyatakan, beliaulah yang bertanggung jawab akan pembinaan Masjid Agung Samarra.
Dalam senarai projek-projek pembinaannya, selain Masjid Jamek baharu ini turut serta pembinaan 20 buah istana, yang menelan belanja sebanyak antara 258 dan 294 juta dirham. Masjid Jamek baharu ini menjadi sebahagian daripada pelebaran kota ke arah timur, dan memanjang sehingga ke dalam kawasan taman pemburuan lama.
Suatu masa dahulu, Masjid Agung Samarra merupakan masjid terbesar di dunia, ia mampu menampung sehingga 80,000 orang jemaah. Struktur masjid berbentuk segi empat tepat yg besar hampir 38,000 meter persegi dengan perkadaran 3:2 yang tipikal bagi kebanyakan masjid di sini. Masjid dibina dalam dinding ‘bastion' 2.65 meter tebal dengan 44 menara separa bulat. Bangunan yang berada dalam kepungan luar ialah 444 meter x 376 meter, merangkumi seluas 17 hektar yang membolehkan lebih banyak orang untuk menghadiri sesuatu majlis. Masjid itu mempunyai 17 lorong dan 16 pintu masuk utama, dindingnya disalut dengan mozek kaca berwarna biru tua.
Seni dan seni bina masjid amat dipengaruhi ukiran (stucco) kerana di dalam masjid ukiran berbentuk bunga dan geometri menggambarkan hiasan Islam awal. Tambahan, Masjid Ibn Tulun di Kaherah, Mesir menyerupai Masjid Agung Samarra dalam banyak perkara.
Masjid mengalami kemusnahan teruk dalam tahun 1278 M (656 H) selepas serangan Hulagu Khan terhadap Baghdad. Hanya dinding luar dan menaranya yang kekal sehingga kini. Semestinya tarikan utama mengunjungi tapak masjid ini umpama seseorang itu berada dalam dunia purba senibina Al Mutawakkil.









Kredit:
Community.dur.ac.uk (foto)
The oriental Institute of the University of Chicago
Beautiful Mosques Gallery

-Dzull-

No comments:

Post a Comment