Saturday, March 11, 2017

IMAM MALIK: PENGASAS MAZHAB MALIKI

Nama lengkap beliau adalah Abu Abdillah Malik bin Anas bin Malik bin Anas bin Al Harits bin Ghaiman bin Khutsail bin Amr bin Al Harits Al Ashbahiy Al Humairiy. Nasabnya berakhir pada Ya'rib bin Yasyjub bin Qathan.
Datuknya yang juga bernama Malik bin Anas termasuk seorang tabi'in besar dan salah seorang yang turut memikul jenazah Khalifah Usman ke kuburnya.
Datuk kepada datuknya, Anas, adalah seorang sahabat agung, yang selalu mengikuti Rasulullah SAW dalam semua peperangan kecuali perang Badar.
Ibunya bernama Al Aliyah binti Syariek Al Asadiyah. Namun, ada juga yg mengatakan ibunya adalah Thulaihah, bekas hamba Ubaidullah bin Ma'mar.
Imam Malik bin Anas lahir di Madinah pada tahun 93H/711M (ada pendapat yang mengatakan 95H). Beliau dilahirkan di dalam sebuah kota yang merupakan tempat tumbuhnya Islam dan berkumpulnya generasi yang dididik oleh para sahabat Rasulullah SAW.
Sejarah keluarganya juga ada hubung-kait dengan ilmu Islam dan datuknya sendiri seorang perawi serta penghafal hadis yang terkemuka. Pakciknya, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tokoh hadis kota Madinah pada ketika itu dan dengan beliaulah Malik bin Anas mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadis.
Abu Suhail Nafi’ ialah seorang tabi‘in yang sempat menghafal hadis daripada Abdullah ibn Umar, A'isyah binti Abu Bakar, Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri RA.
Selain Abu Suhail Nafi’, Malik bin Anas juga berguru dengan Ja'afar as-Siddiq, cucu kepada Hassan (cucu kepada Rasulullah SAW). Malik juga belajar di Masjid Nabawi, berguru dengan Muhammad Yahya al-Ansari, Abu Hazim Salmah al-Dinar, Yahya bin Sa'ad dan Hisham bin ‘Urwah. Mereka ini semua ialah anak murid kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW.
Suasana kehidupan Malik bin Anas di Madinah yang ketika itu dipenuhi dengan para tabi‘in amatlah menguntungkannya. Para tabi‘in ini adalah mereka yang sempat hidup bersama sahabat-sahabat Rasulullah SAW.
Mereka sempat belajar, mendengar hadis dan mengamalkan perbuatan para sahabat secara terus. Inilah antara sebab kenapa Malik bin Anas tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat haji.
Malik bin Anas kemudiannya mengambil alih sebagai tokoh agama di Masjid Nabawi. Ajarannya menarik sejumlah orang ramai daripada pelbagai daerah dunia Islam. Beliau juga bertindak sebagai mufti Madinah pada ketika itu.
Malik juga ialah antara tokoh yang terawal dalam mengumpul dan membukukan hadis-hadis Rasulullah SAW di dalam kitabnya, Al Muwattha'. Kitabnya ini menjadi hafalan dan rujukan orang ramai.
BIDANG ILMU
Beliau meriwayatkan hadis dari sejumlah besar Tabi'in dan Tabi'ut Tabi'in, di antaranya, Nafi', Ibn Syihab Az Zuhri, Abu Az Zanad, Abdurrahman bin Al Qasim, Ayyub As Sakhtiyani, Yahya bin Sa'id Al Anshari, Aisyah binti Sa'ad bin Abi Waqqash, Zaid bin Aslam, Humaid Ath Thawiel dan Hisyam bin Urwah.
Sebaliknya, tidak sedikit guru-gurunya yang meriwayatkan hadis dari beliau sesudah itu, seperti Az Zuhri dan Yahya bin Sa'id Al Anshari. Cukup banyak perawi yang meriwayatkan hadis dari beliau.
Al Hafidh Abu Bakar Al Khatib Al Baghdadi menulis sebuah kitab tentang para perawi yang meriwayatkan dari Imam Malik. Dalam kitab tersebut, Al Baghdadi menyebutkan hampir 1000 orang perawi. Di antara tokoh-tokoh yang meriwayatkan hadis dari beliau ialah Sufyan Ats Tsauri, Abdullah bin Al Mubarak, Abdurrahman Al Auza'i, Abu Hanifah, Asy Syafi'i dan banyak nama besar yang lain.
ULASAN ULAMA' TENTANG IMAM MALIK
Asy Syafi'i: Apabila ulama disebut, maka Imam Malik adalah bintangnya.
Ibn Mu'in: Imam Malik termasuk hujjah Allah atas makhluk-Nya.
Yahya bin Sa'id Al Qathan: Imam Malik adalah amirul mukminin dalam bidang hadis.
Ibn Hibban: Imam Malik adalah orang pertama yang memilih para tokoh ahli fiqh di Madinah, menghindari orang yang tidak dipercayai (tsiqah), tidak meriwayatkan kecuali yang sahih dan hanya menceritakan dari orang yang dipercayai.
Beliau termasuk dalam bahagian dari sanad-sanad utama hadis-hadis Imam Bukhari selain Imam Nafi'.
Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, yang bermaksud,
"Nyaris orang-orang memukul perut unta untuk mencari ilmu, tapi ternyata mereka tidak menemui seorang pun yang lebih alim dari orang alim Madinah" (hadis ini hasan menurut Tirmidzi)
Ibn Unayah menukilkan orang alim Madinah tersebut adalah Imam Malik.
AL-MUWATTHA'
Al-Muwatta’ bermaksud ‘yang disepakati’ atau ‘tunjang’ atau ‘panduan’ tentang ilmu dan hukum-hukum fiqh. Ia mengandungi hadis-hadis hukum yang dikumpulkan oleh Imam Malik .
Semua hadis di dalam al-Muwatta’ adalah sahih kerana Imam Malik terkenal dengan sifatnya yang tegas dalam penerimaan hadis tertentu. Beliau sangat berhati-hati ketika menapis, mengasingkan dan membahas serta menolak riwayat yang meragukan.
Daripada 100,000 buah hadis yang dihafal beliau, hanya 10,000 sahaja diakui sah dan daripada 10,000 hadis itu, hanya 5,000 sahaja yang disahkan sahih oleh beliau setelah disiasat dan dipadankan dengan al-Quran.
Menurut satu riwayat, Imam Malik telah menghabiskan 40 tahun untuk mengumpul dan menapis hadis-hadis yang diterima daripada guru-gurunya.
Muridnya, Imam Syafie pernah berkata, “Tiada sebuah kitab di muka bumi ini yang lebih banyak mengandungi kebenaran selain daripada kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik.”
Al Muwattha' memuatkan;
- 6000 hadis musnad (sanad bersambung sampai ke Nabi SAW / Marfu')
- 222 hadis mursal (sanad hanya sampai sahabat)
- 613 hadis mauquf (sanad hanya sampai tabi'in)
- 285 makalah Tabi'in.
FATWA DAN UNTAIAN KATA IMAM MALIK
1. "Aku hanyalah seorang manusia, terkadang salah terkadang benar. Oleh kerana itu, telitilah pendapatku. Bila sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah maka ambillah, dan bila tidak sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, maka tinggalkanlah."
2. "Siapapun boleh diambil dan ditolak perkataannya, kecuali Nabi SAW."
3. Ketika ditanya tentang Allah bersemayam di 'arasy beliau menjelaskan,
"Al-Istiwa adalah sudah dimaklumi maknanya. Adapun kaifiyahnya tidak dikenali. Mengimaninya adalah wajib dan mempertanyakannya adalah bid'ah".
4. Imam Malik ra. memberikan nasihat,
"Rasulullah SAW telah wafat dan sesungguhnya urusan (agama) ini telah selesai dan sempurna.. Maka sayugialah bahawa kamu mengikuti akan atsar-atsar Rasulullah SAW dan janganlah kamu mengikuti fikiran orang, kerana sesungguhnya bila fikiran (pendapat) orang diikuti, datang orang lain yang lebih kuat fikirannya daripada kamu, lalu kamu mengikuti fikirannya, maka tiap-tiap kali datang seseorang yang mengalahkan kamu, kamu mengikuti kepadanya. Aku memandang demikian ini tidaklah sempurna"
5. Bila tidak mendapatkan kejelasannya, barulah kita bertanya pada ahlinya.
6. Fatwa beliau yang lain yang merupakan pukulan bagi para pembuat dan pelaku bid'ah dalam urusan agama adalah,
"Barangsiapa mengada-adakan satu bid'ah di dalam Islam, yang ia memandang bid'ah itu baik/hasanah, maka sesungguhnya ia telah menyangka bahawa Muhammad telah berkhianat akan risalah Allah, kerana sesungguhnya Allah telah berfirman, " Pada hari ini Aku telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu. Maka apa-apa yang tidak jadi agama pada hari itu, tidaklah menjadi agama pada hari ini"
WAFAT
Makam Imam Malik di Kompleks Pemakaman Baqi' Al-Gharqad
Sebagaimana tahun kelahirannya, ada beberapa versi tentang waktu meninggalnya Imam Malik. Ada yang berpendapat tanggal 11, 12, 13, 14 bulan Rejab 179 H dan ada yang berpendapat 12 Rabi’ul Awwal 179 H.
Di antara pandangan yang paling banyak diikuti adalah pendapat Qadi Abu Fadl Iyad yang menyatakan bahawa Imam Malik meninggal pada hari Ahad 12 Rabi’ul Awwal 179 H dalam usia 87 tahun, setelah sebulan menderita sakit.
Beliau dikebumikan di kuburan Baqi’. Beliau berwasiat untuk dikafani dengan pakaianya yang putih dan disolatkan di tempat meninggalnya. Dengan perginya Imam Malik, berkurang satu tokoh dan ulama besar Madinah.
Wallahua'lam...

Kredit: catatan-karmic

-Debu-

No comments:

Post a Comment