Wednesday, February 22, 2017

ANAK MELAYU DI HOLLYWOOD

Ibrahim Hassan Pendek
Tahukah anda ada seorang pelakon Melayu berlakon di Hollywood suatu ketika dulu? Beliau telah buktikan anak Melayu boleh menambat hati orang putih untuk berlakon dalam filem Hollywood dengan bakat yang ada, tak perlu bermodalkan paras rupa yang lawa atau kacak. Beliau adalah Ibrahim Pendek atau nama sebenarnya Ibrahim Bin Hassan.
Pasti kita sudah cukup biasa dengan lawak jenakanya semenjak dari filem pertamanya iaitu Panggilan Pulau (1954) sehinggalah ke filem terakhir beliau, XX-Ray (1992). Beliau merupakan salah seorang lagenda perfileman Melayu boleh dibanggakan.
KISAH KEJAYAAN IBRAHIM PENDEK
Ibrahim Pendek telah dilamar oleh pihak Universal International untuk berlakon sebagai watak seorang pembantu doktor di dalam sebuah filem Hollywood.
Sebenarnya pihak Universal International telah tertarik dengan lakonan beliau di dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, sewaktu mereka mengadakan lawatan ke Studio Jalan Ampas.
Pada 18 Ogos 1961, Ibrahim Pendek telah berangkat ke Hollywood, Amerika mengikut kontrak beliau dibayar sebanyak USD 35 sehari. Pada ketika itu beliau berumur 37 tahun. Sekaligus menjadi anak Melayu berlakon di Hollywood buat julung-julung kalinya di dalam lipatan sejarah perfileman Melayu.
Ibrahim Pendek telah berlakon bersama Rock Hudson, Gene Rowlands dan Burt Ives di dalam filem The Spiral Road (1962). Namun begitu, dalam usahanya untuk mengembangkan lagi bakat lakonannya di Hollywood terhenti apabila visa beliau tidak diluluskan oleh pihak pemerintah di sana. Ketika itu beliau sudah mendapat tawaran dari pihak Hollywood untuk terus berlakon di dalam filem-filem terbitan mereka seterusnya.
Ibrahim Pendek telah buktikan anak Melayu Boleh beraksi diperingkat antarabangsa, berbekalkan bakat semulajadi yang ada.



Lakonan Ibrahim Pendek di Hollywood




SEJARAH HIDUP IBRAHIM PENDEK
Nama asalnya adalah Ibrahim Bin Hassan. Anak kelahiran Taiping, Perak ini di lahirkan pada 1932. Beliau memiliki tubuh fizikal yang kerdil dimana ketinggian beliau hanya 130cm. Mungkin kekurangannya itu menjadi kelebihan buat dirinya. Beliau memulakan dunia lakonan pada era tahun 50-an.
Beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali iaitu dengan isteri pertamanya, Che Hasnah Mohd Amin dan isteri kedua, Asiah Osman. Dan dikurniakan seramai 7 orang anak. Salah seorang anaknya cuba mengikut langkah bapanya iaitu Tamrin Ibrahim Pendek.
Pada usianya 71 tahun, pada 25 Disember 2003, beliau telah kembali ke rahmatullah. Beliau mengidap penyakit buah pinggang, paru-paru berair dan sesak nafas. Perginya seorang lagenda, jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur.
Al-Fatihah...

-Debu-

No comments:

Post a Comment