Tuesday, January 24, 2017

BARRY PRIMA SEBAGAI JAKA SEMBUNG

Barry Prima lahir di Bandung pada tahun 1955. Aktor yang beragama Islam ini paling dikenali dalam genre filem aksi Indonesia pada era 80-an kerana kemampuan bela diri taekwondo yang dikuasainya. Kariernya bermula dari penghujung 70-an hingga sekarang.
Beliau amat sinonim dengan watak Jaka Sembung. Filem Jaka Sembung mendapat perhatian dari kalangan penggemar filem aksi lawan antarabangsa kerana dianggap sebagai salah satu filem pertama yang mempunyai ramuan unik antara aksi lawan, seram dan 'supernatural'.
Jalan cerita filem ini diadaptasi berdasarkan komik Indonesia yang berjudul "Jaka Sembung" karya Djair Warniponakanda (Djair).
Filem Jaka Sembung juga ditayangkan di luar negara dengan judul yang berbeza.
Salah satu komik Jaka Sembung
Di antara filem Jaka Sembung yang dilakonkan oleh Barry Prima ialah;
i) Jaka Sembung Sang Penakluk (1981)
- "The Warrior" (Sang Pejuang) di pasaran antarabangsa
- "Jaka, der Rebell" (Jaka, Si Pemberontak) di Jerman Barat

Versi Jaka Sembung Sang Penakluk di luar negara
Sipnosis:

Pada zaman penjajahan Belanda, Parmin/Jaka Sembung merupakan pahlawan sakti Kandanghaur. Dia memberontak atas ketidakadilan pemerintah Hindia Belanda yang mengharuskan para tawanan bekerja secara paksa.

Untuk menumpaskan Jaka Sembung, Komandan Hindia Belanda tempatan mengadakan pertandingan. Pahlawan sakti Kohar kalah pada awalnya, tapi kemudian seorang dukun Jawa mengusulkan agar mereka menghidupkan kembali Si Hitam, seorang jagoan sakti kejam yang pernah mati di tangan guru Jaka Sembung.

Si Hitam memiliki ilmu Rawa Rontek yang membuatkannya takkan mati bila tubuhnya menyentuh tanah.

Parmin dikhianati oleh salah seorang penduduk desa dan kalah ketika berhadapan dengan Si Hitam yang juga menguasai ilmu sihir. Setelah ditangkap, Parmin bukan saja diseksa, kedua mata Parmin dicungkil secara keji oleh Komandan Hindia Belanda. Walaupun Parmin berjaya melepaskan diri, dia disihir menjadi seekor babi hutan oleh Si Hitam.

Usaha Parmin untuk melarikan diri akhirnya berhasil berkat bantuan kekasihnya, Surti. Surti membawa Jaka yang telah menjadi babi ke tengah hutan di mana mereka bertemu dengan guru Jaka, seorang petapa yang sakti.

Surti yang mencintai Parmin rela mengorbankan nyawanya demi kekasihnya tersebut. Surti rela menyumbangkan kedua matanya untuk Parmin dalam sebuah ritual mistik yang membahayakan nyawanya sendiri.

Akhirnya Surti meninggal setelah memberikan kedua matanya kepada Parmin sebagai bentuk cinta sejatinya. Parmin yang sangat sedih bersumpah untuk membalas dendam pada Komandan Hindia Belanda yang keji dan Si Hitam.

Setelah berhasil memulihkan diri dan bekal ilmu sakti dari gurunya, Jaka Sembung bergerak untuk memimpin rakyat desa dengan dibantu Maria, puteri komandan Hindia Belanda yang tidak setuju dengan sikap keji ayahnya pada rakyat.

Mereka berdua dan rakyat desa akhirnya menyerbu ke benteng Hindia Belanda dan juga Si Hitam dalam sebuah pertempuran yang sengit.

ii) Si Buta Lawan Jaka Sembung (1983)
- "The Warrior 2" atau "The Warrior II" sebagai judul VHS di pasaran antarabangsa
- "Le guerrier des ténèbres" di Perancis
- "Soturi ja sokea miekkamies" untuk judul VHS di Finland
- "The Warrior and the Blind Swordsman" atau "Warrior and Blind Warrior" di beberapa versi DVD bahasa Inggeris
Sipnosis:

Pasukan "Kompeni" (penjajah Hindia Belanda) memusnahkan rumah penduduk desa untuk mencari Jaka Sembung yang kian meresahkan Kompeni kerana aktivitinya. Merasa putus asa untuk mencari Jaka Sembung, akhirnya Komandan Kompeni Kapten De Mandes mengadakan pertandingan bagi para pendekar persilatan untuk mencari pendekar terkuat, dimana pemenangnya akan mendapat hadiah 100 ringgit.

Pertandingan tersebut akhirnya dimenangi oleh Soca Indrakusuma (Si Buta dari Gunung Iblis), seorang pendekar sakti buta yang misteri. De Mandes kemudian menjanjikan lebih banyak wang untuk Si Buta supaya menangkap Jaka Sembung.

Namun Si Buta ingin 1000 ringgit jika berjaya menangkap Jaka Sembung dan disetujui oleh De Mandes. Akhirnya bermulalah pencarian Jaka Sembung dengan dibantu oleh pasukan De Mandes.

Di suatu kawasan, Jaka Sembung keluar dari tempat persembunyian dan terjadilah perkelahian antara keduanya. Hasil daripada bantuan Dewi Magi, akhirnya Si buta berjaya mengalahkan Jaka Sembung dan memenggal kepalanya untuk diserahkan pada De Mandes. Merasa yakin, De Mandes tidak rela untuk menyerahkan 1000 ringgit wang emas pada Si Buta.

Setelah menyerahkan wang, De Mandes memerintahkan seorang jagoan untuk menyerang Si Buta. Si Buta berjaya mengalahkan jagoan tersebut, namun dia mengalami luka parah. Si Buta segera dibantu oleh Dewi Magi yang selama ini menyimpan hati padanya.

Ketika si buta pengsan, Dewi Magi cuba menggoda si buta. Namun setelah sedar, Si Buta menolak dan marah kerana cintanya telah terkubur bersama bekas kekasihnya yang telah meninggal.

Dewi Magi marah dan sebagai gantinya, dia meminta wang hadiah dari De Mandes untuk dirinya. Namun Si Buta menolak dan terjadilah pergaduhan. Dewi Magi menambahkan lagi kecederaan Si buta dan Si Buta yang terluka tidak mampu berbuat apa-apa.

Saat itulah muncul Jaka Sembung yang ternyata masih hidup bersama teman-temannya untuk menolong dan membawa Si Buta ke tempat tinggal gurunya, Ki Sapu Angin.

Setelah sembuh, Si Buta menyerahkan wang 1000 ringgit tersebut untuk perjuangan rakyat melawan kompeni. Si Buta menceritakan bahawa yang dikalahkan dan dipenggal kepalanya bukanlah Jaka sembung yang sebenarnya, akan tetapi kepala seekor kambing yang menyerupai muka Jaka Sembung kerana bantuan sihir Dewi Magi. Si Buta akhirnya bergabung dengan Jaka Sembung.

Sementara itu Dewi Magi yang kecewa pada Si Buta pergi ke markas kompeni dan memberi tahu perihal masih hidupnya Jaka Sembung. De Mandes marah kerana ia telah dikelabui oleh Si Buta dengan hanya kepala kambing. Akhirnya Dewi Magi bekerjasama dengan pasukan De Mandes untuk membunuh Si Buta dan Jaka Sembung dengan menggunakan ilmu sihirnya.

Ketika suatu malam, terjadi pencurian kotak wang hadiah De Mandes dari tempat tinggal Jaka Sembung yang tidak terlihat pelakunya (halimunan). Si Buta yang tajam deria hidu dan pendengarannya berjaya menghalanginya. Jaka Sembung yang sedang tidur terkejut kerana tidak dapat melihat siapa pencuri tersebut.

Akhirnya melalui deria hidu, Si Buta berjaya mengetahui bahawa pencurian itu adalah perbuatan Dewi Magi. Dewi Magi berjaya ditangkap dan dilukakan, namun dapat melepaskan diri. Dewi Magi yang telah luka parah menemui gurunya dan berjaya menyembuhkan lukanya.

Setelah sembuh, Dewi Magi meminta bantuan gurunya untuk menangkap Kinong, adik dari Si Buta, untuk mendapatkan dua mangsa, Jaka Sembung dan Si Buta sekaligus.

Dewi Magi adalah pemimpin sebuah perguruan wanita liar yang semua anggotanya menyimpan dendam pada laki-laki. Mereka gemar menculik laki-laki untuk dijadikan pemuas nafsu sebelum dilempar mati ke sebuah telaga maut yang berisi ular. Demikian juga nanti nasib Kinong yang digantung sebagai umpan di atas telaga maut tersebut.

Jaka yang datang seorang diri tidak mampu buat apa-apa apabila melihat Kinong berada di atas sumur maut, namun kedatangan Si Buta dan guru Jaka berhasil membantu Jaka dalam menyelamatkan Kinong.

Dewi Magi dan murid-muridnya putus asa menghadapi Jaka Sembung dan Si Buta, hingga dia meminta bantuan gurunya dan De Mandes. Setelah pertarungan sengit, akhirnya mereka mampu mengalahkan guru Dewi Magi. Kemudian datanglah pasukan kompeni yang dipimpin De Mandes dan Dewi Magi menembak mereka.

Saat itulah muncul Bajing Ireng yang kemudian membantu Jaka Sembung. Kedatangan Bajing Ireng mampu membuat pasukan kompeni De Mandes kelam kabut, namun Bajing Ireng ditembak oleh pasukan kompeni.

Sementara itu, De Mandes hendak memanfaatkan kekacauan ini untuk membunuh semua musuhnya dengan sekali tembak. De Mandes mengarahkan meriam ke arah Si Buta dan kawan-kawannya.

Dewi Magi mengetahui rancangan licik tersebut dan kerana cintanya pada Si Buta yang sebenarnya masih tulus, dia mengorbankan dirinya dengan menerima peluru meriam. Dewi Magi akhirnya tewas oleh peluru meriam yang ditembak Kapten De Mandes.

Kesedaran akan perbuatannya yang salah telah terlambat, sedangkan Si Buta, Jaka Sembung, Ki Sapu Angin dan Bajing Ireng selamat untuk meneruskan perjuangan mereka melawan penjajah.
iii) Bajing Ireng dan Jaka Sembung (1985)
- "The Warrior 3" untuk judul VHS antarabangsa
- "Soturin Ninja" untuk VHS di Finland
- "The Warrior and the Ninja" untuk VHS di Australia

Versi Bajing Ireng dan Jaka Sembung di luar negara
Sipnosis:

Bajing Ireng merupakan pendekar wanita yang bernama Roijah dari Desa Kandang Haur, merompak harta orang-orang kaya untuk didermakan kepada rakyat jelata yang menderita. Penderitaan rakyat bukan saja dari penjajah Kompeni, tetapi juga akibat bencana alam yang bersilih ganti.

Ketika pulang merompak dari rumah Demang Asmara, Bajing Ireng dihalang oleh Jaka Sembung. Menyangka sebagai orang upahan Demang, Bajing Ireng terus menyerang Jaka Sembung. Setelah berhasil menjelaskan siapa dirinya sebenarnya, Bajing Ireng mengagumi ketangkasan Jaka Sembung.

Komandan Kompeni menjanjikan kedudukan Ketua Daerah kepada Demang Asmara, bila dia berhasil menangkap Jaka Sembung. Dengan licik, Demang menangkap orang-orang tua Kandang Haur. Terpaksa Jaka Sembung tampil menyerahkan diri.

Demang Asmara yang dikelilingi kekuatan para pengawalnya, tidak mudah dikalahkan. Belum lagi kekuatan dari Kompeni. Bajing Ireng tak gentar dan menembusi ke dalam penjara untuk membebaskan Jaka Sembung dari seksaan.

Bersama rakyat menyerbu Kademangan, satu persatu pengawal Demang dapat dikalahkan. Komandan Kompeni tewas dalam pertempuran sengit, sementara Demang Asmara menemui ajalnya di hujung kerisnya sendiri.

iv) Jaka Sembung dan Dewi Samudera (1990)
- Di luar negara, filem ini berjudul "Jaka Sembung And The Ocean Goddess"
Sipnosis:

Jaka Sembung tertangkap dan hendak dibuang ke Australia. Di tengah laut, kapal dirempuh badai. Saat itulah Dewi Samudra yang juga dikenali sebagai Nyi Roro Kidul datang menolong Jaka Sembung.

Kapal dan seluruh awaknya tenggelam. Jaka terselamat dengan sekeping papan. Ternyata papan itu menuju ke istana Dewi Samudra di dasar laut.

Sang Dewi sangat menginginkan Jaka, tapi Jaka tak tergoda, hingga Dewi Samudra melepaskannya kembali ke darat agar Jaka dapat meneruskan perjuangan melawan Belanda, sambil berjanji akan menolong bila ada kesulitan.

Seperti siri sebelum ini, bermulalah pertempuran Jaka Sembung melawan Belanda. Jaka Sembung bergabung dengan Kiai Mustakim, pimpinan pesantren anti Belanda. Ketika Jaka menghadapi kesulitan, Dewi Samudra menunaikan janjinya.

Kredit: filmindonesia

-Debu-

KEKEJAMAN KOMUNIS DI BUMI PERAK

Pembunuhan beramai-ramai di Bekor, Perak oleh MPAJA (5 Mac 1946)
Kampung Bekor adalah sebuah penempatan Melayu di tepi Sungai Perak dengan penduduk seramai 400 orang. Pusat penempatan adalah dua deretan rumah kedai di jalan utama yang diduduki oleh peniaga-peniaga bangsa Cina yang dikelilingi oleh perkampungan Melayu. Pengangkutan utama adalah menggunakan perahu, memandangkan tiada jalan darat yang menghubungi Bekor dengan pekan-pekan utama lain seperti Parit dan Kuala Kangsar. Jalan darat yang ada hanyalah lorong yang hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki atau berbasikal.
Semasa era pendudukan tentera Jepun di Malaya, Bekor merupakan tempat penduduk Malaya berbangsa Cina lari menyelamatkan diri dari kekejaman tentera Jepun.
Ini adalah kerana kawasannya yang terpencil dan mungkin tidak mempunyai apa-apa kepentingan strategik kepada pihak Jepun. Pihak Koumintang dan Malayan People's Anti Japanese Army (MPAJA) turut menjadikan Bekor sebagai tempat persembunyian dan operasi. Bekor mempunyai laluan selamat ke Sungai Siput yang ketika itu merupakan kawasan utama MPAJA.
MPAJA berjaya mempengaruhi sebahagian besar penduduk Bekor untuk menyokong perjuangan mereka, manakala kehadiran Koumintang pula tidak begitu disenangi kerana mereka cuba mengenakan cukai terhadap tanaman seperti padi huma yang ditanam oleh penduduk-penduduk di Bekor.
Pemuda-pemuda Bekor yang patriotik mendapatkan lathan dengan MPAJA kerana ianya satu pasukan gerila yang mendapat bantuan persenjataan dari British. Pemuda-pemuda ini dihantar ke Sungai Siput untuk mendapat latihan lanjutan. Bagaimanapun tidak semua bersetuju dengan ideologi komunis yang dibawa oleh MPAJA. Berikutan perbezaan pendapat dan pertentangan, ramai yang kemudiannya kecewa dan meninggalkan perjuangan bersama MPAJA.
Apabila tentera Jepun menyerah diri secara mengejut pada 15 Ogos 1945, pasukan tentera British yang pertama tiba di Malaya pada 3 September 1945. Hanya pada 12 September 1945, British Military Administration (BMA) ditubuhkan di Kuala Lumpur. Bermula tarikh itu, BMA telah diberi mandat untuk memerintah Malaya. MPAJA bagaimanapun enggan menyerahkan senjata walaupun pasukan mereka seramai 6,800 anggota telah dibubarkan dengan rasmi oleh BMA. Di anggarkan 4,000 anggota MPAJA yang terlatih dikekalkan dan sebahagian besar senjata disorokkan oleh mereka.
Sepanjang kekosongan kuasa (15 Ogos 1945 hingga 3 September 1945), MPAJA telah keluar dari persembunyian di hutan-hutan dan mendirikan pentadbiran di kawasan yang mereka kuasai.
Pihak MPAJA yang mempunyai pengaruh yang kuat di Bekor telah menjadikan Bekor sebagai pusat pentadbiran untuk daerah Kuala Kangsar, dengan menjadikan sebuah sekolah di Bekor sebagai pejabat mereka, dan disinilah arahan-arahan dikeluarkan untuk memburu musuh-musuh mereka yang dahulunya penyokong kepada pemerintahan tentera Jepun. Unit-unit pemburu MPAJA ini juga terdiri dari anggota-anggota berbangsa Melayu selain majoritinya Cina.
Sekolah tersebut juga dijadikan markas operasi untuk menyoal siasat, menyeksa dan membunuh individu yang bersimpati dengan Jepun.
Apabila tentera British telah kembali menduduki Malaya, MPAJA diberi kata dua supaya berundur dari kawasan-kawasan yang telah mereka kuasai. Dengan ini, MPAJA telah memindahkan markas mereka dari Bekor ke tempat baru berhampiran Sungai Siput. Penduduk-penduduk Cina juga telah berpindah dari Bekor kerana khuatir akan tindakbalas British jika berlaku permusuhan antara kedua pihak dan sebahagian besar dari mereka telah berpindah ke Manong.
Berlainan pula dengan penduduk Melayu yang pernah menyertai MPAJA, mereka kini berada dalam dilemma kerana tujuan utama menyertai MPAJA adalah hendak membebaskan diri dari penindasan Jepun. Dengan kembalinya keamanan, perjuangan MPAJA dilihat seperti sudah tidak relevan, mentelah lagi mereka tidak boleh menerima ideologi komunisme yang diperjuangkan oleh MPAJA. Mungkin kerana faktor ini, penduduk Bekor dianggap sebagai satu ancaman kepada MPAJA kerana mereka tahu bagaimana cara MPAJA beroperasi, termasuk juga jalan-jalan rahsia dan lokasi kem-kem rahsia MPAJA.
Keadaan ini telah menimbulkan suasana tegang antara MPAJA dan orang Melayu, Menurut salah seorang penduduk yang telah terselamat melalui peristiwa tersebut, beliau masih ingat seorang kawan bapanya yang berbangsa Cina telah beberapa kali datang ke rumahnya dan meminta mereka berpindah kerana keselamatan mereka tidak lagi terjamin jika mereka terus tinggal di Bekor.
Pada 5 Mac 1946, tepat jam 5:30 pagi gerombolan yang disyaki MPAJA, orang-orang Cina dan juga beberapa orang Melayu (dianggarkan mencecah 1,000 orang) telah mara ke Bekor dari kawasan-kawasan bukit tempat mereka bermalam sebelumnya. Jambatan yang menghubungi Bekor dan Mandah telah dipasang dengan jerangkap samar bagi menghalang bantuan orang-orang Melayu tiba dari Mandah.
Pasukan penyerang telah dibahagikan kepada dua kumpulan, dimana kumpulan pertama bertanggungjawab membakar rumah-rumah, dan apabila penghuninya keluar, pasukan kedua akan membunuh mereka. Tiada senjata api digunakan, kesemua mereka bersenjatakan tombak, pedang atau parang mungkin kerana hendak mengelakkan bunyi letupan senjata yang boleh didengar jelas pada waktu subuh.
Dalam kegelapan subuh, terkejut dan suasana kelam kabut, ramai penduduk telah dapat dibunuh, namun ada juga yang sempat melawan dengan bersenjatakan pedang dan parang. Penduduk Bekor tidak mudah menyerah kalah, mereka melawan bermati-matian dan pertempuran berlanjutan sehingga matahari meninggi. Antara pertempuran sengit adalah di perkarangan rumah Uda Mashyur, dimana ia dipertahankan oleh 7 lelaki sehinggalah mereka semua terbunuh.
Ketua kampung, Tuan Haji Muhammad Ali mendapat cedera ditangan setelah berjaya membunuh beberapa penyerang. Bagi wanita dan kanak-kanak yang terselamat, mereka telah terjun ke sungai dan berlindung dengan kegelapan untuk menyelamatkan diri. Akhirnya pada kira-kira jam 11 pagi, gerombolan yang menyerang telah mula berundur membawa bersama kesemua mayat kawan-kawan mereka yang terbunuh.
Hanya pada waktu tengahari barulah penduduk kawasan berdekatan memasuki Bekor. Mereka yang terkorban dikebumikan di tempat mereka dibunuh, tanpa kapan dan dianggap syahid. Kebanyakan yang tewas berjuang dalam kumpulan dikuburkan bersama. Keesokkannya pasukan tentera Gurkha tiba tetapi anggota pasukan gerombolan MPAJA yang menyerang telah menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

Kesemua penduduk Bekor dibawa ke Balai Polis Manong dan ditempatkan selama sebulan disana sebagai pelarian. Mungkin kerana hubungan yang baik antara orang-orang Cina dan penduduk Melayu di Bekor, selepas kejadian itu maklumat rahsia mengenai serangan telah dibocorkan. Menurut beberapa keluarga Cina, setiap keluarga dikerah untuk menghantar wakil menyertai serangan tersebut dan jika enggan, wang sebanyak 25 Ringgit hendaklah dijadikan penebus diri.
Pada tahun 1946, tambah lagi selepas perang tidak banyak keluarga yang mampu mengadakan 25 Ringgit. Apa pun, motifnya bukanlah perkauman kerana terdapat para penyerang yang terdiri dari orang Melayu juga, serta amaran-amaran awal yang diberikan oleh orang-orang Cina kepada kawan-kawan mereka yang berbangsa Melayu menunjukkan keakraban hubungan antara kaum di Bekor ketika itu.
Tragedi Bekor adalah peristiwa hitam di dalam episod sejarah negara yang mungkin masih ramai tidak tahu. Kubur-kubur mereka yang terbunuh manjadi bukti kepada peristiwa tersebut. Usaha majalah Perajurit menyiarkan artikel berkenaan peristiwa ini wajarlah diberikan pujian supaya dapat dibaca dan diingati oleh generasi kini.
Hanya setelah 13 tahun artikel ini dikeluarkan, saya ringkaskan dan tulis semula untuk tatapan anda semua untuk kita jadikan peringatan akan perjuangan dan pengorbanan orang-orang terdahulu.

Kredit: Majalah PERAJURIT

-Mat Martopo-