Saturday, March 11, 2017

KERIS

Keris merupakan senjata pendek Austronesia (kumpulan penduduk yang terdapat sekitar Oceania dan Asia Tenggara) yang digunakan sebagai mempertahankan diri serta alat kebesaran diraja dan ia juga dianggap unik bagi masyarakat Nusantara di Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand Selatan, Filipina Selatan dan Brunei.
Banyak pendapat mengenai asal-usul keris. Ada yang kata ia berasal dari India, dan ada yang kata ia diilhamkan oleh senjata Vietnam.
Bukti penemuan awal keris dijumpai di Candi Borobudur dan Prambanan, berusia seawal tahun 600 SM.
Mengikut dokumentari daripada 'Discovery Network', logam yang menghasilkan keris pertama adalah dibuat dari lava gunung berapi.
Ada juga yang kata keris dulu-dulu diperbuat daripada batu meteor yang “jatuh dari langit”, menggambarkan “kesatuan manusia dan Tuhan“.
Bilah keris berbentuk daun
ASAL USUL PERKATAAN 'KERIS'
Ada pendapat yang mengatakan keris ni berasal dari perkataan Jawa, ‘ngeris’ yang bermaksud ‘menikam’ atau ‘menusuk’.
Menurut maklumat dari Muzium Adat Istana Jahar, Kelantan, huruf jawi dalam perkataan keris (Kaf, Ra, Ya dan Sin) mempunyai maksud tersendiri termasuklah;
i) Ketahanan Rakyat Yang Sepadu
ii) Kekuatan Raja Yang Sejati
iii) Keamanan Rakyat Yang Sejahtera
iv) Kemuliaan Raja Yang Susila
v) Kebanggaan Rakyat Yang Setia
v) Kuasa Raja Yang Sejagat.
Kredit:
Irma Musliana
soscili.my
Keris Warisan Bangsa

-Debu-

ASAL USUL SILAT

Gerak silat asalnya Ilham
Lalu disimpan di dalam Bunga
Dari bunga terbitnya Buah
Perkataan Silat bermaksud seni beladiri yang membawa maksud ilmu pergerakan mempertahankan diri yang melibatkan permainan senjata atau tangan kosong.
Silat memiliki maksud yang sama dengan Wushu yang bermaksud ilmu berlawan. Perkataan Silat sinonim dengan seni beladiri dari Nusantara yang meliputi Malaysia, Indonesia, Thailand, Borneo dan keseluruhan negara-negara Asia Tenggara.
Menurut Kamus Dewan, tipu muslihat disebut sebagai elak, mengikut loghat utara Tanah Melayu disebut elat. Terdapat teori mengatakan perkataan Silat bersal dari si-ilat (orang yang pandai muslihat).
Asal usul Silat sukar dijejaki dan dipercayai berusia ribuan tahun. Ia digunakan sebagai sistem pertahanan bagi kerajaan Langkasuka, Champa, Srivijaya, Beruas, Melaka, Makasar, Aceh, Majapahit, Gangga, Pattani dan kerajaan-kerajaan lain di Asia Tenggara.
Silat tidak boleh dituntut sebagai hakmilik warisan sesebuah negara kerana sejarahnya meliputi keseluruhan Nusantara.
Menurut bukti tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobudur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud seni mempertahankan diri ini di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi.
GERAK SILAT (ILHAM)
Manusia diberikan naluri untuk mempertahankan diri dan menyelamatkan diri dari bahaya, gerakan ini berdasarkan naluri yang sukar dijelaskan dan bukannya gerakan sebarangan.
Ilham ini datang dalam pelbagai cara seperti mimpi, sumber dari pertapaan dan pemerhatian terhadap gerak binatang. Sumber ilham hakikatnya ini datang dari Pemberi Ilham (Rujuk Sifat 20). Ianya dizahirkan dengan pergerakan seni yang dinamakan Bunga.
Gerakan ini memiliki pelbagai maksud tersirat dan dari asas gerak ini munculnya gerakan menepis, gerakan tapak, tumbukan, mengunci, menjatuhkan lawan, melangkah dan sebagainya. Gerak abstrak ini dipercayai menyimpan pelbagai gerak rahsia dan beribu buah.
BUNGA SILAT
Maka titah Seri Bentara, "Menari apalah Kiai Tuah. Inginlah kita hendak melihatmu menari."
Maka sembah Tun Tuah, "Daulat tuanku andika, ini menari cara hulubalanglah."
(Hikayat Hang Tuah, 1971:126)
Melalui petikan Hikayat Hang Tuah tadi dapatlah disimpulkan bahawa gerakan silat bukanlah tari-menari semata-mata dan mengandungi rahsia tersembuyi. Secara asasnya susunan pembelajaran silat dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Bunga dan Buah.
Bunga merupakan gerak asas dalam silat. Gerak ini kemudiannya disusun dan membentuk buah silat. Terdapat salah faham yang menganggap bunga ialah tari menari yang bertujuan persembahan semata-mata.
Ada juga pesilat yang menghafal bunga dan tidak tahu rahsia yang terkandung di dalamnya. Mereka buta sejarah dan tidak memahami apa itu Bunga Silat sebenarnya.
Gerak Bunga diilhamkan kepada pengasas silat dan disusun menjadi tunggak utama persilatan tersebut. Contohnya Gayong Fatani berasaskan Bunga Sembah.
Bunga dikatakan sebagai pengenalan sesebuah silat dan dipanggil Bunga Sembah. Adakalanya bunga dimainkan pada majlis keraian seperti perkahwinan dan hari-hari kebesaran. Ia merupakan identiti (signature) kepada sesebuah persilatan.
Dengan melihat bunganya, kita boleh mengenali apa jenis silatnya. Ia penting bagi mengelakkan pesilat dari terlibat dalam pergaduhan sesama perguruannya sendiri.
Bangsa Melayu tinggi adabnya walaupun ketika berlawan, adakalanya bunga dimainkan ketika pertarungan untuk menunjukkan pesilat menghormati pertarungan. Tidak seperti zaman sekarang, orang mencarut dan memaki hamun ketika bergaduh.
Bangsa Melayu menyanjung tinggi adab dan budi bahasanya. Dalam sopan orang Melayu ada kerasnya. Seperti bunga silat, indah lembut berseni geraknya tersimpan gerakan rahsia yang membunuh.
Bunga dimainkan oleh pesilat dalam waktu latihan walaupun secara berseorangan. Ia diamalkan berulang kali bertujuan membiasakan diri dengan gerak silatnya.
Jika berlaku situasi kecemasan, secara automatik gerak silatnya akan terbentuk dengan sendirinya. Pesilat mengingati gerakannya walau tanpa perlu menghafal buah. Ia juga menguatkan sistem badan, menguatkan sistem pernafasan dan sebagai senaman (seperti senaman Taichi).
JURUS ATAU BELEBAT
Jurus juga dikenali sebagai Belebat. Ia merupakan pergerakan pantas yang berulang-ulang bertujuan untuk membiasakan gerak.
Tujuannya agar pesilat terbiasa dengan gerak-gerak jurus itu lantas tersimpan didalam nalurinya dan hasilnya gerak itu dapat dilaksanakan pada situasi pertarungan sebenar.
Contohnya, pesilat melangkah sambil tangan kiri menepis dan tangan kanan menumbuk dalam satu gerak ringkas. Berbanding Bunga, gerakan Jurus lebih kasar, pantas dan bertenaga. Ia boleh dilakukan dengan senjata atau tangan kosong.
Gerakan jurus merupakan latihan yang berulang-ulang yang dilakukan supaya pesilat sebati dengan gerakan menyerang atau bertahan agar dalam situasi sebenar naluri pesilat telah terlatih dan membentuk gerakan yang efektif.
BUAH SILAT
Buah Silat adalah gabungan gerakan yang diasaskan oleh Bunga (gerak asas silat). Juga dikenali sebagai Buah Pukul. Ia ialah aturan langkah menyambut serangan sehingga pihak lawan ditumpaskan dalam satu aturan gerakan.
Contohnya:
1. Pesilat menunggu serangan, menyambut (menepis, membuang, menangkap atau mengelak)
2. Memukul dan menjatuhkan pihak lawan
3. Memberikan pukulan penutup (memukul, mengunci atau mematahkan sendi)
Keseluruhan aturan ini dianggap sebagai satu buah yang lengkap. Setiap buah boleh dihabiskan dengan penutup yang berbeza. Contohnya, pesilat boleh memilih mengunci lawannya, mencederakan, melumpuh atau bunuh berdasarkan pilihannya (finishing move).
Buah silat dikumpulkan oleh pengasas-pengasas silat dan diberikan nama. Kemudian disusun dalam sistem pembelajaran mengikut peringkat.
Anak murid dikehendaki menghafal kesemua buah ini berdasarkan peringkat yang akan diuji dan dibezakan dengan jenis bengkung sehinggalah tamat pengajian.
Sistem pembelajaran ini diulang oleh guru-guru silat dalam setiap gelanggang yang dibuka.
KESIMPULANNYA
Silat melayu sejarahnya panjang dengan pelbagai bentuk dan gaya. Keasliannya dan geraknya diabadikan dengan dipelajari dan diwariskan secara turun-temurun.
Ia merupakan identiti kepada masyarakat Melayu dan hanya boleh disimpan dengan mempelajari dan diamalkan. Jika tidak ia akan pupus dan hanya dikenali melalui tulisan dan gambar sahaja.

Kredit: Abdulhafez Yahya

>iman<

BENARKAH SUMPAHAN MUMIA AMEN-RA PUNCA TITANIC KARAM?

Princess Amen-Ra
Sumpahan Puteri Amen-Ra yang hidup kira-kira 1,500 tahun SM dikatakan cerita paling mengganggu dan sukar untuk dijelaskan kerana dipercayai menjadi penyebab kapal paling hebat pernah dibina tenggelam.
Apabila puteri itu meninggal dunia, mayatnya telah dimasukkan ke dalam keranda kayu dan dikebumikan di Luxor, di tebing Sungai Nil.
KISAH EMPAT SAHABAT
Sumpahan Amen-Ra bermula pada lewat 1890-an apabila empat lelaki Inggeris yang kaya melawat Luxor dan terdorong membeli keranda mengandungi mumia puteri itu.
Mereka saling berlumba meletakkan harga tertinggi dan akhirnya keranda dimiliki salah seorang daripada lelaki berkenaan yang membayar harga sehingga beribu Pound.
Dia membawa keranda itu balik ke hotel penginapannya dan beberapa jam kemudian, lelaki itu dilihat berjalan seorang diri ke arah gurun dan tidak pernah kembali lagi ke penginapannya sejak itu.
Keesokan hari, salah seorang daripada tiga yang masih ada di hotel itu ditembak secara tidak sengaja oleh pembantu berketurunan Mesir. Tangannya cedera teruk sehingga terpaksa dipotong.
Lelaki ketiga tidak terkecuali menerima nasib buruk sebaik kembali ke tanah air apabila mengetahui bank yang menyimpan wangnya muflis, manakala rakannya yang dulu kaya raya mengalami sakit teruk, hilang kerja dan terpaksa menjual mancis di jalanan.
KISAH DI MUZIUM BRITAIN
Bagaimanapun, keranda berkenaan tiba di England dan dibeli oleh seorang ahli perniagaan tetapi dia mendermakannya kepada Muzium Britain selepas tiga anggota keluarganya cedera dalam kemalangan jalan raya dan rumahnya dijilat api.
Misteri terus melingkari keranda itu apabila trak yang digunakan untuk mengangkutnya ke muzium tiba-tiba berundur ketika kerja memunggah dilakukan.
Ketika diangkat menaiki tangga oleh dua pekerja, seorang daripadanya terjatuh dan patah kaki, manakala seorang lagi, yang sihat, meninggal dunia secara mengejut dua hari kemudian.
Sebaik keranda puteri itu diletakkan dalam Ruang Mesir di muzium itu, masalah lain pula timbul. Penjaga malam muzium melaporkan kerap mendengar suara tangisan dari dalam keranda.
Apabila seorang pengunjung mengejek wajah yang dicat pada keranda itu, anaknya meninggal dunia disebabkan campak tidak lama kemudian.
Akhirnya, pihak berkuasa terpaksa memindahkan mumia itu ke bawah tanah dengan harapan ia tidak lagi mencetuskan masalah. Namun, ia tidak menjadi kenyataan kerana dalam masa seminggu, seorang pembantu sakit teruk dan penyelia yang bertanggungjawab memindahkan keranda itu ditemui mati di mejanya.
Seorang jurugambar yang mengambil gambar keranda itu mendapati cat padanya jelas menunjukkan wajah manusia yang menakutkan. Dia kemudian balik ke rumah, mengunci diri dalam bilik tidur dan menembak dirinya.
Keranda Putri Amen-Ra yang disimpan di Muzium Britain, London.
TITANIC TENGGELAM
Seorang jounalis bernama William Thomas Stead kemudian membelinya dengan harga yang mahal. Beliau ingin membawa mumia ini pulang ke New York. Ketika itu, Titanic sememangnya ingin berlayar ke New York.
Beliau yakin jika beliau membawa mumia ini secara terang-terangan, ia tidak mungkin melepasi had kawalan penjaga keluar masuk kapal. Dengan itu, beliau menyembunyikan mumia ini di dalam bonet keretanya.
Untuk dijadikan cerita, beliau memaklumkan mengenai penyembunyian Mumia Amen-Ra kepada seorang kawan baiknya. Daripada kawan baiknya inilah, cerita sumpahan Mumia Amen-Ra menjadi popular.
Pada malam 14 April, William Thomas Stead juga salah seorang daripada lebih 1500 orang yang maut dalam tragedi Titanic!
Wallahua'lam...
William Thomas Stead

Kredit:
Hazirah Che Sab
takusahrisau
kutukandewata

-Debu-

ASAL USUL MI SEGERA

Mi segera adalah mi separa masak yang dikeringkan dan dicampur dengan minyak, biasanya dimakan setelah dimasak atau direndam di dalam air panas antara 3 hingga 5 minit.
Bungkusan perencah selalunya disertakan di dalam setiap bungkusan mi segera.
Mi segera juga boleh dimakan secara mentah kerana mi segera sebenarnya sudah pun dimasak di kilang, biasanya dengan menggoreng.
Mi segera berasal daripada versi segera bagi masakan Jepun iaitu Ramen.
Idea mi segera sudah pun berakar umbi sejak dari zaman Dinasti Qing di China, di mana mi yimian digoreng, membolehkannya disimpan dalam jangka masa yang lama serta disediakan dengan cepat.
Serupa juga, "mi benang ayam" (mi halus yang digoreng dan dihidangkan dengan air panas serta pilihan telur) boleh didapati di China dan Taiwan sejak Dinasti Qing.
Mi segera moden dicipta di Jepun oleh usahawan Jepun berketurunan Taiwan, Momofuku Andō (安藤百福), pengasas syarikat Nissin Foods, salah satu pengeluar mi segera terbesar hari ini.
Momofuku Andō
Mi keluarannya direbus dengan perencah, digoreng dengan minyak sawit untuk membuang kelembapan, kemudiannya dikeringkan untuk membentuk gumpalan mi.
Kaedah pengawetan lain sudah pun dicuba, seperti pengawetan dengan garam dan asap tetapi Andō membuat kesimpulan bahawa minyak sawit adalah yang paling berkesan.
Pada tahun 1958, Nissin melancarkan mi segera pertama di dunia, Chikin Ramen (ramen segera berperisa ayam) di Osaka.
Satu lagi pencapaian telah diperolehi pada tahun 1971 apabila Nissin memperkenalkan mi cawan, mi segera di dalam bekas 'styrofoam' kalis air yang boleh digunakan untuk memasak mi.
Inovasi seterusnya termasuklah menambah sayur-sayuran kering di dalam cawan, sehingga terciptanya hidangan sup lengkap.
Menurut satu undian Jepun pada tahun 2000, mi segera menjadi ciptaan Jepun paling penting sepanjang abad. Karaoke menduduki tempat kedua, manakala cakera padat hanya menduduki tempat kelima.
Setakat tahun 2005, lebih kurang 85 bilion hidangan mi segera dimakan di seluruh dunia setiap tahun.
China memakan 44 bilion bungkus mi segera setahun, atau 51% daripada jumlah di seluruh dunia, Indonesia memakan 12 bilion, Jepun 5.4 bilion.
Secara per kapita, rakyat Korea Selatan paling banyak memakan mi segera iaitu 69 bungkus/seorang setahun.
Mi segera bukan sahaja popular di kalangan pelajar universiti malah boleh digunakan sebagai kayu pengukur tahap ekonomi.
Pada tahun 2005, Indeks Mama Noodles dilancarkan bagi menunjukkan jumlah jualan mi segera jenama Mama, pengeluar terbesar di Thailand.
Indeks menjadi stabil sejak Krisis Kewangan Asia Timur, tetapi jualan meningkat sebanyak 15% dalam 7 bulan pertama tahun 2005, yang dianggap sebagai petanda kemelesetan ekonomi.
Rakyat tidak mampu membeli makanan yang lebih mahal, sekaligus mendorong kepada peningkatan jualan ramen.

Kredit: v12gether

-Debu-

IMAM MALIK: PENGASAS MAZHAB MALIKI

Nama lengkap beliau adalah Abu Abdillah Malik bin Anas bin Malik bin Anas bin Al Harits bin Ghaiman bin Khutsail bin Amr bin Al Harits Al Ashbahiy Al Humairiy. Nasabnya berakhir pada Ya'rib bin Yasyjub bin Qathan.
Datuknya yang juga bernama Malik bin Anas termasuk seorang tabi'in besar dan salah seorang yang turut memikul jenazah Khalifah Usman ke kuburnya.
Datuk kepada datuknya, Anas, adalah seorang sahabat agung, yang selalu mengikuti Rasulullah SAW dalam semua peperangan kecuali perang Badar.
Ibunya bernama Al Aliyah binti Syariek Al Asadiyah. Namun, ada juga yg mengatakan ibunya adalah Thulaihah, bekas hamba Ubaidullah bin Ma'mar.
Imam Malik bin Anas lahir di Madinah pada tahun 93H/711M (ada pendapat yang mengatakan 95H). Beliau dilahirkan di dalam sebuah kota yang merupakan tempat tumbuhnya Islam dan berkumpulnya generasi yang dididik oleh para sahabat Rasulullah SAW.
Sejarah keluarganya juga ada hubung-kait dengan ilmu Islam dan datuknya sendiri seorang perawi serta penghafal hadis yang terkemuka. Pakciknya, Abu Suhail Nafi’ adalah seorang tokoh hadis kota Madinah pada ketika itu dan dengan beliaulah Malik bin Anas mula mendalami ilmu-ilmu agama, khususnya hadis.
Abu Suhail Nafi’ ialah seorang tabi‘in yang sempat menghafal hadis daripada Abdullah ibn Umar, A'isyah binti Abu Bakar, Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa‘id al-Khudri RA.
Selain Abu Suhail Nafi’, Malik bin Anas juga berguru dengan Ja'afar as-Siddiq, cucu kepada Hassan (cucu kepada Rasulullah SAW). Malik juga belajar di Masjid Nabawi, berguru dengan Muhammad Yahya al-Ansari, Abu Hazim Salmah al-Dinar, Yahya bin Sa'ad dan Hisham bin ‘Urwah. Mereka ini semua ialah anak murid kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW.
Suasana kehidupan Malik bin Anas di Madinah yang ketika itu dipenuhi dengan para tabi‘in amatlah menguntungkannya. Para tabi‘in ini adalah mereka yang sempat hidup bersama sahabat-sahabat Rasulullah SAW.
Mereka sempat belajar, mendengar hadis dan mengamalkan perbuatan para sahabat secara terus. Inilah antara sebab kenapa Malik bin Anas tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali apabila pergi menunaikan ibadat haji.
Malik bin Anas kemudiannya mengambil alih sebagai tokoh agama di Masjid Nabawi. Ajarannya menarik sejumlah orang ramai daripada pelbagai daerah dunia Islam. Beliau juga bertindak sebagai mufti Madinah pada ketika itu.
Malik juga ialah antara tokoh yang terawal dalam mengumpul dan membukukan hadis-hadis Rasulullah SAW di dalam kitabnya, Al Muwattha'. Kitabnya ini menjadi hafalan dan rujukan orang ramai.
BIDANG ILMU
Beliau meriwayatkan hadis dari sejumlah besar Tabi'in dan Tabi'ut Tabi'in, di antaranya, Nafi', Ibn Syihab Az Zuhri, Abu Az Zanad, Abdurrahman bin Al Qasim, Ayyub As Sakhtiyani, Yahya bin Sa'id Al Anshari, Aisyah binti Sa'ad bin Abi Waqqash, Zaid bin Aslam, Humaid Ath Thawiel dan Hisyam bin Urwah.
Sebaliknya, tidak sedikit guru-gurunya yang meriwayatkan hadis dari beliau sesudah itu, seperti Az Zuhri dan Yahya bin Sa'id Al Anshari. Cukup banyak perawi yang meriwayatkan hadis dari beliau.
Al Hafidh Abu Bakar Al Khatib Al Baghdadi menulis sebuah kitab tentang para perawi yang meriwayatkan dari Imam Malik. Dalam kitab tersebut, Al Baghdadi menyebutkan hampir 1000 orang perawi. Di antara tokoh-tokoh yang meriwayatkan hadis dari beliau ialah Sufyan Ats Tsauri, Abdullah bin Al Mubarak, Abdurrahman Al Auza'i, Abu Hanifah, Asy Syafi'i dan banyak nama besar yang lain.
ULASAN ULAMA' TENTANG IMAM MALIK
Asy Syafi'i: Apabila ulama disebut, maka Imam Malik adalah bintangnya.
Ibn Mu'in: Imam Malik termasuk hujjah Allah atas makhluk-Nya.
Yahya bin Sa'id Al Qathan: Imam Malik adalah amirul mukminin dalam bidang hadis.
Ibn Hibban: Imam Malik adalah orang pertama yang memilih para tokoh ahli fiqh di Madinah, menghindari orang yang tidak dipercayai (tsiqah), tidak meriwayatkan kecuali yang sahih dan hanya menceritakan dari orang yang dipercayai.
Beliau termasuk dalam bahagian dari sanad-sanad utama hadis-hadis Imam Bukhari selain Imam Nafi'.
Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, yang bermaksud,
"Nyaris orang-orang memukul perut unta untuk mencari ilmu, tapi ternyata mereka tidak menemui seorang pun yang lebih alim dari orang alim Madinah" (hadis ini hasan menurut Tirmidzi)
Ibn Unayah menukilkan orang alim Madinah tersebut adalah Imam Malik.
AL-MUWATTHA'
Al-Muwatta’ bermaksud ‘yang disepakati’ atau ‘tunjang’ atau ‘panduan’ tentang ilmu dan hukum-hukum fiqh. Ia mengandungi hadis-hadis hukum yang dikumpulkan oleh Imam Malik .
Semua hadis di dalam al-Muwatta’ adalah sahih kerana Imam Malik terkenal dengan sifatnya yang tegas dalam penerimaan hadis tertentu. Beliau sangat berhati-hati ketika menapis, mengasingkan dan membahas serta menolak riwayat yang meragukan.
Daripada 100,000 buah hadis yang dihafal beliau, hanya 10,000 sahaja diakui sah dan daripada 10,000 hadis itu, hanya 5,000 sahaja yang disahkan sahih oleh beliau setelah disiasat dan dipadankan dengan al-Quran.
Menurut satu riwayat, Imam Malik telah menghabiskan 40 tahun untuk mengumpul dan menapis hadis-hadis yang diterima daripada guru-gurunya.
Muridnya, Imam Syafie pernah berkata, “Tiada sebuah kitab di muka bumi ini yang lebih banyak mengandungi kebenaran selain daripada kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik.”
Al Muwattha' memuatkan;
- 6000 hadis musnad (sanad bersambung sampai ke Nabi SAW / Marfu')
- 222 hadis mursal (sanad hanya sampai sahabat)
- 613 hadis mauquf (sanad hanya sampai tabi'in)
- 285 makalah Tabi'in.
FATWA DAN UNTAIAN KATA IMAM MALIK
1. "Aku hanyalah seorang manusia, terkadang salah terkadang benar. Oleh kerana itu, telitilah pendapatku. Bila sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah maka ambillah, dan bila tidak sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, maka tinggalkanlah."
2. "Siapapun boleh diambil dan ditolak perkataannya, kecuali Nabi SAW."
3. Ketika ditanya tentang Allah bersemayam di 'arasy beliau menjelaskan,
"Al-Istiwa adalah sudah dimaklumi maknanya. Adapun kaifiyahnya tidak dikenali. Mengimaninya adalah wajib dan mempertanyakannya adalah bid'ah".
4. Imam Malik ra. memberikan nasihat,
"Rasulullah SAW telah wafat dan sesungguhnya urusan (agama) ini telah selesai dan sempurna.. Maka sayugialah bahawa kamu mengikuti akan atsar-atsar Rasulullah SAW dan janganlah kamu mengikuti fikiran orang, kerana sesungguhnya bila fikiran (pendapat) orang diikuti, datang orang lain yang lebih kuat fikirannya daripada kamu, lalu kamu mengikuti fikirannya, maka tiap-tiap kali datang seseorang yang mengalahkan kamu, kamu mengikuti kepadanya. Aku memandang demikian ini tidaklah sempurna"
5. Bila tidak mendapatkan kejelasannya, barulah kita bertanya pada ahlinya.
6. Fatwa beliau yang lain yang merupakan pukulan bagi para pembuat dan pelaku bid'ah dalam urusan agama adalah,
"Barangsiapa mengada-adakan satu bid'ah di dalam Islam, yang ia memandang bid'ah itu baik/hasanah, maka sesungguhnya ia telah menyangka bahawa Muhammad telah berkhianat akan risalah Allah, kerana sesungguhnya Allah telah berfirman, " Pada hari ini Aku telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu. Maka apa-apa yang tidak jadi agama pada hari itu, tidaklah menjadi agama pada hari ini"
WAFAT
Makam Imam Malik di Kompleks Pemakaman Baqi' Al-Gharqad
Sebagaimana tahun kelahirannya, ada beberapa versi tentang waktu meninggalnya Imam Malik. Ada yang berpendapat tanggal 11, 12, 13, 14 bulan Rejab 179 H dan ada yang berpendapat 12 Rabi’ul Awwal 179 H.
Di antara pandangan yang paling banyak diikuti adalah pendapat Qadi Abu Fadl Iyad yang menyatakan bahawa Imam Malik meninggal pada hari Ahad 12 Rabi’ul Awwal 179 H dalam usia 87 tahun, setelah sebulan menderita sakit.
Beliau dikebumikan di kuburan Baqi’. Beliau berwasiat untuk dikafani dengan pakaianya yang putih dan disolatkan di tempat meninggalnya. Dengan perginya Imam Malik, berkurang satu tokoh dan ulama besar Madinah.
Wallahua'lam...

Kredit: catatan-karmic

-Debu-

SIMBOL-SIMBOL YANG DIGUNAKAN CALON PILIHANRAYA DI MESIR

Pilihanraya Mesir unik kerana setiap calon yang bertanding mempunyai simbol yang mewakili mereka. Sistem ini masih digunakan di sana bagi membantu golongan yang buta huruf mengundi calon kegemaran mereka.
Di Mesir, tahap buta hurufnya tinggi iaitu sekitar 50%. Sistem simbol ini diperkenalkan oleh Abdul Gamal Nasser pada zaman 50-an dan kekal hingga ke hari ini.
Benda yang paling kelakar tentang sistem meletakkan simbol ini ialah calon tak boleh memilih simbol apa yang bakal mereka gunakan.
Sebanyak 250 simbol diberi secara rawak dan ini membuatkan ada calon yang 'butthurt'. Calon lelaki ada yang menerima simbol baju wanita, pisang atau teddy bear! 😄





Kredit:
blogserius
Daily Mail

-Debu-

Pemilihan Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu

Upacara Pemilihan Lagu Kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka telah diadakan pada 5 Ogos 1957 bertempat di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur.
Pemilihan ini dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Lagu Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Encik Ya'acob Abdul Latiff (Pengarah Jabatan Penerangan), Tuan A.T. Reid (Timbalan Pengarah Broadcasting), Tuan Ong Yoke Lin (Menteri Kenderaan dan Pengangkutan), Haji Mustapha Al-Bakri (Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu), Cik Halimathon, (Ahli Majlis Undangan Persekutuan), Dato' Abdul Razak Hussein (Menteri Pelajaran) dan Tuan W. Crops (Pengarah Muzik, Pasukan Pancaragam Polis Persekutuan).
Sebanyak empat buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis Persekutuan Tanah Melayu. Lagu ‘Terang Bulan' lagu kebangsaan negeri Perak dipilih sebagai lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu kerana mempunyai unsur-unsur kemelayuan. Keputusan pemilihan ini kemudianya dikemukakan untuk diperkenankan oleh Majlis Raja-raja Melayu.
Lagu kebangsaan buat pertama kalinya diperdengarkan kepada khayalak ramai pada malam 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

Sumber : Arkib Negara

-Dzull-

KERAJAAN-KERAJAAN MELAYU DI NUSANTARA DITAWAN OLEH PORTUGIS KERANA PERPECAHAN: SARJANA PORTUGIS

Seorang sarjana Portugis mendedahkan Kerajaan Melayu-Islam bukan saja berkembang di Melaka, Johor dan Aceh malah juga di Ambon, Ternate dan Tidore sekitar tahun 1500-an.
Dr. Gijs L Koster dari Universiti of The Minho, Braga, Portugal berkata,
"Semua kesultanan Islam itu di samping kerajaan Pasai, Minang dan Maluku turut sama memberi tentangan hebat terhadap penjajah Portugis selepas kejatuhan Melaka pada 1511."
Sebelum ini, kesultanan itu turut menjalin kesepakatan seperti di antara Johor dengan Melaka atau dengan Aceh walaupun kadangkala ketiga-tiga kuasa itu bersengketa dalam perebutan kuasa pada abad itu.
Pada saat-saat perpecahan terutama di kalangan pembesar kerajaan Melayu itulah, armada Feringgi dengan mudah mengalahkan Aceh yang terkenal sebagai pendekar Islam Asia Tenggara pada 1629.
Sebelum itu, sekitar 1540, akibat kerajaan Melayu di Pasai menjadi berpuak-puak, Portugis juga melancarkan serangan lantas menguasai wilayah itu.
Dalam ceramah ringkas, Dr Koster turut mendedahkan beberapa perkara menarik, iaitu Hikayat Tanah Hitu, dikarang oleh Imam Besar Ambon Saipul Hijali yang mengandungi banyak kisah perjuangan kesultanan Melayu-Islam di rantau ini.
Sultan Ambon melancarkan Perang Sabil terhadap Portugis yang didapati menggalakkan paderi-paderi memurtadkan penduduk Islam selain cuba campur tangan dalam kerajaan di Utara Ambon.
Dua helai surat dipercayai tertua ditulis dalam bahasa Melayu, tulisan Jawi kini tersimpan di arkib di Lisbon. Pertama daripada Sultan Baadullah dari Ternate kepada Raja Juan III, mengadu mengenai sikap buruk orang Portugis yang mencuri, mabuk dan bergaduh di pelabuhan. Begitu juga surat ditulis oleh Sultan Zainol Abidin dari Pasai mengenai perkara yang sama.
Mengenai kerjasama kerajaan Melayu itu, Dr Koster berkata, Melaka, Johor dan Aceh membentuk jalinan tiga segi dan kadangkala di antara dua kerajaan saja seperti Aceh dengan Johor dan Johor dengan Melaka.
Pada satu ketika, armada Aceh dilengkapi meriam besar dibeli dari Turki dibantu oleh berpuluh kapal dari Johor membedil kota Melaka untuk menangkap seorang kapitan Portugis yang kejam dan bengis.
“Orang Portugis menganggap kapitan yang berjaya ditangkap itu sebagai mati ‘syahid’ kerana rela dibunuh saja daripada murtad iaitu menukar agama daripada Nasrani kepada Islam,” kata Dr Koster.
Turki pada zaman itu, kata Dr Koster, dianggap sebagai Amirul Mukminin dan turut sama memberi bantuan kepada Aceh adalah kerajaan Gujerati di India.
Dalam sebuah ceramah, Dr Koster turut memaparkan gambar-gambar lukisan Portugis yang belum pernah dilihat di sini menceritakan pelbagai kisah menarik dan wajah bandar Melaka dan tanah jajahan lain.
Selain membina kubu dan benteng, Portugis memastikan ‘felorina’ iaitu sebatang tiang tempat hukuman mati dilaksanakan dibina dekat tengah kota termasuk di Melaka.
Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof Dr Ding Choo Ming mengakui bahawa Hikayat Hitu belum pernah diselidiki oleh sarjana-sarjana Melayu-Nusantara malah banyak perkara yang didedahkan oleh Dr Koster adalah kisah-kisah yang perlu dikaji yang kini tersimpan di arkib-arkib di Portugal.
Arkib di Lisbon
Kredit:
lokalgenius
Al Semantani Jones

-Debu-

PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI DI PARIT SULONG

Semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu, anggota pasukan Division ke 8 Australia dan Brigade Infantri ke-45 India sedang berundur sambil berjuang apabila mereka dikepung berhampiran dengan jambatan di Parit Sulong.
Pasukan Berikat bertempur dengan pasukan Jepun yang lebih besar selama dua hari sehingga mereka kekurangan bekalan peluru dan makanan.
Setelah gagal berunding di bawah bendera putih, untuk membenarkan mereka yang tercedera dikecualikan berperang, pemerintah pasukan memutuskan bahawa pihak Jepun akan mematuhi Perjanjian Geneva (Geneva Convention) mengenai tawanan perang dan memerintahkan kesemua mereka yang sihat dan mampu berpecah ke dalam hutan, satu-satunya jalan bagi mereka kembali menyertai barisan pihak Berikat; tetapi bagi sekitar 110 tentera Australia dan 40 tentera India yang cedera terlalu teruk untuk melarikan diri, pilihan mereka yang ada hanyalah untuk menyerah diri.
Tahanan perang yang cedera itu ditendang dan dihentak dengan buntut senapang oleh Pengawal Imperial. Mereka yang tercedera ditahan dalam bangunan kayu.
Mereka kemudian dikumpulkan dan diperiksa oleh Chief of Staff Lt. Gen. Nishimura Takuma, General Officer Commanding, Division Pengawal Imperial yang memberikan arahan untuk "menghapuskan" tahanan yang tercedera.
Dalam perbicaraannya, Nishimura mendakwa bahawa ini bererti "memindahkan mereka yang tercedera kebelakang", tetapi Chief of Staff, Kolonel Imai Kamerjiro menambah, "Mayat tahanan hendaklah dibakar selepas selesai pembunuhan itu". Teks penuh arahan tersebut diberikan kepada Lt. Fujita yang ditugaskan bagi menghapuskan tahanan.
Leftenan Jeneral Takuma Nishimura
Pada petang 22 Januari 1942, mereka diperintahkan untuk berkumpul di belakang baris kedai yang rosak berdekatan. Mereka yang tercedera dipapah oleh mereka yang mampu berjalan, setelah dijanjikan rawatan perubatan dan makanan.
Sementara menunggu ditempat perkumpulan, samada duduk atau terbaring lemah, tiga mesingan, tersorok di bilik belakang mula menembak, mensasarkan tahanan tersebut. Sejumlah tahanan yang masih hidup di tikam dengan bayonet.
Selepas itu, baris rumah kedai tersebut dirobohkan dan mayat tahanan diletakkan di atasnya. Enam puluh gelen minyak dituang di atas timbunan itu dan api dihidupkan.
Menjelang tengah malam, timbunan kayu dan mayat membentuk abu setinggi dua kaki sebelum diisikan ke dalam lubang bom di jalan berhampiran.
Jambatan Parit Sulong pada 1963, di mana tentera Australia berjuang pada peringkat akhir Pertempuran Muar menentang pasukan Jepun yang lebih besar. Jambatan ini dimusnahkan pada tahun 1994 dan digantikan dengan jambatan baharu pada tahun 1997.
Terdapat keterangan saksi lain yang menyatakan kisah berlainan, antaranya,
Sesetengah dari mereka diikat dengan kawat di tengah jalan sebelum ditembak dengan mesingan dan dicurah dengan petrol serta dibakar. Kebanyakan mayat tersebut dijadikan pengisi lubang bom di jalan.
Kenyataan penduduk tempatan turut melaporkan bahawa tahanan perang diikat beramai-ramai dengan kawat dan dipaksa berdiri di atas jambatan, sebelum tentera Jepun menembak seorang demi seorang, menyebabkan mereka jatuh ke dalam sungai Simpang Kiri dan lemas.
Tiga orang tentera Australia terselamat dan dua daripadanya masih hidup sehingga tamat perang. Dua tentera Australia yang tercedera dan sempat melarikan diri dari pembunuhan beramai-ramai itu dan menjadi saksi mengenai layanan Jepun terhadap tahanan perang. Rekod rasmi menunjukkan seramai 150 orang yang tercedera dibunuh!
Leftenan Jeneral Takuma Nishimura kemudiannya disabitkan terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong oleh Mahkamah Tentera Australia dan digantung hingga mati pada 11 Jun 1951.

-Debu-

IMAM ABU HANIFAH: PENGASAS MAZHAB HANAFI

Imam Abu Hanifah dikenali dengan sebutan Imam Hanafi. Nama lengkap beliau adalah Nu’man bin Tsabit bin Zutha Al-Kufi. Lahir di Iraq pada tahun 80 Hijriah/699 M, bertepatan dengan zaman khalifah Bani Umayyah, Abdul Malik bin Marwan.
Beliau digelar dengan nama Abu Hanifah yang bermaksud suci dan lurus, kerana sejak kecil beliau dikenali dengan kesungguhannya dalam beribadah, berakhlak mulia, serta menjauhi perbuatan-perbuatan dosa dan keji. Dan mazhab fiqihnya dinamakan Mazhab Hanafi.
Ayahnya, Tsabit berasal dari keturunan Parsi sedangkan datuknya, Zutha berasal dari Kabul, Afganistan. Ketika Tsabit masih di dalam kandungan, dia dibawa ke Kufah, kemudian menetap sehingga Abu Hanifah lahir.
Ketika Zutha bersama anaknya, Tsabit berkunjung berjumpa Ali bin Abi Thalib, mereka didoakan agar kelak keturunan Tsabit menjadi orang-orang yang penting di zamannya, dan doa itu pun terkabul dengan kehadiran Imam Hanafi, namun tak lama kemudian ayahnya wafat.
Abu Hanifah dibesarkan di kota Kufah. Di kota inilah beliau mula belajar dan menimba banyak ilmu. Beliau juga pernah melakukan perjalanan ke Basrah, Makkah dan Madinah dalam rangka mengembangkan wawasan dan memperluas ilmu pengetahuan yang telah beliau peroleh.
MULA BELAJAR
Abu Hanifah juga telah menghafal Al-Quran sejak kecil. Di masa remaja, Imam Abu Hanifah mula menekuni belajar agama dari ulama-ulama terkemuka di Kota Kufah. Beliau sempat berjumpa dengan sembilan atau sepuluh orang sahabat Nabi seperti Anas bin Malik, Sahl bin Sa’d, Jabir bin Abdullah dan lain-lain.
Ketika berusia 16 tahun, dari Kufah, beliau menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan menziarahi kota Nabi SAW, Madinah al-Munawwarah. Dalam perjalanan ini, beliau berguru dengan tokoh tabi’in, Atha bin Abi Rabah, yang merupakan ulama terbaik di kota Mekah.
Jumlah guru Imam Abu Hanifah sebanyak 4000 orang. Di antaranya, 7 orang dari sahabat Nabi, 93 orang dari kalangan tabi’in dan selebihnya dari kalangan tabi’ at-tabi’in. Jumlah guru beliau yang banyak tidaklah menghairankan kerana beliau banyak menempuh perjalanan dan berkunjung ke pelbagai kota demi memperoleh ilmu agama.
Beliau menunaikan haji sebanyak 55 kali. Pada musim haji, para ulama berkumpul di Masjidil Haram menunaikan haji atau berdakwah kepada kaum muslimin yang datang dari berbagai penjuru negeri.
Guru-guru yang pernah beliau temui antara lain adalah;
i) Hammad bin Abu Sulaiman Al-Asy’ari, faqih kota Kufah
ii) Atha bin Abi Rabah, faqih kota Makkah
iii) Ikrimah, maula serta pewaris ilmu Abdullah bin Abbas
iv) Nafi, maula dan pewaris ilmu Abdullah bin Umar serta yang lain-lain.
Beliau juga pernah belajar kepada ulama’ Ahlul-Bait seperti;
i) Zaid bin Ali Zainal ‘Abidin (79-122 H/698-740 M)
ii) Muhammad Al-Baqir (57-114 H/ 676-732 M)
iii) Ja’far bin Muhammad Al-Shadiq (80-148 H/ 699-765 M)
iv) Abdullah bin Al-Hasan
Beliau juga pernah berjumpa dengan beberapa sahabat seperti;
i) Anas bin Malik (10 SH-93 H/ 612-712 M)
ii) Abdullah bin Abi Aufa (wafat 85 H/ 704 M) di kota Kufah
iii) Sahal bin Sa’ad Al-Sa’idi (8 SH-88 H/ 614-697 M) di kota Madinah
iv) Abu Al-Thufail Amir bin Watsilah (wafat 110 H/729 M) di kota Makkah
MAZHAB HANAFI
Mazhab yang didirikan oleh Imam Abu Hanifah adalah Mazhab Hanafi yang merupakan salah satu mazhab fiqih dalam dalam Islam sunni. Mazhab Hanafi terkenal sebagai mazhab yang paling terbuka kepada idea-idea moden.
Mazhab ini diamalkan terutama dikalangan orang-orang Islam Sunni di Mesir, Turki, Tiongkok, anak benua India dan sebahagian Afrika Barat. Mazhab Hanafi merupakan mazhab terbesar dengan jumlah pengikutnya sebesar 30% meskipun pelajar Islam di seluruh dunia belajar dan melihat pendapatnya mengenai amalan-amalan yang diajarkan agama Islam.
Sejak pertama kali muncul, mazhab ini telah tersebar luas dan sangat berpengaruh di Negara Iraq. Mazhab Hanafi ialah mazhab rasmi Daulah Uthmaniyyah, dan masih berpengaruh di negara-negara bekas jajahan Daulah Uthmaniyyah seperti Negara Syria, Mesir, Bosnia, Lubnan, dan Turki.
METODOLOGI FIQIH ABU HANIFAH
Dasar-dasar ketetapan suatu hukum fiqh Abu Hanifah adalah dari;
i) Al-Qur’an karim
ii) Sunnah, dimana beliau selalu mengambil sunnah yang mutawatir/masyhur. Beliau mengambil sunnah yang diriwayatkan dengan ahad hanya jika rawi darinya tsiqah.
iii) Pendapat para Sahabat Nabi (Atsar)
iv) Qiyas
v) Istihsan
vi) Ijma’ para ulama
vii) Urf masyarakat muslim
KITAB MAZHAB HANAFI
Imam Abu Hanifah merupakan imam yang melakukan usaha pengumpulan kitab untuk mazhab Hanafi. Beliau mengarang banyak kitab dan yang paling utamanya ialah enam buah kitab yang mana para ulama mazhab Hanafi mengatakan kitab-kitab ini merupakan Zahirul Riwayat kerana telah diriwayatkan oleh para perawi yang paling dipercayai. Adapun kitab-kitab tersebut adalah seperti berikut;
1) Kitabul Asl yang juga dikenali dengan Al-Mabsuth
2) Kitab Al-Jaamik As-Saghir
3) Kitab Al-Jaamik Al-Kabir
4) Az-Ziyaadaat
5) As-Siyarus Saghir
6) As-Siyarul Kabir
MENOLAK PANGKAT DAN KEDUDUKAN
Imam Hanafi sentiasa menolak kedudukan tinggi, pangkat, kuasa dan wang. Akibat dari penolakannya itu, beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara, beliau diseksa, dipukul dan sebagainya.
Pernah pada suatu ketika, Imam Hanafi ingin diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi pengangkatan itu ditolaknya. Beliau tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.
Pada waktu yang lain, Gabenor Yazid menawarkan pangkat Kadi (hakim) tetapi ditolaknya juga. Rupa-rupanya Yazid tidak senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu, beliau disiasat dan diancam akan dihukum dengan hukuman dera.
Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukuman dera itu, Imam Hanafi menjawab,
"Demi Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan."
Demikian beraninya, Imam Hanafi dalam menegakkan pendirian hidupnya.
Pada suatu hari, Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqih yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di istananya. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila, Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.
Ketika itu, gabenor menetapkan Imam Hanafi menjadi Pengetua jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor memutuskan disertai dengan sumpah, "Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat itu, nescaya dia akan dihukum dengan pukulan".
Walaupun dengan ancaman seperti itu, Imam Hanafi tetap menolak jawatan itu, malah beliau tetap tegas tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.
Kerana sikapnya itu, akhirnya beliau diarah tangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, sehabis tempoh itu, beliau dipukul sebanyak 14 kali , setelah itu baru dibebaskan.
Beberapa hari sesudah itu, gabenor sekali lagi menawarkan jawatan Kadi, juga ditolaknya. Beliau ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari didera sebanyak 10 pukulan. Namun demikian, Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sehingga beliau dilepaskan kembali setelah cukup 11 hari.
Akibat dari pukulan itu, muka dan seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman dipukul itu sengaja untuk menghina Imam Hanafi. Walaupun demikian, ketika Imam Hanafi diseksa beliau sempat berkata,
"Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti."
Ketika beliau berusia lebih 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Hanafi juga menerima ujian yang sama.
Kemudian pada tahun 132 H, sesudah dua tahun dari hukuman tadi, terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah.
Makam Imam Hanafi di Baghdad
Pada tahun 132 H, sesudah Abu Abbas meninggal dunia, diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani, seorang ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.
Suatu hari, Imam Hanafi mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya beliau datang mengadap ke istana. Sesampainya beliau di istana, baginda telah menawarkan jawatan kadi (hakim) kerajaan Baghdad.
Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya,
"Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?"
Dijawab oleh Imam Hanafi, "Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya."
Kerana beliau masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Pada masa itu, para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi itu, Imam Abi Laila pun dilarang memberi fatwa.
Pada suatu hari, Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi beliau tetap menolak. Baginda bertanya,
"Apakah engkau lebih suka dalam keadaan seperti ini?"
Dijawab oleh Imam Hanafi, "Wahai Amirul Mukminin, semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah, saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu."
Baginda berkata lagi, "Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu."
Dijawab oleh Imam Hanafi, "Amirul Mukminin, sungguh tuan telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana tuan akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya."
Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tsauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi surat pelantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tsauri diangkat menjadi kadi di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota. Adapun Imam Hanafi tidak mahu menerima pelantikan itu di manapun ia diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.
Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri. Oleh sebab itu, Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dipukul sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.
Suatu hari Imam Hanafi dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Beliau dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu, Imam Hanafi dipenjarakan kembali. Imam Hanafi menutup usianya dalam tahanan dengan keadaan menderita diseksa.
Imam Hanafi tidak ingin kepada jawatan dan pangkat yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak sesuai dengan corak pemerintahan yang mereka kendalikan.
Oleh sebab itu, mereka berusaha mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka dan membenarkan corak pemerintahan yang dilaksanakan, namun semuanya ditolak Imam Hanafi dan akhirnya beliau diseksa hingga membawa ke penamat hayatnya.
WAFATNYA
Imam Abu Hanifah wafat di Kota Baghdad pada tahun 150 H/767 M. Imam Ibnu Katsir mengatakan, “6 kelompok besar penduduk Baghdad menyolatkan jenazah beliau secara bergantian. Hal itu disebabkan banyaknya orang yang hendak menyolatkan jenazah beliau.”
Di zaman Turki Uthmaniyyah, sebuah masjid di Baghdad yang dirancang oleh Mimar Sinan didedikasikan untuk beliau. Masjid tersebut dinamakan Masjid Imam Abu Hanifah.
Sepeninggalan beliau, mazhab fikihnya terus digunakan oleh umat Islam, malah menjadi mazhab rasmi beberapa kerajaan Islam seperti Daulah Abbasiyah, Mughal dan Turki Uthmaniyyah. Hari ini, mazhab beliau banyak digunakan di Turki, Syria, Iraq, Balkan, Mesir dan India.

Kredit:
mutiarapublic
kisahmuslim
alhammasiyy
kajikisah
catatan-karmic

-Debu-