Tuesday, November 29, 2016

MISTERI 'PLAIN OF JARS'


Beribu-ribu tempayan batu
Terletak di wilayah Xieng Khouang, Laos, ia bakal membuat anda tertanya-tanya kenapa tempayan batu wujud. Ia akan terus menjadi misteri kepada anda semua apabila melihat kebanyakan tempayan batu ini mencecah ketinggian daripada 1 meter hingga 3 meter tinggi.
Dipercayai tempayan batu ini sudah wujud 2000 tahun dahulu!
Lokasi 'Plain of Jars' (segitiga biru)
Menurut rekod arkeologi, terdapat 136 tapak telah dicatatkan, meskipun begitu hanya 3 tapak sahaja dibuka. Ini kerana, tapak-tapak lain tidak selamat untuk dibuka kepada para pelancong kerana di dasarnya tertanam beribu-ribu periuk api hasil daripada Perang Vietnam pada tahun 1970-an!
Sejak 1980-an, Mines Advisory Group (MAG) telah mula menjalankan kerjasama dengan kerajaan Laos untuk membersihkan tapak arkeologi tersebut daripada periuk api. Sehingga kini, projek tersebut masih terus berjalan.
Walau hanya 3 tapak dibuka, ia sudah cukup untuk menggamit hati para pelancong. Dengan 3 tapak ini juga, ia sudah memadai untuk kita semua memikirkan untuk APA tempayan batu ini dicipta dan SIAPA pula menciptanya?
Sehingga hari ini, tiada siapa dapat memberi jawapan yang bernas dan tepat.
Kelihatan para pelancong dari luar negara
HASIL KAJIAN AHLI ARKEOLOGI
Seorang ahli geologi amatur berbangsa Perancis, Madeleine Colani menjalankan kerja-kerja arkeologi di sini pada awal 1930.
Beliau mendakwa tempayan batu gergasi ini dicipta untuk dijadikan ‘keranda’ bagi masyarakat zaman tersebut!
Ini dikuatkan dengan penemuan banyak rangka-rangka manusia dan juga barang kemas serta pasu seramik di sekitar tempayan batu tersebut.
Pada 1994, Profesor Eiji Nitta dari Kagoshima University berkerjasama dengan Lao Archaeologist Thongsa Sayavongkhamdy menjalankan kerja-kerja penyeliaan dan pemetaan di Tapak 1.
Beliau juga menyokong teori yang dikemukakan oleh Madeleine Colani pada 1930-an.
LAGENDA MASYARAKAT TEMPATAN
Menurut masyarakat tempatan, tempayan ini dicipta bagi membuat Lao Lao Wine (arak beras). Tempayan ini digunakan untuk memeram arak tersebut sehingga ‘masam’.
Pada ketika dahulu, terdapat kaum gergasi yang diketuai oleh Khun Cheung. Khun Cheung telah mengarahkan kaumnya untuk membina tempayan ini bagi membuat Lao Lao wine bagi meraikan kemenangan mereka selepas satu siri peperangan hebat.
Terdapat juga versi lain, menurut masyarakat setempat, tempayan ini dicipta bagi menadah hujan pada musim monsun. Mereka akan menggunakan air hujan ini untuk pelbagai tujuan. Ia juga digunakan oleh para pengembara sebagai air minuman mereka.

Kredit: takusahrisau

-Debu-

No comments:

Post a Comment