Saturday, March 11, 2017

KERAJAAN-KERAJAAN MELAYU DI NUSANTARA DITAWAN OLEH PORTUGIS KERANA PERPECAHAN: SARJANA PORTUGIS

Seorang sarjana Portugis mendedahkan Kerajaan Melayu-Islam bukan saja berkembang di Melaka, Johor dan Aceh malah juga di Ambon, Ternate dan Tidore sekitar tahun 1500-an.
Dr. Gijs L Koster dari Universiti of The Minho, Braga, Portugal berkata,
"Semua kesultanan Islam itu di samping kerajaan Pasai, Minang dan Maluku turut sama memberi tentangan hebat terhadap penjajah Portugis selepas kejatuhan Melaka pada 1511."
Sebelum ini, kesultanan itu turut menjalin kesepakatan seperti di antara Johor dengan Melaka atau dengan Aceh walaupun kadangkala ketiga-tiga kuasa itu bersengketa dalam perebutan kuasa pada abad itu.
Pada saat-saat perpecahan terutama di kalangan pembesar kerajaan Melayu itulah, armada Feringgi dengan mudah mengalahkan Aceh yang terkenal sebagai pendekar Islam Asia Tenggara pada 1629.
Sebelum itu, sekitar 1540, akibat kerajaan Melayu di Pasai menjadi berpuak-puak, Portugis juga melancarkan serangan lantas menguasai wilayah itu.
Dalam ceramah ringkas, Dr Koster turut mendedahkan beberapa perkara menarik, iaitu Hikayat Tanah Hitu, dikarang oleh Imam Besar Ambon Saipul Hijali yang mengandungi banyak kisah perjuangan kesultanan Melayu-Islam di rantau ini.
Sultan Ambon melancarkan Perang Sabil terhadap Portugis yang didapati menggalakkan paderi-paderi memurtadkan penduduk Islam selain cuba campur tangan dalam kerajaan di Utara Ambon.
Dua helai surat dipercayai tertua ditulis dalam bahasa Melayu, tulisan Jawi kini tersimpan di arkib di Lisbon. Pertama daripada Sultan Baadullah dari Ternate kepada Raja Juan III, mengadu mengenai sikap buruk orang Portugis yang mencuri, mabuk dan bergaduh di pelabuhan. Begitu juga surat ditulis oleh Sultan Zainol Abidin dari Pasai mengenai perkara yang sama.
Mengenai kerjasama kerajaan Melayu itu, Dr Koster berkata, Melaka, Johor dan Aceh membentuk jalinan tiga segi dan kadangkala di antara dua kerajaan saja seperti Aceh dengan Johor dan Johor dengan Melaka.
Pada satu ketika, armada Aceh dilengkapi meriam besar dibeli dari Turki dibantu oleh berpuluh kapal dari Johor membedil kota Melaka untuk menangkap seorang kapitan Portugis yang kejam dan bengis.
“Orang Portugis menganggap kapitan yang berjaya ditangkap itu sebagai mati ‘syahid’ kerana rela dibunuh saja daripada murtad iaitu menukar agama daripada Nasrani kepada Islam,” kata Dr Koster.
Turki pada zaman itu, kata Dr Koster, dianggap sebagai Amirul Mukminin dan turut sama memberi bantuan kepada Aceh adalah kerajaan Gujerati di India.
Dalam sebuah ceramah, Dr Koster turut memaparkan gambar-gambar lukisan Portugis yang belum pernah dilihat di sini menceritakan pelbagai kisah menarik dan wajah bandar Melaka dan tanah jajahan lain.
Selain membina kubu dan benteng, Portugis memastikan ‘felorina’ iaitu sebatang tiang tempat hukuman mati dilaksanakan dibina dekat tengah kota termasuk di Melaka.
Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof Dr Ding Choo Ming mengakui bahawa Hikayat Hitu belum pernah diselidiki oleh sarjana-sarjana Melayu-Nusantara malah banyak perkara yang didedahkan oleh Dr Koster adalah kisah-kisah yang perlu dikaji yang kini tersimpan di arkib-arkib di Portugal.
Arkib di Lisbon
Kredit:
lokalgenius
Al Semantani Jones

-Debu-

No comments:

Post a Comment