Thursday, February 23, 2017

SUMBANGAN DAN PENGARUH KEPIMPINAN TUN PERAK

Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang ialah Bendahara Melaka yang ke-5 dan merupakan bendahara yang termasyhur antara semua bendahara Melaka.
Pangkat yang membawa gelaran 'Bendahara Paduka Raja' dalam Kesultanan Melayu Melaka adalah setanding dengan Perdana Menteri moden.
Tun Perak, bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit, dan Raja Kenayan dari Pasai, telah dianggap sebagai tiga orang pentadbir yang teragung di alam Melayu pada abad ke-15.
Tun Perak ialah anak Bendahara Seri Wak Raja dan beliau telah menjadi Penghulu Kelang dari tahun 1445.
BENDAHARA PEMBINA EMPAYAR
Setelah Tun Perak menjadi Bentara, beliau tidak digemari oleh Tun Ali, iaitu Bendahara ketika itu. Tun Ali yang berketurunan Tamil ketika itu sudah pun lanjut usianya. Perkara tersebut mengkhuatirkan sultan yang hendak melantik Tun Perak sebagai pengganti Tun Ali.
Disebabkan risau dengan perbalahan antara pembesar yang memungkinkan kejatuhan pentadbiran negara, baginda mengahwinkan Tun Ali dengan Tun Kudu Tun Perpatih Sedang, iaitu kakak kepada Tun Perak dan isteri baginda sendiri.
Baginda yang sanggup menceraikan Tun Kudu menerima keputusan yang dijangkakan bahawa Tun Ali sudah pun berbaik dengan Tun Perak.
Kemudian, baginda melantik Tun Perak sebagai Bendahara yang bergelar 'Paduka Raja' pada tahun 1456 sementara Tun Ali, Bendahara ke-4, dilantik sebagai Penghulu Bendahari dengan gelaran 'Seri Nara Diraja'.
Ada versi lain mengatakan, Tun Kudu tidak diceraikan oleh baginda Sultan malah beliau setia sehingga akhir hayat.
Ketika Tun Perak menjawat jawatan Bendahara, beliau telah menakluk negeri-negeri di pantai Selat Melaka seperti Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri di pulau Sumatera serta Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak yang menjadikan semua negeri ini sebagai jajahan takluk Melaka manakala Kedah pula menjadi negeri naungan Melaka.
Dengan ini, Melaka telah menjadi sebuah empayar yang besar. Tidak kurang juga bagi aspek lain apabila Melaka membangun sehingga mencapai kekuatan dari segi politik, sosial dan ekonominya.
Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik banyak pedagang asing dari China, India, Timur Tengah, serta negara-negara jiran yang lain.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1498 ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah setelah bernaung di bawah empat pemerintahan sultan iaitu Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Setelah kematian beliau, baginda sultan melantik Tun Perpatih Putih, adik Tun Perak sebagai Bendahara Melaka yang ke-6.
SUMBANGAN DAN PENGARUH KEPIMPINAN TUN PERAK DALAM MEMBANGUNKAN MELAKA
1. KUASA MELANTIK SULTAN
Sebagai Bendahara Melaka yang berpengaruh, Tun Perak mempunyai kuasa untuk melantik raja Melaka. Lazimnya, beliau akan memilih raja yang mempunyai perkaitan persaudaraan dengannya. Sebagai contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah yang dilantik beliau merupakan anak saudara beliau.
Selain itu, boleh dilihat juga peranan dan sumbangan Tun Perak dalam menjadi penasihat sultan. Tun Perak juga merupakan 'king maker' penting untuk membuat pilihan yang tepat dalam memilih seorang putera yang akan ditabalkan menjadi sultan.
Walau bagaimanapun, tidak semestinya seorang putera raja akan terus diangkat atau ditabalkan menjadi sultan. Kuncinya adalah muafakat dan keadilan, baik bagi raja atau sultan yang akan menduduki takhta kerajaan mahupun dalam kalangan individu yang dipertanggungjawbkan tugasnya.
Secara idealnya, selain dari adil, raja-raja Melaka juga harus memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Hal ini terkait rapat dengan kontrak sosial yang telah dipersetujui di antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana.
Terdapat 4 syarat bagi menegakkan daulat sebagai seorang pemerintah. Hal ini dibuktikan dengan lebih jelas dalam undang-undang perlantikan seorang sultan ;
“Adapun syarat segala raja-raja itu atas empat perkara:
pertama; ampun (merciful), kedua; murah (generous), ketiga; perkasa (courageous), keempat; melakukan hukumannya dengan kaharnya (to give his verdict decislvely).
Itulah sifat segala raja-raja itu pada zaman dahulu kala, turun-temurun, datang sekarang.
Inilah kanun namanya ”
Raja yang adil akan dihormati dan disanjungi oleh rakyat. Perkara inilah yang sering ditekankan oleh Tun Perak ketika menjadi bendahara Melaka.
Bukan sahaja dalam menasihati raja malahan ketika melakukan tugas yang lain juga seringkali Tun Perak menasihati pengikut-pengikutnya mengenai hal ini. Hal ini dilihat jelas sewaktu Tun Perak mengecam perbuatan Temenggung Seri Maharaja kerana Temenggung telah meminta agar Sultan Mahmud membunuh seorang anak tempatan yang tidak besar kesalahannya sehingga perlu dijatuhkan hukuman bunuh.
Hal ini amat ditentang oleh bendahara Tun Perak kerana beliau khuatir perbuatan membunuh itu akan menjadi kegemaran sultan. Bendahara mengecam perbuatan Temenggung itu dengan berkata,
“Hai, hai... Lihatlah Seri Maharaja, anak harimau di ajarnya makan daging, dia kelak ditangkapnya."
Tun Perak juga telah meletakkan Raja Muhammad, putera sulung Sultan Perak menjadi Raja Pahang tetapi bukan sebagai Raja Melaka. Keputusan itu dibuat berikutan peristiwa Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Tun Perak dalam satu permainan sepak raga.
Sultan Alaudin Riayat Syah pula mangkat pada 1488 dan lazimnya, putera sulung baginda, Raja Menawar akan dilantik sebagai raja tetapi baginda hanya dilantik sebagai Raja Kampar manakala putera Sultan Alaudin yang lebih muda, yang juga merupakan cucu Tun Perak iaitu Raja Mahmud, telah dilantik sebagai Sultan Mahmud.
2. MERANCANG STRATEGI KETENTERAAN YANG AMPUH
Pada awal abad ke-15 telah timbul persaingan antara kerajaan-kerajaan di seluruh kepulauan Melayu. Hal ini dapat dilihat apabila kerajaan Siam mempunyai agenda yang tersendiri iaitu untuk menakluki kesemua kerajaan di kepulauan Melayu termasuklah Melaka.
Oleh itu, kesemua negeri di Tanah Melayu haruslah menghantar wang emas dan menyembah raja Siam bagi menunjukkan kesetiaan dan pengakuan mereka akan ketuanan Melayu-Siam Sri Dharmaraja terhadap negeri mereka.
Namun, akibat daripada kesedaran kerajaan Melaka yang tidak mahu negeri itu bertuankan raja Siam, maka mereka telah mengingkari segala perintah tersebut.
Keadaan ini telah mencetuskan kemarahan kerajaan Siam Sri Dharmaraja, lalu mereka telah menghantar angkatan tentera yang telah diketuai oleh Panglima Awi Cakri (Ok-P'ya Cakri). Dalam serangan inilah telah memperlihatkan kebijaksanaan dan bakat yang ada pada diri Tun Perak.
Di bawah institusi 'kerah', kerajaan Melaka telah mengarahkan kesemua pembesar dan penghulu di setiap daerah untuk mencari tenaga tentera dalam kalangan rakyat bagi mempertahankan kerajaan Melayu Melaka pada ketika itu termasuklah daerah Kelang.
Tun Perak selaku penghulu Kelang pada ketika itu telah diarahkan untuk mengerah pengikut dan hulubalangnya ke Melaka. Di sinilah bermulanya perlaksanaan strategi Tun Perak dalam mempertahankan Melaka.
Antara strategi beliau adalah mengarahkan seluruh penduduk Kelang sama ada lelaki, wanita, dan kanak-kanak untuk bersama-sama menyertai misi mempertahankan Melaka. Walaupun strategi ini dikatakan pelik, namun ianya sangat praktikal.
Menurut Tun Perak, tentera lelaki kelak akan berperang untuk mempertahankan Melaka dengan bersungguh-sungguh,
“.....kurang-kurang ia berlawankan Duli Yang di-Pertuan, lebih ia berlawan (kerana) anak dan isterinya.”
Dalam perlaksanaan strategi ini dapat dilihat bahawa ramai tentera Siam mati lalu mereka mengalah dan berundur dari Melaka.
Kejayaan perlaksanaan strategi mempertahankan Melaka daripada serangan Siam telah membuktikan kepada semua akan bakat yang dimiliki oleh Tun Perak.
Oleh yang demikian, hal ini telah menyebabkan sultan Melaka beranggapan bahawa tidak wajar sekiranya Tun Perak terus mentadbir Kelang lagi kerana bakatnya amat diperlukan untuk membangunkan kerajaan Melaka.
Oleh itu, Tun Perak telah diarahkan untuk berpindah dan mendiami Melaka. Selain itu, beliau juga telah dilantik menjadi Bentara Melaka. Seperti yang kita ketahui, Tun Perak merupakan seorang yang berpegang kepada prinsip dan falsafah,
“...dianugerahi oleh raja Melaka pedang sebilah... peliharalah baik-baik, usahakan, jangan diberi berkarat, kemakanan matanya.”
Berdasarkan prinsip ini, maka beliau telah berkhidmat dengan cemerlang sehingga diangkat menjadi Perdana Menteri, duduk di balai Istana, setara dengan Seri Nara Diraja yang ketika itu memegang jawatan sebagai Bendahara Melaka.
Kehebatan ilmu dan strategi dalam peperangan yang terajui oleh Tun Perak memang sudah teruji dalam awal penglibatan beliau dalam bidang pentadbiran Melaka.
Selepas menjawat jawatan sebagai seorang Bendahara Melaka, tugas utama yang diberikan kepada beliau adalah mengetuai angkatan tentera laut Melaka untuk menangkis dan mengalahkan serangan tentera laut Siam.
Menyedari akan kelemahan yang dimiliki dalam menangani serangan hebat dari Siam, Tun Perak telah tampil dengan dengan satu lagi strategi yang baik iaitu strategi psikologi yang mana beliau telah menggunakan “puntung api” berdekatan dengan pantai Batu Pahat iaitu pantai sebelum sampai ke kawasan pantai Melaka.
Walaupun strategi ini nampak sangat melucukan tetapi ia merupakan satu serangan psikologi yang dapat melemahkan semangat tentera Siam apabila mereka melihat puntung api berada di seluruh kawasan pantai, mereka mula beranggapan bahawa tentera Melaka sangat ramai dan hal ini amatlah menakutkan tentera Siam kerana bilangan tentera Siam tidak dapat menangani tentera Melaka yang begitu ramai. Hasilnya, Melaka telah menang dalam pertarungan ini.
Kekalahan Siam juga telah memberi peluang kepada Melaka untuk menyerang Pahang yang pada ketika itu berada di bawah taklukan Sri Dharmaraja. Semasa peperangan yang berlaku di Pahang, Tun Perak sekali lagi telah mengetuai angkatan tentera Melaka.
Sebagai seorang pemerintah yang berkaliber, akhirnya Tun Perak telah dilantik menjadi Bendahara Melaka yang merupakan jawatan eksekutif tertinggi dalam hierarki pentadbiran awam dan ketenteraan. Tome Pires dalam catatannya menyatakan,
“...captains-general, whom they call Paduca Raja. These are a kind of viceroy, who is the next to the king. To this man all the mandarins do reverence... the Bemdara is the highest in the kingdom. The Bemdara is a kind of chief-justice in all civil and criminal affair... He can order any person to be put to death, of whatever rank and condition, whether nobleman or foreigner, but first of all he must informs the king, and both decide the matter in consultation with the Laksamana and the Tumunguo.”
Selepas tahun 1440-an, dengan kedudukan dan kuasa fizikal tertinggi yang dimiliki oleh Tun Perak, telah menjadikan kedudukannya dalam birokrasi pentadbiran Melaka semakin selesa. Selepas kemangkatan Seri Nara Diraja Tun Ali yang merupakan iparnya, jawatan Penghulu Bendahari ini telah diserahkan kepada Tun Tahir bin Tun Ali dan memegang gelaran yang sama iaitu Seri Nara Diraja.
Selain itu, Tun Mutahir bin Tun Ali juga telah dilantik untuk menjadi Temenggung Melaka dan memegang gelaran Seri Maharaja. Seterusnya, Tun Abdullah yang merupakan anak bongsu kepada Tun Ali juga telah dilantik menjadi pembesar istana dan digelar Seri Nara Wangsa.
Dalam keadaan ini dapat dilihat hampir semua raja-raja dan pembesar Melaka mempunyai pertalian persaudaraan dengan Tun Perak. Oleh yang demikian, boleh disimpulkan bahawa Tun Perak sewaktu menjadi bendahara Melaka, beliau telah dikelilingi oleh kaum kerabatnya sendiri.
Hal ini telah memberikan satu peluang yang baik kepada Bendahara Tun Perak untuk membangunkan dan memperkukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai sebuah empayar yang berjaya.
3. PAKAR HUBUNGAN DIPLOMATIK
Kejayaan-kejayaan yang diperoleh daripada peperangan telah menyebabkan Melaka mengubah strategi hubungan diplomatiknya dengan Siam terutamanya. Dalam hal ini, Tun Perak telah menyarankan agar Melaka berbaik-baik dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Siam.
Hal ini kerana Tun Perak dapat melihat manfaat sekiranya kedua-dua buah kerajaan ini berdamai dan menjalinkan hubungan secara profesional. Keadaan ini ditambah lagi dengan hubungan baik yang terjalin antara China dengan Melaka iaitu China telah mengiktiraf Melaka sebagai sebuah negeri yang berada di bawah jagaannya.
Perkara ini telah menjadi antara faktor utama Siam bersetuju untuk menjalinkan hubungan diplomatik secara profesional dengan Melaka. Dalam hal ini Tun Perak telah menyatakan bahawa,
“.....daripada banyak seteru, baik banyak sahabat.”
Hal ini telah dititikberatkan oleh sultan dan akhirnya kedua-dua buah kerajaan ini bersetuju untuk sama-sama berhubungan dan saling bergantungan antara satu sama lain bagi mencapai keamanan dan keharmonian dalam menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan kedua-kedua buah negeri ini.
4. MEMBANGUN DAN MEMPERLUASKAN EKONOMI MELAKA
Dasar politik serta hubungan diplomatik yang diamalkan oleh Tun Perak telah berjaya menarik perhatian seluruh dunia untuk menjalinkan hubungan negeri ini. Hal ini ditambah lagi dengan perkembangan ekonomi di selat Melaka sekaligus menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan dunia.
Pengawalan laluan perdagangan laut dan penguasaan kawasan-kawasan yang berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Melaka telah menyebabkan empayar ini terus berkuasa di seluruh kawasan perdagangan selat Melaka.
Kebijaksanaan Tun Perak dalam menarik para pedagang datang ke Melaka merupakan satu sumbangan yang tidak dapat dinilai oleh kita. Perlaksanaan undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka amat menitikberatkan hal keadilan pedagang, pembeli dan faedah yang bakal diperoleh kerajaan telah menjadi satu platform bagi pembangunan ekonomi Melaka.
Dalam kaedah dan tatacara tertentu dalam urusan pengawalan barangan dan penghasilan dari kegiatan berdagang dan berniaga, bandar Melaka telah bangun menjadi sebuah emporium antarabangsa. Selain itu, kebajikan para pedangang juga telah dititiberatkan oleh Tun Perak.
Oleh yang demikian, gudang-gudang dan rumah tumpangan telah diwujudkan di pelabuhan Melaka bagi menarik perhatian para pedagang untuk singgah ke Melaka. Di samping itu, diwujudkan juga tempat untuk membaiki kapal-kapal dagangan yang telah rosak akibat daripada ditiup angin monsun.
Selain itu, penguasaan politik secara langsung terhadap kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu dan Sumatera melalui penaklukan telah membolehkan pengawalan ke atas bahan-bahan mentah serta barang dagangan untuk dibekalkan kepada pedagang asing.
Contohnya, pedagang dari China yang amat memerlukan bahan-bahan dan barangan daripada kepulauan Melayu untuk dibawa pulang ke negara mereka.
Selain daripada dasar perluasan kuasa, dasar diplomatik yang diamalkan oleh Melaka dengan negeri-negeri lain di sekitarnya telah memberikan seribu satu kebaikan kepada Melaka.
Seperti yang dikatakan oleh Tun Perak mengenai hubungan diplomatik yang terjalin antara Melaka dengan Siam bakal memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, terbukti apabila kerajaan Siam membekalkan beras ke Melaka untuk diperdagangkan dan menampung keperluan masyarakat Melaka.
Persengketaan yang telah ditamatkan oleh Tun Perak ini akhirnya telah membuahkan hasil.
5. MEWUJUDKAN SISTEM PENTADBIRAN YANG BERKESAN
Kebijaksanaan Tun Perak sebagai bendahara Melaka telah berjaya mewujudkan satu sistem pemerintahan dan pentadbiran yang amat efektif dan sistematik sehingga boleh bertahan selama empat generasi pemerintahan sultan. Hal ini dapat dibuktikan dalam catatan Tome Pires yang menyatakan,
“..Bemdara (Bendahara) is the highest in the kingdom."
Hal ini dapat dilihat sekiranya sultan berangkat ke tempat lain atas urusan rasmi, maka segala urusan pentadbiran akan diserahkan kepada pembesar-pembesar dan ia diketuai oleh bendahara Tun Perak.
Keadaan ini dapat dilihat sewaktu Sultan Mansur Syah dan rombongannya telah berangkat ke Majapahit atas urusan rasmi. Oleh itu, sultan telah menitahkan agar bendahara yang akan menjaga dan menerajui pucuk pimpinan kerajaan sewaktu ketiadaan baginda di Melaka. Hal ini dapat dibuktikan apabila sultan bertitah dengan menyatakan,
“maka Bendahara Paduka dan Seri Nara Diraja dan Seri Bija Diraja dan segala menteri hulubalang yang besar-besar sekaliannya ditinggalkan oleh Sultan Mansur Syah menunggui negeri”
Oleh yang demikian, segala tugas sultan akan dipikul oleh Tun Perak ketika ketiadaan sultan di Melaka. Para pembesar yang lain juga akan mempunyai tugas mereka iaitu turut bersama-sama menerajui pentadbiran negeri seperti yang telah diamanahkan oleh sultan.
Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pembesar telah menunjukkan berlakunya persefahaman dan saling bergantungan antara pembesar-pembesar untuk terus menjaga keharmonian kerajaan Melaka.
Wallahua'lam...
Tanah perkuburan Islam kampung Duyong, bersebelahan Masjid Kampung Duyong (sekarang ini dikenali Masjid Laksamana Hang Tuah, Duyong, Melaka). Di sini terdapat makam Tun Perak bersebelahan ayahanda beliau, Tun Perpatih Sedang. Terdapat juga makam Tun Putih dan makam Tun Kudu.
Kredit:
ku-alam
lokalgenius
tokpakehtemenggong

-Debu-

No comments:

Post a Comment