Sebelum adanya jalan raya yang merupakan jalan pengangkutan utama di zaman moden sekarang ini, manusia menggunakan sungai dan laut sebagai jalan perhubungan dan pengangkutan mereka.
Pedagang menggunakan perahu atau kapal bagi mengangkut barang dagangan mereka menyelusuri laut dan sungai untuk sampai ke destinasi.
Sebuah jalan sungai yang sangat popular di zaman dulu yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Tanah Melayu telah digunakan oleh manusia seawal sekitar kurun ke 13 atau 14 lagi.
Jalan sungai ini merupakan jalan alternatif kepada jalan persisiran laut yang melalui Singapura. Jalan sungai ini melibatkan dua sungai utama iaitu Sungai Muar dan Sungai Pahang.
Pada masa itu kawasan hutan masih tebal dan luas, sudah tentu kedua-dua sungai itu mempunyai kandungan air yang lebih banyak atau besar berbanding sekarang.
Permukaannya yang luas dan airnya yang dalam memungkinkan perahu-perahu bersaiz besar atau kapal dapat belayar melaluinya.
Dari pantai barat Semenanjung, perahu atau kapal akan mudik dari muara Sungai Muar, kemudian mudik ke Sungai Jempol yang merupakan salah satu cabang dari Sungai Muar. Sehinggalah sampai ke suatu tempat di Kampung Laka, Serting di mana perahu atau kapal ini akan ditarik ke darat melalui Jalan Penarikan.
Kapal atau perahu ini ditarik di atas daratan sejauh 600 meter untuk dipindahkan ke Sungai Serting. Dari Sungai Serting, perahu atau kapal ini akan menghilir masuk ke Sungai Bera yang seterusnya akan bertemu dengan Sungai Pahang.
Akhirnya melalui Sungai Pahang ini, akan sampai ke lautan lepas yang terletak di pantai timur Semenanjung.
Londar Siam atau Jalan Penarikan merupakan tanah daratan yang paling pendek menghubungkan Sungai Jempol dan Sungai Serting. Kawasan Jalan Penarikan ini terletak dalam Daerah Jempol di Negeri Sembilan.
Kenapa ia dinamakan Londar Siam? Mungkin laluan ini pernah digunakan oleh tentera Siam sebagai jalan yang strategik untuk menyerang Melaka.
Dikatakan tentera Siam juga pernah cuba menggali terusan pada Jalan Penarikan itu supaya perahu atau kapal tidak perlu lagi di tarik ke darat untuk memindahkannya dari Sungai Jempol ke Sungai Serting itu.
Tetapi dikatakan projek terusan itu gagal disiapkan atas sebab-sebab tertentu. Ada kemungkinan juga projek itu tidak gagal tetapi sengaja terusan itu tidak dibuat sepenuhnya.
Terusan itu mungkin sengaja dibuat separuh sahaja bagi tujuan untuk memendekkan lagi jalan penarikan itu. Maknanya dengan adanya terusan itu, kapal ditarik di atas daratan akan melalui laluan yang lebih pendek berbanding tanpa terusan.
Salah satu sebabnya juga, mungkin kedudukan aras ketinggian Sungai Jempol tidak sama dengan aras Sungai Serting, ini akan menyebabkan salah satu sungai akan menjadi kering di mana air Sungai Jempol akan mengalir ke Sungai Serting ataupun sebaliknya.
Atau mungkin juga projek terusan ini gagal disiapkan kerana ada unsur sabotaj dari penduduk tempatan kerana bimbang kehilangan mata pencarian mereka hasil dari kerja menarik kapal-kapal yang melalui Jalan Penarikan itu.
Dikatakan juga tentera Siam yang membina terusan itu ramai yang mati kerana ditimpa penyakit misteri.
Kenapa Jalan Sungai Muar-Sungai Pahang ini menjadi jalan perhubungan utama yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Semenanjung ketika itu?
Kalau difikirkan, tentulah sukar untuk memudikkan kapal dan perahu dari muara ke hulu sungai berbanding kalau melalui laut. Lebih banyak tenaga digunakan untuk melawan aliran arus sungai berbanding kalau belayar di laut.
Sebaliknya kalau kapal belayar menghilir mengikut arus sungai, hanya sedikit tenaga diperlukan.
Jarak perjalanan dari Muar (pantai barat) ke Pekan (pantai timur) adalah lebih dekat jika melalui jalan sungai berbanding jalan laut melalui Singapura. Dari segi masa, jalan sungai mengambil masa enam hari paling cepat untuk sampai.
Jalan sungai ini juga popular di waktu itu kerana pedagang-pedagang tidak mahu menghadapi risiko ribut monsun timur-laut yang sangat bahaya kepada kapal-kapal kecil jika menggunakan laluan laut. Di samping itu, kapal-kapal dagang juga terdedah kepada rompakan lanun yang selalunya bergiat aktif di laluan laut.
Satu lagi faktor yang menjadikan jalan sungai ini popular ialah kebimbangan diserang oleh tentera-tentera yang bermusuhan. Ada setengah bahagian atau daerah diperintah atau dijajah oleh pihak yang bermusuh dan tidak membenarkan kapal-kapal lawan mereka melalui kawasan perairan mereka. Untuk menghindarkan berlakunya konflik , mereka memilih jalan sungai ini sebagai alternatif.
Terdapat beberapa artifak yang menakjubkan ditemui sepanjang laluan purba itu. Antaranya, sebuah tapak yang dipercayai pernah dijadikan surau dan beberapa makam lama yang dijumpai di beberapa tempat sekaligus boleh dijadikan bukti kedatangan pedagang di kawasan tersebut.
Selain itu, penemuan lain seperti blok-blok batu yang dipercayai digunakan sebagai tempat mengambil wuduk dan pengampu pelantar tiang surau turut ditemui. Dipercayai surau ini dibina sekitar tahun 1700 Masihi.
Sekarang ini laluan Sungai Muar-Sungai Pahang yang popular satu masa dulu itu tidak lagi digunakan. Kini ia hanya tinggal sejarah sahaja. Malah ramai generasi muda yang tidak menyedari kepentingannya dan kewujudannya pada satu masa dulu.
FAKTA MENARIK MENGENAI JALAN PENARIKAN
1. Pada kurun ke-14 hingga 15 Masihi, dikatakan bala tentera Siam menggunakan Jalan Penarikan ini sebagai pangkalan barisan hadapan dan juga laluan logistik mereka dalam operasi menggempur kedudukan tentera Melaka. Bahkan hingga kini terdapat satu kubur yang dikatakan merupakan kubur komander tentera Siam tersebut bertanda 1265 Masihi.
Selain itu, terdapat juga kesan-kesan penggalian terusan di lokasi Jalan Penarikan. Dipercayai ia dibuat oleh tentera tentera Siam sebagai satu alternatif untuk membawa bekalan logistik tentera mereka terus dari Sungai Serting tanpa perlu menarik kapal-kapal tersebut atau memunggah keperluan logistik dari pelabuhan Sungai Serting ke pelabuhan Sungai Jempol. Namun dipercayai gagal disiapkan. Kedalaman penggalian terusan dianggarkan sekitar 20-30 kaki dalam.
2. Percaya atau tidak, kesemua sungai-sungai di Semenanjung Malaysia ini satu masa dahulu mempunyai kedalaman sekitar 30-40 kaki. Ini membolehkan kesemua jenis kapal dan perahu layar dapat belayar dan mudik hingga ke kawasan hulu. Sekarang semua itu sudah tiada lagi.
3. Ketika aktiviti pengembangan dan penyebaran agama Islam giat dilakukan sekitar abad ke-14 dan 15, para pedagang dari Semenanjung Tanah Arab dan India seringkali cuba mengelakkan laluan berbahaya di sepanjang Selat Melaka khususnya apabila memasuki kawasan selatan Semenanjung Tanah Melayu kerana bimbang akan ancaman lanun yang hebat pada masa itu.
Mereka mengadukan masalah ini kepada Kerajaan Islam Pasai yang berpusat di Sumatera. Atas nasihat orang Pasai, maka para pedagang dan pendakwah Arab dan India ini diperkenalkan dengan laluan ini. Ia juga merupakan salah satu sebab kenapa agama Islam begitu mudah dan cepat tersebar hingga ke hulu Semenanjung Tanah Melayu.
4. Kisah Hang Tuah yang pergi berjumpa dengan Tun Teja dan membawa balik Tun Teja dari Pahang ke Melaka juga dikatakan menggunakan Jalan Penarikan ini.
5. Semasa Portugis menyerang dan menakluk Melaka pada 1511, dikatakan Jalan Penarikan ini telah digunakan oleh Sultan Mahmud dan orang-orang baginda untuk berundur ke Pahang.
6. Kebangkitan Mat Kilau menentang penjajahan British di Pahang mendapat sokongan bukan sahaja orang Melayu Pahang bahkan dari Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Dikatakan Jalan Penarikan inilah kerap digunakan oleh Mat Kilau untuk mendapatkan bantuan dan sokongan dari Negeri Sembilan. Selain itu pejuang-pejuang Melayu juga turut menggunakan Jalan Penarikan ini ke Pahang untuk membantu perjuangan Mat Kilau dan Dato' Bahaman menentang British.
7. Selain menggunakan Jalan Penarikan ke Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga turut digunakan sebagai laluan air/sungai ke Perak melalui Sungai Pahang naik ke sebelah hulu iaitu di Kuala Lipis.
8. Pada 1613, satu peta tentang Jalan Penarikan telah dibuat oleh seorang pengembara Portugis bernama Godinho de Eredia (walaupun ada mengatakan peta Jalan Penarikan ini dibuat pada tahun 1598).
Dikatakan laluan ini mengambil masa selama 6 hari untuk sampai ke Pekan dari Muar melalui Sungai Muar - Sungai Jempol - Jalan Penarikan - Sungai Serting - Sungai Bera - Sungai Pahang.
9. Jalan Penarikan pada zaman dulu boleh diibaratkan seperti KLIA pada masa kini.
10. Jalan Penarikan ini mendapat namanya kerana aktiviti penarikan kapal, sampan, perahu, jong dan pelbagai muatan. Aktiviti menarik ini dilakukan oleh orang Asli dan orang kampung berdekatan. Upahnya pula cukup ringkas dan sesuai pada zaman itu iaitu garam, gula, beras, tembakau dan pelbagai barang keperluan harian. Tiada duit digunakan pada masa itu.
11. Walaupun jarak Jalan Penarikan ini sekitar 600 meter sahaja namun ia juga bergantung kepada kapasiti saiz kapal dan muatan yang hendak ditarik. Sebuah perahu memakan masa kira-kira 2 jam dengan kekuatan 14 orang untuk ditarik dari Sungai Jempol ke Sungai Serting.
Bayangkanlah jika kapal layar bersaiz besar, jong atau lancang layar yang memang bersaiz besar, sudah tentu sekurang-kurangnya paling tidak setengah hari atau sehari semalam.
12. Beberapa orang pengembara dan pegawai British seperti Charles Gray (1827) dan Daly (1865) pernah membuat catatan sejarah menyebut tentang tempoh masa diambil untuk menggunakan laluan Jalan Penarikan dan Sungai Muar serta Sungai Jempol.
Charles Gray menyatakan bahawa dia mengambil masa selama 8 hari menggunakan laluan Sungai Jempol dan Sungai Muar ke Melaka dari kawasan Jalan Penarikan. Manakala, Daly pula menyatakan selama 10 hari masa diambil untuk menggunakan laluan tersebut.
13. Apabila jalan darat seperti jalanraya dan landasan keretapi dibina oleh British di kawasan Johol, Serting, Jempol dan sewaktu dengannya pada hujung abad ke-19 Masihi terutama ketika memuncaknya era Revolusi Perindustrian yang melibatkan industri galian bijih timah dan getah, maka sejak itulah populariti Jalan Penarikan terus merudum dan tinggal terbiar tidak digunakan hingga ke hari ini.
Menurut ahli kaji sejarah tempatan dan penduduk warga emas (yang berusia 70 tahun ke atas), sudah lebih 100 tahun Jalan Penarikan ini tidak digunakan. Kebanyakkan kawasan sungai di kawasan Jalan Penarikan kini sudah menjadi makin cetek dan tidak terurus. Dikatakan kedalaman sungai tersebut kini sudah tidak sampai 5 kaki sekali pun.
Kredit:
aliasmohdyusof
mohdadibanashjmdnoor
jejalan2je
darkofmystery
aliasmohdyusof
mohdadibanashjmdnoor
jejalan2je
darkofmystery
-Debu-
Tugu penarikan tu dekat area mana ye?
ReplyDelete