Wednesday, December 28, 2016

KISAH SAHABAT: THUFAIL BIN AMR AD DAUSI RA


Thufail bin Amr ad-Dausi, seorang bangsawan yang mulia dan bijaksana sekaligus penyair cendekiawan dari bani Daus di Yaman.
Ketika dia datang di Mekah, dengan segera orang-orang Quraisy menemuinya dan mengingatkannya tentang Nabi SAW.
Mereka mengatakan, dari kata-kata baginda yang mempesonakan, yang dianggap sebagai sihir hendak memecah-belahkan seseorang dari keluarganya. Memisahkan seorang ayah dari anaknya, seorang isteri dari suaminya, bahkan dirinya sendiri dari kaumnya.
Mereka menyarankan agar Thufail tidak berbicara dan mendengar ucapan Nabi SAW. Mereka khuatir jika peristiwa yang terjadi di Mekah itu akan menimpa Bani Daus iaitu kaum Thufail.
Orang-orang Quraisy begitu kuat mengingatkannya sehingga dia menetapkan diri untuk tidak menemui Nabi SAW. Tetapi ternyata takdir menentukan nasibnya...
BANI DAUS MEMELUK ISLAM
Suatu hari, Thufail pergi ke Ka'bah dan pada masa yang sama, Nabi SAW sedang berada di sana. Tanpa sengaja, dia mendengar kata-kata Rasulullah SAW dan amat terkesan di hatinya.
Hati kecilnya terusik, "Bagaimanapun aku seorang cendekiawan dan penyair, aku dapat mengenal mana yang baik dan mana pula yang buruk. Apa salahnya kalau aku mendengar sendiri apa yang akan dikatakan orang itu! Jika ternyata baik akan kuterima, kalau buruk akan ku tinggalkan."
Dia mengikut Rasulullah SAW sampai ke rumah baginda dan bertamu, kemudian menceritakan tentang apa dikatakan kaum Quraisy kepadanya dan apa yang terlintas dalam hatinya itu.
Nabi SAW sudah maklum dengan sikap orang-orang Quraisy tersebut, dan menjelaskan tentang risalah Islam kepadanya. Baginda juga membacakan beberapa ayat-ayat Quran. Akal sihatnya tidak dapat lagi ditutup dari kebenaran, Thufail terus memeluk Islam pada ketika itu juga.
Thufail adalah seorang tokoh yang ditaati oleh kaumnya, Bani Daus. Dia meminta izin Nabi SAW untuk mendakwahkan Islam kepada kaumnya dan baginda bersetuju. Dia juga meminta Nabi SAW mendoakannya agar Allah SWT memberikan satu tanda sebagai penolong dalam usaha dakwahnya dan baginda mendoakannya.
Dalam perjalanan pulang ke kaumnya, dia bermalam di suatu tempat di antara dua gunung. Dalam kegelapan malam itu, tiba-tiba muncul sinar di antara dua matanya. Thufail merasa ini adalah pengabulan doa Nabi SAW atas tanda yang dimintanya.
Tetapi dia khuatir jika dengan ada sinar di wajahnya, akan dianggap kaumnya sebagai hukuman kerana dia memecah belahkan kaumnya dengan dakwah Islamnya itu. Dia berdoa kepada Allah agar sinar itu dipindahkan dari wajahnya. Allah mengabulkan doanya, dan sinar itu berpindah ke hujung cambuknya.
Ketika sampai di kalangan kaumnya, pertama sekali dia berdakwah pada keluarganya. Ayah dan isterinya menyambut ajakannya memeluk Islam, tetapi ibunya menolak.
Tidak mudah bagi Thufail mengajak kaumnya memeluk Islam, beberapa orang mendustakan dan memusuhinya kerana dakwahnya.
Setelah beberapa lama berdakwah, hanya beberapa orang saja menyambut ajakannya memeluk Islam, sebahagian besar memusuhinya.
Dia kembali menemui Nabi SAW di Makkah, dan berkata, “Ya Rasulullah, doakanlah kebinasaan untuk Bani Daus, kerana kebanyakan dari mereka mendustakanmu!"
Nabi SAW tersenyum mendengar permintaan Thufail, kemudian mengangkat tangan dan berdoa, "Ya Allah, berilah hidayah kepada Daus."
Setelah itu, baginda berpaling kepada Thufail dan bersabda, "Kembalilah engkau kepada kaummu, serulah mereka kepada Islam dengan lemah lembut."
Thufail sangat terkesan dengan sikap baginda. Dia segera kembali ke kampungnya, dan berdakwah pada kaumnya dengan sabar dan lemah lembut.
Pada tahun 7 Hijrah, dia berhijrah ke Madinah dengan 70 keluarga yang semuanya telah memeluk Islam, termasuk di antaranya Abu Hurairah. Ketika itu, Nabi SAW dan sahabat-sahabat dalam peperangan Khaibar, maka mereka, kecuali wanita dan anak-anak, segera menyusul dan ikut terjun dalam pertempuran melawan kaum Yahudi.
Thufail meninggal semasa kekhalifahan Abu Bakar as-Siddiq, dia syahid dalam perang Yamamah, peperangan dalam menumpaskan nabi palsu, Musailamah al Kadzab.

Kredit: Ibnu Ghufron

-Debu-

KISAH RAJA-RAJA MELAYU BERMIMPI BERJUMPA RASULULLAH SAW


Mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW bukan sahaja berlaku di kalangan ahlul bait, para ulama dan wali-wali Allah. Bahkan ia juga berlaku ke atas beberapa orang sultan di Alam Melayu.
Malangnya mimpi berjumpa Rasulullah SAW tersebut sering disalah tafsir oleh orientalis Barat dan sarjana tempatan yang terdiri daripada orang Melayu sendiri sebagai hanya satu mitos atau perkara khayalan semata-mata.
Walhal, Nabi Muhammad SAW pernah berjanji di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud,
"Berilah nama-nama kalian dengan namaku, dan jangan memakai gelar seperti gelarku, dan barang siapa bermimpikan aku dalam tidurnya, sungguh ia telah melihat aku, maka sungguh syaitan tidak mampu menyerupai diriku, dan barang siapa yang berdusta dengan mengatas namakan namaku dengan sengaja, maka kehendaknya dia bersiap akan tempatnya di dalam neraka."
MIMPI MERAH SILU @ SULTAN MALIKUL SALEH
Dalam Hikayat Raja Pasai, selain menceritakan keturunan raja-raja Pasai, juga menceritakan tentang mimpi Merah Silu bertemu Rasulullah SAW.
Semasa berburu di hutan, anjing Merah Silu yang bernama si Pasai telah menyalak kuat dan berdakap tujuh kali dengan pelanduk. Di atas sebuah bukit ada seekor semut sebesar kucing. Merah Silu makan semut tersebut dan tempat itu dijadikan negeri bernama Semudera. Lama-kelamaan ia disebut sebagai Samudera.
Dalam satu riwayat disebutkan, Nabi Muhammad SAW pernah berwasiat kepada para sahabat supaya berdakwah di negeri Samudera setelah baginda wafat. Bawa sebuah kapal dan kelengkapan dan ambil seorang fakir dari negeri Mengiri untuk mengislamkan seluruh rakyat negeri Samudera.
Tidak lama kemudian Nabi Muhammad SAW wafat. Syarif yang mentadbir Kota Mekah ketika itu mahu melaksanakan wasiat Nabi Muhammad SAW.
Syeikh Ismail ditugaskan ke Samudera. Syeikh Ismail singgah di negeri Mengiri. Raja Mengiri iaitu Sultan Muhammad seorang yang berketurunan daripada sahabat baginda Sayidina Abu Bakar as-Siddiq. Anak Sultan Muhammad menyamar sebagai fakir menumpang kapal tersebut. Kapal itu belayar ke Samudera.
Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Merah Silu melihat Nabi Muhammad SAW berada di hadapannya sambil menopang dagunya dan menutup matanya selama empat jam. Kemudian Nabi Muhammad SAW mengajar Merah Silu mengucapkan dua kalimah syahadah. Merah Silu pun mengikut baginda mengucapkan dua kalimah syahadah.
Kemudian baginda Nabi meludah ke dalam mulut Merah Silu. Nama Merah Silu ditukar oleh baginda, lalu diberi nama Sultan Malikul Saleh. Diperintahkan Rasulullah hanya memakan binatang halal yang telah disembelih sahaja.
Nabi berkata lagi dalam masa empat puluh hari, akan datang sebuah kapal dari Mekah dan Sultan Malikul Saleh hendaklah menerima agama Islam yang dibawanya. Apabila Merah Silu terjaga daripada tidur, Merah Silu mendapati kemaluannya telah dikhatankan dan mulutnya lancar membaca al-Quran 30 Juzuk.
Sebuah kapal dari Mekah telah berlabuh di Pelabuhan Samudera di Teluk Terli. Syeikh Ismail menghadap Sultan Malikul Saleh dan memintanya mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar. Sultan Malikul Saleh diberikan senaskah al-Quran oleh Fakir Mohamad.
Sultan Malikul Saleh dapat membacanya dengan lancar sekali. Kemudian Syeikh Ismail berjaya mengislamkan seluruh rakyat Samudera. Syeikh Ismail menabalkan Sultan Malikul Saleh menjadi raja Samudera Darul Salam. Menteri yang bernama Tun Seri Kaya diberi nama Sayid Ghiatuddin dan baba kaya dengan nama baru Sayid Semayamuddin.
Selepas habis tugasan, Syeikh Ismail kembali belayar pulang ke Mekah. Sultan menghadiahkan fidyah ambar, kapur barus, gaharu, cendana, kemenyan, kelembak, cengkih dan pala kira-kira seratus bahara.
Fakir Mohamad tinggal di Samudera dengan mengajar agama Islam. Sementara itu, satu lagi kaum di Samudera yang enggan memeluk Islam telah bertindak melarikan diri ke hulu Pasangan yang kini dikenali sebagai orang Gaya.
MIMPI RAJA KECIL BESAR @ SULTAN MUHAMMAD SYAH
Melaka menerima kedatangan Islam pada zaman Raja Kecil Besar. Pengislaman Raja Melaka itu dianggap oleh Orientalis dan diikuti oleh sarjana tempatan sebagai suatu mitos kedatangan Islam semata-mata. Menerusi Sulatus Salatin, Raja Kecil Besar telah diriwayatkan menerima agama Islam secara langsung dari Rasulullah SAW melalui mimpi.
Pada suatu malam, Raja Kecil Besar bermimpi berpandangan dengan keelokan wajah Nabi Muhammad SAW. Kemudian Rasulullah SAW mengajar Raja Kecil Besar mengucap dua kalimah syahadah. Raja Kecil Besar ditukar namanya oleh Rasulullah dengan Sultan Muhammad Syah.
Selepas itu, Rasulullah SAW memberitahu Sultan Muhammad Syah pada keesokan hari pada waktu asar akan tiba sebuah kapal dari Jeddah dan orang-orang dari kapal itu akan mendirikan solat di pantai Melaka.
Rasulullah menitahkan Sultan Muhammad Syah untuk menuruti sahaja kata-kata orang dari kapal itu. Dengan penuh takzim, Sultan Muhammad Syah berjanji akan menuruti segala kata-kata dan perintah Rasulullah. Kemudian Rasulullah pun ghaib dan Raja Muhammad Syah pun tersedar dari tidurnya.
Keesokan harinya pada hari siang, Sultan Muhammad Syah mendapati badannya berbau narawastu. Zakar baginda sudah dikhatankan. Sementara itu pula, mulut Sultan Muhammad Syah tiada henti-henti menyebut Kalimah Syahadah.
Kelakuan dan tingkah laku Raja Kecil Besar dipandang aneh. Raja Perempuan bimbang melihat perlakuan raja dan memberitahu Bendahara. Ketika Bendahara sampai, baginda masih menyebut,
"La ila ha illallah Muhammadur Rasulullah"
Sultan Muhammad Syah pun menceritakan kepada Bendahara tentang mimpinya. Bagi membuktikan mimpi Sultan Muhammad Syah adalah benar, Sultan Muhammad Syah menunjukkan zakarnya yang telah dikhatankan. Sultan juga memaklumkan kepada Bendahara akan sabda Rasulullah SAW akan kedatangan sebuah kapal dari Jedaah pada waktu asar nanti.
Pada waktu Asar, sebuah kapal Jeddah berlabuh di Melaka. Makhdum kapal itu bernama Syed Abdul Aziz. Mereka turun mendirikan solat di pantai Melaka. Orang-orang Melaka hairan melihat kelakuan orang dari atas kapal itu yang sedang tunggang-tonggek (solat).
Sultan Muhammad Syah yang diiringi pembesar negeri pun tiba di pelabuhan lantas menjemput Makhdum Syeikh Abdul Aziz menaiki gajah bersama-sama Sultan Muhammad Syah diikuti oleh rombongan makhdum ke Istana untuk mengislamkan rakyat negeri Melaka.
Wallahua'lam...

Kredit: budijagat

-Debu-